14 October 2009

No More KETUANAN TETAPI KEPIMPINAN MELAYU

Pemuda Umno menyeru orang Melayu supaya keluar dari perspektif minda yang menganggap seolah-oleh mereka diserang dan segala gerak kerja disalurkan untuk mempertahankan keistimewaan Melayu yang dianggap sentiasa dicabar.

"Umno dan bangsa Melayu secara keseluruhannya, perlu beralih daripada kaedah atau setting defensif yang selalu menganggap ada orang lain mahu merampas hak dan hartanya, kepada Melayu yang berbekalkan keyakinan ketamadunan bangsa, mengukir visi kemajuan untuk masa hadapan," katanya Ketuanya, Khairy Jamaluddin.

Menurutnya, sudah terlalu lama orang Melayu dan Umno sendiri, berada dalam perspektif minda yang negatif dan defensif tersebut.

"Saya menyeru orang Melayu bermula dengan Pemuda untuk keluar dari perspektif minda ini. Tidak dinafikan, bahawa Perkara 153 Perlembagaan, yang menjamin kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, adalah keramat buat kita.

"Namun, jika dikaji dengan teliti, Perkara 153 hampir mustahil untuk dilucutkan daripada Perlembagaan Persekutuan. Sebarang perubahan memerlukan bukan sahaja kelulusan 2/3 Parlimen, tetapi mesti juga mendapat perkenan dari Majlis Raja-Raja.

"Ini sudah cukup mengingatkan kita bahawa secara realistiknya, kedudukan istimewa kita tidak mungkin boleh diubah," kata Khairy dalam ucapan dasarnya di perhimpunan agung pergerakan itu di PWTC hari ini.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa Perkara 153 dengan sendirinya tidak akan menjamin kesejahteraan dan kemajuan bangsa.
Menurutnya, bukan peruntukan perlembagaan yang membawa keistimewaan sebenar, tetapi kebolehan dan pencapaian orang Melayu-lah yang akan menentukan sama ada kita menjadi bangsa istimewa, bangsa yang unggul, bangsa yang terbilang.

"Hak dan keistimewaan Melayu itu penting. Namun yang lebih penting adalah bagaimana bangsa kita diperkasakan.

"Apa yang perlu kita wujudkan ialah satu dimensi baru dalam perjuangan Melayu supaya pegangan ekonomi dan status bangsa kita dapat dimajukan, sesuai dengan semangat pemerkasaan Melayu yang wajib dicapai bersama.

"Umno dan bangsa Melayu secara keseluruhannya, perlu beralih daripada kaedah atau setting defensif yang selalu menganggap ada orang lain mahu merampas hak dan hartanya, kepada Melayu yang berbekalkan keyakinan ketamadunan bangsa, mengukir visi kemajuan untuk masa hadapan.

"Inilah dilema Melayu yang baru - persoalan generasi yang wajib dijawab. Adakah kita hanya mahu mempertahankan simbol demi simbol atau adakah kita berani menerima hakikat bahawa perlu ada perubahan mekanisme dan visi demi melihat bangsa Melayu itu terus melangkah maju? Bagi saya, pilihan kedua merupakan jawapannya," katanya.

Khairy turut menegaskan bahawa pembaharuan tidak bermaksud "kita lupa kepada agenda Melayu".

"Umno dan Pemuda Umno tetap akan menjadi pejuang bangsa – mempertahankan agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu. Ini semua perkara asas perjuangan Umno yang tidak akan sekali-kali luntur dari agenda kita.

"Namun kita perlu memperjuangkan semua ini berlandaskan dua prinsip, iaitu keadilan dan rahmah, terutamanya dalam hubungan dengan kaum-kaum lain.

"Kompas perjuangan ini akan menggariskan agenda nasionalis kita, yang bukan berteraskan konsep kekuasaan Melayu atau Malay dominance yang sempit, tetapi kepimpinan Melayu atau Malay leadership yang adil dan rahmah.

Berikutan adalah sedutan ucapan Khairy mengenai isu terbabit:

"Ada yang berpendapat biarlah Presiden sahaja yang membawa mesej kenegaraan, tetapi Pemuda Umno hendaklah meneruskan agenda dan pendekatan lama. Jika kita memilih berbuat demikian, rakyat akan melihat Umno sebagai parti yang kucar kacir, parti yang hipokrit, tanpa satu ideologi asas yang konsisten untuk rakyat dan pengundi. Kita akan diadili sebagai parti yang cakap tidak serupa bikin, apatah lagi dalam era teknologi yang berupaya mendedahkan sebarang hipokrasi lantas menuntut satu konsistensi mesej di segenap lapisan kepimpinan parti dan Kerajaan. Adakah dalam konteks baru ini kita mahu Presiden parti bercakap mengenai satu perubahan – satu anjakan memecahkan benteng pemisah antara kaum – manakala Pemuda Umno pula enggan berubah, sebaliknya bertempik melaungkan perkara yang berlainan daripada apa yang diperkatakan oleh Presiden?

"Pembaharuan ke arah landasan ini tidak bermaksud kita lupa kepada agenda Melayu. Umno dan Pemuda Umno tetap akan menjadi pejuang bangsa – mempertahankan agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu. Ini semua perkara asas perjuangan Umno yang tidak akan sekali-kali luntur dari agenda kita. Namun kita perlu memperjuangkan semua ini berlandaskan dua prinsip, iaitu keadilan dan rahmah, terutamanya dalam hubungan dengan kaum-kaum lain. Kompas perjuangan ini akan menggariskan agenda nasionalis kita, yang bukan berteraskan konsep kekuasaan Melayu atau Malay dominance yang sempit, tetapi kepimpinan Melayu atau Malay leadership yang adil dan rahmah.

"Sebenarnya, jika diimbas sejarah kepimpinan Umno dan BN, ternyata sekali prinsip kepimpinan Melayu yang adil dan rahmah sudah pun terpahat dalam realiti politik tanah air. Umno dan BN telah mempamerkan kemampuan menjaga kebajikan dan kepentingan seluruh warga Malaysia. Contohnya, lihat sahaja pada perjuangan membenteras kemiskinan – agenda ini tidak berlandaskan warna kulit semata-mata, tetapi sebaliknya, dipanjangkan kepada mana-mana golongan kurang bernasib baik. Maka, berbekalkan landasan politik yang dihormati semua, pembaharuan yang diperlukan dalam lanskap masa kini adalah untuk UMNO dan orang Melayu konsisten dalam memantapkan kepimpinan nasional kita untuk semua rakyat Malaysia.

"Seruan agar segenap masyarakat wajar diberi pembelaan bukan sahaja sesuatu yang dianggap sebagai hak sejagat atau universal right tetapi sebenarnya datang dari agama suci kita sendiri. Kerajaan di bawah pimpinan Umno sering mengambil inspirasi Islam sebagai landasan kepada dasar negara, seperti prinsip Islam Hadhari yang menjamin hak golongan minoriti dibela. Justeru, tidak salah sekiranya orang Melayu juga memperjuangkan kepentingan warga Malaysia secara keseluruhannya. Malah, apabila kita menghormati pegangan dan agama orang lain, mereka juga akan lebih menghormati kita. Allah SWT berfirman di dalam Surah Al An'am, ayat 108:

"Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan”

"Barangkali ada yang mengungkit adakah kita patut mempertahankan bangsa lain sekiranya mereka mempersoalkan kedudukan kita? Di sinilah kepimpinan kita akan teruji. Sebagai bangsa yang diberi amanah dan penghormatan untuk memimpin, orang Melayu tidak boleh mengikut rentak biasa – sebaliknya kita mesti melaksanakan sesuatu yang mengatasi apa yang biasa. Barulah kita akan berupaya memimpin dan dilihat sebagai pemimpin yang mendapat pengiktirafan lebih menyeluruh. Inilah satu lagi contoh Kepimpinan Melayu yang saya maksudkan – kepimpinan yang adil dan rahmah yang diterima oleh semua.

"Pembaharuan ke arah kepimpinan nasional Melayu yang lebih jitu akan boleh dilaksanakan sekiranya orang Melayu sendiri membuat anjakan kepada perjuangan yang berbekalkan keyakinan ketamadunan kita, atau civilisational confidence. Keyakinan ketamadunan ini bermakna kita yakin dengan keupayaan bangsa untuk melangkah ke hadapan, mengukir kejayaan tanpa perlu takut bayang-bayang sendiri. Inilah cabaran generasi kita.

"Saya menyebut soal cabaran generasi, kerana untuk terlalu lama orang Melayu dan UMNO sendiri, berada dalam perspektif minda atau mindset yang negatif dan defensif. Kita merasakan diri kita seolah-olah diserang atau under siege, dan segala gerak kerja seakan-akan disalurkan ke arah mempertahankan keistimewaan Melayu yang kita anggap sentiasa dicabar. Saya menyeru orang Melayu bermula dengan Pemuda untuk keluar dari perspektif minda ini. Tidak dinafikan, bahawa Perkara 153 Perlembagaan, yang menjamin kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, adalah keramat buat kita. Namun, jika dikaji dengan teliti, Perkara 153 hampir mustahil untuk dilucutkan daripada Perlembagaan Persekutuan. Sebarang perubahan memerlukan bukan sahaja kelulusan 2/3 Parlimen, tetapi mesti juga mendapat perkenan dari Majlis Raja-Raja. Ini sudah cukup mengingatkan kita bahawa secara realistiknya, kedudukan istimewa kita tidak mungkin boleh diubah.

"Tetapi percayalah, Perkara 153 dengan sendirinya tidak akan menjamin kesejahteraan dan kemajuan bangsa. Sedarlah, sedarlah kita semua, bukan peruntukan perlembagaan yang membawa keistimewaan sebenar, tetapi kebolehan dan pencapaian orang Melayu-lah yang akan menentukan sama ada kita menjadi bangsa istimewa, bangsa yang unggul, bangsa yang terbilang.


"Hak dan keistimewaan Melayu itu penting. Namun yang lebih penting adalah bagaimana bangsa kita diperkasakan. Apa yang perlu kita wujudkan ialah satu dimensi baru dalam perjuangan Melayu supaya pegangan ekonomi dan status bangsa kita dapat dimajukan, sesuai dengan semangat pemerkasaan Melayu yang wajib dicapai bersama. Umno dan bangsa Melayu secara keseluruhannya, perlu beralih daripada kaedah atau setting defensif yang selalu menganggap ada orang lain mahu merampas hak dan hartanya, kepada Melayu yang berbekalkan keyakinan ketamadunan bangsa, mengukir visi kemajuan untuk masa hadapan. Inilah dilema Melayu yang baru – persoalan generasi yang wajib dijawab. Adakah kita hanya mahu mempertahankan simbol demi simbol atau adakah kita berani menerima hakikat bahawa perlu ada perubahan mekanisme dan visi demi melihat bangsa Melayu itu terus melangkah maju? Bagi saya, pilihan kedua merupakan jawapannya.

"Saya percaya inilah juga visi YAB Presiden, yang, contohnya, telah memansuhkan keperluan pegangan ekuiti 30 peratus Bumiputera dalam Tawaran Awam Permulaan (IPO) di Bursa Malaysia. Sudah pasti Presiden mengambil langkah sedemikian bukan sebab beliau tidak endah akan agenda Melayu, tetapi sebab ternyata mekanisme 30 peratus itu tidak dapat memenuhi matlamat asalnya.

"Presiden sendiri telah mengatakan bahawa daripada RM54 bilion nilai pegangan saham yang diberikan kepada Bumiputera melalui mekanisme 30 peratus ini, hanya RM2 bilion sahaja yang tinggal dalam tangan - habis dijual untuk pulangan cepat, tanpa kelangsungan kemajuan yang kita inginkan. Jadi terbuktilah ada simbol, mekanisme dan tongkat yang kita pertahankan selama ini tidak mencapai objektif yang asal.

"Malah, apabila Presiden memansuhkan kriteria pegangan saham Bumiputera itu, beliau juga telah memperkenalkan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) sebagai institusi pelaburan baru yang boleh menggalakkan pertumbuhan syarikat-syarikat Bumiputera yang berpotensi tinggi. Inilah anjakan yang dipelopori oleh Presiden - bantuan secukupnya disalurkan kepada Melayu yang layak dan berpotensi, dan bukan mekanisme-mekanisme simbolik yang hanya membantutkan daya saing Melayu dan memberikan kita satu perasaan keyakinan yang palsu tanpa memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan ekonomi Melayu yang sebenar.

"Pengisian visi kemajuan bangsa kita memerlukan satu keyakinan untuk kita menerima persaingan berdasarkan kepada merit, kemampuan dan kebolehan kita sendiri. Usah kita bercakap tentang meritokrasi antara kaum, jika dalam kaum kita sendiri pun kita belum mempraktikkannya. Jangan kita sebagai generasi muda mengamalkan budaya mencantas bakat Melayu sebelum bakatnya dapat diasah. Amat merugikan kepada bangsa sekiranya akibat hasad dengki, kita sanggup berusaha menjatuhkan orang Melayu lain yang berpotensi semata-mata untuk memuaskan hati. Kita perlu mengikis sifat dengki sesama kita, sebaliknya membantu dan memberi dorongan sewajarnya kepada saudara-saudara sebangsa seagama untuk lebih berjaya. Inilah maksudnya "keyakinan ketamadunan". Kita tidak takut pada bayang-bayang sendiri.

"Impian saya adalah untuk melihat suatu hari nanti, institusi-institusi pengajian tinggi tempatan dipenuhi anak muda Melayu bukan kerana kuota, tetapi kerana kelayakan merit. Tatkala kita mempertahankan kuota sekarang ini, jangan kita lupa, kuota sepatutnya hanya satu langkah bantuan, dan bukannya talian hayat orang Melayu selama-lamanya. Visi Melayu bukan untuk mempertahankan kuota semata-mata, tetapi untuk merasa bangga melihat orang Melayu berjaya dengan kekuatan sendiri.

"Usah kita pesimis dan perlekehkan potensi bangsa kita - keyakinan untuk menerima persaingan yang lebih terbuka sudah wujud dalam hakiki budaya kita sendiri. Apakah kita mahu berdiri di sini mengatakan sejarah tidak pernah mempamerkan bangsa Melayu bekerja keras meredah seribu satu badai untuk mencapai misi? Lihat saja-lah pada peribahasa Melayu yang menggalakkan ketekunan, kerajinan dan jimat-cermat dan responsif dengan cabaran dan suasana sekelilingnya seperti:

Kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya
Sabar penghilang penat, tekun pembawa dekat
Rajin bekerja mudah belanja
Cermat masa banyak, jimat masa sedikit
Cicir dipungut, hilang dicari
Dalam berselam, cetek bertimba


"Visi ini, anjakan ini, turut menuntut keberanian kita sebagai orang Melayu untuk melihat ke hadapan, berbekalkan keyakinan dan kepercayaan diri untuk mencapai kemajuan bangsa. Sebagai Pemuda waktu ini, kitalah generasi yang boleh melakukan perubahan tersebut. Kitalah generasi yang boleh berkeras mengatakan cukup-lah! Cukup-lah kita menidakkan keupayaan bangsa kita. Cukup-lah kita dikongkong ilusi yang menyatakan Melayu lembab, Melayu malas, Melayu bodoh. Generasi kita perlu bangkit menyahut cabaran masa kini dengan mengatakan Melayu tidak lagi takut berhadapan dengan dunia luar kerana Melayu tidak lembab, Melayu tidak malas, Melayu tidak bodoh. Sebaliknya, bangsa Melayu adalah bangsa berdaulat; satu bangsa yang bijak dan serba boleh. Pemuda Melayu generasi ini perlu memimpin bangsa kita keluar dari batasan dan kepompong minda yang menghakis keyakinan diri, serta maju ke hadapan - inilah perjuangan kita."

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels