16 February 2010

NKRA, MKRA Bagi Shafie Afdal


Tahun 2010 ialah tahun yang amat penting bagi Kementerian Kemajuan Luar Bandar kerana ia akan melaksanakan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di bawahnya.

NKRA, yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Julai lalu meliputi enam teras utama dan satu daripadanya - memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman - ialah tanggungjawab kementerian itu dan di bawah teraju menteri berkenaan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Lima lagi teras NKRA ialah meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan serta menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

Bagi setiap NKRA, seorang menteri dilantik sebagai menteri pimpinan.

EMPAT FOKUS NKRA LUAR BANDAR

Di bawah NKRA luar bandar, terdapat empat sub-NKRA yang diberi fokus iaitu Jalan Perhubungan, Bekalan Air Luar Bandar, Bekalan Elektrik Luar Bandar dan Program Bantuan Rumah.

Mohd Shafie menganggap, secara perbandingan dengan yang lain, NKRA Luar Bandar merupakan yang paling mencabar dengan peruntukan terbesar menghampiri RM17 bilion dan pelaksanaannya akan mengambil masa yang panjang.

Katanya jika diukur dari segi kuantiti dan jangka masa, setiap satu daripada empat sub NKRA bakal menuntut usaha, masa dan kewangan yang berlipat ganda serta komitmen lebih tinggi daripada petugas KKLW.

"Contohnya, bagi jalan luar bandar, selama lima tahun di bawah RMK-9, di Sabah dan Sarawak, kita merancang untuk membina 350km jalan.

"Manakala di bawah NKRA, tempohnya lebih singkat, iaitu tiga tahun, kita akan membina jalan luar bandar sepanjang 1,500km iaitu lebih empat kali ganda panjangnya," katanya dalam amanat tahun baru kepada petugas kementerian itu.

Selain NKRA, mulai tahun 2010 ini juga, kementerian akan melaksanakan Minister Key Result Area (MKRA) dengan tiga sub-fokus iaitu Peningkatan Pendapatan Pekebun Kecil, Pembangunan Usahawan dan Pembangunan Masyarakat Orang Asli.

RANCANGAN MALAYSIA KE-9

Sementara itu, lebih 25 peratus daripada peruntukan RMK-9 masih belum dibelanjakan. Ini secara tidak langsung menjadi penunjuk banyak lagi projek yang belum disiapkan.

Mohd Shafie berkata kementerian dan agensi dikehendaki memastikan semua program dan projek yang dirancang dapat dilaksanakan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Jumlah peruntukan yang disediakan kerajaan untuk KKLW di bawah RMK-9 iaitu sebanyak RM16.47 bilion merupakan satu jumlah yang amat besar.

Sehingga 31 Dis 2009, sebanyak RM12.07 bilion atau 73.26 peratus dibelanjakan dan dalam masa yang sama, KKLW juga perlu membuat persediaan untuk Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

PELAN INDUK PEMBANGUNAN LUAR BANDAR

Di samping tumpuan kepada projek di bawah NKRA, fokus turut diberikan kepada pembangunan manusia dan usahawan bagi memastikan negara mencapai tahap ekonomi berpendapatan tinggi.

Dalam memberi tumpuan kepada NKRA dan tiga sub-fokus di bawah MKRA, Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar sedang digubal untuk menjadi garis panduan pembangunan luar bandar secara menyeluruh sepanjang tempoh 10 tahun akan datang, iaitu sehingga negara mencapai Wawasan 2020.

Pelan induk ini menentukan hala tuju pembangunan luar bandar di samping menjadi garis panduan untuk pelaksanaan pembangunan oleh agensi-agensi berkaitan.

Pelan induk ini dijangka siap pada bulan September 2010, di mana ia akan menjadi tumpuan dalam penyelarasan pembangunan luar bandar dengan mengambil kira rancangan pembangunan fizikal semasa seperti Rancangan Fizikal Negara (RFN) dan Dasar Perancangan Desa Negara oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD).

Pelan induk ini juga akan mengintegrasikan dasar-dasar pembangunan baru dan yang sedia ada termasuk juga keputusan-keputusan Kabinet.

MEMPERKASA PEMBANGUNAN USAHAWAN

Langkah untuk memperkasa pembangunan usahawan terutama Industri Kecil dan Sederhana (IKS) turut diteruskan dan ini melibatkan penyusunan semula anak-anak syarikat di bawah agensi KKLW.

Di samping itu, rantaian nilai daripada aktiviti hiliran dan huluan perlu diwujudkan segera.

"RISDA dan FELCRA umpamanya, perlu pergi lebih jauh. Jangan hanya berpuas hati dengan peningkatan produktiviti. Tapi perlu mempelbagaikan aktiviti huluan, mesti mewujudkan nilai tambah, kerana yang sebenarnya pendapatan akan dapat dilipatgandakan bila ada aktiviti nilai tambah," katanya.

MEREKAYASA MARA

Perkembangan MARA turut disentuh Mohd Shafie,memandangkan MARA merupakan antara agensi terbesar di bawah KKLW.

"Saya sarankan agar kita dapat melihat kembali semangat dan falsafah penubuhan MARA, di mana kedudukan MARA masa kini, dan hala tujunya di masa akan datang," kata beliau.

Katanya sektor pendidikan MARA perlu dinilai kembali. Sistem semasa perlu dikaji dan perubahan-perubahan berani perlu dilakukan dalam semua aspek penjanaan bakat cemerlang, sama ada dari sudut pembinaan intelektual, emosi, spiritual dan fizikal.

MARA yang diiktiraf atas daya usaha melaksanakan program latihan kemahiran juga harus melahirkan pelajar yang bukan sekadar untuk sektor pekerjaan tetapi boleh menjadi seorang majikan yang berjaya.

Mohd Shafie juga berkata GIATMARA ialah landasan terbaik untuk mendekati golongan belia luar bandar dan membimbing mereka menceburi bidang perniagaan bagi meningkatkan lagi pendapatan.

Contohnya melalui Conversion Program iaitu program peralihan daripada kemahiran kepada keusahawanan dalam kalangan anak didik GIATMARA. Ia dilakukan dengan cara mewujudkan usahawan mikro atau kecil di komuniti setempat supaya migrasi belia desa ke kota akan dapat dikurangkan.

CEBURI BIDANG BARU

Mohd Shafie menegaskan bahawa MARA yang suatu ketika dahulu terkenal sebagai sebuah agensi kerajaan yang berjaya melahirkan usahawan dan perniagaan dalam pelbagai bidang, perlu melihat terus ke hadapan untuk membina semula budaya keusahawanan.

"Saya mencadangkan agar MARA melalui MARA Inc. menceburi bidang-bidang baru. Antara bidang baru dan bakal muncul yang boleh diberikan perhatian ialah petrokimia, nanoteknologi, bioteknologi, neuroteknologi dan juga aplikasi ICT secara meluas," katanya.

MARA mesti berdikari. Pelbagai pendekatan boleh dilaksanakan oleh MARA. Pra syaratnya urus tadbir perlulah tersusun dan terarah mengikut paksi dan landasan yang jelas.

Dengan memiliki aset sekitar RM8.0 bilion, MARA perlu memanfaatkan harta MARA ini dengan merangka Strategi Pengurusan Aset yang berkesan, kata Mohd Shafie.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels