30 March 2010

Malaysia Kekal Jauh Di Bawah Sempadan Pendapatan Tinggi

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Walaupun unjuran pendapatan Malaysia terus menunjukkan trend meningkat secara beransur-ansur, ia kekal jauh di bawah sempadan "pendapatan tinggi", kata Majlis Penasihat Ekonomi Negara(NEAC).

Ia berkata dalam Laporan Bahagian Satu Model Ekonomi Baharu bagi Malaysia yang dikeluarkan Selasa, beberapa negara termasuk Korea, Poland, Slovakia dan Republik Czech telah berjaya membuat peralihan kepada status berpendapatan tinggi.

Laporan itu berkata sungguhpun kemiskinan mutlak telah dikurangkan, 40 peratus isi rumah masih pada tahap pendapatan yang amat rendah, terutamanya mereka yang berada di luar bandar.

Dalam jangka panjang, ini akan melengahkan mobiliti sosial, sekali lagi menghalang sebahagian besar rakyat Malaysia daripada membangunkan potensi mereka sepenuhnya untuk menyumbang kepada ekonomi.

Pasaran buruh di Malaysia tidak berfungsi dengan baik kerana kos pemecatan yang tinggi di bawah undang-undang buruh membuatkan pelabur keberatan untuk meneroka perniagaan baharu yang mungkin mengakibatkan pemecatan.

Sehubungan itu, beberapa pelabur mendapati adalah menguntungkan untuk menggaji tenaga buruh tidak mahir asing kerana undang-undang buruh tidak dilaksanakan sepenuhnya ke atas mereka.

"Ini, akhirnya, menurunkan tahap upah bagi semua pekerja," kata laporan itu, menambah bahawa ketegaran pasaran harus diperbaiki untuk membolehkan negara menarik lebih banyak pelaburan dalam sumber pertumbuhan yang baharu seperti pelancongan perubatan, teknologi maklumat dan komunikasi, dan produk serta perkhidmatan Islam.

Malaysia mengalami pengaliran keluar tenaga mahir kerana sistem pendidikan yang gagal untuk menghasilkan bakat yang diperlukan, serta kegagalan negara untuk mengekalkan bakat tempatan dari semua kaum mahupun menarik bakat asing akibat kekurangan prospek dan pekerjaan berkemahiran tinggi.

Kekurangan bakat akan melengahkan usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi dalam bidang kekuatan Malaysia seperti elektrik dan elektronik dan minyak sawit.

Laporan itu berkata tanpa bakat tempatan dan asing, Malaysia tidak akan berupaya menghalang hakisan pada kelebihan tradisionalnya dalam bidang komoditi dan pengilangan.

Untuk menggalakkan sektor swasta menjadi lebih anjal dan terus bertahan dalam persekitaran global yang berdaya saing, NEAC mengusulkan pembetulan kepada kelemahan dasar untuk memastikannya memenuhi prospek jangka panjang peniagaan.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels