7 May 2011

Hak Melayu Terhakis?

OKB salin dan tampal nota daripada sahabat blogger OKB Mohd Salim Gabot(Gambar)

Isu yang sering diperkatakan, terutamanya, sejak Mac 2008 adalah hakisan dan cabaran terhadap “hak Melayu”. Cabaran serta hakisan terhadap “hak melayu” ini ditonjolkan sebagai datang daripada kumpulan bukan Melayu dan yang seangkatannya iaitu “Melayu liberal”.

Benarkah hak Melayu dicabar dan terhakis? Hak yang mana? Oleh siapa dan bagaimana ia berlaku, jika ianya berlaku?

Atau adakah semua ini dongeng orang politik yang mahu memperalatkan orang Melayu untuk melanjutkan karier politik mereka?

Ketuanan Melayu

Konsep “ketuanan Melayu” hari ini sudah menjadi celaru dengan pelbagai takrif dan fahaman oleh pelbagai pihak. Pada amnya, yang dimaksudkan ialah dominasi orang Melayu di dalam medan politik.

Kalau dominasi orang Melayu dalam politik yang dimaksudkan sebagai “ketuanan Melayu”, ia bukan sahaja TIDAK terhakis, tetapi menjadi lebih kuat. Dalam tahun 2009, jumlah penduduk diMalaysia dianggarkan seramai 28.3 juta. Hakikatnya ialah orang Melayu menjadi majoriti Negara ini dan dianggarkan akan menjadi hampir 66% dalam 10 tahun nanti. Kalau di masukkan sekali bumiputera, kemungkinan angkanya ialah hampir 70%. Melayu campur bumiputera memang majoriti. Apa implikasinya?

Pertamanya ialah, merekalah yang akan menjadi penentu utama dalam menentukan budaya politik serta halatuju politik dalam Negara ini. Perkara ini jelas sejak Merdeka di mana di dalam Alliance Party dan kemudiannya Barisan Nasional, di mana parti politik dominan ialah UMNO – iaitu parti Melayu. Parti politik yang kedua terbesar yang menjadi Pembangkang juga didominasi oleh Melayu dengan PAS.

Pemain utama di dalam politik nasional sentiasa orang Melayu dan dari perspektif ini, ungkapan ketuanan Melayu ialah satu slogan kosong orang politik untuk memperalatkan orang Melayu.

The main players in national politics have always been Malays and hence, from this perspective, the issue of ketuanan Melayu is a mere slogan, a tool for the politicians to manipulate the Malays.

Begitu juga kalau kita lihat sejak penubuhan UMNO baru dan Semangat 46, politik orang Melayu semakin matang di mana mereka sudah berani untuk mengasingkan diri daripada UMNO. Saya katakan matang kerana di dalam arena politik, orang Melayu sudah berani untuk mencuba pendekatan selain daripada pendekatan UMNO (pertamanya ialah dengan dengan penubuhan PAS).

Hari ini, kita lihat orang-orang Melayu berada di dalam hampir semua parti-parti politik ? UMNO, PAS, DAP, PKR dan lain-lain. Orang Melayu seolah-olah “tuan” atau pemimpin di dalam arena politik. Zaman di mana orang Melayu hanya bergantung kepada UMNO sudah berlalu. Di dalam politik, orang-orang Melayu mempunyai kepelbagaian pandangan dan kaedah untuk berkhidmat kepada Negara atau memperjuangkan suatu isu. Saya percaya trend ini akan meningkat. Maka isu “ketuanan Melayu” dalam konteks ini tidak berasas dan sudah tidak lagi relevan kerana sememangnya orang Melayulah yang mendominasi arena politik dan akan terus mendominasi arena politik.

Realiti terpaksa diakur

Saya percaya orang bukan Melayu juga telah menerima hakikat ini (realiti terpaksa diakur) dan kita akan sampai pada satu keadaan di mana mereka akan melihat kepada parti-parti politik yang boleh bersikap adil dan saksama kepada semua rakyat Malaysia tanpa melihat kepada keturunan atau darjat.

Begitu juga dengan orang Melayu sendiri. Mereka telah lihat apa yang berlaku didalam Negara ini sejak merdeka – 52 tahun! Siapa yang telah kaya-raya, siapa yang masih miskin, kawasan mana yang dibangunkan, kawasan mana yang masih mundur, siapa yang rasuah, siapa yang menindas dan sebagainya, jelas dilihat.

Saya juga percaya ramai orang-orang Melayu yang miskin tidak percaya bahawa kemiskinan mereka adalah akibat “perampasan” kedudukan “tuan” mereka oleh orang bukan Melayu. Mereka masih miskin kerana kegagalan polisi untuk menangani kemisikinan. Begitu juga dengan Melayu yang berada didalam tahap pendapatan rendah mahupun kelas menengah yang mengempas pulas mencari rezeki. Mereka sedar bahawa peluang mencari rezeki yang semakin sempit bukan ekoran orang bukan Melayu yang merancang untuk merampas hak pekerjaan mereka. Ia adalah ekoran polisi ekonomi yang tidak mantap, tidak menyeluruh serta tidak bersifat jangka panjang.

Saya tertarik dengan Kota Baru di mana terdapat banyak kedai-kedai rakyat tempatan yang berniaga. Ekonomi tempatan masih tidak dirogol oleh multi-national corporations seperti Tesco, Jusco, Ikea dan sebagainya. Oleh yang demikian, rakyat tempatan Kelantan masih boleh mencari rezeki secara terhormat, serta industri tempatan boleh berkembang. Kebajikan rakyat tempatan didahulukan dan bukannya “keuntungan tersembunyi” oleh pihak memberi kelulusan, yang juga terdiri daripada orang Melayu elitis.

Di dalam perhimpunan mengenai “ketuanan Melayu” yang pernah dan akan dianjurkan oleh pihak politik (ada yang berselindung disebalik NGO), berapa ramai di antara lebih kurang 14,000,000 Melayu di Malaysia ini yang hadir dan mengambil bahagian? 20,000? 10,000? 5,000? Kalau 30,000 pun itu baru merupakan 0.2% jumlah penduduk Melayu! Kalau 100,000 pun, itu baru 0.7% daripada jumlah penduduk Melayu di Negara ini. Inilah permainan politik licik dimana “orang Melayu” diperalatkan oleh politikus Melayu untuk melanjutkan karier politik mereka atau mengalihkan perhatian dari isu-isu sebenar yang dihadapi oleh semua Rakyat, termasuk orang Melayu.

Inilah keadaan sebenarnya dan beberapa kerat di dalam arena politik dan beberapa kerat orang di Bandar terperangkap dengan politik permainan ini. Tujuannya hanyalah politik dan tidak berkaitan dengan kebajikan orang Melayu amnya.

Ruj: http://loyarburok.com/human-rights/why-you-can-human-rights/hak-melayu-terhakis-bhgn-1/

Hak Melayu Terhakis?

Sebelum dimulakankan perbincangan mengenai Perkara 153 yang kita sering dengar hari ini, elok jika diturunkan keseluruhan peruntukkan itu untuk tatapan dan fikiran pembaca dahulu. Melalui cara ini, mudah untuk pembaca ikuti perbicangan nanti. Penyataan penuh Artikel 153 Perlembagaan Malaysia dapat dibaca di sini.

Benarkah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tercabar?

Seperkara yang perlu diingat ialah: Perbincangan mengenai Perkara 153 telah dipersembahkan sebagai satu isu yang “sensitif” dan oleh itu tidak harus dibincang seolah-olah rakyat jelata tidak matang dan tidak mampu berfikir. Di satu pihak ada yang melaungkan perkara 153 sebagai “hak Melayu” yang “tidak boleh dicabar” tanpa memahami maksud undang-undangnya.

Di pihak yang lain pula ada yang menuduh perkara 153 sebagai “tongkat Melayu” seolah-olah ia sesuatu yang harus dimalukan. Kedua-dua pendirian sedemikian tidak membantu ke arah memahami Perkara 153 mahupun ke arah melaksanakannya dengan cara yang menguntungkan Negara.

Satu lagi perkara:- Di laman web “Pusat Maklumat Rakyat” Kerajaan, ditulis sedemikian:

Kedudukan Istimewa Orang Melayu

Perkara 153 Perlembagaan telah memaktubkan Hak Istemewa Orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak meliputi:-

- perkhidmatan awam :Perkara 153 (2,3 dan 4)

- ekonomi : Perkara 153 (6)

- pelajaran: Perkara 153 (2,3 dan 4)

- Kedudukan Istimewa orang Melayu yang lain termasuklah peruntukan Perkara 89 dan 90 ? berhubung dengan tanah rizab Melayu.

- Hak-hak ini tidak boleh dipertikaikan dan ia dilindungi di bawah Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1971).

Saya berpendapat ada beberapa kecacatan dan kesilapan fakta di dalam penerangan di atas.

1. Perkara 153 menyebut mengenai “kedudukan istimewa” dan bukan “hak istemewa”. Ini adalah dua perkara yang amat berlainan dari segi undang-undang Perlembagaan.

2. Saya rasa kurang senang dengan keperluan untuk menyatakan bahawa “hak-hak ini tidak boleh dipertikaikan dan ia dilindungi oleh Akta Hasutan 1948″ atas beberapa sebab. Pertamanya, ia berbunyi ugutan daripada penerangan. Keduanya, pertikaian mengenai tafsiran sesuatu perundangan sentiasa berlaku di dalam Mahkamah serta di dalam penulisan undang-undang.

3. Dalam sistem demokrasi, Rakyat juga mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mereka sekiranya suatu peruntukan perundangan itu disalah tafsir atau di salah guna. Tidak masuk akal sekiranya tafsiran sesuatu undang-undang itu menjadi hak mutlak penjawat awam yang bergaji sahaja – terutama apabila kualiti kebolehan pemikiran mereka sendiri di pertikai. Tindakan sedemikian tidak termasuk sebagai kesalahan di bawah Akta Hasutan. Perkara yang menjadi kesalahan ialah niat serta perbuatan untuk “menghasut”.

4. Perkara 153 pernah dipinda oleh Parlimen beberapa kali untuk memperjelaskan maksud peruntukan itu.

Analisa Perkara 153

Sekarang kita akan cuba untuk meneliti peruntukan-peruntukan didalam Perkara 153 satu demi satu. Adalah penting untuk kita memahami peruntukan Perkara 153 supaya kita tidak diperalatkan oleh politikus-politikus yang mahu mempersembahkan diri mereka sebagai “jaguh Melayu” berdasarkan pembohongan dan penyelewengan fakta. Begitu juga, pemahaman Perkara 153 juga membolehkan kita berhadapan dengan rasis yang membantah terhadap Perkara 153.

A. Perkara 153(1) memperuntukan bahawa YDPA bertanggung jawap untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu, anak-anak negeri Sabah dan Sarawak DAN kaum-kaum lain mengikut peruntukan di situ.

B. Perkara 153 memberi “kedudukan istimewa” dan bukannya “hak” kepada orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak. “Hak” adalah sesuatu yang dimiliki oleh pemegang hak dan tidak ada orang lain yang boleh mengambil dan mengurangkan hak tersebut kecuali jika dibenarkan oleh Perlembagaan. Hanya sipemegang hak sahaja yang mempunyai budibicara samada ia hendak gunakan hak tersebut atau tidak. Orang lain tidak mempunyai budibicara terhadap penggunaan haknya (kecuali ada undang-undang yang mungkin menggekang penggunaan haknya. Sebagai contoh, Akta Fitnah terhadap kebebasan bersuara). Kedudukan istimewa, sebaliknya bergantung kepada budibicara munasabah pihak lain. Dalam konteks Perkara 153, budibicara munasabah ini di jalankan oleh YDPA (tertakluk kepada perkara 40 iaitu nasihat kabinet).

C. Perkara 153 (2), (3), (4) dan (8A) memberikuasa kepada YDPA untuk merizabkan perkadaran yang difikirkan munasabah oleh baginda daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain untuk orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak.

D. Perkara 153 (2) dan (6) memberikuasa kepada YDPA untuk merizabkan perkadaran yang difikirkan munasabah oleh baginda sebahagian permit-permit dan lesen-lesen perniagaan untuk orang Melayu dan anak negeri Sabah danSarawak.

E. Perkara 153 (2), (3) dan (4) memberikuasa kepada YDPA untuk merizabkan perkadaran yang difikirkan munasabah oleh baginda sebahagian daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu Negeri) untuk orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak.

F. Perkara 153 (5) memperuntukan bahawa segala peruntukan dalam Perkara 153 tidak boleh mengurangkan peruntukan Perkara 136 yang memperuntukan bahawa

“Tertakluk kepada terma-terma dan syarat-syarat pekerjaan mereka, semua orang, walau apa pun rasnya, dalam gred yang sama dalam perkhidmatan Persekutuan hendaklah diberi layanan yang saksama”

Ini bermakna didalam soal kenaikan pangkat dalam gred yang sama ianya adalah berdasarkan kebolehan/meritokrasi dan bukannya ras.

G. Perkara 153 (9) pula memperuntukan bahawa

“Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh memberi Parlimen kuasa untuk menyekat perniagaan atau pertukangan semata-mata bagi maksud perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak”

Ini boleh ditafsir bahawa keutamaan Parlimen untuk memastikan perkembangan ekonomi Negara lebih tinggi daripada keperluan untuk merizaban lesen-lesen atau permit-permit bagi orang Melayu dan anak Negeri Sabah dan Sarawak. Walau apa pun, perizaban tidak boleh menghasilkan penyekatan perniagaan atau pertukangan untuk Rakyat Malaysia yang lain (termasuk Melayu dan anak Negeri Sabah dan Sarawak yang tidak menikmati perizaban tersebut).

H. Perkara 153 (2) memperuntukan bahawa kuasa yang dijalankan oleh YDPA di bawah Perkara 153 adalah tertakluk kepada Perkara 40. Perkara 40 (1A) memperuntukan bahawa di mana YDPA dikehendaki bertindak mengikut nasihat atau selepas menimbangkan nasihat Jemaah Menteri atau seseorang Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, Baginda WAJIB menerima nasihat tersebut dan WAJIB bertindak menurut nasihat tersebut. Di dalam erti kata yang lain, Jemaah Menteri lah yang membuat keputusan dari segi fakta walaupun dari segi undang-undang Perlembagaan, ianya dibuat oleh YDPA.

1. Perkara 153 mengunakan ungkapan “suatu kadar perizaban yang difikirkan munasabah oleh YDPA”. Ini bermaksud, keputusan kadar perizaban dibuat oleh YDPA (iaitu atas nasihat Jemaah Menteri) dan keputusan ini tidak boleh dicabar. (Kalau pun di bawa ke Mahkamah, saya percaya usaha itu akan gagal). Lain lah sekiranya ungkapan yang diguna adalah “suatu kadar perizaban yang munasabah oleh YDPA”. Jika ungkapan kedua ini diguna, maka besar kemungkinan keputusan kadar perizaban boleh dicabar dalam Mahkamah berkaitan dengan apa itu “munasabah”

Kesimpulan

1. Pada saya amat jelas bahawa Perkara 153 memperuntukan kedudukan istimewa kepada orang Melayu (seperti yang tertakrif dalam Perkara 160) dan anak Negeri Sabah dan Sarawak (seperti yang tertakrif dalam Perkara 161A).

2. Kedudukan istimewa ini adalah berkaitan kadar perizaban daripada:

(a) jawatan dalam perkhidmatan awam;

(b) biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan;

(c) apa-apa permit atau lesen yang dikehendaki oleh undang-undang persekutuan bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan.

3. Perkara 153 tidak memberi “hak” tetapi “kedudukan istimewa”. Implikasinya ialah Melayu atau anak Negeri Sabah dan Sarawak yang tidak menikmati perizaban tersebut tidak boleh menuntutnya. Sebaliknya, jika ianya “hak”, semua Melayu dan anak Negeri Sabah dan Sarawak berhak dari segi undang-undang untuk menikmatinya dan mereka yang tidak menikmatinya boleh menuntutnya di dalam Mahkamah.

4. Sepanjang pengetahuan saya, Perkara 153 tidak pernah dicabar di dalam Mahkamah. Ianya jelas termaktub dalam Perlembagaan dan ekoran ini, adalah tidak benar jika sesiapa berkata bahawa Perkara 153 dicabar.

5. Jika ada pihak yang tidak berpuas hati terhadap implementasi Perkara 153, rungutan, cadangan atau bantahan harus di kemukakan kepada Jemaah Menteri dan bukannya berucap berapi-api di medan politik dengan dakyah bahawa Perkara 153 dicabar. Itu adalah perbuatan yang sia-sia yang tidak menguntungkan Rakyat langsung, apatah lagi orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak.

Demikianlah tafsiran undang-undang saya terhadap Perkara 153 dan saya mengalu-alukan sebarang tafsiran yang berbeza supaya isu ini dapat di bincang dengan sopan dan secara intelek.

Salam.
Ruj : http://loyarburok.com/human-rights/why-you-can-human-rights/hak-melayu-terhakis-bhgn-2/?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+Loyarburok+%28LoyarBurok%29

21 comments:

zam said...

setiap orang mempunyai hak yang sewajarnya.

zam said...

apa yang penting adalah, hak dan kepentingan semua dapat dijaga dengan sebaiknya.

Sanih Alias said...

Sebaiknya kita 1 Malaysia perlulah menjaga hak kita sendiri. Apa pun setiap parti memperjuangkan hak mereka. Jadi berikanlah yang terbaik untuk perjuangan tersebut.

Hamdan said...

Tuan,

Saya seorang rakyat berketurunan Melayu beragama Islam.

Tinggal di kawasan pedalaman dan amat bergantung harap kepada pemimpin-pemimpin sebangsa dan seagama.

Saya minta tuan nyatakan dengan jelas apakah sebenarnya yang dikatakan "HAK ORANG MELAYU" di tanah air tercinta ini, yang masih ada, kalau ianya berbeza dari ungkapan "kedudukan istimewa" prang Melayu.

Terima kasih, tuan.

mandau said...

hak2 orng melayu telah termaktub dalam perlembagaan.

Unknown said...

Saya sendiri pun kurang faham apa yang dimaksudkan dengan hak orang melayu terhakis??Apa yang terhakis?Salah siapa adakah pemimpin atau salah orang melayu itu sendiri?

Anonymous said...

sebaiknya hak-hak setiap kaum itu tidak perlu dipertikaikan atau dijadikan isu dalam politik.

Jason said...

Hak melayu only?How bout the other races in Malaysia??

Jason said...

Malaysia suppose to practice the 1Malaysia concept not the 1Malay concept!

mike said...

malangnya terdapat pihak2 yang yang menyalahguna dan menyalah tafsir kedudukan istimewa tersebut seperti yang temaktub dalam Perkara 153..

mike said...

seharusnya mana2 pihak yang cuba memperalatkan Perkara 153 untuk kepentingan sendiri baik dari segi politik, pendidikan, dll harus dikenakan tindakan undang2..

Anonymous said...

semua kaum bukan sahaja Melayu perlu dijaga hak-hak mereka daripada dicerobohi.

mike said...

sebenarnya terdapat sesetengah pihak yang sengaja memprovokasi kononnya hak orang melayu terhakis dan dicabar sedangkan ianya tidak berlaku..provokasi ini dilakukan untuk kepentingan peribadi dan selalunya dikaitkan dengan kuasa politik..dan yang selalu membuat provokasi ini ialah PERKASA..

mike said...

harus diingat bahawa malaysia berlatar belakangkan rakyat yang berbeza keturunan dan kaum..seharusnya perbezaan ini dijadikan sebagai kekuatan dan bukannya dilihat sebagai satu ancaman..

Paquin said...

Hak setiap pihak/kaum harus dijaga sebaik mungkin.

Paquin said...

Semakin hal ini dibincangkan semakin besar kemungkinan utk ketegangan berlaku. Jadi sebaiknya, semua pihak harus saling menghormati dan menerima kaum lain seadanya.

Mohd Ishak said...

Tidak mungkinlah hak melayu terhakis.

Smookiekins said...

So? adakah terhakis hak kuam melayu yang semakin medominasi M'sia? kaum lain mcmna? sekiranya kaum lain bersuara untuk mempertahankan & cuba memperjelaskan hak mereka, adakah dilayan & dipenuhi. silap2 haribulan kena cop sebagai kumpulan pembawa masalah.

Anonymous said...

setiap kaum ada hak mereka masing2. kit tak perlulah nak menjadikan hal ini satu isu.

Anonymous said...

hak melayu tidak terhakis.. hak kaum lain yang semakin terhakis.. semuanya disebabkan oleh permainan politik yang tidak matang dan menjadi amalan di negara ini.

Anonymous said...

jika hak melayu terhakis sekali pun, itu bukan lah salah pemimpin semata2, malah rakyat juga patut disalahkan. apa yang paling penting sekarang ialah beri sepenuh tumpuan kepada usaha merealisasikan konsep 1Malaysia..

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels