3 June 2011

Videk seks: Anwar berniat jahat: Hisham

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai motif utama untuk meluahkan pandangan peribadi yang menyakitkan hati dan berniat jahat dalam satu persidangan akhbarnya berkaitan dengan video seks yang memaparkan individu yang mirip kepada pemimpin pembangkang itu.

Menurut Hishammudin (gambar), kata-kata itu yang kemudiannya dilaporkan dengan meluas di media dan internet, tidak dipaparkan dengan niat baik, dan motif utama Anwar ialah keinginannya untuk memperlekeh reputasi beliau sebagai menteri, naib presiden Umno, dan juga sebagai ahli politik.

Laporan Bernama Online menyebut, dalam jawapannya kepada kenyataan pembelaan Anwar yang difail pada 1 Jun Hishammuddin berkata Anwar mengambil sikap tidak acuh terhadap kata-kata palsu yang diucapnya.

Beliau berhujah bahawa nada bahasa yang digunakan Anwar, diucapkan dalam keadaan marah, tidak berhati-hati dan tidak menghiraukan sama ada kata-kata yang dikeluarkannya itu betul atau salah.

Hishammuddin menjawab bahawa kata-kata itu tidak berasas dan semata-mata tekaan, dan langsung tidak tepat, oleh itu beliau mahukan supaya kenyataan pembelaan yang difail oleh Anwar pada 16 Mei diketepikan.

Dalam jawapan balasnya kepada dakwaan balas Anwar, Hishammuddin berkata kata-kata yang dituturkan oleh Hishammuddin berkaitan dengan video seks itu dibuat atas sebab menjalankan tugasnya sebagai Menteri Dalam Negeri buat orang ramai, yang mempunyai kepentingan yang sah untuk menerimanya.

Beliau juga menafikan sebarang salah guna kedudukannya atau pejabatnya atau mana-mana tindakan yang bertentangan dengan tugas dan tanggungjawabnya, dan beliau meminta mahkamah mengenepikan dakwaan balas itu.

Pada 26 April lepas Hishammuddin menfail satu saman fitnah terhadap Anwar kerana mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya dalam satu temu ramah dengan media pada 22 Mac, selepas membuat laporan mengenai video itu di balai polis Dang Wangi di sini.

Hishammuddin, 50, berkata, kata-kata itu difahamkan bermaksud beliau bertanggunajawab menayangkan video itu kepada sekumpulan editor dan wartawan di Hotel Carcosa Seri Negara Hotel pada 21 Mac lepas.

Menteri itu berkata kata-kata itu juga difahamkan bermaksud beliau mengatur penayangan video itu, di samping merancang bersama dengan Perdana Menteri serta kepimpinan tinggi polis untuk melaksanakannya.

Anwar dalam pembelaannya berhujah bahawa kata-kata yang dikeluarkan itu disiarkan dalam memenuhi syarat hak istimewa yang membenarkan, dan diterbitkan dalam perlindungan yang munasabah terhadap kepentingan sah beliau sendiri sebagai pemimpin pembangkang kepada orang ramai, yang juga memiliki hak kepentingan yang sama dalam menerima maklumat itu.

Dalam tuntutan balasnya, Anwar menegaskan kenyataan Hishammuddin dalam sidang media beliau pada 21 Mac, memperlihatkan bahawa beliau adalah individu dalam video itu sepertimana ditegaskan oleh ‘trio’ yang dikatakan terbabit dalam penayangan itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Vazeer Alam Mydin Meera menetapkan 25 Julai bagi pengurusan kes untuk membolehkan Anwar memberi jawapan kepada kenyataan balas Hishammuddin.

Beliau menetapkan tarikh itu selepas menemui peguam Tan Sri Cecil Abraham dan Sunil Abraham yang mewakili Hishammuddin dan Datuk S Ambiga dan J Leela yang mewakili Anwar, apabila kes itu dibawa kepada pengurusan kes hari ini.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels