8 July 2011

Tahniah kepada Pasukan Keselamatan

Beberapa jalan di sekitar Kuala Lumpur akan ditutup atau dilencongkan bermula tengah malam ini, dalam usaha polis cuba menyekat perhimpunan BERSIH 2.0 yang dijadualkan di Stadium Merdeka, esok.

Selain BERSIH 2.0, Pemuda Umno juga berkata mereka akan berkumpul di Jalan Bukit Bintang pada jam 10 pagi sebelum berarak ke Stadium Merdeka.

Menurut sumber ibu pejabat polis kontinjen Kuala Lumpur, jalan-jalan yang akan ditutup atau dilencongkan adalah sepanjang Jalan Syed Putra, Jalan Istana, Jalan Bukit Petaling, Jalan Bellamy dan kawasan sekitar Istana Negara.

Gangguan juga akan berlaku di sepanjang Jalan Sultan Hishammuddin, Jalan Lembah Perdana, Jalan Chenderasari dan kawasan sekitar Masjid Negara.

Kawasan lain adalah sekitar Dataran Merdeka, Pasar Seni, Masjid Jamek, Dataran DBKL, Kompleks Sogo, Maju Junction, Masjid Kampung Baru, Jalan Kinabalu, Jalan Kuching, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Laut, Jalan Sri Amar, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Haji Taib, Jalan Raja Muda Musa, Jalan Raja Bot, Jalan Raja Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Gereja, Jalan Raja Chulan, Jalan Tun Perak, Jalan Tun Tan Cheng Loke, Jalan Sultan Mahmud dan semua kawasan berhampiran.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai memberi kerjasama untuk sentiasa mematuhi peraturan lalulintas dan arahan semasa oleh anggota polis trafik yang membuat kawalan.

Polis juga menasihatkan orang ramai yang tidak mempunyai urusan penting di pusat bandar agar tidak memasuki kawasan berkenaan esok bagi mengelakkan kesesakan lalulintas.

Setakat ini, polis tidak mengeluarkan sebarang permit bagi sebarang perhimpunan, esok.

Sementara itu, beberapa laluan di pusat bandar dilaporkan juga telah ditutup sebelum tengah malam ini.

Selain itu, beberapa sekatan jalan raya yang menghubungkan pusat-pusat bandar juga telah dijalankan sejak petang tadi yang dipercayai bagi melumpuhkan perhimpunan BERSIH 2.0.

Antara laluan berkenaan adalah di Dataran Merdeka dan Stadium Merdeka.

Meskipun keadaan dilaporkan terkawal dengan pengguna kenderaan memberi kerjasama selain mematuhi arahan pihak polis, namun lalu lintas mulai sesak apabila orang ramai pulang dari pejabat.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels