17 October 2012

Malaysia Satu-Satunya Negara Iktiraf Pendidikan Cina di luar negara China - PM

KUALA LUMPUR: Malaysia adalah satu-satunya negara di luar China yang mengiktiraf pendidikan Cina sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri yang menggambarkan ia sebagai kepentingan besar, berkata tiada satu pun negara di rantau ini, sebagai contoh, mengiktiraf pendidikan Cina. "Kita adalah satu-satunya negara di luar China yang mempunyai pendidikan Cina sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan. Kita telah mengiktiraf pendidikan Cina di Malaysia, dan saya fikir ia adalah besar, mempunyai kepentingan yang besar.

"Sila lihat dalam konteks itu, dalam perspektif bahawa kita telah mengiktiraf pendidikan Cina sebagai sebahagian daripada sistem (pendidikan) kebangsaan, katanya semasa sejam diwawancara oleh penyampai radio Melody FM, stesen radio Astro berbahasa Cina kedua, di sini, Rabu.

Najib merupakan tetamu stesen radio itu untuk segmen 'Melody FM Morning Boss' bersama penyampai Chui Ling dan Jentzen Lim.

Perdana menteri menjawab soalan yang diajukan oleh seorang daripada penyampai radio itu berhubung usaha Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia atau lebih dikenali sebagai Dong Zong tentang pendidikan Cina.

Najib menjelaskan bahawa ketika beliau memegang jawatan menteri pelajaran, beliau telah menggugurkan Seksyen 21(2) Akta Pendidikan 1961 yang membenarkan menteri untuk menukar sekolah rendah jenis kebangsaan menjadi sekolah rendah kebangsaan.

Ini, katanya, menunjukkan kerajaan ikhlas dalam mengiktiraf pendidikan Cina.

Beliau juga berkata kerajaan mengiktiraf kewujudan 60 sekolah persendirian Cina. "Selebihnya ialah sekolah akuran. Dalam lain perkataan, mereka mengambil peperiksaan kebangsaan," katanya.

Najib juga berkata kerajaan menggunakan penyelesaian yang kreatif berhubung permintaan komuniti Cina di Kuantan untuk mewujudkan sekolah Cina, baru-baru ini. "Kami kata, anda boleh wujudkan sekolah, dengan syarat anda (pelajar) mengambil (peperiksaan) SPM tetapi jika anda mahu mengambil Unified Examination Certificate (UEC), terpulang kepada anda. "Jadi mereka membuat keputusan untuk menerima tawaran itu. Oleh itu ia akan menjadi sebuah sekolah menengah, pelajar harus mengambil SPM tetapi mereka juga mengambil UEC, sebagai tambahan kepada SPM. Jadi ia adalah situasi sama menang," katanya.

Menjawab soalan daripada pendengar, Najib berkata beliau telah mengumumkan RM100 juta peruntukan untuk sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di seluruh negara dalam Belanjawan 2013.

Beliau juga berkata 50 pelajar terbaik daripada sekolah menengah persendirian Cina juga diberi biasiswa untuk melanjutkan pelajaran.

Berhubung kekurangan guru di sekolah rendah Cina, Najib berkata pelan lapan perkara untuk mengatasi isu sekolah Cina sedang dilaksanakan sekarang. "Ia di bawah skop timbalan menteri pelajaran dan beliau sedang memastikan ia dapat dilaksanakan," katanya.

Najib juga berkata sekolah vernakular atau bahasa sendiri, termasuk sekolah Cina, akan menjadi sebahagian daripada pelaksanaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan di bawah Rangka Tindakan Pendidikan Kebangsaan. "Saya percaya kita tidak mempunyai apa-apa stigma. Anak saya, Ashman, sendiri fasih bertutur bahasa Mandarin.

"Saya percaya adalah baik untuk orang Melayu belajar bahasa Mandarin seperti mana pentingnya bagi rakyat Cina Malaysia untuk fasih berbahasa Melayu yang tentunya bahasa kebangsaan kita," katanya. -BERNAMA

4 comments:

Anonymous said...

tidak ada halangan untuk pendidikan cina diamalkan dinegara kita.

John Winchester said...

Pendidikan penting bagi kita semua, kita beruntung boleh mempelajari pelbagai bahasa di M'sia

Anonymous said...

Malaysia adalah sebuah negara yang unik.

Anonymous said...

Kebolehan menguasai lebih banyak bahasa adalah satu kelebihan. Ramai pelajar bangsa lain yang memilih untuk bersekolah di sekolah Cina.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels