Showing posts with label Ali Baba Tiada Proksi Tetap Ada. Show all posts
Showing posts with label Ali Baba Tiada Proksi Tetap Ada. Show all posts

11 June 2010

Ali-Baba Tiada! Proksi Para YB Tetap ADA

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan hanya akan membantu usahawan bumiputera yang benar-benar menunjukkan keupayaan untuk bersaing sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dilaksanakan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu sejajar dengan keutamaan RMK-10 yang menjadikan prinsip meritokrasi sebagai syarat paling utama dalam menjayakan agenda pembangunan bumiputera.

Beliau berkata, berbanding sebelum ini usaha untuk memajukan agenda bumiputera tidak memberi penekanan terhadap langkah tersebut hingga menyebabkan berlaku ketirisan serta 'ali baba'.

"Kerajaan tidak mahu menggunakan cara lama seperti sebelum ini yang mana kita lihat ia tidak banyak memberi kesan. Akhirnya kita membuat keputusan untuk bersandarkan pada prinsip meritokrasi.

"Kerajaan mendapati di kalangan pengusaha bumiputera, ada antara mereka yang berkemampuan dan boleh menjadi usahawan yang berjaya.

"Dengan kata lain mereka mempunyai merit. Usahawan seperti ini akan kita dokong sehingga mereka menjadi pemain yang berjaya," katanya kepada pemberita selepas pembentangan RMK-10 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pengekalan sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti korporat bumiputera dan ekonomi di peringkat makro dalam RMK-10.

Menjawab satu soalan, Muhyiddin berkata, setiap usahawan bumiputera yang akan dibantu selepas ini tertakluk pada kriteria serta syarat ditetapkan.

"Ada kriteria tertentu tetapi yang penting mesti ada daya keusahawanan, kemahiran serta mempunyai rekod baik yang baik. Bukannya ali baba,'' tambahnya.

Mengenai majlis peringkat tertinggi untuk merancang, menyelaras dan memantau pelaksanaan agenda pembangunan bumiputera yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, beliau berkata, ia bakal melancarkan lagi proses pembangunan tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, langkah kerajaan meneruskan perjuangan untuk meneruskan agenda tersebut merupakan bukti bahawa kerajaan prihatin dengan pencapaian golongan bumiputera khususnya dalam bidang ekonomi.

"Ini jelas menunjukkan bahawa Perdana Menteri peka dengan pandangan-pandangan daripada masyarakat bumiputera. Kita ambil kira keperluan ini dalam usaha mengurangkan jurang antara pembangunan masyarakat bumiputera dan bukan bumiputera," tambahnya.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels