Showing posts with label GLC Rugi. Show all posts
Showing posts with label GLC Rugi. Show all posts

6 June 2010

Sepatutnya Dari Dahulu: Pegawai Kerajaan Yang Pencen Tidak Perlu Dilantik Lagi

Kerugian besar dialami dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dijangka menjadi fokus sidang Dewan Rakyat, yang bermula esok, dengan Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BBCBN) mendesak kerajaan tidak lagi melantik pesara sektor awam menganggotai lembaga pengarah bagi mengelakkan masalah sama berulang.

Sehubungan itu, BBCBN mahu mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan memberi penjelasan terperinci bagaimana Pos Malaysia Berhad dan Sime Darby boleh mengalami kerugian antara lebih RM200 juta hingga RM1.6 bilion.

“Saya sendiri akan membangkitkan isu ini... saya merasakan kerajaan tidak harus melantik pegawai-pegawai kanan telah bersara jika mereka tidak komited dan tidak mampu untuk menjalankan tugas mereka dengan baik,” kata Timbalan Pengerusi BBCBN Datuk Bung Moktar Radin hari ini.

“Kalau mereka tidak berminat (menerajui syarikat-syarikat besar) jangan paksa mereka memegang jawatan pengarah khususnya di syarikat-syarikat besar dan ternama macam Sime Darby,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan.

Mesyuarat kedua penggal ketiga Parlimen akan berlangsung mulai esok sehingga 13 Julai.

Antara anggota lembaga pengarah Sime Darby dan Pos Malaysia kalangan bekas pegawai kanan kerajaan ialah bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam, masing-masing bekas ketua setiausaha negara Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Tan Sri Samsudin Osman, bekas ketua pengarah pelajaran Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin serta Pengerusi Pos Malaysia Tan Sri Dr. Aseh Che Mat dan Puan Sri Nazariah Mohd Khalid.

Bung Moktar percaya bahawa masalah kerugian yang dialami oleh kedua-dua GLC ini berpunca daripada sikap tidak komited ahli-ahli lembaga pengarah.

“Kadangkala kita paksa mereka terima jawatan-jawatan ini... jangan paksa kalau mereka tidak komited, akhirnya yang rugi negara dan rakyat,” kata beliau sambil menambah akan menggesa kerajaan mengkaji semula tatacara pelantikan anggota lembaga pengarah dalam GLC.

Kata Bung Moktar, BBCBN juga akan meminta kerajaan menjelaskan bagaimana kerugian kedua-dua GLC itu boleh wujud.

“Kami mahukan penjelasan terperinci, apa punca masalah ini... saya berpendapat bahawa masalah ini tidak harus wujud ketika kerajaan hendak membawa ekonomi ke kedudukan lebih baik,” katanya.

Pada Khamis ini kerajaan akan membentangkan Rancangan Malaysia Ke-10 dan Model Ekonomi Baru untuk dibahaskan.

Negara dikejutkan dengan ‘skandal’ kewangan dialami oleh Sime Darby dan Pos Malaysia dalam tempoh dua bulan lalu.

Minggu lalu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkata akan memanggil pengurusan Sime Darby dan Pos Malaysia bagi memberi penjelasan berhubung kerugian kedua-dua syarikat itu.

Kedua-dua GLC itu dijangka dipanggil pada minggu kedua persidangan Parlimen.

Sime Darby dilaporkan mengalami kerugian lebih RM1.7 bilion akibat daripada lebihan kos dalam projek kendaliannya, dan berikutan itu, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid, yang kontraknya sebagai Ketua Eksekutif Kumpulan sepatutnya berakhir pada 26 Nov ini, telah diminta bercuti.

Pada bulan lalu Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussein memberitahu Dewan Negara bahawa Pos Malaysia mengalami kerugian bagi tempoh tiga tahun lepas berjumlah RM227 juta ekoran pelaburan dalam syarikat penyedia perkhidmatan kargo udara, Transmile Group Berhad.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop sebelum ini telah menafikan sebarang pembabitannya dalam Pos Malaysia yang mengakibatkan syarikat itu mengalami kerugian.

Sebelum Perkasa, pertubuhan bukan kerajaan Melayu terbesar dan bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menggesa kesemua lembaga pengarah Sime Darby meletakkan jawatan dengan segera.

Isu Pos Malaysia dan Sime Darby juga dijangka menarik perhatian Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali yang juga Ahli Parlimen Bebas dari Pasir Mas dan wakil-wakil rakyat dari Pakatan Rakyat.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels