Showing posts with label Kulintangan. Show all posts
Showing posts with label Kulintangan. Show all posts

20 July 2011

Alat Muzik Kulintangan: Anak Sabah Menang RM30,000

Razali berjaya membawa pulang wang tunai keseluruhan sebanyak RM30,000 setelah menjuarai Bakat TV dan memenangi kategori Bakat TV Paling Popular di Angkasapuri, Kuala Lumpur, Selasa. - Foto CHAN TAK KONG

KUALA LUMPUR: Pemain kulintangan berasal dari Sabah, Razali Abd Rahman, 26, menjuarai program Bakat TV peringkat akhir menerusi bakat solo muzik yang disiarkan secara langsung di TV1 dari Auditorium Perdana, Angkasapuri, di sini, malam Selasa.

Hadiah juara meliputi wang tunai RM20,000 beserta trofi, barangan Figos dan sijil. Selain itu, Razali turut memenangi kategori Bakat Paling Popular dan menerima wang tunai RM10,000 sekaligus membawa pulang wang keseluruhan RM30,000.

Sementara tempat kedua dimenangi oleh kumpulan Putera (vokal) yang membawa pulang wang tunai RM15,000 beserta trofi, barangan Figos dan sijil manakala tempat ketiga diraih oleh Warisan Seni Negeri Sembilan (kumpulan tari) yang mendapat wang tunai RM10,000 bersama trofi, barangan Figos dan sijil.

Saguhati pula menerima wang tunai RM5,000 bersama trofi, barangan Figos dan sijil yang diberikan kepada Mustar-E (vokal), No Noise (kumpulan muzik), Stop Reverse Crew (kumpulan muzik), Christopher Aban (solo muzik) dan Fariz Hilmi (silap mata).
 
Kelincahan Razali bermain kulintangan begitu memukau penonton.

Bagi Razali, kemenangan ini bukan yang pertama kali baginya kerana sebelum ini dia pernah menjuarai Pertandingan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) Road To Hollywood di Los Angeles, Amerika Syarikat pada tahun 2010 dan minggu lalu di Festival Muzik Rainforest di Sarawak.

“Pada mulanya saya tidak menyangka bakal memenangi program ini. Yang penting saya dapat menyampaikan hasrat saya untuk membawa alat muzik tradisi ini dikenali di seluruh Malaysia.

“Dengan hadiah kemenangan ini, saya berhasrat untuk menghasilkan set kulintangan yang baru untuk digunakan oleh anak-anak Sabah yang mahu belajar cara bermain alat muzik ini,” katanya dalam satu sidang media.

Selain itu, dia yang baru menamatkan pengajiannya dalam kursus Diploma Seni Muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara) ini turut merancang untuk menyambung pengajiannya dengan menggunakan wang kemenangan itu.

“Kulintangan dibuat daripada dua jenis iaitu besi atau tembaga. Apa yang saya dapati, harga set kulintangan yang berkualiti mencecah RM5,000.
Kumpulan Putera juga menunjukkan persembahan yang mantap dan mendapat pujian juri.

“Saya juga mahu menggunakan wang kemenangan ini untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah. Selain itu, saya bercadang untuk membuat album pelbagai konsep muzik tradisional,” ujarnya lagi yang bermain alat muzik ini sejak berusia 10 tahun.

Menurutnya, alat muzik yang digunakan untuk memasuki program itu dibuat sendiri olehnya pada tahun 1998.

Katanya lagi, dia ingin memperjuangkan muzik kulintangan ini memandangkan ia kurang dikenali di negara ini jika dibandingkan dengan muzik lain seperti gambus dan akordion yang sudah dikenali ramai.
Kumpulan Warisan Seni Negeri Sembilan mendapat tempat ketiga dalam pertandingan itu.

“Jika ada peluang, saya sudah lama bercita-cita untuk mengiringi persembahan Datuk Siti Nurhaliza menyanyikan lagu berentak Irama Malaysia dengan menggunakan alat muzik kulintangan,” katanya yang biasa bermain kulintangan mengikut muzik lagu Nirmala dan Kurik Kundi nyanyian penyanyi tersohor negara itu.

Bakat Razali diwarisi oleh keluarganya yang juga mempunyai kepakaran bermain alat muzik tetapi menurutnya, muzik kulintangan itu dipelajari sendiri sejak kecil atas minatnya terhadap muzik tersebut.

Kulintangan merupakan alat muzik tradisional yang paling popular di Sabah terutama di kalangan kaum Bajau, Iranun dan Kadazan-Dusun.

Alat muzik tersebut terdiri daripada lapan hingga sembilan atau lebih gong kecil dalam satu set.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels