Showing posts with label Nikmat Berpuasa. Show all posts
Showing posts with label Nikmat Berpuasa. Show all posts

20 July 2013

Bulan Ramadhan: Beri Ruang Umat Islam Perbaiki Kualiti Amalan

Sedar mahupun tidak, umat islam telah menyempurnakan 11 hari berpuasa dalam bulan Ramadhan. Bagi umat islam yang bertaqwa, kehadiran Ramadhan sangat dinanti-nantikan, kerana mereka sedar bahawa ia adalah rahmat daripada Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Mereka memahami bahawa Ramadhan bukan hadir dengan 'tangan kosong', tetapi dipenuhi ganjaran dan dilimpahi dengan 'buah tangan' daripada Allah SWT.

Justeru, terpulanglah kepada kita sama ada untuk menerima kehadiran Ramadan dengan memuliakannya atau membiarkan ia berlalu begitu saja. 

Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 bermaksud: “Wahai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa seperti diwajibkan atas orang se belum kamu agar kamu bertaqwa.”

Ramadhan adalah bulan tarbiah iaitu bulan yang mendidik setiap individu Muslim agar kembali mengabdikan diri kepada Allah SWT. Ibadah puasa misalnya, bukan sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga, tetapi juga berperanan mendidik mata daripada melihat perkara yang diharamkan, telinga daripada mendengar umpatan, lidah daripada menuturkan fitnah dan cacian, tangan daripada melakukan dosa dan permusuhan, kemaluan daripada melakukan kemaksiatan dan kaki daripada melangkah ke arah kejahatan dan kemungkaran. 

Ibadah puasa juga mendidik kita bersifat ihsan dan melaksanakan tuntutan agama dengan penuh keikhlasan. Fikirkanlah, apakah balasan daripada Allah yang akan kita terima jika kita berpuasa, namun dalam masa, kita masih lagi terus melakukan kemungkaran?

Al-Imam Al-Ghazali Rahimahullah di dalam karya agungnya, Ihya Ulumuddin telah membahagikan puasa kepada tiga tingkatan. Tingkatan paling rendah ialah puasa orang awam iaitu hanya menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum. Tingkatan pertengahan pula ialah puasa orang khusus iaitu turut berpuasa daripada melakukan segala bentuk maksiat dan dosa, manakala tingkatan tertinggi ialah puasa orang khusus lagi istimewa iaitu berpuasa dengan penuh ikhlas dan menjaga hati daripada dikotori dengan sifat mazmumah. 

Pembahagian ini memberikan umat Islam ruang untuk berfikir tingkatan manakah mereka berada, seterusnya memperbaiki kualiti puasa mereka. Justeru, nilailah di manakah tingkatan puasa kita selama ini, mudah-mudahan dengan kehadiran Ramadhan kali ini ibadah puasa kita mencapai matlamat puasa sebenar iaitu taqwa seperti firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 bermaksud: “Wahai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa seperti diwajibkan atas orang se belum kamu agar kamu bertaqwa.” 

Marilah kita jadikan Ramadhan ini masa yang terbaik untuk kita bermuhasabah dan menghitung diri. Cerminlah diri kita! Adakah selama ini anggota tubuh yang Allah kurniakan terutama mulut, tangan, mata dan kaki kita gunakan untuk beribadah dan memberi manfaat kepada masyarakat, agama dan negara? Ataupun hanya kita gunakan untuk melakukan kerosakan, kehancuran dan kemudaratan.

Renungkanlah, jika selama ini kita tersalah perbuatan, kembalilah ke pangkal jalan sempena kedatangan bulan yang mulia ini. Bayangkanlah, betapa besar fadilat yang pasti dikurniakan Allah SWT kepada hamba-Nya yang ingin merebut peluang ini. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari Rahimahullah, daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW: “Apabila datangnya Ramadhan, nescaya dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.”

Hadis ini menggambarkan keistimewaan bulan Ramadhan dan betapa luasnya kesempatan untuk meraih pahala. Bahkan, Allah SWT juga membuka seluas-luasnya pintu keampunan untuk menerima taubat hamba-hambanya yang benar-benar bertaqwa kepada-Nya.

Ketahuilah! Dari sudut kesihatan, puasa adalah kaedah terbaik bagi memelihara anggota badan daripada penyakit. Melalui berpuasa unsur racun di dalam makanan dapat dihapuskankan. Dr Hisyam Ibrahim AI-Khatib dalam karyanya ‘Al-Wafi Fi Al-Tib’ menjelaskan puasa juga telah memberi peluang kepada organ di dalam tubuh badan untuk memperbetulkan semula sistem penghadaman. Ia juga menjadi penawar mujarab kepada pe nyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, pertambahan lemak dan peningkatan gula dalam darah.

Lihatlah betapa besarnya hikmah Allah SWT mewajibkan hamba-Nya berpuasa. Selain meningkatkan keimanan dan ketaqwaan, ia juga bermanfaat kepada tubuh badan.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels