Showing posts with label Politik BN. Show all posts
Showing posts with label Politik BN. Show all posts

12 February 2011

Calon Penentu BN Kekalkan Kemenangan, Kata Najib

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata calon yang disenangi rakyat, berwibawa dan tidak mempunyai masalah peribadi akan mencerahkan peluang Barisan Nasional (BN) menang menjadi kenyataan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau kelak.

Najib yang juga Pengerusi BN, berkata calon yang terbaik di Merlimau penting kerana isu nasional yang diguna pakai sebagai serangan kepada BN tidak diterima rakyat.

"Nampaknya sokongan rakyat bertambah (kepada BN) tapi (kita kena) pastikan kita kerja kuat (untuk menang di Merlimau)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato' Onn di sini Jumaat.

Beliau berkata mesyuarat membincangkan persiapan untuk pilihan raya kecil DUN Merlimau dengan mendengar taklimat Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dijadikan panduan di mana jentera pilihan raya sudah bergerak dan program tertentu sudah disusun.

"Umpamanya Timbalan Perdana Menteri turun (ke Merlimau) pada 14 Mac dan saya 19 Mac diikuti pemimpin lain turut serta membantu usaha mencapai kemenangan di Merlimau," katanya.

Kita juga ambil maklum laporan akhbar di mana Ketua Menteri Melaka (Datuk Seri Mohd Ali Rustam) menghabiskan masa enam jam sehari di DUN Merlimau," katanya.

Beliau berkata mesyuarat itu juga membincangkan prestasi peningkatan majoriti hampir 50 peratus tambahan pada kemenangan di Pilihan Raya Kecil DUN Tenang, Johor meskipun bilangan yang keluar mengundi menurun.

"PAS tak dapat bertapak di Johor walaupun letak calon dan pemimpin besar mereka (pembangkang) turun. Jelas ternyata Johor adalah kubu kuat Umno dan BN," katanya.

Najib berkata prestasi terbaik BN ialah di ketiga-tiga kawasan Felda yang menyumbang 2,500 majoriti daripada jumlah 3,707 undi yang diperoleh.

"Itu bererti bahawa isu yang dimainkan bahawa Felda bankrap (yang mana) ia satu pembohongan. Peneroka dan generasi kedua telah menolak apa yang ditohmahkan itu," katanya.

Beliau berkata bedah siasat itu juga mendapati sokongan bukan Melayu terhadap BN terus meningkat dan ini memberikan satu petanda menggalakkan dan memerlukan usaha-usaha berterusan supaya tahap sokongan kepada BN bertambah.

"Pada umumnya kita berpuas hati meskipun serangan bertubi-tubi oleh parti pembangkang yang membangkitkan pelbagai isu tetapi akhirnya, kesudahannya rakyat lebih yakin kepada BN daripada pembangkang," katanya.

Katanya jentera BN di Tenang lebih kepada konteks jentera tempatan dan negeri ditambah dengan bantuan pemimpin pusat yang turun, berjalan baik dan memberi kesan kepada kejayaan BN.

Sementara itu semasa menjawab satu soalan Najib berkata, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud kini sudah ada inspirasi dalam menentukan tarikh pilihan raya negeri.

"Dia sudah ada inspirasi," katanya semasa menjawab soalan sekiranya langkah mengadakan Konvensyen BN Sarawak pada 5 Mac ini dan lawatan beliau bersama pemimpin-pemimpin tertinggi BN ke negeri itu pertengahan bulan depan, adalah petanda bahawa pilihan raya negeri Sarawak sudah semakin hampir.

"Saya juga dijadual untuk melawat Sarawak sekali lagi pada pertengahan bulan Mac, di mana kami (pemimpin-pemimpin BN) akan turun beramai-ramai," katanya dan menambah lain-lain negeri juga sedang membuat persiapan untuk mengadakan konvensyen BN masing-masing tidak lama lagi.

Katanya beliau sebenarnya sudah memulakan lawatan-lawatan ke seluruh negara, dan menurutnya lawatan-lawatan itu akan diteruskan.

"Kami sebenarnya sudah turun padang. Saya sudah pergi ke negeri Sarawak dua kali, termasuk saya pergi ke kawasan Belaga dan Sungai Asap. Itu pun boleh disifatkan sebagai lawatan turun padang. Saya juga pergi ke negeri Kedah, itupun boleh disifatkan sebagai lawatan," katanya.

Perdana Menteri juga dijadualkan melawat Melaka pada 19 Feb.-- BERNAMA

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels