Showing posts with label Sidang DUN Sabah. Show all posts
Showing posts with label Sidang DUN Sabah. Show all posts

19 April 2010

Kemarau Di Sabah Mengakibatkan Petani, Pekebun Rugi Besar

Kemarau di Sabah pada awal tahun ini mengakibatkan kerosakan tanaman dianggarkan bernilai RM5.5 juta yang membabitkan 2,371 orang petani, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Yahya Hussin.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri berkata jenis tanaman yang mengalami kemusnahan ialah buah-buahan, padi sawah dan padi bukit di kawasan seluas 7,700 hektar yang kebanyakannya di daerah Nabawan, Lahad Datu, Kinabatangan, Tenom, Semporna, Beaufort dan Pitas.

Kerosakan akibat kebakaran yang melibatkan 43 hektar di Beaufort, Nabawan, Pitas dan Sandakan pula dianggarkan bernilai RM66,000 yang melibatkan 309 petani, katanya ketika menjawab soalan Kamarlin Ombi (BN-Lumadan) pada sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini Isnin.

Yahya berkata menurut sumber Jabatan Meterologi, kebiasaannya cuaca akan menjadi kering pada fasa akhir musim monsun timur, Februari hingga April.

Bagaimanapun, katanya pada tahun ini keadaan diburukkan lagi dengan berlakunya fenomena El-Nino sederhana sejak Jun tahun lepas di tengah Lautan Pasifik yang menyebabkan kebanyakan hujan turun di kawasan tersebut, sekaligus mengakibatkan kekurangan hujan di Sabah.

Beliau berkata Jabatan Pertanian menyediakan bantuan dalam bentuk tanaman bagi membantu para petani yang mana tanaman mereka musnah akibat bencana alam dan serangan serangga perosak.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Bolkiah Ismail berkata kementerian itu belum berhasrat untuk mengkaji semula kadar bayaran mendaki Gunung Kinabalu.

Katanya kadar bayaran permit mendaki Gunung Kinabalu adalah antara yang terendah iaitu pendaki berumur 18 tahun ke atas hanya perlu membayar RM30 bagi orang tempatan dan RM100 untuk orang asing.

Mereka yang berumur 18 tahun ke bawah hanya perlu membayar RM12 bagi orang tempatan dan RM40 untuk orang asing, katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (BN-Membakut).

Bolkiah berkata jumlah pendaki Gunung Kinabalu pada tahun lepas ialah seramai 47,564 termasuk 28,201 orang pendaki dari luar negara.

Ini menunjukkan penurunan sebanyak 0.6 peratus berbanding 47,848 pendaki pada tahun sebelumnya, katanya.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels