Showing posts with label Susu 1Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Susu 1Malaysia. Show all posts

21 September 2010

Susu 1Malaysia akan sama kah dengan minuman SUDI-Sudirman Arshad?

“1 Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia.” — YAB Datuk Seri Najib Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia

Apabila gagasan 1Malaysia diperkenalkan YAB Perdana Menteri selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 2008, ramai yang menganggapnya sebagai satu gagasan yang mampu mengangkat dimensi perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini ke tahap yang lebih tinggi. Malah gagasan 1Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan memungkinkan perpaduan boleh dipupuk berasaskan gagasan ini. Tentulah seluruh rakyat Malaysia turut merasakan semangat ‘kekitaan’, apatah lagi dilaungkan oleh pemimpin nombor satu!

Selepas beberapa ketika satu demi satu 1Malaysia muncul, kelab, yayasan, nombor pendaftaran kenderaan, klinik, dan yang terkini ialah susu 1Malaysia – ketika melancarkan Program Juara Rakyat peringkat negeri Sabah di Sandakan pada 16 September yang lalu. Antara lain tujuan susu 1Malaysia penting bagi melahirkan generasi baru negara yang lebih kuat, tegap dan cerdas, dan dinamik.

Saya bukan mempertikaikan kepentingan susu kepada kanak-kanak, malah susu telah diketahui sebagai sumber kalsium yang tinggi. Saya juga tidak mempertikaikan program susu sekolah ini, program susu sekolah bukanlah sebuah program yang baru. Malah saya tidak mahu mempertikaikan kemampuan Sabah sebagai negeri pengeluar susu terbesar di negara ini.

Program bantuan susu telah bermula sejak tahun 60-an lagi dan telah memberi impak positif terhadap perkembangan tumbesaran kanak-kanak terutamanya kanak-kanak miskin dan kurang berkemampuan. Program ini kemudiannya telah dikenali sebagai Program Susu Sekolah mulai tahun 1981.

Namun begitu Program Susu Sekolah tidak pernah sunyi daripada pelbagai masalah sepanjang pelaksanaannya. Pernah beberapa kali dihentikan akibat keracunan kepada murid-murid yang meminumnya sehingga Kementerian Pelajaran mengambil keputusan memberhentikan Program Susu Sekolah serta merta pada Ogos 2007.

Malah, Timbalan Menteri Pelajaran pernah memberitahu Dewan Rakyat bahawa Program Susu Sekolah ini akan ditangguh sehingga pengilang terbabit mematuhi syarat yang ditetapkan bagi mendapatkan sijil “Hazard Critical Control Point” (HACCP), selain memastikan edaran dan penyimpanan yang sesuai dengan keperluan susu yang dibekalkan. Itu ialah apa yang dilaporkan pada April tahun ini.

Soalnya bukanlah mengenai susu yang bakal memberi manfaat kepada ramai murid-murid sekolah randah di seluruh negara bermula bulan hadapan, tetapi ialah reputasi susu yang bakal dibekalkan, bolehkah dijamin akan tidak berulang insiden yang membabitkan kualiti susu tersebut sehingga menjejaskan kesihatan dan mengakibatkan kemudaratan kepada murid-murid ini. Apakah piawaian susu 1Malaysia ini akan jauh lebih baik daripada yang dihasilkan oleh pengilang-pengilang bertaraf multinasional? Apakah kita begitu mudah melabelkan susu yang belum terbukti piawaiannya sebagai susu 1Malaysia?

Kita tentulah tidak mahu, label 1Malaysia menjadi begitu murah dan mudah digunakan sewenangnya berbanding matlamat ketika gagasan ini diperkenalkan pada asalnya. Selepas ini mungkin pelbagai lagi produk akan dilabel dengan 1Malaysia, misalnya selipar 1Malaysia! Apabila kualiti susu 1Malaysia mengalami masalah seperti program susu sebelum ini – maka imej 1Malaysia akan dilihat sebagai satu bahan jenaka, sekurang-kurangnya itulah tanggapan daripada aspek pemasaran! Selamat menikmati Susu 1Malaysia, Oktober nanti.

Nota Kaki: Tulisan ini tidak bermaksud memperlekeh gagasan 1 Malaysia, YAB Perdana Menteri, sekadar pandangan peribadi dan tidak bermaksud melukakan hati penyokong-penyokong tegar gagasan ini!

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels