Showing posts with label Transformasi Kota Belud. Show all posts
Showing posts with label Transformasi Kota Belud. Show all posts

11 January 2014

Transformasi Kota Belud Menjadi Kenyataan

KOTA BELUD memang mempunyai peranan utama kepada peneraju kerajaan Negeri yang ada pada hari ini. Manakan tidaknya, di Kota Beludlah lahirnya anak sulung Umno Sabah, parti tunjang kerajaan negeri yang mentadbir negeri ini sejak tahun 1994.

Wakil Rakyat Kota Belud, Datuk Rahman Dahlan yang juga merupakan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, merancang agar satu transformasi berlaku pada kawasan yang anak sulung parti itu.

Hari ini, bertempat di Kota Belud, beliau melancarkan pengisian bagi menzahirkan transformasi melalui program National Blue Ocean Strategy (NBOS) secara bersepadu.

NBOS merupakan transformasi Kerajaan untuk menerokai dan mengeksplorasi bidang-bidang baru yang dapat memberi keuntungan kepada masyarakat secara umum tanpa penglibatan kos yang tinggi kepada Kerajaan

Memetik daripada wall FB menteri itu, beliau menulis "Hari yang bersejarah bagi Kota Belud. Saya telah melancarkan Pelan Tindakan Bersepadu NBOS Kota Belud, yang akan menyaksikan pelaksanaan 21 projek penambahbaikan kemudahan awam di seluruh pekan Kota Belud, membabitkan kos RM37.2 juta. Ini adalah projek NBOS pertama yang membabitkan naik taraf pusat bandar di Malaysia. Saya juga melancarkan perkhidmatan internet percuma freewifi@kotabelud pada kelajuan maksimum 8mbps, serta pengagihan 3000 komputer netbook 1Malaysia. Sekurang-kurangnya 1,000 rumah PPR akan dibina di Kota Belud dalam dua tahun. Penambahbaikan sistem lalulintas dan saliran juga bakal dilaksana dalam tempoh terdekat. Syukur alhamdullilah, transformasi Kota Belud kini bergerak lancar".

 KOTA BELUD: Pelan Tindakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang pertama peringkat bandar dilancarkan di Kota Belud membabitkan 21 projek bernilai RM37.2 juta bagi tempoh tiga tahun bermula tahun ini.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata daripada jumlah itu, 11 adalah projek 'Quick Wins' bernilai RM7.47 juta yang akan dilaksanakan tahun ini di daerah yang mendapat jolokan nama Daerah Koboi Timur itu.

"Kementerian akan melaksanakan peruntukan serta-merta dan disiapkan tahun ini, antaranya projek menaik taraf sistem perparitan bandar di Kompleks Centenary dan Pasar Tani, menyediakan tempat letak kereta baharu, naik taraf jalan dan padang serta mercu tanda Kota Belud," katanya.

Abdul Rahman yang juga AhliParlimen Kota Belud berkata demikian ketika berucap pada perasmian NBOS Kota Belud serta pelancaran freewifi@kotabelud di Dewan Tun Said di sini, hari ini.

Beliau berkata komponen utama projek mesra rakyat itu ialah pembinaan Bazar Rakyat tiga tingkat di tapak pasar tani sedia ada dan menaik taraf padang pekan itu membabitkan kos RM9.8 juta.

Abdul Rahman berkata kementerian juga akan membina terminal bas bersepadu, tempat letak kereta bertingkat dan menempatkan semula secara berpusat gerai pasar tani, pasar malam dan gerai kecil selain menaik taraf Arked Kota Belud dan kajian sistem lalu lintas bandar.

"Pelan tindakan ini adalah hadiah kepada warga Kota Belud yang akan memberi perkhidmatan menyeluruh serta mewujudkan esplanad sebagai tumpuan pengunjung dan tempat persinggahan kepada lebih 91,000 penduduk dari pantai barat utara Sabah seperti Kota Marudu, Pitas, Matunggong, Banggi dan Kudat," katanya.

Sementara itu, katanya perkhidmatan freewifi menerusi kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu membolehkan kira-kira 9,000 penduduk meningkatkan akses kepada maklumat terkini dan peluang ekonomi menerusi wifi percuma dengan kelajuan sehingga lapan Mbps.

Pada majlis itu, Abdul Rahman turut mengumumkan pengagihan 3,000 unit netbook jenama terkemuka kepada penduduk setempat khususnya di daerah Kota Belud.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian akan membantu membina semula 38 rumah golongan miskin yang terlalu uzur, tidak selamat atau tidak sesuai di sekitar Kota Belud di bawah program Pembasmian Kemiskinan Bandar.

Abdul Rahman berkata selain itu, kementerian dan Jabatan Pengairan dan Saliran persekutuan serta negeri sedang berusaha untuk mendapatkan peruntukan RM20 juta daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk menaik taraf Sungai Gurung-Gurung bagi menyelesaikan masalah banjir.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels