Beliau berkata ini kerana, Umno yang mula berpolitik membantu rakyat di negara ini mencapai kemerdekaan dan seterusnya membawa pembangunan manakala parti lain untuk orang Melayu, hanyalah parti serpihan.
    
"Dulu waktu kita kuat, kita tak mengada-ngada buat benda yang tak baik. Kita bangunkan negara kita sampai dunia iktiraf Malaysia sebagai negara membangun yang cukup maju.
    
"Ini hasil pentadbiran dilakukan sebuah parti (Barisan Nasional) yang diketuai Umno yang mewakili orang Melayu. Orang Melayu tiada niat tak baik kat kaum lain. Kita tolong mereka dan kita tolong diri kita juga," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Ihsan Ramadan dan Aidilfitri di Masjid Tok Bandar di Baling semalam.
    
Turut hadir, isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan Penyelaras Parlimen Baling Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Dr Mahathir berkata kerana itu, orang Melayu perlu bersatu di bawah Umno walaupun parti itu kini dikatakan tidak begitu kuat dalam menyatukan orang Melayu berikutan perpecahan dalam kalangan kaum berkenaan.
    
"(Kalau nak bersatu) Takkan badan besar masuk serpihan. Yang serpihan yang kena kembali kepada asal. Ada orang nak jadi Perdana Menteri sampai sanggup pecahkan Umno untuk dapat sokongan bagi diri dia. Dia fikir diri dia sahaja dan bukan negara serta rakyat," katanya.

Dr Mahathir berkata perjuangan Umno adalah perjuangan benar kerana itu ketika beliau memimpin Umno, beliau sanggup menerima pemimpin daripada parti serpihan yang mahu kembali kepada Umno.
- Bernama