Showing posts with label bajet sabah 2010. Show all posts
Showing posts with label bajet sabah 2010. Show all posts

14 November 2009

Nizar News: Musa Aman Bentang Bajet Sabah 2010 Berjumlah RM3.304 Billion

Kerajaan negeri Sabah memperuntukkan RM3.304 bilion bagi Bajet 2010, peningkatan sebanyak RM525.56 juta atau 18.91 peratus berbanding Anggaran Perbekalan bagi 2009.

Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata anggaran perbekalan 2010 merangkumi tiga komponen utama iaitu Emolumen (RM583.48 juta), Perbelanjaan Berulang (RM949.57 juta) dan Perbelanjaan Khas (RM1.771 bilion).

"Bajet negeri 2010 dengan tema kesejahteraan dan pembangunan berterusan ialah perancangan pembangunan berpandangan jauh, melihat ke masa hadapan.

"Ia merupakan landasan menjadikan Sabah sebuah negeri yang maju menjelang 2015, kita mengambil kira semua aspek daripada pembangunan belia kepada pembasmian kemiskinan. Saya anggap ia satu bajet yang menyeluruh untuk memberi perkhidmatan, pembelaan yang terbaik kepada rakyat," katanya.

"Bajet ini akan memastikan perlaksanaan program terus berjalan dengan rancak dan turut mempersiapkan jentera awam negeri ini dalam melaksanakan pakej transformasi dan hala tuju strategik Rancangan Malaysia ke-sepuluh (RMK10), katanya semasa membentangkan Bajet Negeri 2010 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini.

Ketika diminta mengulas mengenai anggaran bajet negeri dalam keadaan defisit itu, beliau berkata: "Kalau dihayati, memang (beberapa tahun) bajet defisit. Tapi bajet defisit tidak bermakna kita punyai kelemahan atau pun (masalah) kewangan.

"Hakikatnya bajet defisit ini adalah baik kerana kita dapat merancakkan lagi pembangunan yang ada dengan membelanjakan lebih banyak wang bagi perkhidmatan, untuk lebih memacu usaha-usaha pembangunan, jadi anda tidak perlu bimbang mengenai bajet defisit. Ia boleh diuruskan, seperti yg saya katakan," katanya kepada pemberita.

Ditanya sama ada bajet kali ini akan membantu mengatasi isu kemiskinan tegar di negeri ini, beliau berkata,"Ya. Tidaklah semua tetapi kami melakukan yang terbaik, bagi miskin tegar dan yang miskin, semuanya sekali."

Semasa pembentangan bajet itu, Musa menyatakan anggaran hasil negeri Sabah tahun 2010 berjumlah RM3.127 bilion, dipecahkan kepada tiga kategori utama iaitu hasil cukai (RM962.48 juta), hasil bukan cukai (RM1.346 bilion), dan terimaan bukan hasil (RM818.82 juta).

Hasil disemak bagi tahun ini pula dijangka sebanyak RM2.707 bilion, iaitu 5.35 peratus melebihi sasaran asal iaitu RM2.570 bilion, katanya.

Sementara itu, perbelanjaan wang negeri bagi pembangunan tahun 2010 dianggarkan sejumlah RM1.109 bilion, iaitu penambahan sebanyak RM69.35 juta (6.67 peratus) berbanding tahun lalu.

Daripada jumlah itu, RM541.55 juta adalah untuk projek sambungan, manakala RM568.28 juta adalah bagi projek baharu, kata Musa.

"Kerajaan negeri dijangka mendapat peruntukan Persekutuan berjumlah RM1.158 bilion dalam bentuk pinjaman, imbuhan balik dan pemberian langsung ... Dengan demikian, jumlah peruntukan pembangunan pada keseluruhannya untuk tahun 2010 adalah sebanyak RM2.268 bilion," katanya.

Katanya Sabah amat bertuah kerana tidak mengalami kesan negatif seteruk yang dirasai oleh negara lain semasa berhadapan dengan krisis kewangan dunia mahu pun bencana alam yang serius.

"Dengan prospek ekonomi dunia yang cerah di samping keperluan menyegerakan penyiapan projek-projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-Sembilan (RMK9) pada tahun hadapan, ekonomi Sabah dijangka berkembang pada 4.0 peratus hingga 4.5 peratus berbanding jangkaan pertumbuhan sebanyak 3.6 peratus tahun ini," katanya.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels