Showing posts with label doa nik aziz. Show all posts
Showing posts with label doa nik aziz. Show all posts

30 November 2009

Najib: Doa Nik Aziz Tidak Menganggu Saya

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau tidak akan meminta Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memohon maaf berhubung hasrat Menteri Besar Kelantan itu berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan beliau dan Umno jika kerajaan pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan.

Perdana Menteri berkata Nik Abdul Aziz perlu sedar ramai umat Islam melihat kenyataannya (Nik Abdul Aziz) itu sebagai keterlaluan dan tidak melambangkan semangat keIslaman.

"Saya tidak faham mengapa perlu berdoa sedemikian sebab memang kita bagi wang ihsan kepada rakyat Kelantan.

"Apa juga nama yang diberi, royalti atau wang ihsan, jumlahnya tetap sama. Dan rakyat Kelantan yang akan terima, bukan kita akan guna untuk tujuan lain," kata Perdana Menteri seamalam.

Najib berkata sebelum ini pun kerajaan pusat memperuntukkan lebih RM7 bilion di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan untuk rakyat Kelantan walaupun negeri itu diterajui pihak lain.

"Jadi, macam mana pula mereka nak tuduh kita ni tidak adil dan sebagainya," kata beliau yang berada di Port of Spain untuk menghadiri Sidang Kemuncak Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2009 yang berakhir Ahad.

Menurut Perdana Menteri, segala isu boleh dibincang untuk mencari jalan penyelesaian, dan bukannya digunakan untuk mencetus pergaduhan.

"Berbalah sesama sendiri merupakan sesuatu yang tidak diterima dalam Islam, begitu juga bila kita mengutuk orang lain tanpa asas," kata Najib.

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan pusat akan memberi wang ihsan kepada kerajaan Kelantan mulai tahun hadapan bagi hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu.

Royalti minyak: Nik Aziz pertahan isu doa

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap mempertahankan bahawa tidak salah dari segi agama Islam jika mendoakan seseorang itu dilaknat Tuhan jika mereka mempunyai niat jahat terhadap seseorang lain.

Menteri Besar Kelantan itu berkata beliau sanggup berhadapan dengan ulama yang membidas serta mengkritik kenyataannya itu dan mengingatkan beliau bahawa perbuatan sedemikian adalah haram di sisi Islam.

Jumaat lepas, Nik Abdul Aziz berkata beliau akan berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Umno jika kerajaan pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan, yang disifatkan sebagai sesuatu yang tidak betul.

Menteri Besar Kelantan itu turut menjelaskan kenyataannya itu.

"Doa yang dimaksudkan itu (kepada Perdana Menteri) hanya meminta Allah memperbetulkan fikiran Perdana Menteri,(Datuk Seri Najib Tun Razak) iaitu beri (royalti) gas dan petrol kepada Kelantan, kalau tak beri juga, bermakna beliau berniat tak baik.

"Niat tak baik itulah yang saya minta dilaknatkan Tuhan tu...," katanya.

Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria, dalam laporan media hari ini dipetik sebagai berkata umat Islam sepatutnya berdoa dan memohon kepada Allah supaya memberikan hidayah, kesejahteraan serta keselamatan terhadap orang lain, terutama saudara seagama, bahkan kepada orang kafir.

Sementara itu, Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan tindakan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat itu sebagai tidak masuk akal.

Katanya, perbuatan itu sebenarnya menggambarkan kelemahan dalam pemerintahan Nik Aziz sekaligus menunjukkan perpecahan kritikal di dalam PAS.

"Kita di dalam Umno bukan mahu mendoakan PAS berpecah tetapi kita bersyukur kerana apa yang PAS tuduh, akhirnya perkara itu terkena tempias kepada mereka (PAS) sendiri.

"Mereka (PAS) tuduh Umno menimbulkan perkara yang boleh pecah belahkan PAS, kita (Umno) yang lagakan pemimpin mereka, tetapi bila kita sabar dalam cara kita bawa diri kita, akhirnya tuhan tunjukkan mereka yang terkena tempias mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis korban Umno Bahagian Sembrong dan pembasmian kemiskinan Giat Mara, di Kampung Contoh, dekat Kahang, di Kluang hari ini.- Bernama

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels