Showing posts with label ekosistem perniagaan. Show all posts
Showing posts with label ekosistem perniagaan. Show all posts

9 May 2010

Bina Ekosistem Perniagaan Kita Sendiri

Datuk Seri Najib Tun Razak mahu usahawan Melayu membina ekosistem sendiri bagi memastikan perniagaan mereka mampu bertahan dalam apa juga cabaran seterusnya bersaing sehingga ke peringkat global.

Menurut Perdana Menteri, menerusi ekosistem, lebih banyak syarikat bumiputera serta usahawan Melayu dapat dilahirkan dan berkembang menjadi sebuah rangkaian perniagaan yang teguh.

Beliau menambah, dengan adanya rangkaian itu, usahawan Melayu akan mampu berdiri teguh tanpa perlu mengharap bantuan daripada kerajaan lagi pada masa depan.

"Kalau kita mahu pembangunan yang mapan serta kekal dan dalam apa juga cabaran kita boleh berjaya, maka kita perlu bina ekosistem bumiputera dalam bidang perniagaan.

"Inilah hasrat kita bila kita bentang Model Ekonomi Baru (MEB), kita kata yang mesra perniagaan dan mesra pasaran, kita kata berdasarkan merit dan lebih telus, tidak lain dan tidak bukan untuk bangunkan ekosistem supaya dapat menentukan kejayaan kita berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Ekonomi Melayu Pulau Pinang bertajuk Menggarap Peluang Dalam Cabaran anjuran Badan Perhubungan UMNO negeri di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Badan Berhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop serta Pengerusi Sekretariat Ekonomi dan Keusahawanan, Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Norraesah Mohammad.

Konvensyen selama dua hari itu mengandungi enam bengkel yang membentangkan kertas kerja bagi mencari penyelesaian terhadap permasalahan orang Melayu di negeri ini dan mendedahkan peluang-peluang perniagaan kepada mereka.

Najib menjelaskan, untuk tujuan itu, kerajaan akan mengenal pasti usahawan-usahawan Melayu yang berpotensi untuk dibantu sehingga mereka berjaya di peringkat nasional seterusnya rantau dan global.

Katanya, setelah perniagaan mereka berkembang maka akan wujud rangkaian yang berpanjangan iaitu dapat menawarkan kontrak sebagai penjual dan pembekal kepada peniaga-peniaga Melayu lain.

"Bila ini berlaku maka akan memberi peluang perniagaan kepada peniaga Melayu lain dan mereka tidak lagi perlu bergantung kepada kerajaan semata-mata.

"Ini kerana sudah ada syarikat yang boleh memberi tawaran kontrak sebagai penjual dan pembekal kepada mereka.

"Selama ini banyak syarikat-syarikat bumiputera terpaksa bergantung kepada kerajaan, kalau kerajaan tidak beri kontrak maka lumpuhlah pemborong dan pembekal Melayu ini," katanya.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels