Showing posts with label ops lalang=1987. Show all posts
Showing posts with label ops lalang=1987. Show all posts

12 February 2011

Ops Lalang 1987: Dr. M Akui Temui Kit Siang, Pemimpin Pembangkang

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK ( My Star)

SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa beliau pernah menemui Penasihat DAP, Lim Kit Siang bersama sekumpulan pemimpin pembangkang lain bagi memberi jaminan bahawa mereka tidak akan ditahan di bawah Operasi Lalang 1987.

Malah Dr. Mahathir berkata, pertemuan berkenaan dibuat bagi menjelaskan mengenai kekhuatiran yang timbul di kalangan pemimpin pembangkang mengenai nasib mereka ketika itu.

"Saya masih ingat, saja jumpa dengan Lim Kit Siang dan kawan-kawannya.

"Saya jumpa mereka secara berkumpulan, bukan secara berasingan kerana mereka khuatir mereka akan dimasukkan dalam tahanan," katanya di sini Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai cabaran Lim agar mendedahkan nama pemimpin pembangkang yang ditemuinya ketika itu.

Lim yang ketika itu merupakan Setiausaha Agung DAP sebelum ini menafikan bahawa beliau pernah mengadakan pertemuan dengan Dr. Mahathir bagi membincangkan mengenai sebarang jaminan seperti yang dinyatakan bekas Perdana Menteri itu.

Operasi Lalang dilancarkan pada 27 Oktober 1987 oleh polis, agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menangkap mereka yangmengeruhkan suasana politik pada ketika itu.

Dalam operasi berkenaan, seramai 106 ahli politik terutama parti pembangkang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan pembatalan dua akhbar harian dan dua akhbar mingguan.

Lim turut mempertikaikan kenyataan Dr. Mahathir yang disiarkan menerusi buku terbaru tulisan wartawan veteren Amerika, Tom Plate menyatakan bahawa penangkapan tersebut adalah keputusan polis dan beliau tidak dapat menghalangnya.

Bagaimanapun Dr. Mahathir tetap mempertahankan kenyataannya itu dan menegaskan bahawa penangkapan ahli politik menerusi Operasi Lalang berkenaan adalah atas keputusan polis demi keselamatan negara.

"Pada pendapat saya mereka tak perlu dimasukkan dalam tahanan, tapi polis (memberi) nasihat (kepada) saya berkenaan dengan keselamatan, saya tak boleh dengan sewenang-wenangnya tolak tindakan yang dianggap oleh polis adalah penting.

"Jadi saya tak boleh nak buat apa, ini keputusan polis. Dari segi keselamatan saya bergantung kepada polis untuk memberi nasihat.

"Pihak polis berpendapat bahawa mereka merbahaya, dan polis mengambil tindakan untuk tahan mereka," katanya.

Sementara itu ditanya mengapa beliau yang ketika itu juga Menteri Dalam Negeri melanjutkan tempoh tahanan selama dua tahun iaitu melebihi jangka masa 60 hari kepada Lim dan Timbalan Pengerusi DAP ketika itu, Karpal Singh, Mahathir berkata: "Perkara itu adalah perbincangan antara saya dan polis, saya tak fikir untuk perkatakannya."

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels