Showing posts with label pas pusat. Show all posts
Showing posts with label pas pusat. Show all posts

7 November 2009

Nizar: Hadi Awang Pemimpin Tulin: Dikritik Hebat Tetapi Tetap Dingin

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa beliau tidak akan meletakkan jawatan walaupun dikritik hebat dan didesak berbuat demikian.

"Pemimpin dipilih melalui muktamar parti dan ia adalah amanah...saya tidak akan membuang baju amanah ini," katanya semasa menggulung hujah pada Seminar Khas Memperkasakan Parti PAS di Markas Tarbiyah Pusat parti itu di Taman Melewar di sini pada hari Sabtu.

Beliau berkata sebagai pemimpin, seseorang itu perlu bersikap profesional dan menerima sebarang kritikan dengan hati terbuka walaupun ia pedih.

"Pemimpin PAS ibarat pemain bola dan kita perlu berjiwa besar dalam menghadapi masalah.

"Walaupun ada teguran yang keras...suruh pecat kapten, buang pengurus dan pemain, tapi kita belum habis separuh masa pertama...kita pemain profesional, bukannya pemain kampung," katanya.

Sementara itu pada sidang akhbar selepas seminar itu, Abdul Hadi merumuskan bahawa seminar itu sebagai berjaya.

"InsyaAllah, kita (PAS) dapat menunjukkan prestasi yang baik untuk menghadapi cabaran yang akan datang bagi membuat perubahan bersama dengan Pakatan Rakyat.

"Kita anggap ini bahtera baru yang perlu diperkukuhkan lagi untuk melayari perjuangan perubahan di negara kita," katanya.

Seminar itu turut meluluskan lima resolusi iaitu:

- mengukuhkan Pakatan Rakyat (PR) dan meningkatkan persiapan menghadapi pilihan raya umum -13 secara lebih proaktif dalam memudahkan urusan pakatan melaksanakan urusan kerajaan di bawah pengurusan PR.

- meningkatkan sokongan bukan Muslim dengan bertindak aktif menubuhkan Kelab Penyokong PAS di kawasan masing-masing.

- memantapkan pendirian parti berdasarkan maklumat, informasi serta menguatkan parti di peringkat akar umbi seluruh negara.

- membuat bayangan jelas kepada golongan muda terhadap PAS untuk meningkatkan semula sokongan serta menyegarkan unit amal secara komprehensif dengan meningkatkan modul sedia ada.

- membuat pelan tindakan antaranya menguatkan kempen nasional yang bertemakan 'PAS Untuk Semua'.

30 October 2009

Nizar-Nik Aziz: Pembongkaran Dilema Dan Hala Tuju Pas: Nik Aziz Membuka Pekong

Walaupun Jawatankuasa PAS Pusat malam tadi bersetuju mengadakan satu seminar politik pada 7 Nov ini dan bukannya muktamar khas bagi membincangkan kedudukan "dua tiga kerat pemimpin tertingginya yang bermasalah", namun isu sebenar tentang puak ini telah dapat disampaikan kepada anggota parti itu, kata beberapa pemerhati politik.

Prof Dr Abdul Aziz Bari daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata keputusan mesyuarat jawatankuasa itu malam tadi tidak penting berbanding kejayaan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam menyampaikan mesejnya mengenai pemimpin-pemimpin yang bermasalah itu yang hasilnya akan dilihat pada masa hadapan.

"Beliau telah membuka mata bahawa memang ada masalah dalam kalangan pemimpin parti itu dan harus disingkirkan. Mungkin tidak berlaku sekarang kerana mustahil pemimpin yang berkenaan akan meletak jawatan.

"Tetapi mesej ini akan diingati oleh perwakilan pada pemilihan parti akan datang," kata Abdul Aziz, pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Nik Abdul Aziz sebelum ini telah meminta parti itu mengadakan mesyuarat agung luar biasa bagi membolehkan perwakilan membuat keputusan mengenai kedudukan beberapa pemimpin PAS yang disifatkan sebagai bermasalah termasuk mereka yang pro-Umno.

Antara pemimpin yang dinamakan ialah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali.

Merujuk kepada saranan Hasan mengharamkan penjualan alkohol di kawasan majoriti Islam di Selangor, Abdul Aziz berpendapat bahawa Nik Abdul Aziz sedar tuntutan sedemikian telah menyebabkan PAS kehilangan sokongan bukan Melayu.

"Beliau tahu PAS berdepan dengan risiko kehilangan undi bukan Melayu jika mereka berterusan dengan cara sekarang, dan sebab itulah beliau bersuara agar orang bukan Melayu kembali yakin kepada PAS," katanya.

Abdul Aziz menolak kemungkinan bahawa tindakan Mursyidul Am itu akan menyebabkan PAS berpecah.

"Sejarah menunjukkan PAS tidak pernah berpecah sekalipun ada konflik. Ini cuma ribut dalam cawan, dan mereka akan terus bersama sehinggalah penyelesaian sebenar tercapai," katanya.

Seorang lagi pemerhati politik yang tidak mahu namanya disiarkan berkata kepimpinan PAS kini dibelenggu beberapa isu yang sukar dirungkai.

"Pada saya masalah ini berakar umbi dengan percanggahan pendapat antara golongan ulama konservatif dan ulama yang agak liberal. Sekarang mereka bekerjasama dengan dua parti yang memang jelas liberal dan sudah pasti mempunyai kehendak yang berbeza.

"Mereka mempunyai satu persamaan iaitu mahu menguasai kerajaan pusat, tetapi daripada segi ideologi, bezanya macam langit dan bumi. PAS masih mahu menegakkan negara Islam tetapi apakah ini yang juga dikehendaki DAP dan PKR (rakan PAS dalam pakatan pembangkang)?" kata pemerhati itu.

Merujuk kepada isu alkohol di Selangor, pemerhati itu berkata Abdul Hadi tidak mampu menggunakan kuasanya bagi melaksanakan keputusan Majlis Syura agar Hasan dinasihat kerana tindakan sedemikian membawa mesej Pas merestui penjualan alkohol di kawasan majoriti orang Islam.

"Malah kalau kita teliti betul-betul, dulu pun semasa isu (anggota exco Selangor daripada PKR) Elizabeth Wong, PAS secara keseluruhan memisahkan diri mereka daripada isu itu kerana pada hakikatnya Pas masih berpegang kepada ideologi parti iaitu menegakkan ajaran Islam, dan tindakan Elizabeth (yang didakwa berkesedudukan dengan lelaki Islam), sekalipun beliau bukan Islam, adalah isu moral yang tidak patut disokong oleh PAS," katanya.

Berasaskan hujah itu, beliau melihat keputusan mesyuarat jawatankuasa pusat malam tadi untuk menyiasat PAS Selangor, adalah sekadar untuk memuaskan hati sesetengah pihak.

"Mereka mungkin siasat tapi apakah keputusannya? Beranikah mereka menyingkirkan Dr Hasan Ali? Saya berpandangan isu ini juga lama-kelamaan akan didiamkan begitu saja," kata pemerhati itu.

Kesimpulannya, kata beliau, konflik kepimpinan PAS akan berterusan tetapi parti itu mempunyai formula yang menyatukan mereka sekalipun berkrisis.

"Pada saya perkara ini mungkin berfaktorkan kepada asas penubuhan parti iaitu agama Islam dan para pemimpinnya tetap berpegang kepada asas itu setidak-tidaknya untuk dipamer kepada umum sekalipun di dalam mereka berantakan," kata beliau.

Bagi seorang lagi penganalisis politik, Asri Salleh, tindakan Nik Abdul Aziz menggoncang bahtera PAS mungkin berpunca daripada peningkatan sokongan rakyat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya melihat ada dua tekanan yang dihadapi oleh PAS sekarang akibat daripada peningkatan sokongan terhadap Najib ini, iaitu ada puak yang mahu PAS bekerjasama dengan Umno sekarang, dan ada puak yang mahu PAS kekal dengan pakatan pembangkang sehingga pilihan raya umum ke-13.

"Pihak yang pertama ini bimbang jika mereka tidak bekerjasama dengan Umno sekarang mereka akan terlepas peluang kerana jika dilihat keadaan sekarang Umno dan Barisan Nasional mungkin menang besar pada PRU 13 nanti.

"Tetapi pihak yang lagi satu pula mahu kekal dengan pakatan sekarang, dan saya melihat Nik Abdul Aziz sebagai seorang tokoh ulama, sudah pasti mahu berpegang kepada janji beliau untuk setia dengan pakatan pembangkang," kata Asri, pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara, kampus Dungun, Terengganu.

Beliau tidak menolak kemungkinan Nik Abdul Aziz diasak oleh kumpulan ulama profesional yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana bimbang Pas akan meninggalkan pakatan.

"Pada saya Pas sekarang berada di persimpangan dan mereka seharusnya mengambil langkah konkrit sama ada benar-benar komited dengan pakatan ataupun bekerjasama dengan Umno," kata beliau.

Pandangan pemerhati-pemerhati politik ini serta cakap-cakap politik sebenarnya merumuskan Pas kini berada di persimpangan dan tidak mampu membuat keputusan kerana tersepit antara ikon mereka iaitu Nik Abdul Aziz dan juga hala tuju parti.

Mereka tidak mungkin menyingkirkan Mursyidul Am itu dan pada masa yang sama mereka juga perlu menentukan sama ada mahu kekal dengan pakatan yang bebeza ideologi atau menurut arus politik semasa dan bekerjasama dengan Umno.

29 October 2009

Nizar-Pas: Kalau Nak Selamatkan Pas Nik Aziz Wajib Letak Jawatan

Krisis Umno terutama selepas PRU-12 adalah terletak kepada Abdullah Badawi. Presiden Umno itu melalui beberapa tindakannya yang banyak dipengaruhi oleh menantunya yang tidak diterima rakyat, menghukumnya melalui PRU-12.

Abdullah Badawi mengambil tindakan berani dan mulia apabila akur dengan desakan akar umbi dan para pemimpin Umno meletak jawatan sebagai presiden Umno sekaligus sebagai Perdana Menteri. Sekiranya Abdullah tidak berbuat demikian, sakit Umno dan BN akan semakin parah. Pun demikian, tempias kepimpinan Abdullah terbawa-bawa hingga ke PRK-8 selepas PRU-12. Melalui PRK-PRK tersebut calon Umno semua kecundang, hanya melalui PRK Bagan Pinang, arang yang terpalit di muka Umno mula terpadam.

Pergantian kepimpinan dalam Umno secara perlahan membangkitkan semula sokongan rakyat dan kembalinya semula para penyokong lama.

Berbalik kepada isu Pas, Pas mengalami krisis hingga kini kerana cara pengendalian parti itu yang berbeza antara Presidennya dan Mursyidul Amnya TG Nik Aziz. TG Nik Aziz terpengaruh dengan kelompok Erdogan dalam Pas yang diketuai oleh Hussam Musa dan Kamaruddin Jaafar. Manakala Presiden Pas lebih cenderung kepada pendekatan ummah, yakni penyatuan ummah.

Perbezaan pendekatan ini, mengakibatkan Mustapha Ali, Hassan Ali dan Ustaz Nasharudin dituduh oleh Nik Aziz sebagai para pemimpin yang bermasalah dalam Pas. Nik Aziz terlupa, para pemimpin ini juga mempunyai para penyokong mereka sendiri. Dalam Pas, penyokong parti itu, bukan milik Nik Aziz seorang.

Melihat muktamar Pas baru-baru ini, dimana calon sokongan Nik Aziz: Hussam Musa yang cuba mengambil jawatan Ustaz Nasharuddin sebagai Timbalan Presiden telah gagal, sekali gus kekalahan kelompok erdogan dalam Pas.

Contohnya Nizar dengan mudah menang, walaupun sebelumnya tidak dapat diterima oleh Nik Aziz. Semasa PRK Bukit Gantang, awal-awal lagi TG Nik Aziz menentang pencalonan Nizar, namun TG Hadi Awang, tetap mencalonkan Nizar, kerana perjuangan Nizar masa itu sehaluan dengan presiden Parti.

Ekoran perkembangan di Selangor, dimana Hassan Ali bertembung dengan ADUN-ADUN DAP, TG Nik Aziz lebih cenderung memihak kepada Roonie Liu. Keadaan ini lah yang membuatkan Hassan Ali bersuara, kerana sepatutnya TG Nik Aziz berpihak kepadanya kerana perjuangannya adalah cerminan Perjuangan Pas Asal, yakni Islam.

Contoh lain yang membimbangkan para pemimpin Ummah Pas adalah semasa PRK Bagan Pinang. Melalui PRK itu kelompok Erdogan Pas merupakan pengerak utama kempen, namun keputusannya PAS Kalah Teruk. Demi menjaga imej TG Nik Aziz dan para pemimpin pilihannya, maka TG Nik Aziz mengkambing Hitamkan Ustaz Nasha, Mustapha Ali dan Hassan Ali.

Desakan TG Nik Aziz untuk mengadakan EGM bagi memecat 3 Kerat pemimpin Pas ini, ditolak mentah-mentah oleh Jawatankusa Pusat Parti. TG Nik Aziz menerima tamparan hebat disebabkan penolakan cadangannya tersebut. Namun agar kelihatan dalam keadaan WIN-WIN, maka diputuskan agar Pas Selangor, yakni ketuanya dihadapkan kepada JK Disiplin parti.

Menghadapkan Pas Selangor ke JK Disiplin Parti tidak mungkin boleh mengekang gejolak dalam Pas, kerana gejolak dalam Pas disebabkan oleh permaninan TG Nik Aziz sendiri. Kerana itu lah, demi menyelamatkan Pas, Nik Aziz perlu meletakkan jawatan sebagai Mursyidul Am secara terhormat, kerana akar umbi Pas telah tahu, TG Nik Aziz sanggup parti pecah, asalkan pendapatnya diterima.

Apa kah kesudahan gejolak dalam Parti Pas akan berakhir dengan baik hanya kerana menutup PINTU kepada kerajaan Perpaduan!!

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels