Showing posts with label pas selangor. Show all posts
Showing posts with label pas selangor. Show all posts

31 October 2009

Nizar-Tuan Ibrahim: Isu Pas Selangor: Dah Tahu Kambing Itu

Jawatankuasa Disiplin PAS yang bermesyuarat kali pertama hari ini bagi menyiasat isu membabitkan beberapa tuduhan terhadap PAS Selangor telah mengenal pasti beberapa pihak yang terlibat untuk memberikan keterangan.

Pengerusi jawatankuasa tersebut, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihak-pihak berkenaan akan dihubungi dalam masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan lanjut. "

Kita dah kenal pasti beberapa pihak yang akan dipanggil untuk berikan keterangan. "Kita perlu berikan peluang kepada pihak-pihak terbabit untuk beri penjelasan berhubung beberapa perkara," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Ditanya sama ada Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali termasuk dalam senarai pihak-pihak yang akan dipanggil memberi keterangan itu, Tuan Ibrahim enggan mendedahkannya.

"Saya tak boleh komen lebih, perkara ini masih diperingkat siasatan," katanya. Pada mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat Rabu lalu, Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengarahkan jawatankuasa disiplin parti itu supaya menyiasat mengenai beberapa tuduhan yang dilemparkan terhadap PAS Selangor.

Bagaimanapun Abdul Hadi menafikan siasatan yang dijalankan itu memfokuskan kepada Hassan sebaliknya menegaskan ia akan dijalankan terhadap PAS Selangor secara keseluruhannya.

Isu ini timbul ekoran kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyenaraikan nama Hassan sebagai salah seorang yang perlu 'dibersihkan' daripada parti kerana dikatakan pro-kerajaan perpaduan.

Selain Hassan, Nik Abdul Aziz juga melalui blognya menamakan Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata pada mesyuarat yang berlangsung lebih tiga jam bermula pukul 10.30 pagi tadi telah meneliti beberapa dokumen yang berkaitan.

"Pihak jawatankuasa disiplin telah meneliti beberapa dokumen, dari situ baru kita kenal pasti pihak-pihak yang berkaitan itu," katanya.

Beliau berkata pihak pengurusan parti akan mengeluarkan surat kepada pihak berkenaan dalam masa terdekat dan mereka perlu memberi jawapan dalam tempoh 14 hari.

"Kita akan berikan surat kepada mereka dalam masa terdekat, mereka perlu jawab dalam masa 14 hari. "Mereka ada peluang untuk jelaskan kepada kita sebelum apa-apa tindakan lanjut diambil," katanya.

30 October 2009

Nizar News: Hassan Ali Merupakan Target!! Kenapa Pas Selangor Jadi Sasaran??

Para penyokong Pas bertanya-tanya kenapa Pas Selangor jadi sasaran untuk dihadapkan ke Jawatankuasa disipilin sedangkan sasaran utama adalah PJ Pas sendiri yaitu Hassan Ali.

Para penyokong dan para pemimpin Pas kelompok Nik Aziz dan Erdogan masih tertanya-tanya kenapa kah presdien parti TG Hadi Awang membuat pengumuman bahawa pas Selangor secara keseluruhan akan dihadapkan ke JK Disipilin parti.

Setelah mesyuarat JK Pusat yang secara tertutup tersebut dan mengambil masa secara maraton, akhirnya mesyuarat itu membuat keputusan seperti mana yang diumumkan oleh TG Hadi Awang. Keputusan-keputusan tersebut adalah: Pas akan terus setia pada Pakatan, Menghadapkan Pas Selangor ke JK Disiplin dan Mengadakan seminar untuk mengganti EGM cadangan TG Nik Aziz.

Mesyuarat JK Pusat itu diadakan secara tergesa-gesa ekoran cetusan rasa tidak puas hati TG Nik Aziz kepada 3 orang pemimpin Pas, yakni Nasharuddin Mat Isa, Mustapha Ali dan Hassan Ali.

Melalui mesyuarat JK Pusat itu juga dikhabarkan bahawa sebahagian besar yang hadir hendakkan Hassan Ali dipecat dari Pas, namun presdien parti membuat pendirian, sebarang pemecatan mestilah melalui siasatan yang rapi.

Jika sekiranya JK Disiplin parti mendapati Hassan Ali bersalah dan dipecat, maka akan berakibat kerajaan Pakatan Selangor akan ikut kerajaan Pakatan Perak, kerana setidak-tidaknya 5 ADUN akan ikut sama dengan Hassan Ali.


29 October 2009

Nizar: Hassan Ali Kata: Siasat Juga Pembocor Rahsia Pas

PAS Selangor hari ini menggesa parti itu turut menyiasat pembocor "rahsia parti" kepada umum, selain isu kerajaan perpaduan yang dikaitkan dengan pesuruhjayanya Datuk Dr Hassan Ali.

Mesyuarat khas jawatankuasa pusat parti itu malam tadi memutuskan PAS Selangor dihadapkan kepada jawatankuasa disiplin berhubung dakwaan Dr Hassan masih terlibat dengan isu tersebut.

Menyokong keputusan mesyuarat khas itu, setiausaha perhubungan PAS negeri Mohd Khairuddin Othman turut mendesak jawatankuasa disiplin menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang membuat tuduhan terhadapnya jika didapati ia tidak benar.

"Seluruh kepimpinan dan ahli PAS negeri bersedia untuk disiasat dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada jawatankuasa disiplin parti.

"Kami menyeru agar siasatan ini dilakukan dengan serta-merta bagi mengembalikan integriti seluruh ahli-ahli PAS di Selangor," katanya dalam satu kenyataan.

"Bagi memulihkan imej parti, PAS Selangor menggesa agar jawatankuasa disiplin parti dapat membuat penyiasatan secara menyeluruh dan membersihkan PAS daripada anasir yang mengganggu-gugat parti seperti mengambil tindakan yang tegas terhadap ahli-ahli yang mendedahkan rahsia parti kepada umum melalui saluran media dan blog."

Dihubungi Malaysiakini bagi mendapatkan penjelasan lanjut, Mohd Khairuddin berkata perkara yang dikelaskan sebagai rahsia itu termasuklah "apa yang terjadi dalam mesyuarat parti."

"Ia melibatkah ahli yang membocorkan apa yang berlaku dalam mesyuarat parti. Saya maksudkan mesyuarat badan perhubungan negeri, sebab ia adalah rahsia," katanya.

Ditanya sama ada "penuduh" yang dimaksudkan itu merupakan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat sendiri yang membangkitkan isu itu di blognya, Khairuddin berkata:

"Tidak. Kenyataan itu dibuat secara umum. Boleh jadi sesiapa sahaja yang membuat tuduhan."

Tindakan disiplin berhubung isu rundingan PAS-Umno, yang berlarutan lebih setahun sehingga mencetus konflik berpanjangan, dibuat susulan desakan tegas Nik Aziz untuk mengadakan muktamar khas.

Menulis seminggu lalu, tokoh besar PAS itu mendesak sedemikian untuk membincangkan "beberapa kerat pemimpin bermasalah", sehingga membawa kesan kemerosotan undi parti itu, seperti pada pilihan raya Bagan Pinang awal bulan ini.

Selain Dr Hassan, nama-nama yang disebut di Blog Tok Guru yang dianggap bermasalah itu termasuklah Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dan Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali.


Berikut kenyataan penuh PAS Selangor:

PAS Selangor ingin merujuk kepada keputusan mesyuarat khas jawatankuasa kerja PAS pusat pada 28 Oktober 2009 di Pejabat Agung PAS.

Pendirian PAS Selangor adalah seperti berikut:

PAS Selangor mengalu-alukan kesediaan PAS pusat untuk menangani kemelut yang berlaku dalam PAS sebagaimana yang diputuskan dalam mesyuarat khas jawatankuasa kerja PAS pusat pada 28 Oktober 2009.

PAS Selangor juga menyambut baik keputusan untuk menolak EGM (mesyuarat agung khas) dan seterusnya menyelesaikan masalah dalaman melalui siasatan yang dilakukan oleh jawatankuasa disiplin parti.

Seluruh kepimpinan dan ahli PAS negeri Selangor bersedia untuk disiasat dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada jawatankuasa disiplin parti. Kami menyeru agar siasatan ini dilakukan dengan serta-merta bagi mengembalikan integriti seluruh ahli-ahli PAS di negeri Selangor.

Bagi memulihkan imej parti, PAS Selangor menggesa agar jawatankuasa disiplin parti dapat membuat penyiasatan secara menyeluruh dan membersihkan PAS daripada anasir yang mengganggu-gugat PAS seperti mengambil tindakan yang tegas terhadap ahli-ahli yang mendedahkan rahsia parti kepada umum melalui saluran media dan blog.

Bagi meninggikan prinsip-prinsip al-'adalah yang ditetapkan oleh Islam, PAS Selangor ingin menekankan jawatankuasa disiplin parti hendaklah juga menyiasat orang yang membuat tuduhan dan mengambil tindakan yang tegas kepada mereka sekiranya tuduhan tersebut tidak benar kerana mencetuskan suasana yang tidak stabil dalam parti dan seterusnya merosakkan imej parti.

Merujuk kepada beberapa isu yang dibangkitkan, kami ingin menegaskan bahawa ahli-ahli PAS Selangor di semua peringkat telah menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pimpinan PAS negeri sebagaimana yang telah diputuskan melalui mesyuarat khas badan perhubungan PAS negeri Selangor yang bertarikh 27 September 2009.

PAS Selangor menyeru kepada semua ahli-ahli parti agar menghormati jawatankuasa disiplin parti di dalam menjalankan tugasnya dengan tidak membicarakan isu ini sehinggalah proses penyiasatan dan pendakwaan selesai.

PAS Selangor seterusnya menyeru kepada ahli-ahli PAS di Selangor agar bertenang dan membiarkan proses siasatan yang dilakukan oleh jawatankuasa disiplin parti selesai sepenuhnya. Semua ahli-ahli PAS di Selangor mestilah menyatakan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan YB Tuan Guru Presiden.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels