9 July 2011

Helikopter Polis: berlegar-legar di ruang Udara Kota-Kinabalu

Sejak pagi kedengaran suara helikopter berlegar-legar di ruang udara Kota Kinabalu.

Setakat pukul 10.00 pagi tiada tanda-tanda bahawa Himpunan Bersih di Ibu Negeri Sabah itu.

Melihat laporan LIVE kawan-kawan bloger, Kuala Lumpur, lengang-seperti keadaan HARIRAYA, apabila penghuni bandaraya pulang kampung beraya.

Dikhabarkan juga penyokong2 bersih bersembunyi di beberapa lokasi, antara lain Masjid Negara.

Ada laporan bahawa setakat ini lebih dua losen penyokong Bersih telah ditangkap.

8 July 2011

Tahniah kepada Pasukan Keselamatan

Beberapa jalan di sekitar Kuala Lumpur akan ditutup atau dilencongkan bermula tengah malam ini, dalam usaha polis cuba menyekat perhimpunan BERSIH 2.0 yang dijadualkan di Stadium Merdeka, esok.

Selain BERSIH 2.0, Pemuda Umno juga berkata mereka akan berkumpul di Jalan Bukit Bintang pada jam 10 pagi sebelum berarak ke Stadium Merdeka.

Menurut sumber ibu pejabat polis kontinjen Kuala Lumpur, jalan-jalan yang akan ditutup atau dilencongkan adalah sepanjang Jalan Syed Putra, Jalan Istana, Jalan Bukit Petaling, Jalan Bellamy dan kawasan sekitar Istana Negara.

Gangguan juga akan berlaku di sepanjang Jalan Sultan Hishammuddin, Jalan Lembah Perdana, Jalan Chenderasari dan kawasan sekitar Masjid Negara.

Kawasan lain adalah sekitar Dataran Merdeka, Pasar Seni, Masjid Jamek, Dataran DBKL, Kompleks Sogo, Maju Junction, Masjid Kampung Baru, Jalan Kinabalu, Jalan Kuching, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Laut, Jalan Sri Amar, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Haji Taib, Jalan Raja Muda Musa, Jalan Raja Bot, Jalan Raja Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Gereja, Jalan Raja Chulan, Jalan Tun Perak, Jalan Tun Tan Cheng Loke, Jalan Sultan Mahmud dan semua kawasan berhampiran.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai memberi kerjasama untuk sentiasa mematuhi peraturan lalulintas dan arahan semasa oleh anggota polis trafik yang membuat kawalan.

Polis juga menasihatkan orang ramai yang tidak mempunyai urusan penting di pusat bandar agar tidak memasuki kawasan berkenaan esok bagi mengelakkan kesesakan lalulintas.

Setakat ini, polis tidak mengeluarkan sebarang permit bagi sebarang perhimpunan, esok.

Sementara itu, beberapa laluan di pusat bandar dilaporkan juga telah ditutup sebelum tengah malam ini.

Selain itu, beberapa sekatan jalan raya yang menghubungkan pusat-pusat bandar juga telah dijalankan sejak petang tadi yang dipercayai bagi melumpuhkan perhimpunan BERSIH 2.0.

Antara laluan berkenaan adalah di Dataran Merdeka dan Stadium Merdeka.

Meskipun keadaan dilaporkan terkawal dengan pengguna kenderaan memberi kerjasama selain mematuhi arahan pihak polis, namun lalu lintas mulai sesak apabila orang ramai pulang dari pejabat.

7 July 2011

BERSIH jangka Sabtu ini perkhidmatan TELCO, Internet diganggu

Kurang 48 jam menjelang perhimpunan BERSIH 2.0, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil mendakwa mereka menerima maklumat bahawa rangkaian telefon mudah alih dan perkhidmatan Internet akan diganggu hujung minggu ini.

Dalam kenyataan media hari ini, jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0 berkata tindakan itu bagi membantutkan perhimpunan berkenaan akan menjadikan pihak berkuasa di negara ini tidak ada bezanya dengan diktator di negara Asia Barat.

“BERSIH 2.0 bimbang dengan sumber risikan bahawa mungkin berlaku gangguan penuh atau sebahagian perkhidmatan Internet menjelang hujung minggu ini.

“BERSIH 2.0 ingin memberi amaran kepada kerajaan persekutuan jika akses rangkaian telefon mudah alih, Internet, perkhidmatan mobile 3G, laman web tertentu atau media sosial diganggu dalam apa cara, maka pihak berkuasa akan kelihatan tidak ada bezanya dengan diktator negara Asia Barat yang menggunakan tindakan seumpama itu tanpa sebarang kejayaan,” katanya.

Jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0 juga berkata segala tekanan, hambatan dan halangan tidak akan mematahkan semangat mereka untuk berhimpun di Stadium Merdeka pada jam 2 petang Sabtu ini.

“Selepas itu, kami akan bersurai dengan aman,” petik kenyataan itu.

Sekiranya lebih banyak halangan dikuatkuasakan, pihak berkuasa akan dilihat sebagai terdesak bagi menghalang pilihan raya yang bersih dan adil di negara ini.

KOMEN: TELAH JELAS HIMPUNAN INI NAK RAMPAS KUASA!!!!

6 July 2011

Tuahnya Musa Aman

Datuk Seri Musa Aman dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah pada 4hb March 2004, mengambil-alih dari Tan Sri Chong Kah Kiat yang mewakili kaum Cina setelah tempohnya selama 2 tahun tamat mengikut sistem penggiliran ketua Menteri Sabah yang diperkenalkan BN pada 1994.

Semasa menjadi Ketua Menteri Sabah, Chong Kah Kiat adalah pelobi utama dan penyokong kuat Musa Aman untuk dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah yang baru. Presiden LDP itu beberapa kali mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir meyakinkan PM bahawa Musa adalah calon yang paling layak menggantikan Datuk Osu Sukam.

Pada ketika itu kegiatan melobi jawatan pengerusi perhubungan begitu sengit. Terdapat satu kumpulan yang diketuai Datuk Karim Ghani, Ketua Penerangan UMNO ketika itu menemui Tun Mahathir dengan memorandum yang ditandatangani 16 daripada 25 ketua UMNO Sabah meminta bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak dilantik semula sebagai Pengerusi UMNO Sabah.

Saya masih ingat peristiwa yang berlaku awal tahun 2001, di Nexus Karambunai Resort, dalam satu majlis yang dihadiri Tun Mahathir, Datuk Rizalman Abdullah dan Datuk Sairin Karno dan beberapa orang lagi melobi dan meminta tandatangan daripada ketua-ketua bahagian UMNO untuk menyokong Salleh Said.

Chong Kah Kiat adalah seorang yang komited bila menyokong seseorang. Beliau telah melantik Musa kejawatan terkanan dalam kabinet sebagai Menteri Kewangan sebaik saja menjadi KM Sabah menggantikan Osu Sukam. Manakala Salleh dilantik sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Perlantikan Musa memperkuatkan lagi kedudukannya. Akhirnya Musa dipilih sebagai Pengerusi Perhubungan Sabah yang baru pada September 2001.

Setelah dilantik sebagai Ketua Menteri, Musa melantik Chong Kah Kiat sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah. Manakala Salleh Said digugurkan daripada senarai calon DUN Sabah pada pilihan raya 2004. Salleh bertanding untuk kawasan parlimen Kota Belud selama satu penggal sahaja. Pada pilihan raya tahun 2008, Musa menggugurkan nama Salleh dan memilih Dato Rahman Dahlan sebagai calon parlimen Kota Belud.

Musa Aman adalah pemimpin politik yang amat bertuah dalam sejarah BN Sabah. KM sebelumnya, Tun Sakaran (8 bulan), Salleh Said (18 bulan), Yong Teck Lee (24 bulan), Tan Sri Bernard Dompok (8 bulan), Osu Sukam (24 bulan) dan Chong Kah Kiat (24 bulan).

Jika ditinjau semula, orang yang sebenarnya membawa tuah kepada Musa Aman ialah Tan Sri Chong Kah Kiat. Selain memberi sokongan peribadi yang padu kepada Musa Aman, Chong Kah Kiat sebagai Pengerusi BN Sabah telah membuat kerja-kerja politik yang memudahkan tugas Musa Aman setelah beliau menggantikannya.

Kejayaan terbesar Chong Kah Kiat ialah kejayaannya memujuk parti pembangkang, PBS untuk menyertai semula BN. Pada 15 Nov 2001, atas usaha Chong Kah Kiat, Majlis Tertinggi PBS yang diketuai Tan Sri Pairin menyerahkan permohonan masuk BN kepada Tun Mahathir. Pada 23 Januari 2002, secara rasminya PBS telah diterima sebagai anggota BN Sabah.

Dengan kemasukan semula PBS, Musa yang menjadi KM Sabah tidak lagi menghadapi cabaran politik. Cabaran Musa hanya untuk memperkuatkan kedudukan politiknya. Dan tuah terus menyebelahi Musa setelah berlaku perubahan kepimpinan di peringkat Pusat, Datuk Seri Abdullah Badawi menggantikan Tun Mahathir.

Dasar Penggiliran KM Sabah dimansuhkan atas dua alasan. Pertama, parti pembangkang tidak ujud di Sabah. Kedua, dasar itu adalah janji peribadi Tun Dr Mahathir dan bukannya dasar BN yang kekal. Sekali lagi TUAH memihak kepada Datuk Musa Aman.
(Seperti dipetik daripada blog sekaliketuk.blogspot.com)

5 July 2011

Nasib baik himpunan bersih di stadium-kalau tidak benda2 ini berakibat buruk

Sebahagian Senjata Tajam dan baju Bersih berjaya disita Polis.
Berpekik lah sekuat hati, sehingga suara hilang. Bawa benda2 ini sama, lantak lah kau orang sendiri-sendiri.

Himpunan Bersih diteruskan- Tapi Dalam Stadium


Selepas Ambiga dan AJK Penganjur Himpunan Bersih menghadap SPB Agong sebentar tadi, akhirnya Himpunan Bersih diteruskan, akan tetapi diadakan di Stadium tertutup.

Rampasan BOM: Nampak gaya: Bersih Telah siap melakukan hura-hara

Polis merampas 20 bilah parang, 36 botol bom petrol dan sejumlah bebola besi dalam serbuan di belakang tokong Cina di Batu 14, Jalan Gombak Lama dekat Shah Alam, malam semalam.

Utusan Malaysia Online dalam laporannya menyebut rampasan itu disyaki berkaitan perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Sabtu ini.

Akhbar itu memetik Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Hamzah berkata, taktik digunakan oleh mereka terlibat sama dengan golongan komunis semasa zaman darurat.

Dalam serbuan itu, polis turut menemui 44 baju T berlambang BERSIH 2.0 dan sejumlah lilitan kepala berwarna merah serta kuning yang semuanya disimpan di dalam lima buah beg pakaian dan dua beg plastik.

Sabtu lalu ahli parlimen Sungai Siput Dr D Michael Jeyakumar dan lima anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) ditangkap semula di bawah Ordinan Darurat (EO).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakarberkata penahanan itu adalah kerana mengikut maklumat awal, mereka dikatakan terbabit dengan pihak dari luar negara dan telah diresapi anasir subversif.

3 July 2011

Ada merit kah Musa Aman jadi Pengerusi GSKBS?

Hanya kerana berjawatan Ketua menteri dan Pengerusi Umno Sabah, maka Musa Aman dilantik sebagai Pengerusi GSKBS!!

Apa kah perlantikan ini untuk selama-lamanya atau hanya pada saat sekarang?

Apa kah perlantikan ini ada tujuan politik? atau kah memang 13 persatuan itu perlukan Musa Aman sebagai pemimpin?

Pada hari Rabu minggu lalu, sebanyak 13 persatuan suku kaum bumiputera Sabah yang menggelarkan diri mereka sebagai Gabungan Persatuan Suku Kaum Bumiputera Sabah atau GSKBS telah mengadakan kunjungan hormat terhadap KM Sabah Datuk Seri Musa Aman. sebagai Pengerusi GSKBS.

13 persatuan kaum itu terdiri dari Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah atau USBO, Persatuan Bangsa Brunei, Persatuan Sama Sabah (PSS), Persatuan Kedayan, Persatuan Ubian, Persatuan Kebudayaan Rungus, Persatuan Murut Sabah (PMS), Persatuan Tabilong, Persatuan Bugis, Persatuan Irranun, Persatuan Bangsa Sungai, Persatuan Kedayan dan Persatuan Lundayeh.

2 July 2011

Persepsi rakyat terhadap PRU-13

Hanya persepsi. Kadang-kadang persepsi jadi kenyataan. Tahun 2008, tiada yang percaya, bahawa Selangor, Pulau Pinang dan Perak jatuh ketangan Pembangkang. Ramai yang beranggapan masa itu, Kedah bakal jatuh dan Kelantan BN terus gagal merampasnya. Namun persepsi masa itu, kawasan-kawasan pantai barat semenajung akan dikuasai pembangkang; kecuali Johor.

Selepas keputusan PRU itu, ternyata Selangor, Wilayah, Pulau Pinang,Perak dan Kedah dikuasai Pembangkang. Sementara Negeri Sembilan, DUN BN kehilangan 2/3.

Pembangkang terasa kehadirannya di Johor, sementara di Melaka, juga demikian.

Pada kali ini, jika PRU-13 diadakan pada masa kini, persepsi rakyat, bahawa semua negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung akan dikuasai oleh Pembangkang, kecuali Johor dan Melaka. Manakala,Kelantan akan tetap dikuasai Pembangkang. Sementara Pahang akan terus bersama BN kerana faktor DS Najib, seementara Terengganu, rakyat Terangganu, belum mahu mengulangi pengelaman negeri tersebut semasa diperintah oelh Pas.

Jika melihat jumlah perolehan kerusi yang di menangi BN di semenanjung pada PRU-12: Umno-66, MCA-15, MIC-3 dan Gerakan-2; persepsi kini; Umno masih dapat memperatahankan jumlah kerusi tahun 2008, manakala MCA akan kecendung semua kerusi, demikian juga Gerakan, sementara MIC masih boleh menang di 3 kawasan yang ditandinginya. Dengan keputusan tersebut, UBN akan mendapat jumlah kerusi keseluruhan di Semenanjung sebanyak 69 kerusi berbanding Pakatan 97.

Sementara di Sarawak, jika diambilkira keputusan PRN Sarawak April lalu, Bn akan menguasai 19 kerusi; sementara di Sabah berasaskan persepsi terkini, daripada 25 kerusi parlimen, BN akan menang 17 kerusi. Jumlah keseluruhan kerusi parlimen UBN hanya sebanyak 67+19+17=103 berbanding Pakatan 119.JIKA persepsi ini menjadi kenyataan, maka untuk pertama kali dalam sejarah dewan rakyat negara, bahawa ahli parlimen kaum melayu dan bumiputera menjadi pembangkang terbanyak. Dengan itu juga, berakhirlah penguasaan UMNO dan BN sebagai pemerintah negara.

Bagi penyokong UBN hanya mampu berdoa agar supuya persepsi ini tidak menjadi kenyataan.

1 July 2011

Skandal Projek bekalan Air KPLW di Sabah terbongkar

Sabahkini.net menulis artikel berikut yang mengkesahkan skandal pemberian dan kos projek bekalan air di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, di mana Menterinya adalah Naib Presiden Umno dan wakil rakyat Semporna-Datuk Seri Safie Apdal.

OKB Copy and fetch artikel tersebut seberikut:

KEMENTERIAN Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) disifatkan bukan sahaja mempunyai menteri yang tidak berwibawa, malah diperkudakan oleh Pegawai Kanan yang tidak amanah sehingga membazirkan begitu banyak dengan wang kerajaan melalui ‘Skandal Variation Order’.

Timbalan Ketua Penerangan Pemuda AMK PKR Sabah, Citra Masadi, beliau mendapat maklumat yang dipercayai sahih, bahawa Timbalan Ketua Setiausaha (Sosio-Ekonomi) KKLW, Timbalan Ketua Setiausaha (Sosio-Ekonomi), Dato' Haji Yussof Bin Dohab telah bersekongkol dengan Juruperunding Kanan bernama Azmi untuk memanipulasi spesifikasi kontrak sehingga mendorong kerajaan terpaksa melakukan ‘Arahan Perubahan’ (Variation Order) untuk melonjakkan harga kontrak ketika kontrak separa siap.

“Saya tidak tahu bagaimana KKLW boleh melantik Juruperunding yang mempunyai rekod buruk iaitu ketika menyelia Projek Mini Putrajaya di Sabah yang menyebabkan berlaku kecatatan apabila hampir kesemua jubin dinding jatuh,” kata Citra yang menegaskan bahawa Azmi sebelum ini adalah Jurutera Kanan Panji Keagungan Berhad.

Panji Keagungan Berhad kata Citra, telah menjalankan banyak projek termasuk Cadangan Membina Kompleks Bangunan Gunasama Persekutuan (Fasa 1) pada 1 November 2001 bernilai RM 27,911,000 (JPPS) dan Cadangan Membina Kompleks Bangunan Gunasama Persekutuan (Fasa II) pada 12 September 2002 bernilai RM288,018,173.30 (JPPS).

Menurut Citra, mendapat maklumat dalaman bahawa salah satu tender iaitu KKLW.T 83/2011 bagi Projek Sistem Bekalan Air Mukim Tulid/ Lanas/ Sook, Sook, Negeri Sabah dimaklumkan akan diberikan kepada sebuah syarikat daripada Sarawak yang menawarkan harga yang tidak berpatutan dan tidak mempunyai rekod kerja yang baik.

Tender berkenaan ditutup pada 7 Jun 2011 yang lalu bersama tender-tender lain iaitu KKLW.T.76/2011bagi Projek Menaiktaraf Sistem Bekalan Air Kanibongan, Pitas, Negeri Sabah; KKLW.T.77/2011 bagi Projek Sistem Bekalan Air Mukim Tambuluran, Matunggong, Negeri Sabah; KKLW.T.78/2011 bagi Projek Sistem Bekalan Air Mukim Bengkongan, Kota Marudu, Negeri Sabah; KKLW.T.79/2011 bagi Projek Sistem Bekalan Air Mukim Timbua, Ranau, Negeri Sabah; KKLW.T.80/2011 bagi Projek Sistem Bekalan Air Graviti Mukim Keranaan, Ranau, Negeri Sabah; bagi KKLW.T.81/2011 bagi Projek Sistem Bekalan Air Di Kg. Maligan, Sipitang, Negeri Sabah; KKLW.T.82/2011 bagi Projek Sistem Bekalan Air Graviti Kg. Long Pasia, Sipitang , Negeri Sabah.

Tegas Citra, Azmi dan Yusof merupakan mantan pegawai JPPS yang pernah bertugas di Sabah sebelum Jabatan berkenaan dimansuhkan atas bantahan kuat daripada Kontraktor Pro-UMNO sehingga diambilalih oleh Jabatan Pembangunan Negeri Sabah.

Sehubungan itu, Citra menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan yang telus berhubung pemilihan tender berkenaan agar tidak diberikan kepada kroni dan proksi menteri atau pemimpin tertentu yang mencari modal sebagai persediaan untuk bertanding pada pilihanraya umum akan datang.

“Siasatan tersebut tidak sahaja tertumpu kepada Skandal Variation Order, malah bagaimana Azmi boleh dilantik sebagai Juruperunding Penyelia Projek KKLW sedangkan beliau mempunyai rekod yang buruk sebelum ini,” kata Citra yang mendesak agar Menteri KKLW meletakkan jawatan sekiranya gagal membersihkan KKLW daripada sampah sarap JPPS.

Dalam hal ini, kata Citra, Ketua Setiausaha KKLW, Dato' Ibrahim Bin Mohamad sewajarnya bertanggung jawab kerana beliau sebagai Pegawai Pengawal Kewangan KKLW kerana berlaku kebocoran yang begitu ketara kerana harga projek dinaikkan sehingga 70 peratus daripada kos kontrak sebenar.

Himpunan Bersih adalah himpunan politik

Himpunan Bersih yang bakal berlangsung pada 9 Julai adalah perhimpunan politik. Perkara terbukti apabila wujudnya banyak pemimpin Pembangkang dalam barisan jawatankuasa penganjurnya. Selain itu, kesungguhan parti Pembangkang mengerahkan anggota dan penyokong masing-masing supaya turun ke jalan raya pada hari berkenaan.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan memberitahu anggotanya bahawa beliau akan meminta bekas presiden Majlis Peguam, yang juga pengerusi jawatankuasa penganjur perhimpunan haram itu, Datuk S. Ambiga membatalkannya jika kerajaan bersetuju memenuhi tuntutan kumpulan pengacau berkenaan.

Bagaimanapun, pada hari berikutnya, apabila Ambiga dilaporkan berkata beliau tidak akan mempedulikan kenyataannya itu, Anwar mendakwa beliau telah disalah petik oleh media berhubung perkara tersebut.

Berikutan episod itu, mungkin sesetengah pihak beranggapan bahawa Anwar tidak mempunyai kuasa untuk mengawal keadaan, tetapi ada pula kelompok yang melihatnya sebagai suatu cubaan oleh kedua-dua pihak untuk mengawal kerosakan bagi mengelak orang ramai daripada mengubah pandangan mereka terhadap peranan tersembunyi yang dimainkan oleh PKR.

Bagaimanapun, hakikat yang tidak boleh diubah ialah Anwar telah membayangkan kepada media yang beliau boleh meminta Ambiga membatalkan rancangan untuk mengadakan perhimpunan haram itu sekiranya Barisan Nasional (BN) bersetuju mengadakan pilihan raya secara bebas dan adil.

Ini sudah pasti menimbulkan keraguan tentang dakwaan pengerusi jawatankuasa penganjur perhimpunan itu bahawa ia bukan perhimpunan bersifat politik, tetapi semata-mata diadakan untuk memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya secara bebas dan adil.

Perhimpunan haram kali kedua diadakan selepas perhimpunan pertama anjuran pihak yang menggelarkan diri mereka Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 2007, merupakan tindakan populis yang berasaskan politik.

Walaupun pengerusinya adalah bekas presiden Majlis Peguam, tapi mereka yang membarisinya diketahui umum mempunyai kaitan dengn parti politik, terutama parti pembangkang. Mereka terkenal kerana gemar menimbulkan isu melalui pendekatan populis untuk mempersoalkan tentang hak serta kebebasan, tetapi akhirnya menyalahkan pihak lain, dalam dalam kes ini, SPR.

Rakyat akan melihat jika himpunan haram ini diteruskan juga orang ramai akan memerhati siapa yang akan menyertainya.

Perhimpunan Bersih ,berbeza dengan Hindraf kerana perhimpunan yang diadakan pergerakan itu pada 2007 hanya melibatkan satu kumpulan. Tapi, perhimpunan yang akan diadakan ini dirancang supaya melibatkan pelbagai kaum dan sudah tentu ia akan memberi isyarat berbeza. Oleh itu, bagaimana kerajaan bertindak dan memberi reaksi terhadapnya amat penting kepada majoriti rakyat.

Selian itu, orang ramai akan memerhatikan siapakah yang akan mengiringi Ambiga apabila beliau menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong kelak.Adakah pemimpin Bersih atau ahli politik?.

Kenyataan Anwar bahawa "beliau boleh berbincang mengenainya" memberi tanggapan kepada orang ramai bahawa pakatan pembangkang yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS mempunyai pengaruh besar terhadap bekas presiden Majlis Peguam itu.

Malah, Makkal Sakti, yang anggotanya mengambil bahagian dalam perhimpunan haram Hindraf pada 2007 dan cuba melancarkan kempen membantah novel Interlok pada awal tahun ini, tidak berupaya mempengaruh orang ramai supaya berhimpun di jalan raya untuk mengadakan tunjuk perasaan.Ada lah tidak masuk akal jika perhimpunan tersebut tidak didalangi pembangkang.

Seperkara yang perlu dimabilkira ada lah kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu memberi jaminan bahawa kira-kira 100,000 anggota dan penyokong parti itu akan menyertai perhimpunan haram berkenaan, yang beliau sifatkan sebagai "Berjalan Untuk Demokrasi", manakala presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula meminta semua anggota PAS (berjumlah kira-kira sejuta orang) supaya menyertainya.

Parti pembangkang lain seperti DAP dan PKR juga berikrar akan menyokong perhimpunan haram itu, malahan Kerajaan Selangor membantu dari segi kewangan.

Ini dengan jelas menunjukkan bahawa ia adalah perhimpunan Pakatan. Perlu diingat bahawa secara peribadi, Ambiga tidak akan berupaya mempengaruhi walaupun 10 orang untuk menyertai perhimpunan itu, jika bukan kerana peranan Pakatan.

Dalam perkembangan lain Pemimpin Hindraf P. Uthayakumar dilaporkan berkata anggota pertubuhan itu tidak akan menyertainya kerana gabungan parti pembangkang yang menggelarkan diri mereka sebagai "Pakatan Rakyat" tidak memberi sokongan terhadap tuntutan 18 perkara mereka pada 2007.

Uthayakumar, yang pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), berkata suatu ketika dulu, pergerakan itu menyokong Pakatan kerana ia tidak mempunyai pilihan daripada segi politik, tetapi selepas Pilihan Raya Umum 2008, keadaan menjadi semakin jelas bahawa gabungan parti pembangkang itu hanya mahukan undi kaum India dan tidak berminat untuk memperjuangkan nasib mereka.

Dalam temu bual dengan Bernama, Anggota Parlimen Wangsa Maju peguam Wee Choo Keong berkata Ambiga sepatutnya menyertai parti politik untuk memperjuangkan perkara berkaitan politik dan tidak berselindung di sebalik pertubuhan bukan kerajaan.

Katanya penegasan Ambiga bahawa perhimpunan haram itu akan tetap diadakan di jalan raya dan bukan di tempat tertutup seperti stadium, yang lebih selamat, menimbulkan tanggapan bahawa perhimpunan itu memang didalangi parti pembangkang dengan tujuan untuk mencari momentum politik.

Sebagai contoh, kata Wee, pada 2009, ketika menjadi presiden Majlis Peguam, Ambiga mengadakan jamuan malam untuk anggota majlis itu di hotel JW Marriot dengan mengundang beberapa ahli politik terpilih, khususnya daripada pembangkang.

"Selepas itu, pendedahan dibuat bahawa kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi membelanjakan RM90,000 untuk majlis itu.

"Kenapa mengadakan majlis itu atas nama Majlis Peguam, tanpa mengumumkan bahawa ia ditaja oleh kerajaan," soal Wee.

Mana air bersih kami??? Bukan Bersih Ambiga

Sepatutnya penduduk Kota Belud yang perlu berarak ke Istana Negara, kerana dinafikan haknya bertahun-tahun oleh kerajaan.

Kemudahan manusia seperti air bersih, litrik, jalan raya dan tempat pendidikan adalah perkasa asas yang diperlukan oleh setiap warga negara, sesebuah negara merdeka.

Benar untuk tujuan membasmi buta huruf, sekolah-sekolah didirikan dan tenaga pengajar disediakan sejak awal merdeka.

Litrik masuk kampung bermula tahun 1990, selepas negara merdeka 27 tahun. Jalanraya beraspal juga pada tahun yang sama. Namun air bersih kini belum terlaksana.

Penyakit buah pinggang, penyakit hepitis, salah satu puncanya adalah air. Akibat penduduk yang mengkonsumi air yang tidak terawat, maka ramai penduduk yang terjangkit penyakit-penyakit tersebut.

OKB hanya mendengar khabar daripada wakil rayat Kota Belud, bukan mendengar daripada mulutnya sendiri, tetapi hanya hearsay, bahawa telah tersedia peruntukan daripada KPLW sebanyak 90 juta ringgit, untuk tujuan bekalan air ke kampung-kampung di Kota Belud; akan tetapi pelaksanaan projek itu belum kenampakan di lapangan.

Mungkin pada hari ini, rakyat yang telah cukup segala-galanya akan tujuk perasaan pada 9 julai kerana menunut lebih daripada yang sepatutnya mereka perolehi; sedangkan rakyat yang terseksa bertahun-tahun belum lagi bertindak.

OKB terfikir, jika rakyat yang serba serbi lengkap mahu juga tujuk perasaan untuk menuntut lebih, kenapa pula rakyat yang tertindas tidak melakukan perkara sama?

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels