31 December 2016

Pemimpin Kerjaan Sibuk Berselfpie- Pembangkang Cuba "Win The Heart and The Mind" Rakyat

Sementara pemimpin kerajaan sibuk berselfpie dan bercuti, para pemimpin pembangkang meningkatkan insentitas untuk mendapatkan "the heart and the mind" rakyat.

Isu BR1M difatwakan oleh Tun Dr Mahathir sebagai rasuah dan haram diterima. Isu naik haji tajaan 1MDB, menurut Tun Dr Mahathir mereka yang menunaikan haji melalui tajaan itu, tidak akan mendapat haji mabrur, sebabnya wang yang digunakan sebagai tajaan, bersumber daripada wang yang dicuri.

BR1M merupakan isu yang digunakan Tun Dr Mahathir bagi mempengaruhi rakyat yang menerima bantuan kerajaan itu supaya tidak menganggap bantuan kerajaan itu sebagai sifat keprihatian kerajaan kepada rakyat yang menerima impak rasionalisasi subsidi minyak, sebaliknya pemberian itu, adalah kaedah membeli undi untuk membuatkan penerima BR1M mengundi calon-calon parti Barisan Nasional.

Tun Dr Mahathir dan pemimpin pembangkang, cuba menanamkan perasaan kepada penerima BR1M dan mereka yang ditaja naik haji rasa penyesalan kerana terlibat dosa besar, kerana dipesongkan menerima BR1M dan tajaan naik haji. Manakala, pada rakyat bukan beragama islam, Tun Dr Mahathir dan pembangkang cuba menanamkan perasaan, bahawa menerima BR1M sebagai satu cara membeli itegriti mereka, dan mereka itu termasuk dalam penerima rasuah.

Tujuan Tun Dr Mahathir dan pembangkang adalah untuk “win the heart and the mind of people” khususnya golongan B40, kerana kumpulan itulah merupakan “bank votes” parti Barisan Nasional. Pengalaman Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Parti Barisan Nasional selama 22 tahun, tahu betul, bahawa kemenangan parti Barisan Nasional, sangat terletak pada sokongan B40 atau pengundi luar bandar. 

Rekod pilihanraya tahun 2008 dan 2013 juga menunjukkan, bahawa kemenangan parti Barisan Nasional terletak pada pengundi luar bandar. Untuk itu, bagi Tun Dr Mahathir dan pembangkang, adalah mustahil menumbangkan parti Barisan Nasional, jika mereka gagal mempengaruhi pengundi B40 atau pengundi luar bandar.

Berbagai cara digunakan pemimpin pembangkang, antaranya, kemerosotan nilai ringgit terhadap wang dollar Amerika, kenaikkan harga barangan akibat GST, kejatuhan saham FGV yang merugikan ratusan ribu peneroka Felda, pembelian anak syarikat Felda terhadap saham milik Tan Sri Peter Sondakh, jutawaan Indonesia pada harga 3 kali lebih tinggi berbanding nilai saham syarikat itu, isu 1MDB dan wang derma RM2.6bilion, mengharamkan BR1M serta menjadikan mereka yang naik haji tajaan 1MDB tidak mendapat haji mabrur.

Isu-isu yang dimainkan Tun Dr Mahathir dan pembangkang bertujuan mempengaruhi “the heart and the mind” pengundi bumiputera, kerana hanya kumpulan itu sahaja yang berbaki kepada parti Barisan nasional, kerana golongan kaum cina, sebenarnya sejak tahun 2008 sudahpun berputus arang dengan parti Barisan Nasional.

Melihat kepada cara Tun Dr Mahathir dan pembangkang, sebenarnya bukan memberikan rakyat fakta yang betul, akan tetapi memberikan fakta salah dan berunsur menipu, hanya semata-mata untuk menghalalkan cara, demi tujuan politik. Sebenarnya, Tun Dr Mahathir adalah seorang yang pakar strategis, kerana setiap dakwaan, belumpun berjawab, ditimbulkan lagi isu baru, sehinggakan membuatkan pemimpin kerajaan, senantiasa berada dalam keadaan menjawab dan menjawab. Tujuan kepada cara ini, supaya pemimpin kerajaan, tidak dapat berhujah bernas dan terikut permainan yang dicipta pembangkang.

30 December 2016

Persepsi Rasuah- Bapa Borek Anak Rintik

Pembangkang di Malaysia, meracuni rakyat dengan andaian, kononnya, jika ada projek bernilai RM10juta, maka cara agihan projek itu, RM4juta for me, RM3juta for you dan RM3juta kos projek. Jika projek mitigasi banjir Penampang dan Putatan berkos RM400juta, maka RM160juta for me, RM120juta for you dan hanya RM120juta untuk projek mitigasi. Mereka menyimpulkan, kadar rasuah sehingga 70 peratus, sebab itulah semua projek yang bermatalamat rakyat tidak sampai ke bawah, sebagai contoh kata mereka projek bekalan air bersih luar bandar (BALB) negeri Sabah yang bernilai RM3.3bilion, hanya 30 peratus sahaja sampai di lapangan, sebab itulah masalah bekalan air Sabah tidak selesai.

Pembangkang meracuni rakyat, bahawa kadar rasuah sehingga 70 peratus, kerana kelakuan bapa borek anak rintik, kerana Perdana Menteripun kata mereka terlibat amalan rasuah khususnya yang melibatkan 1MDB dan SRC International.

Pembangkang berjaya mengeksploitasi isu 1MDB dan dana RM2.6bilion, dan kini mereka mempergunakan isu Felda, bahawa kerana amalan rasuah, maka syarikat gergasi itu mengalami kerugian.

Pembangkang benar-benar mengeksplotasi keadaan Felda, sebabnya mereka tahu, bahawa sebanyak 54 kawasan Parlimen terletak di kawasan Felda, dan pada PRU-PRU lalu, kawasan-kawasan itu dimenangi parti Barisan Nasional.

Pembangkang cukup yakin dengan mengekploitasi Felda, dan jika tindakan itu boleh menyebabkan swing votes 5%, maka pembangkang boleh menang sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah kerusi tersebut. Jika itu berlaku, maka tidak dapat dinafikan, bahawa PRU-14, merupakan pengakhir kerajaan Parti Barisan Nasional.

Bagi maksud undi, pembangkang, mempersoalkan BR1M, dan bahawa skim bantuan kerajaan kepada kumpulan sasar itu, merupakan bentuk rasuah dan haram diambil. Mereka mensasarkan, hanya 1-2% daripada penerima BR1M, menyokong pendapat mereka itu bagi melengkapi sasaran swing votes 5% pada PRU-14 akan datang.

Tiada sesiapa yang boleh menafikan, jika melihat kepada keputusan PRU-13 lalu, jika pada PRU-14 berlaku swing votes 5% dan penyokong pembangkang tidak berubah, maka kemenangan akan berpihak kepada parti-parti pembangkang. Namun, keadaan ceteris paribus, tidak semestinya berlaku, kerana setiap PRU, berlainan isu, berlainan pendekatan.

Pemenang pada PRU-14, terletak kepada pihak-pihak yang mampu mengeksplotasi keadaan khususnya yang mempengaruhi fikiran rakyat dalam masa singkat. Faktor-faktor yang dapat mempengaruhi fikiran rakyat, khususntya berkaitan persepsi. Fikir-Fikirkan lah

27 December 2016

Bantuan Untuk Rakyat Susah- Dikatakan Haram dan Rasuah

Mengapa Tun Dr Mahathir benci sangat BR1M, satu bentuk bantuan pada rakyat yang memerlukan, sehinggakan bantuan kerajaan yang dicadangkan Bank Negara itu bagi membantu rakyat yang terkesan rasionalisasi subsidi minyak, dikatakan sebagai rasuah dan haram diterima?

Mengapa Tun Dr Mahathir tidak mengatakan bahawa memberikan projek mega kepada kroni beliau di mana di dalam syarikat kroni itu ada kepentingan anak-anak beliau sehinggakan anak-anak beliau mempunyai kekayaan yang luar biasa adalah rasuah, dan HARAM!!!.

Mengapa bantuan kepada rakyat yang memerlukan dikatakan rasuah dan haram, sedangkan bantuan itu, hanya untuk sambung nafas atau mengurangkan beban, bukanpun boleh menyebabkan rakyat kaya raya!!!!, bantuan BRIM maksima RM1200 setahun, bagi ketua Keluarga yang berpendapatan kurang RM3000 dan yang terdaftar dalam e-kasih, tidak akan menyebabkan keluarga yang menerima bantuan itu kaya raya. Mengapa kumpulan sasar ini dihukum oleh MANUSIA seperti Tun Dr Mahathir??? 

Sebagai mantan Perdana Menteri selama 22 tahun, janganlah mengelirukan rakyat, sebab sebelum inipun, kerajaan memberikan berbagai bantuan kepada kumpulan sasar antara lain warga mas, oku, malah tahun 1999 selepas Terengganu ditawan Pas, Tun Dr Mahathir memberikan wang ikhsan kepada kerajaan Terengganu, dan kerajaan negeri itu memberi bantuan kepada rakyat negeri itu serupa konsep BRIM.

Jangan salah faham berkaitan dengan pemberian BR1M, kerana program ini, bukan bertujuan untuk membasmi kemiskinan, akan tetapi hanya sebagai bantuan mengurangkan beban, akibat peningkatan harga barangan sebagai impak kepada rasionalisasi subsidi.

Memang di antara penerima BR1M ada kumpulan sasar yang termasuk dalam e-kasih, dan sebahagian mereka yang berpendapatan di bawah RM4000 atau menurut istilah kerajaan B40. Tujuan BRIM antara lain bagi maksud keseimbangan pendapatan atau pemerataan pendapatan antara rakyat, juga melalui penyaluran tunai itu, kerajaan menyalurkan semula pungutan cukai daripada rakyat yang bernasib baik kepada mereka yang kurang bernasib baik.

Sebenarnya, penyaluran tunai kepada kumpulan sasar seramai 7 juta penerima BR1M, merupakan satu peluang keemasan bagi pengeluar barangan di negara ini, kerana, telah terjamin sekurang-kurangnya barangan bernilai lebih RM6.8bilion mempunyai pembeli. Bayangkan pengaruh berganda daripada wang lebih RM6 bilion itu? 

Konsep BR1M memang jauh berbeza dengan cara Tun Dr Mahathir melalui dana premtive semasa beliau berkuasa, kerana cara mantan Perdana Menteri itu, hanya menguntungkan sebahagian kecil rakyat, yakni kontraktor.

26 December 2016

Jangan Hanyut Permainan Lim Kit Siang

Lim Kit Siang menyeneraikan 40 “soalan” yang dimuat naik pada blog pemimpin DAP itu yang ditujukan khas kepada Datuk Dr Salleh Tun Said, sebenarnya satu permainan mengalih pandangan, daripada masalah utama yang didepani para pemimpin parti pembangkang, khususnya Lim Guan Eng (rasuah), Tan Sri Muhiyiddin Yassin (hubungan dengan isteri orang) , Datuk Shafie Apdal (water gates Sabah) dan skandal Seks Anina Shaduddin. Selain itu, perbalahan berkaitan kedudukan siapa bakal Perdana Menteri Pakatan Harapan/pembangkang, seandainya menang pilihan raya ke-14.

Kalau diamati “soalan-soalan” itu, sebenarnya, bukanpun soalan, kerana apa yang ditimbulkan, sebenarnya sudah menjadi pengetahuan umum/rakyat, malah kebanyakan perkara yang ditimbulkan, Kit Siang sendiri tahu duduk perkaranya. kedudukan Kit Siang, seperti kata peribahasa sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula.

Adalah biasa, apabila seseorang dalam kedudukan tidak menentu atau ketandusan idea atau terkena snok tanjung, khasnya berhubungan dengan kenyataan pemimpin utama DAP itu berkenaan dengan kedudukan Perdana Menteri dengan menamakan Dato Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya adalah Tan Sri Muhiyiddin Yassin, jika kelak, pembangkang menang PRU-14, mendapat maklum balas negatif daripada pemimpin pembangkang khususnya daripada Tun Dr Mahathir dan Rafizi Ramli. Bagi mengelabui mata rakyat, berhubungan dengan kenyataan Kit Siang itu, maka beliau melakukan pendekatan “damage control” dengan menjadikan Datuk Salleh sebagai “punching bag” , supaya Menteri Komunikasi dan Multimedia itu terhilang fokus daripada memberi penjelasan kepada kecaluran pembangkang, kepada perkara-perkara lain yang seharusnya, bukan perkara pokok, akan tetapi perkara-perkara yang sudah jelas di mata rakyat.

Kit Siang, merupakan pemimpin politik berpengalaman, jika seseorang ahli politik, tidak mengamati betul tindak tanduknya, maka akan terperangkap. 

Memang benar, melayan atau menjawab “persoalan-persoalan” yang ditimbulkan Kit Siang hanya membuang masa, dan tidak mempunyai impak apa-apa. Melayan, kenyataan pemimpin DAP, bagaikan menabur garam ke laut.

BRIM Haram? BRIM Rasuah?

Kenyataan di atas merupakan kenyataan Tun Dr Mahathir. Kenyataan itu, bercampur aduk antara pendekatan agama dan moral.

Pihak yang pandai agama, perlu menjawab atau menghuraikan, bagaimana hukum BRIM? daripada segi apa ianya boleh menjadi haram? Kemudian, daripada segi SPRM, bagaimana BRIM menjadi rasuah?

BRIM di mata kerajaan, adalah cadangan Bank Negara, sebagai tindak balas kepada rasionalisasi subsidi minyak, kerana akibat pengurangan itu, maka pihak-pihak pembekal dan peruncit menaikkan harga barangan mereka, walaupun minyak bukanlah faktor atau komponen utama penentuan harga barangan.

BRIM diberikan kepada ketua keluarga yang berpendapatan sehingga RM4 ribu sebulan termasuk kumpulan B40 atau mereka yang terdaftar dalam e-kasih.

Memang, ada sahaja penerima yang menyalah gunakan BRIM, khususnya mereka yang berniaga sendiri, yang tiada pendapatan tetap yang berdaftar pada lembaga Hasil Dalam Negeri, misalnya broker-broker hartanah atau pemborong-pemborong di mana kalau dilihat di mata kasar, tidaklah layak menerima BRIM, kerana selain mempunyai harta juga hidup dalam keadaan mewah. Mungkin dalam kategori ini, jatuhnya BRIM sebagai haram.

Manakalah “rasuah” pula, mungkin disebabkan oleh tindakan pemimpin tertentu yang menguar-uarkan pemberian BRIM, sebagai polisi kerajaan yang membantu rakyat golongan sasar, sehinggakan, cara itu diterjemahkan sebagai rasuah oleh pihak-pihak tertentu, kerana pemberian itu dianggap sebagai membeli sokongan, sedangkan konsep atau tujuan asal BRIM itu adalah untuk mengurangkan beban rakyat akibat rasionanlisasi subsidi.

Kini, BRIM, sudah ditingkatkan pengertiannya, bahawa BRIM boleh menggerakkan perekonomian luar bandar, kerana daya beli rakyat luar bandar meningkat, akibat BRIM. Malah sudah ada yang membandingkan, antara tindakan premtive yang dilaksanakan oleh Tun Dr Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri, yang hanya menguntungkan sebahagian kecil kontraktor.

BRIM kalau dianalisa dengan fikiran yang baik, sebenarnya salah satu mekanisme perekonomian sesebuah negara, di mana cara itu termasuk dalam perbelanjaan kerajaan. Memang telah biasa kita ketahui, bahawa pebelanjaan kerajaan itu antara lain melalui projek-projek, atau melalui pemberian subsidi, hanya cara itu diberikan secara tidak langsung kepada kumpulan sasar, akan tetapi dilihat daripada segi impaknya, manakala BRIM diberikan secara langsung kepada kumpulan sasar, supaya penerima boleh membuat keputusan sendiri, membeli barangan keutamaan mereka.

DS Najib Razak mengembangkan atau memperluas pengertian perbelanjaan kerajaan, daripada cara konvensional sepertimana biasa dipraktikkan, kepada cara pendekatan baru yang boleh membawa kepada impak yang pantas. Akibat impak yang pantas itu, maka orang politik khususnya yang menentang kerajaan tidak dapat menerimanya, kerana penerima BRIM cukup mudah menilai bahawa kerajaan cukup responsif terhadap masalah yang dihadapi kumpulan sasar. Pada kedudukan inilah, timbulnya cemburu, kerana kerajaan termasuk pemimpinnya mendapat maklum balas positif daripada penerima, manakala pembangkang tidak. Atas sebab itulah, bagi melonggarkan tindakan positif penerima kepada kerajaan, maka pemimpin pembangkang seperti Tun Dr Mahathir, membuat kenyataan politik, bahawa BRIM itu HARAM dan RASUAH.

7 April 2016

Penutupan Perdagangan Laluan Laut Pantai Timur Sabah

Kabinet Sabah sebulat suara menghentikan serta merta perdagangan laluan laut di kawasan Pantai Timur Sabah, atas sebab keselamatan.

Sebenarnya, sejak tahun 2013, sebaik sahaja serangan pengganas Sulu di Kg Tanduo, Lahad Datu, penulis kerap sekali menulis dan mencadangkan, agar perdagangan laluan laut di Pantai Timur Sabah dihentikan, sebagai cara untuk menghalang tindakan penculikan oleh kumpulan penculik daripada Selatan Filipina.

Perdagangan laluan laut bagi kawasan itu, termasuk sistem barter trade antara dua wilayah, namun ianya juga merupakan punca ketirisan di pihak Malaysia, khususnya berkaitan komoditi bersubsidi, seperi gas LPG, minyak masak, beras, diesel dan petrol, selain komoditi makanan seperti tepung.

Setakat ini, belum ada data statistik yang diterbitkan, keuntungan komparatif bagi Sabah dalam sistem perdagangan barter trade atau perdagangan laluan laut. Apa yang kerap didengar, adalah banyaknya diesel/petrol bersubsidi yang berjaya disita selain tong-tong gas LPG. Malah, di kawasan Tawau, pembeli gas LPG perlu menunjukkan My Kad, bagi membeli gas memasak tersebut.

Sebenarnya, perdagangan laluan laut antara Selatan Filipina dan Tarakan, menyumbang kepada kenaikan harga barangan keperluan asas bagi rakyat di kawasan itu, disebabkan faktor permintaan dan penawaran. Barangan yang sepatutnya untuk rakyat kawasan itu berkurangan, atas sebab sebahagian besar di hantar ke negara jiran. Melalui kaedah demikian, maka peruncit mengambil kesempatan menaikan harga. 

Oleh kerana keputusan Kerajaan Negeri bermula daripada semalam, bahawa seluruh aktiviti perdagangan laut dihentikan serta merta, maka dengan sendirinya, barangan keperluan asas, bagi rakyat kawasan itu, akan stabil, malah harga jualan akan terdorong untuk turun. 

Tindakan Kerajaan negeri menghentikan aktivti perdagangan melalui laut sebenarnya mempunyai matalamat serampang dua mata. Pertama untuk mengelak penculikan dan kedua menghalang peyeludupan barangan ke luar atau masuk seperti gas LPG, diesel dan petrol, juga pendorong kepada kestabilan harga barangan keperluan asas.

Tindakan kerajaan Negeri Sabah, memberhentikan perdagangan laut di kawasan Pantai Timur Sabah, sebenarnya satu tindakan yang ditunggu-tunggu, dan seharusnya disokong penuh.

3 April 2016

Taktik Baru Culik Di Pantai Timur Sabah

Rupanya, penculik lebih cepat mengubah taktik berbanding pengawal keselamatan. Intro pada 28 Mac 2016, apabila 10 rakyat Indonesia diculik di laut di kawasan Selatan Filipina/Pantai Timur Sabah, tidak membawa kepada perubahan taktik pasukan keselamatan, sehingga pada jumaat petang empat rakyat Malaysia turut diculik dengan keadah yang sama.

Pada Jumaat petang di sekitar Pulau Ligitan, antara pukul 6.15-6.30 petang, setengah jam sebelum perintah berkurung, kapal tunda Massive 6 yang didaftarkan di Malaysia dipintas 8 penculik dengan menggunakan perahu laju, di mana penculik hanya memilih rakyat Malaysia seramai empat orang, yang kemudiannya dikenal pasti sebagai Wong Teck Kang, 31, Wong Hung Sing,34, Wong Teck Chii,29, dan Johanny Lau Jung Hien,21. Teck Kang dan Teck Chii dipercayai adalah adik-beradik. Kesemua rakyat Malaysia itu berasal daripada Sibu, Sarawak.

Semasa Massive 6 dipintas, kapal tunda itu sedang belayar ke Samarinda Indonesia untuk memuat arang batu tujuan Filipina, selepas menghantar kayu balak ke Filipina. 

Sebelum ini, taktik penculik, menculik daripada darat atau tempat-tempat pelancongan atau kolam-kolam ikan, namun taktik baru penculik adalah mengambil jalan mudah, dengan menyerang kapal yang lalu lalang di kawasan tersebut.

Berkaitan dengan penculikan terbaru, belum dipastikan, apa kah ianya berlaku di kawasan negara, atau perairan antarabangsa. 

Meskipun asset dan pengawal Pantai Timur Sabah melalui Esscom/Esszone diperkuat dan diperketat, namun, perubahan taktik penculik, menyebabkan berlakunya penculikan baru.

Sebenarnya taktik menculik ala sebegini, satu ketika merupakan modus operandi penculik Somalia, di kawasan laut Afrika, satu masa lalu. Rupanya taktik itu disalin atau dicontohi penculik daripada Selatan Filipina. 

Melihat kepada keadaan ini, sebelum lebih ramai menjadi mangsa, dua pendekatan perlu dilakukan. Pertama setiap kapal dagang yang bertujuan melayari kawasan itu, perlu disertai pasukan bersenjata atau perdagangan di kawasan itu, perlu dihentikan sama sekali.

2 April 2016

Apa Kah Pembangunan Kota Belud Di Sabotaj?

Apa kah pembangunan Kota Belud di sabotaj? Penulis ingin membawa peristiwa-peristiwa yang berlaku sejak tahun 2008. Pertama berkaitan dengan pembinaan empangan Tambuton. Pembinaan empangan itu bertujuan untuk memenuhi keperluan jelapang padi Kota Belud juga sebagai sumber air bersih bagi penduduk Kota Belud dan Kota Marudu, terpaksa dibatalkan, hanya protes daripada penduduk kampung, dan kemudiannya diapi-apikan oleh pembangkang termasuk Lim Kit Siang.

Kedua pelaksanaan Agropilitan Kampung Pintasan. Nampaknya projek itu, tidak akan lepas landas, atas sebab, kawasan itu telahpun dimasuki rakyat yang bukan berasal daripada kampung itu, dan mereka membina rumah-rumah tetap.

Ketiga, penyelesaian Bekalan Air Besih Luar Bandar (BALB). Walaupun kos yang dibelanjakan lebih RM100juta bermula tahun 2011, namun sehingga kini jangkaun bekalan air bersih bagi 95 peratus penduduk Kota Belud tidak menjadi kenyataan. Sebabnya, hanya kecil, ada penduduk kampung tidak membenarkan sambungan paip melintasi tanah mereka. Melalui tindakan itu, maka bukan sebuah kampung, malah ada beberapa buah kampung-kampung tergendala menikmati BALB.

Keempat, peruntukan Dun. Ada sebahagian peruntukan Dun kawasan tertentu terpaksa ditarik balik, kerana kelemahan pentadbiran. Kota Belud mempunyi tiga DUN, Usukan, Tempasuk dan Kedamaian. Dikhbarkan peruntukan DUN itu terpaksa ditarik balik, kerana ketidak cekapan kakitangan yang mengurus peruntukan itu. Oleh kerana ditarik balik, maka rakyat yang memerlukan peruntukan itu yang menjadi mangsa.

Kelima peruntukan Parlimen. Khabarnya keadaan sama juga berlaku, kerana kelemahan pentadbiran, akhirnya ratusan ribu peruntukan parlimen terpaksa ditarik balik. Impaknya sama, rakyat yang memerlukan menjadi mangsa.

Kegagalan merealisasikan peruntukan apakah melalui peruntukan DUN atau Parlimen, tidak boleh diletakan kepada wakil rakyat yang berkenaan, kerana mereka bukan yang mengurus berkaitan pelaksanaan. Wakil rakyat hanya bertugas membawa peruntukan. Pelaksanaan, direaliasaikan oleh pihak pentadbir.

Persoalannya, mengapa soal-soal pentadbiran menjadi penghalang kepada perealisasian peruntukan DUN dan Parlimen? Apa kah ada tangan-tangan ghaib yang terlibat? Jika ada tangan-tangan ghaib yang terlibat, maka ianya satu tindakan menghalalkan cara, kerana sepatutnya, rakyat dibela, tidak mendapat pembelaan, akan tetapi terbantut oleh satu permainan jijik?

22 January 2016

Bn Sabah: Fokus Kepada Bukan Bumiputera Islam Dan Cina- Tindakan Undur Ke Belakang

Bagi mereka yang mengalami pemerintahan Sabah daripada Tahun 1985-1994, benar-benar merasakan, satu kepiluan, apabila kerajaan yang ada sekarang, kembali fokus kepada kaum bumiputera bukan islam dan kaum cina.

Bumiputera islam, secara umunya pada masa kini merasakan, bahawa perjuangan asal Bn yang bermula sejak Tahun 1991 semasa kemasukan Umno ke Sabah, mulai terlupakan, sebabnya, mereka yang mendapat peluang dan pembelaan adalah mereka-mereka yang sebelumnya ditentang, kerana tindakan mereka yang mengenepikan kaum bumiputera islam.

Lihat sahaja, di jabatan-jabatan kerajaan, atau agensi-agensi kerajaan, majoriti mereka yang berkhidmat pada period yang disebutkan, masih mempunyai kuasa pentadbiran, malah menjadi pencatur kepada pemerintahan negeri. Demikian juga, yang mendapat peluang melaksanakan projek-projek mega, pemain di belakang syariakt-syarikat itu adalah yang mereka mendapat peluang pada pemerintahan lalu.

Kelibat mereka ini, bukan sahaja berani mencabar, akan tetapi berani mempersoalkan kedudukan Umno, walaupun parti tunjang kerajaan itu, melupakan apa yang diperlakukan parti pemerintah sebelum itu.

Para pemimpin seperti Bernard G Dompok, Madius Tangau, Wences Anggang serta para pemimpin PBS merupakan para pemimpin yang bertindak sinis  kepada kaum bumiputera bukan islam semasa mereka berkuasa. Demikian juga mereka yang sekaum yang berkhidmat dengan kerajaan, pada masa itu, menganggap kaum yang bukan sekaum mereka merupakan rakyat kelas dua.

Bagi bumiputra islam yang pernah berkhidmat semasa pemerintahan PBS, memang benar-benar mengalami bagaimana tertindasnya mereka, di mana kerap berlaku, kedudukan dalam jawatanpun, tidak diambilkira, melainkan, perlu patuh kepada “government of the day” walaupun tindakan itu, tidak sesuai dengan sistem demokrasi, di mana hak seseorang rakyat perlu dihormati.

Dalam aktiviti politik pula, sejak akhir-akhir ini, nampaknya para pemimpin Umno terperangkap dengan desakan kaum bukan bumiputera islam dan cina dengan berbagai tuntutan, sehingga terpaksa mengenepikan keperluan bumiputera islam. Sebagai contoh, peruntukan memperbaiki jetty untuk laluan pelajar sekolah, di kawasan bumiputera islam, tidak menjadi perhatian, demikian juga sungai yang semakin membesar kerana akisan tidak mendapat perhatian, sebaliknya mengutamakan pembaik pulihan jalan-jalan di kampong bukan bumiputera islam atau kawasan-kawasan bandar yang memang kubu kuat pembangkang, kononnya tindakan itu untuk menggamit sokongan kumpulan itu pada PRU akan datang.

Yakinlah, tiada kumpulan lain yang boleh menempatkan kita pada suatu kedudukan kuasa, melainkan kumpulan yang sealiran dengan kita. Sebagai misalan, di sesuatu kawasan yang majoriti kaum KDMR atau cina, seperti Moyog, luyang atau Likas, apapun bantuan kerajaan di kawasan itu, tidak akan membuatkan penduduknya mengundi Bn. juga dibuktikan melalui Parlimen Sandakan, walaupun permintaan rakyat agar menaikkan taraf lapangan terbang dan membina berbagai jalan lorong konkrit di kawasan majoriti kaum cina, terbukti, pada PRU-13 lalu, mereka menolak calon Bn. Demikian juga di kawasan Kedamaian, Tamparuli atau Kepayan misalnya, bukan sedikit peruntukan kerajaan diluncurkan, pun demikian, menolak calon-calon Bn. Sebagai perbandingan, di Kawasan Kota Belud misalnya DUN Tempasuk atau Dun Usukan, kampong-kampong yang didiami kaum islam misalnya, berapa kah peruntukan yang diluncurkan? atau kemudahan apa yang dibina? sedangkan sekolah agama yang dibina tahun 70-anpun tidak sanggup dibuatkan tandas yang sesuai, pun demikian, para pengundi mememangkan calon-calon Bn dengan majoriti yang sangat besar. Daripada segi padang permainanpun tidak tersedia, cuba lawat sekolah-sekolah di perkampongan itu, apa kah ada padang bola? atau gelangang bola keranjang? atau gelanggan sepak takraw? Seperkara lagi, ada kah kemudahan asas seperti air bersih tersedia? Bayangkan sejak sebelum merdeka, penduduk kampong hanya tergantung kepada air tube, di mana taraf kandungan mineralnya tidak diketahui.

Proses pembelajaran memerlukan makanan dan minuman yang sihat, kerana di peringkat tumbesaran kanak-kanak kandungan mineral sangat diperlukan untuk perkembangan otak. Lihat kepada fakta, setiap peperiksaan UPSR bagi sekolah-sekolah di kampong berkenaan dimana setiap keputusan keluar, kedudukan sekolah-sekolah  itu berada dikedudukan tercorot, atas sebab itu jangan termimpi bahawa ada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang. Oleh kerana para pelajar itu menyambung ke sekolah menengah di sekolah menengah berhampiran, maka sudah pasti keputusan PMR atau SPM atau STPM juga tidak memuaskan atau rendah.

Apa yang ditulis ini, merupakan perasaan ramai rakyat yang berada di kawasan-kawasan kubu kuat Umno, mungkin bukan pada kawasan Ketua Menteri, atau kawasan Datuk Tawfiq atau kawasan Datuk Anifah, akan tetapi kawasan-kawasan lain yang tidak diwakili dalam kabinet, merasakan apa yang diluahkan ini.

Dalam segi peluang mendapatkan biasiswa baik daripada Kerajaan Negeri atau Yayasan Sabah, berapa peratatus kah yang mendapat peluang itu, di mana ibu bapa mereka merupakan penyokong tegar Umno atau Bn, atau dalam peluang mendapat jawatan, atau projek-projek kerajaan, berapa peratus kah daripada mereka itu yang merupakan penyokong tegar Bn/Umno asal. Jika dilihat daripada mata kasar, mereka-mereka yang mendapat peluang itu, adalah mereka-mereka yang suatu masa dahulu merupakan penyokong parti yang ditentang Umno dan Bn.

Sudah menjadi lumrah bagi penyokong tegar, mereka ini tidak tahu atau tidak pandai berpura-pura, tidak mahir berlakon atau pendek kata tidak mahir “angkat kaki”. Oleh kerana sifat itu melekat pada jiwa mereka, maka mungkin penyebab mereka tidak mendapat peluang, atas sebab itu mungkin terlupakan atau terlepas pandang, kerana mereka ini tidak suka mendapat perhatian.

Sempena Umno Sabah menyambut hari lahir ke 25 atau jublee Perak, penulis suka mengambil peluang mengingatkan kembali  pemimpin awal Umno, agar dapat mengimbas kembali mengapa dan kenapa Umno mengembangkan sayapnya ke Sabah.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels