1 August 2012

Ke mana sudah Datuk Lajim?

BENAR juga kata sebahagian besar pengamat politik Sabah, tindakan Datuk Lajim keluar BN, tidak berimpak.

Malah penggurannya sebagai Timbalan Menteri, Perdana Menteri menggunakan istilah PEMBATALAN perlantikan. Perkataan Pengguguran tidak sama dengan pembatalan.

Lajim yang menginginkan untuk DIPECAT akhirnya tidak kesampaian.. meloponglah ahli politik veteran itu. 

Apabila ditanya reaksinya terhadap istilah yang digunakan terhadap kedudukannya dalam kabinet, LAJIM melopong, tidak tercetus apa-apa jawapan daripada mulutnya... belum ada idea katanya.

Seorang yang menganggap dirinya seorang pemimpin.. syogianya siap siaga pada sebarang kemungkinan; hakekatnya tidak berlaku pada Lajim.

Lajim masih terkejut kerana tindakan yang dirancangnya tidak berimpak, atas sebab tiada tanda-tandapun ahli atau penyokong Umno/Bn turut ikut bersama-sama berjuang dengannya.

Kini, Lajim hanya menunggu untuk dipecat daripada Umno, Parti Umno menggunakan urus pentadbiran yang betul dengan menghantar surat tunjuk sebab mengapa beliau tidak boleh dipecat daripada parti. 14 hari tempoh beliau menjawabnya, selepas itu, apa kah beliau menjawabnya, tindakan pembatatan keahliannya akan diteruskan.

Umno tidak boleh mempunyai ahli seperti Lajim, kerana tindakannya secara terang-terangkan bercanggah dengan perjuangan parti.
Yang peliknya selepas berbulan-bulan melakukan tindakan berlawanan dengan aspirasi parti dan kemuncaknya pada 29 Julai, kini kelibat Lajim menghilang, .... apa yang berlaku???

31 July 2012

Lajim Ukin: Undurlah secara baik: Musa Aman

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata mana-mana pemimpin dengan apa-apa jawatan sekalipun, harus berundur secara baik jika sudah tidak yakin dengan parti dan kerajaan yang mereka wakili.

Beliau berkata, pemimpin itu perlu berundur secara sukarela dan terhormat tanpa perlu diberhentikan daripada jawatan yang disandang.

"Di dalam parti dan kerajaan, kita ada peraturan dan etika. Kalau seseorang pemimpin itu, atau menteri itu, atau timbalan menteri itu, tidak mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan parti, atau terhadap kerajaan yang mereka wakili, maka mereka harus berundur secara baik.

"Jangan perlu (tunggu) sampai diberhentikan. Sebagai 'gentleman' kita berhenti," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa Umno Zon 6 yang merangkumi kawasan Parlimen Silam, Semporna, Tawau dan Kalabakan di Masjid Al-Kauthar malam ini.

Musa mengulas kenyataan Jabatan Perdana Menteri hari ini yang menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah memberi perkenan membatalkan pelantikan Datuk Seri Panglima Lajim Ukin sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkuatkuasa serta-merta.

Sehubungan itu, beliau berkata tindakan kerajaan Malaysia yang diterajui Barisan Nasional (BN) adalah wajar.

Bagaimanapun, Pengerusi BN Sabah itu menasihatkan semua kepimpinan Umno dan BN di negeri ini agar tidak terikut-ikut atau membuang masa dengan isu Lajim kerana apa yang lebih penting ialah bekerja keras untuk membela nasib rakyat.

Musa juga berkata, kepimpinan Umno dan BN perlu terus memperkukuh perpaduan dan kerjasama selain terus bekerja kuat kerana mereka memikul amanah serta mandat yang telah diberikan oleh rakyat.

"Kita tidak perlu gentar, kita tidak perlu takut, kerana kita mempunyai kerajaan yang terbaik, pemimpin yang terbaik. Kita ada trek rekod yang terbaik.

"Jadi, apa yang (perlu) kita malukan, apa yang (perlu) kita gentarkan, apa yang perlu kita susahkan. Kita berani kerana benar, takut kerana salah. Kita berada di landasan yang benar. Ini yang saya katakan kepada rakyat negeri Sabah, dan mereka mengerti. Orang Sabah matang berpolitik. Mereka tahu mana kerajaan yang mereka mahu pilih dan mana kerajaan yang mereka mahu sokong.

Jangan susah hati atau gundah gulana. Yang penting kita terus bekerja untuk rakyat dengan keikhlasan, bukan kepentingan peribadi," katanya.

Sehubungan itu, Musa meminta semua pemimpin Umno dan BN di Sabah mengutamakan keikhlasan kepada kerajaan, parti serta pemimpin, bukan kepentingan peribadi, kerana hanya melalui cara itu, kerajaan dan rakyat akan terus hidup sejahtera.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata Malaysia kini berada di landasan yang baik di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang sentiasa berfikir serta prihatin bagaimana untuk mengatasi masalah dan membantu rakyat.

Berbeza dengan pemimpin 'songsang' atau pembangkang, Musa berkata mereka ini pura-pura buta dan pekak terhadap perubahan serta pembangunan yang berlaku di Sabah, namun rakyat mampu menilai mana yang buruk dan baik untuk mereka. - Bernama

Akhirnya Lajim ikut Anwar untuk kedua kalinya

PERJALANAN politik Lajim penuh dengan habuan. Tanpa habuan, beliau tidak akan bertindak.

Tahun 1994, Lajim keluar PBS kerana habuan jawatan-Timbalan Ketua Menteri Sabah, selain habuan-habuan tersembunyi yang lain.

Jangan lupa, cara Lajim meninggalkan PBS-usaha itu dilakukan oleh Anwar sendiri selaku Timbalan Perdana Menteri dan Pengarah Pilhanraya Sabah pada masa itu.

Kini untuk kedua kalinya Lajim ikut Anwar juga kerana habuan. Malangnya, tindakan Lajim kali ini, tidak mempunyai sebarang impak kepada kerajaan. Jika pada tahun 1994, PBS gagal mempertahan kerajaan atas sebab kehilangan majoriti di DUN Sabah, kerana tiga ADUN PBS melompat ke dalam Umno antaranya Lajim sendiri.

Menurut bacaan Lajim, pada PRU-13 BN akan kecundang, bercanggah dengan temuan ahli-ahli akademik atau pengamat politik tanah air, bahawa BN akan terus memerintah negara.

Perkiraan Lajim ini sama dengan perkiraan Yong Teck Lee dan Bernard Giluk Dompok serta beberapa pemimpin PBS tahun 1990, bahawa pada masa itu menurut perkiraan mereka BN akan kalah kepada Angkatan Perpaduan Ummah yang diketuai oleh Tengku Razalegh Hamzah sebagai Persiden S-46; serpihan Umno.

Sejarah membuktikan bahawa perkiraan para pemimpin PBS itu silap dan hingga kini BN masih memerintah negara walaupun berlaku tsunami politik pada tahun 2008.

Berasaskan kepada perkiraan Lajim itu, maka beliau tidak ingin ketinggalan untuk menyertai kerajaan baru yang akan dibentuk; dan mungkin beliau menjadi "Ketua Menteri" sebagai "janji" Anwar terhadapnya. Percayalah, pasti "ada" perjanjian antara Anwar dan Lajim; jika tidak-Lajim tidak akan bertindak, kerana sejarah perjalanan politiknya mesti disertai dengan habuan untuk diri sendiri.

Apapun, Suara Rakyat mengucapkan selamat kepadanya, untuk mencapai impiannya; namun di pihak BN, para pemimpin serta penyokong BN akan buktikan, kali ini Lajim tersilap langkah dan perhitungan.

30 July 2012

Tindakan Lajim dan Bumburing telah basi

BAYANGKAN sejak akhir tahun 2011, telah dispekulasikan bahawa Lajim dan Bumburing akan keluar BN untuk menyertai pembangkang. Namun semua spekulasi itu dinafikan sendiri oleh mereka. Malah satu kenyataan Presiden UPKO; Bumburung adalah Timbalan dan kawan saya- ertinya saya tahu tindakan apa yang beliau lakukan.

Demikian juga Lajim, walaupun tindak tanduknya bercanggah dengan semangat parti BN, namun beliau masih mampu menafikan bahawa semua spekualsi mengenai dirinya adalah palsu-malah menggelar kepada mereka yang membuat spekulasi bertujuan jahat dan mahu mencalarkan imejnya.

Namun kini, semua spekulasi itu, bukanlah spekulasi akan tetapi perkara benar. Akhirnya mereka yang bersepkulasi termasuk "Suara Rakyat" berkata benar mengenai tindakan mereka.

Lajim dan Bumburing bersandiwara lebih lapan bulan. Sebenarnya mereka bercadang akan keluar BN sebaik sahaja Dewan Rakyat dibubarkan untuk memberi tamparan kepada BN, namun niat mereka itu tidak kesampaian, kerana Najib terus membisu berhubung pembubaran Dewan Rakyat.

Tindakan Lajim dan Bumburing kini terasa basi, sebab itu tiada siapapun yang terkejut samada BN atau PR.

Lajim menubuhkan Pakatan Perubahan Sabah (PPS) sementara Bumburing Angkatan Perubahan Sabah (APS). Kedua-dua pertubuhan itu bersifat NGO yang mesra Pakatan Rakyat. Sekiranya mereka bertanding pada PRU-13 akan datang, mereka akan menggunakan logo parti-parti Pakatan Rakyat samada Logo PKR, DAP ataupun PAS.

Selepas 18 Tahun baru Lajim dan Bumburing mahu berjuang?

Selepas 18 tahun, baru Datuk Lajim Haji Ukin dan Datuk Welfred Mojilip Bumburing tersedar mahu berjuang? 

Pada Sabtu Lajim mengumumkan penubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPS) sementara pada Ahad Bumburing pula mengumuman penubuhan Angkatan Perubahan Sabah (APS).

LUCU... bunyinya kedua-dua kenderaan baru itu.. yang satu berpakat yang satu pula mengangkat. Agak-agaknya apa yang dipakat-pakat itu? atau apa yang diangkat-angkat itu?

Seharusnya Lajim secara peribadi perlu berubah dengan tindakannya. Rakyat tahu siapa Lajim. Lajim bukan mempunyai semangat untuk berjuang membela rakyat, beliau hanya mahu mengisi temboloknya.

Demikian juga Bumburing, apa yang diperjuangkannya? lihat Tamparuli yang diwakilinya sejak tahun 1985, kecuali selepas dia keluar daripada PBS, bertanding atas tikit PBS (kini UPKO) dan kalah. Kalau lah beliau mempunyai penyokong di Tamparuli, pasti beliau tidak akan kalah.

Tahun 2008, Bumburing memohon peluang untuk sepenggal, atas sebab itu penyandang sebelumnya Madius Tangau, memberi laluan. Dengan menggunakan tikit BN, barulah beliau mengecap semula gelaran wakil rakyat.

Bumburing sebenarnya tiada pilihan, kerana beliau tidak akan dicalonkan lagi pada PRU-13 jika beliau masih dalam BN, kerana sesuai dengan perjanjiannya dengan Madius Tangau, hanya sepenggal, ertinya pada PRU-13 nanti- Madius Tangaulah calon BN bagi Tuaran.

Demikian juga Lajim, beliau tahu bahawa beliau bukan lagi calon untuk Beaufort atau Klias, jika beliau masih bersama BN, kerana laporan akar umbi, beliau bukan lagi seorang yang winnable candidate. Atas sebab itu, beliau tiada pilihan, terpaksa keluar BN dan mengkambingkan Datuk Musa Aman, sebagai alasannya untuk keluar BN.

Kini Lajim berpakat dengan Pakatan Rakyat kononnya untuk mengubah Sabah. Sebenarnya, kerjasama antara PPS Lajim dan Pakatan Rakyat, tidak mengubah status quo sokongan rakyat terhadap BN, malah ianya semakin kuat, kerana mereka tahu, selama ini mereka hanya dipergunakan oleh beliau untuk kepentingan dirinya.

Sementara itu, faktor Bumburing tidak akan mengubah sokongan KDM terhadap BN, kerana sehebat manapun Bumburing, tidak akan mampu melawan krisma yang ada pada Huguan Siou Tan Sri Pairin Kitingan.

Pendek kata, dengan keluarnya Lajim dan Bumburing daripada keluarga BN, sekurangnya bisul sudah pecah, dan mudahlah nanah untuk dikeluarkan, dan pada gilirannya, cepat sembuhlah bisul itu.

Hakekatnya, walaupun Lajim dan Bumburing begitu gahirah melancarkan kenderaan baru mereka, akan tetapi di pihak BN menghadapinya tenang-tenang sahaja, kerana tindakan mereka itu sudah lama diduga, hanya menunggu tarikhnya.

Atas sebab itu, tiada sesiapapun pemimpin BN yang terkejut, kerana rata-rata pemimpin BN dan penyokongnya tahu, bahawa lambat laun mereka akan keluar.

Sebenarnya perancangan dua pemimpin itu akan mengumumkan keluar daripada BN selepas dewan rakyat dibubarkan, namun tindakan Najib memperlambat masa pilihanraya, membuatkan mereka serba salah dan salah tingkah, kerana rata-rata pemimpin memperkatakan bahawa dua-duanya adalah gunting dalam lipatan.

Selepas mereka berdua keluar-malah ramai pemimpin BN mengucapkan kepada mereka "Selamat Berjuang"... apa ertinya itu... both of you are nothing to us anymore. 

29 July 2012

Untuk apa Lajim minta dipecat?

UNTUK apa Datuk Lajim Haji Ukin minta dipecat daripada Umno? Tindakannya itu menggambarkan bahawa beliau bukanlah pemimpin yang ikhlas.

Dalam sistem demokrasi, siapa sahaja rakyat negara ini bebas memilih anutan politiknya. Lajim tidak bersetuju dengan Umno dan BN, sepatutnya secara sukarela keluarlah!!! mengapa menunggu untuk dipecat!!!.. mungkin Lajim mahu satu catatan dalam diarinya, bahawa beliau pernah dipecat daripada Umno!!!.

Percayalah Lajim dipecat kah atau keluar secara sukarela kah, tidak mempunyai impak terhadap Umno, sebabnya, rakyat sudah awal-awal tahu, bahawa sebab musabab beliau bertindak demikian kerana masalah peribadi, bukannya masalah perjuangan.

Semalam bertempat di rumahnya di KG Likas, Kota Kinabalu, Lajim mengumumkan perletakan jawatan sebagai AMT Umno, Pengerusi BN Beaufort, tetapi mengekalkan keahlian Umno dan jawatan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Persekutuan.

Berhubung Jawatan Lajim pada Kerajaan, Perdana Menteri akan membuat keputusan esok (Isnin).

Sementara itu, di Kota Kinabalu- Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak pada Ahad meminta Datuk Seri Lajim Ukin keluar daripada Umno selepas meletakkan jawatan sebagai Anggota Majlis Tertinggi, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Pengerusi Barisan Nasional (BN)Beaufort.

"Beliau (Lajim) tidak boleh mendapat kedua-duanya. Jika beliau secara terbuka tidak bersetuju dengan pendirian parti atau pendirian kerajaan dan sebaliknya beliau secara diam-diam mahu bekerja dengan pembangkang, dengan itu beliau patut keluar daripada Umno sepertimana yang akan dilakukan oleh seorang yang 'gentleman'," katanya kepada Bernama.

Salleh mengulas pengumuman Lajim semalam yang beliau meletakkan semua jawatan tetapi tetap menjadi anggota Umno dan kekal memegang jawatan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Beliau berkata Lajim patut keluar Umno secara bermaruah kerana beliau tidak lagi berpegang kepada perjuangan dan dasar parti dan tidak sepatutnya menunggu untuk dipecat.

"Inilah sebenarnya apa yang beliau mahu pucuk pimpinan parti lakukan. Beliau mahu bertindak sebagai seorang wira dan beliau dapat (kemudiannya) memberitahu rakyat yang beliau dipecat ketika sedang memperjuangkan hak rakyat.

"Tampaknya inilah rancangannya, tetapi rakyat tidak akan terperdaya," katanya.

Salleh juga menyangkal dakwaan Lajim bahawa Umno dan BN tidak berbuat apa-apa untuk kebajikan rakyat Sabah.

Beliau berkata Lajim telah menjadi sebahagian daripada sistem itu selama kira-kira 18 tahun dan amat arif mengenai hasrat dan komitmen kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang 2020.

"Anehnya, beliau tidak merungut sebelum ini. Saya percaya rakyat tidak "buta" dan tahu apa yang sebenarnya telah dilakukan oleh BN. Mereka cukup bijak untuk membuat penghakiman sendiri mengenai prestasi baik BN dalam melaksanakan tugasnya.

"Sebab itu kenapa BN menang besar di Sabah pada pilihan raya umum 2008. Jadi adalah tidak betul untuk menyatakan sekarang bahawa BN tidak berbuat apa-apa untuk rakyat, khususnya di Sabah," katanya.

Tidak selamanya Pemimpin Katak jadi penentu

DATUK LAJIM Haji Ukin, masih ingat, kerana tindakannya pada tahun 1994, kerajaan PBS yang dianggotainya tumbang, apabila beliau dan Datuk Rubin Balang serta Datuk Zaini Isa (ADUN lantikan) bertindak keluar PBS untuk menyertai Umno.

Lajim lupa, bahawa sekali air bah, maka pantai berubah. Lajim lupa bahawa senario masa itu berlainan dengan senario masa ini.

Lajim terlupa bahawa mendung tidak selalunya hujan rahmat datang; jika pun hujan turun, hujan yang berakibat banjir.

Lajim mengkambing hitamkan Datuk Musa Aman sebagai alasan untuk keluar Umno dan BN. Lajim merajuk atas sebab kata duanya kepada PM agar menjamin, Musa tidak dilantik lagi sebagai Ketua Menteri tidak mendapat layanan.

Sebenarnya, pemberontakan Lajim bermula sejak di dalam PBS lagi. Lajim pernah mengamuk disebabkan tidak dilantik oleh Pairin ke jawatan Timbalan Ketua Menteri, sebaliknya melantik Datuk Baharom Titingan, calon yang kalah pada pilihanraya di DUN Balung, Tawau.

Lajim juga secara senyap melakukan pemberontakan sebelum Musa dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah pada tahun 2003, di mana beliau membuat desakan kepada mantan Perdana Menteri-Tun Dr Mahathir Mohammad, agar melantik sesiapa sahaja ke jawatan Ketua Menteri, asalkan bukan Musa Aman(ABMA).

Kini semua harapan Lajim berkecai, walaupun beliau melakukan "homework" dan gerakan agar Musa diketepikan; atas sebab itu beliau tiada pilihan lagi, terpaksa keluar.

Percayalah rakyat tahu bahawa tidak selamanya pemimpin katak menjadi faktor penentu.

Tindakan Lajim telah dijangka: Najib

TINDAKAN Datuk Lajim Haji Ukin memang telah dijangka, demikian ulas Perdana Menteri DS Najib Razak.

Lajim semalam bertempat di runahnya di Kg Likas Kota Kinabalu, telah mengumumkan perletakan semua jawatannya dengan serta merta.

Najib akan membuat keputusan mengenai kedudukan Lajim sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Persekutuan pada Isnin.

Petang ini Lajim akan membuat perjumpaan dengan penyokongnya di Beaufort Sabah dan turut dihadiri Ketua Pembangkang Dastuk Seri Anwar Ibrahim.

28 July 2012

Lajim secara rasmi keluar Umno dan BN

Menurut catatan pada wall saudara Musli Oli- Datuk Lajim Haji Ukin secara rasmi keluar Umno dan BN dan meletakan semua jawatannya termasuk Timbalan Menteri Perumahan dan Kerjaan Tempatan Persekutuan hari ini. MP Beaufort itu mengumumkannya bertempat di kediamannya di Kg Likas Kota Kinabalu, petang tadi.

Sebab musabab Lajim keluar-menurut saudara Musli-adalah beliau tidak sealiran lagi dengan pemimpin negeri yang diketuai oleh Ketua Menteri Sabah-Datuk Musa Aman.

Suara Rakyat pernah menulis sebelum ini sebab-sebab Lajim keluar Umno dan BN klik disini

Lajim bertindak keluar BN kerana Musa Aman?

HANYA alasan Datuk Lajim untuk keluar BN,kerana permintaannya kepada Perdana Menteri, agar Ketua Menteri Sabah-Datuk Musa Aman perlu diganti, untuk  beliau tetap bersama BN tidak mendapat layanan.

Lajim alpha, bahawa perlantikan jawatan Ketua Menteri atau Menteri Besar merupakan kuasa mutlak Perdana Menteri. Dengan meminta pengunduran seseorang Ketua Menteri lantikan Perdana Menteri adalah tindakan mempersoal kuasa dan kewibawaan Perdana Menteri sendiri.

Di Sabah, tindakan Lajim menentang Musa bermula sejak tahun 2003, sebelum Musa dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah.

Pada waktu itu suatu gerakan dijalankan oleh beberapa pemimpin BN negeri termasuk Lajim mendesak mantan Perdana Menteri- Tun Dr Mahathir Mohammad, agar melantik sesiapa sahaja daripada kalangan mereka, asalkan bukan Musa Aman (ABMA).

Namun Tun Dr Mahathir bertindak berlawanan dengan perimintaan kelompok itu, sebaliknya melantik Musa sebagai Ketua Menteri Sabah dimana ketika itu sebagai Menteri Kewangan Sabah.

Tun Mahathir memang terkenal dengan tindakan yang mengejutkan, umpamanya melantik Dr Khir Toyo sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Abu Hassan Omar. Pada masa itu, tiada yang terfikir, bahawa orang muda seperti Khir Toyo dilantik sebagai MB pada sebuah negeri terkaya di Malaysia.

"Feud" antara Musa dan Lajim terus berlanjutan, sehinggakan Lajim yang biasa bertanding di peringkat DUN meminta bertanding di peringkat Parlimen, kerana beliau tahu, jika bertanding sebagai ADUN, beliau tidak akan mempunyai sebarang jawatan dalam kabinet, sebaliknya jika di peringkat parlimen, sekurang-kurangnya boleh dilantik sebagai Timbalan Menteri.

Selepas PRU-12, banyak spekulasi berlaku berserta gerakan agar Lajim tidak dicalonkan lagi sebagai calon pada PRU-13; alasan yang diberikan bahawa beliau bukan lagi winnable candidate.

Mereka yang bertindak agar Lajim tidak dicalonkan lagi, bukannya berpunca daripada Musa, sebaliknya berpunca daripada pemimpin setempat itu sendiri. 

Lajim ditentang dalam pemilihan Ketua Bahagian Umno oleh Ketua Wanita Beaufort-Datuk Azizah Dun Banir. Berpunca daripada perlawanan ini, Azizah dan Lajim tidak sebulu lagi.

Bermula daripada pertandingan Ketua Bahagian Umno itu, Azizah menyusun strategi agar majoriti ahli Umno dan rakyat menolak kepimpinan Lajim; dan ternyata tindakan itu berjaya, sehingga banyak persepsi bahawa Lajim bukan lagi winnable candidate.

Lajim merasakan keinginan rakyat itu, namun sebagai pemimpin veteran, beliau mengkambingkan Musa sebagai alasan untuknya keluar BN, malah suatu ketika, beliau mengeluarkan kenyataan agar Musa perlu letak jawatan dalam tempoh 15 hari.

Penentangan Lajim terhadap Musa, bukannya berunsur bagaimana membela rakyat atau isu pembangunan kepada rakyat, sebaliknya hanya berasas kepada jawatan Ketua Menteri. Lajim memang kemaruk dengan jawatan, sebagai contoh semasa dalam kerajaan PBS, Lajim juga melakukan protes kerana tidak dilantik ke Jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah, sebaliknya jawatan itu jatuh ke tangan Datuk Baharom Titingan, yang kalah dalam pilihanraya bagi kawasan Balung, Tawau.

Esok Lajim secara rasmi akan keluar BN, pengumuman mengenainya akan diadakan di Beaufort Sabah dan majlis tersebut turut dihadiri Ketua Umum PKR-Datuk Seri Anwar Ibrahim.

27 July 2012

Lajim patut dipecat!!!

APA lagi yang ditunggu oleh Perdana Menteri berhubung tindakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Persekutuan-Datuk Lajim Ukin?

Jika sebelum ini semua tindakan Lajim-dikatakan hanya spekulasi, walaupun dengan nyata bahawa MP Beaufort itu melanggar disipilin parti mahupun BN, kerana selalu hadir di majlis-malis pembangkang.

Selagi Lajim tidak dipecat baik dalam parti mahupun kerajaan, ianya akan menjadi contoh atau ikutan pemimpin lain. Umno tidak boleh double standard, sebelum ini Zaid Ibrahim dipecat daripada Umno atas sebab hadir pada satu majlis PKR di Shah Alam.

Apa kah istimewanya Lajim? sehingga kini pihak pucuk pimpinan tidak mengambil tindakan?

Lajim pada 29 Julai ini akan mengadakan perjumpaan di Beaufort Sabah dan tetamu istimewanya adalah Ketua Umum PKR-Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Seharusnya pucuk pimpinan telahpun mengambil tindakan terhadap MP Beaufort itu, kerana semua tindakannya adalah bersifat khianat.

Parti Umno dan BN tidak boleh mempunyai pemimpin seperti Lajim, kerana di masa semua pemimpin akan berhadapan dengan PRU-13, di mana PRU itu disifatkan sebagai IBU kepada 12 PRU di negara ini, Lajim mengambil tindakan mengenpikan semua kawan-kawan sebaliknya berpihak kepada musuh untuk mengalahkan kawan seperjuangan.

Sebaiknya dengan serta merta pucuk pimpinan memecat Lajim tanpa berlengah lagi.....

26 July 2012

Disebalik sandiwara Lajim dan Bumburing

Apakah ada muslihat politik lebih besar pada sandiwara yang dimainkan oleh Datuk Lajim dan Datuk Welfred Bumburing?

Dalam politik, tiada siapapun boleh menang jika permainan politik dilakukan sendirian. Kemenangan dalam politik ditentukan oleh kumpulan berserta massa yang mendokongnya.

Apakah Lajim dan Bumburing merupakan prime mover kepada gelombang lebih besar? siapa-siapa kah yang terlibat di mana pada masa ini masih bermain di belakang layar?

Dalam sejarah politik Sabah, setiap pemimpin kerajaan yang menentang kerajaan, biasanya mempunyai muslihat yang lebih besar dibelakangnya.

Tahun 1976, Tun Mustapha dengan Usnonya dijatuhkan oleh pemimpinnya sendiri, apabila Menteri Kewangan masa itu-Datuk Harris Salleh menubuhkan parti Berjaya dan mendapat kerjasama dibelakang tabir daripada pemimpin pusat serta TYT masa itu- Tun Mohd Fuad Stephen.

Demikian juga pada tahun 1985, apabila Berjaya ditumpaskan oleh PBS, apabila Pairin dipecat daripada Berjaya kemudian disertai oleh kumpulan pemimpin parti Berjaya.

Peristiwa yang sama berulang pada tahun 1994, apabila tiga orang pemimpin PBS keluar parti menyertai BN, yang mengakibatkan jumlah ADUN PBS di DUN Sabah menjadi minoriti, akibatnya BN membentuk kerajaan dan melantik Datuk Sakaran Dandai (kini Tun) sebagai Ketua Menteri dalam sistem penggiliran Ketua Menteri Sabah-atas ilham mantan Perdana Menteri-Tun Dr Mahathir Mohammad.

Apakah keadaan yang sama berulang dengan tindakan Lajim dan Bumburing? meskipun caranya berbeza, kerana tindakan dua pemimpin BN ini tidak mengubah status quo kerajaan.

Kita sama-sama maklum, bahawa mandat kerajaan sekarang akan berahir pada Mac,2013-yakni berbaki 7 bulan lagi, atas sebab itu pilihanraya umum perlu diadakan. Ada yang memperkirakan, bahawa PRU-13 akan diadakan selepas bajet yang dibentangkan pada ujung September ini di Dewan Rakyat.

Dipihak BN, ramai yang meremehkan tindakan Lajim dan Bumburing; malah ada yang mengucapkan selamat berjuang kepada mereka. BN menurut para pemimpin BN sendiri akan berkerja lebih kuat untuk memastikan bahawa tindakan dua pemimpin BN itu tidak berimpak kepada performance BN pada PRU-13 akan datang.

Yang pasti itulah anggapan para pemimpin BN, kerana tiada siapapun tahu movement dua pemimpin itu-apakah mereka merupakan prime mover kepada gelombang yang lebih besar.

Sejak tahun 2008, memang tidak dapat dinafikan ada beberapa pemimpin BN yang bersuara lantang, antaranya Timbalan Presiden LDP, MP Kalabakan dan ADUN Pantai Manis serta Presiden UPKO; selain daripada mereka itu, keadaan adalah under control di bawah kepimpinan Datuk Musa Aman.

Di pihak pembangkang pula memberi gambaran bahawa gerakan bermula daripada Tuaran  dan Beaufort, kononnya akan menukar lanskap politik Sabah pada PRU-13 akan datang. Malah anggapan mereka itu disokong oleh seorang ahli akademik daripada UiTM cawangan Sabah, Arnold Poyuk, kononnya BN Sabah akan kehilangan 14 kerusi Parlimen daripada 25 kerusi yang tersedia.

Telah disebutkan diawal tulisan ini, dalam politik, tiada yang boleh menang dalam sesuatu pilihanraya, jika hanya bergantung kepada satu atau dua pemimpin. Perkara ini ditambah lagi, dengan rekod pemimpin yang bertindak menunggah arus-Lajim dan Bumburing.

Lajim dan Bumburing adalah mantan pemimpin PBS sejak tahun 1985. Mereka berdua senantiasa berada dalam kabinet negeri. Melihat kepada performance kedua-duanya, tiada rekod yang menunjukkan bahawa mereka adalah pejuang rakyat, melainkan perjuangan untuk menghidupkan peluang diri sendiri berserta pengikut setia di kawasan masing-masing.

Melihat kepada kadar pembangunan kawasan yang mereka wakili, tiadapun bentuk pembangunan yang ketara berjaya mereka bawah ke kawasan masing-masing selama menyandang jawatan- pembangunan yang ada, adalah hasil  dayausaha secara kolektif beberapa pemimpin bermula tahun 1994. Sebagai contoh-Jambatan Sitopok di Beaufort dibangun semasa kerajaan BN sekarang ini, demikian juga Stadium sukan di Tamparuli adalah usaha Datuk Jahid Jahim- ADUN Tamparuli (Tamparuli sebelum ini diwakili Welferd Bumburing).

Mengkaji rekod perkhidmatan kedua-dua pemimpin (Lajim dan Bumburing) tiadapun yang perlu rakyat banggakan, kecualilah segelintir pengikut yang mendapat habuan.

Walau apapun-dalam politik semuanya boleh berlaku, namun berasaskan kepada keadaan semasa, jika hanya mereka berdua yang bertindak melawan arus, percayalah impak yang boleh memudaratkan BN tidak akan berlaku.

Sebagai nota- Pada 29 Julai ini, Bumburing akan membuat pengumuman arah tuju politiknya di Dalit Tuaran, manakala Di Beaufort Lajim akan mengumumkan tindakannya-Kedua-dua majlis itu akan dihadiri Anwar Ibrahim.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels