1 October 2018

PBS TERUSKAN GABUNGAN BERSATU SABAH TANPA UMNO

Timbalan Presiden PBS yang juga MP Kota Marudu membuat kenyataan bahawa parti PBS akan meneruskan Gabungan Bersatu Sabah (GBS) tanpa Umno.

Beliau mengatas nama "dapatan" atau "maklum balas" akar umbi, bahawa jika gabungan itu disertai Umno, maka tidak akan pergi jauh.

Melihat kepada kenyataan itu, memang tersirat, bahawa PBS tidak minat dengan penyertaan parti yang pernah menjadi tunjang kerajaan Bn sejak tahun 1994 sehinggalah pada PRU-14.

Sejauh mana kebenaran kenyataan Maximus itu?

Penulis yakin kemyataan Maximus itu ada hubungkait rekod lama antara PBS dan Umno, kerana kehadiran Umno lah yang menyumbang kepada tumbangnya parti itu pada tahun 1994.

"Feud" lama itu dipendamkan pada tahun 2002 sehingga pada 9 Mei, 2018. Seperti yang kita ketahui PBS meninggalkan BN selepas PRU 14.

Menurut hemat penulis pula, PBS tidak akan pergi jauh, tanpa kerjasama dengan Umno. Kenapa? Umno merupakan parti yang masih mendapat sokongan kaum bumiputera islam, sesuai dengan "roh" Usno dan Tun Mustapha.

Fakta yang tidak boleh dipersoalkan adalah keputusan PRU-14, daripada 60 kawasan Dun, PBS hanya ada tiga calon termasuk dalam rangking 60 dari segi jumlah undi calon , walaupun menang 6 kerusi, berbanding UPKO yang menempatkan 6 calon walaupun hanya menang 5 kerusi Dun.

Jika dilihat calon popular bagi kelompok 20 ke atas, tiada calon PBS yang tersenarai berbanding UPKO 2. Kelompok 20 ke atas dikuasai DAP-5, PWS-6, Umno-5, dan PKR-2. Untuk rangking 1-31 pula, PWS- 11, Umno-8, DAP-6, Upko-3 PKR-2 sementara PBS-1.

Berasaskan persempadanan Dun Sabah, daripada 60 Dun, 20 adalah kawasan KDM. Ertinya, mana-mana parti berasaskan KDM bersaing merebut kawasan tersebut. Keputusan PRU-14, dimenangi parti-parti seperti berikut:- PBS-6, UPKO-5, STAR-2, PBRS-1, Umno-2 PKR-1, PWS-3. (Nota Umno dan PWS turut menang kerana dua parti itu menerima keahlian daripada KDM juga).

Bagi kawasan cina pula, DAP-6, PKR-1, PWS-3, kosong bagi PBS.

Bagi Kawasan Bumiputera islam, Umno-15 dan PWS-15.

Melihat kepada keputusan PRU-14, kenyataan Maximus, bahawa Umno Sabah tidak akan memberi sumbangan kepada gabungan, hanya bersifat andaian, kerana fakta menolaknya.

Keputusan PRU-14, parti-parti yang bersama Umno, PBS, UPKO, PBRS gagal mendapat sebarang kerusi kawasan cina, kerana parti yang diwakili kaum itu semuanya kalah.

Jika Maximus membuat kenyataan, bahawa selagi Umno, PBS dan STAR tidak mendapat sokongan parti yang diwakili kaum cina, maka parti-parti itu tidak akan pergi juah, maka penulis akur dengan kenyataan itu.

Penulis sangat yakin, apapun strategi atau cara parti-parti yang berasaskan bumiputera mencatur politik Sabah, tanpa penyertaan kaum cina, parti-parti itu sukar untuk menang dalam pilihanraya.

Rekod politik Sabah menunjukkan, setiap parti yang ditolak kaum cina tidak pernah menang dalam , pilihanraya, walaupun di atas kertas kawasan bumiputera boleh membentuk kerajaan tanpa penyertaan kaum cina. 

Bukti itu terlihat pada PRU-14, apabila Bn ditolak kaum cina, terbukti hanya menang 29 kerusi, kurang 2 kerusi untuk majoriti mudah. Demikian juga sebaliknya, parti yang disokong kaum cina, tetapi tidak mendapat sokongan penuh daripada kaum bumiputera, maka hanya menang 29 kerusi, juga dalam kedudukan yang sama dengan Bn, kurang 2 kerusi untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Menggunakan HIPOTISA bahawa parti-parti berasaskan bumiputera bergerak sebagai satu pasukan, namun pengundi pula tidak akan memberi sokongan, kerana terbukti sejak dahulu.

Bagi pendapat penulis, apapun cara Gabungan Bersatu Sabah bertindak, tidak akan boleh menang pilihanraya tanpa penyertaan parti cina yang disokong kaum itu, apatah lagi gabungan itu tanpa Umno Sabah. Demikian juga sebaliknya, jika Umno Sabah bergerak bersendirian tidak akan juga pergi jauh, paling-paling mencontohi keupayaan parti Usno semasa menjadi pembangkang kepada parti Berjaya dan PBS.

Melihat kepada senario politik Sabah, perkara pokok yang diutamakan, jika mahu menang pilihanraya ada bekerjasama, dan pada masa yang sama membentuk kerjasama dengan parti kaum cina. Parti kaum cina itu, perlulah baru ditubuhkan. Fikir-Fikirkan.

27 September 2018

KEPUTUSAN PRU-14 SABAH : FAKTA MENARIK UNTUK DIANALISA

Kalau diamati/dianalisa keputusan PRU-14 berasaskan peratusan undi setiap calon, untuk urutan 1-31, PWS=11, UMNO=8, DAP=6, UPKO=3, PKR=2 dan PBS=1. Jika pilihanraya berasaskan undi popular, maka kumpulan PWS, DAP dan PKR menang 19, manakala UMNO, UPKO dan PBS 12.

Jika berasaskan urutan 1-60, sesuai dengan jumlah kerusi DUN Sabah, PWS=24, UMNO=18, DAP=6, UPKO=6, PBS=3, PKR=2 dan STAR=1. 

Jika keadah yang sama digunakan, iaitu undi popular, atau peratusan undi calon, maka kumpulan PWS, DAP dan PKR menang 32 kerusi, manakala UMNO, UPKO dan PBS 27; STAR=1. 

Apa yang menariknya, berasaskan peratusan undi, calon daripada PBRS tidak termasuk dalam top 60, walaupun faktanya, parti itu menang 1 kerusi DUN. PBS pula yang menang 6 kerusi, hanya 3 kerusi masuk dalam top-60, berbeza dengan UPKO yang hanya ada 5 kerusi, tetapi peratusan undi calon parti itu, 6 masuk dalam top 60. 

Manakala STAR, walaupun menang 2 kerusi, akan tetapi hanya 1 kerusi masuk dalam top 60. 

PWS yang hanya menang 21 kerusi, namun calonnya yang berada dalam top 60 seramai 24, demikian juga UMNO yang menang 17 kerusi, 18 calon parti itu masuk top 60. 

Fenomena atau kecederungan seumpama ini tidak semestinya berlaku pada PRU-15, kerana isu-isu yang berbeza.

Makna kata, apapun keputusan pada PRU=14, tidak semestinya mempunyai kecenderungan yang sama pada PRU-15, memandangkan pendekatan sudah berbeza, kumpulan-kumpulan parti berbeza.

Pada PRU-15, kemungkinan besar kolaborasi antara Parti Warisan dan PH akan terus terjalin, dan akan berhadapan dengan Gabungan Bersatu Sabah yang bakal dianggotai oleh UMNO sabah, PBS dan STAR.

Pada PRU itu, isu kembalikan Umno ke Malaya, tidak timbul lagi, memandangkan UMNO Sabah mempunyai autonomi sendiri seperti mana parti-parti tempatan lain. Hubungan Umno Sabah dengan Umno Semenanjung, hanya bersifat kolaborasi, seperti mana hubungan Warisan dengan PPBM, parti Tun Dr Mahathir.

26 September 2018

KERAJAAN BN DI BAWAH TERAJU MUSA SATU KENANGAN

Tiada sesiapa yang boleh menafikan bahawa pembangunan dan kemajuan Sabah di bawah teraju Tan Sri Musa Aman merupakan manifestasi sebuah perjuangan yang diterajui Umno sejak tahun 1994.

Salah satu pencapaian kerajaan Bn, khususnya di era Musa, adalah peningkatan simpanan kewangan negeri yang mencapai jumlah RM3.74 bilion pada Disember 2017, berbanding RM184 juta pada tahun 2002.

Selain daripada pencapaian kewangan, pembangunan dan kemajuan, era Musa juga telah menurunkan kadar kemiskinan Sabah kepada paras di bawah 3% pada tahun 2016, berbanding 19.8% tahun 2009, malah pada masa kerajaan Bn mengambil alih kerajaan negeri, kadar kemiskian di atas 30%, sehinggakan Sabah menduduki negeri termiskin dalam negara.

Apa yang menjadi magic kepada pemerintahan era Musa, apabila Sabah dapat membentangkan bajet di atas RM4bilion, malah untuk tahun 2018 merupakan bajet terbesar pernah dibentangkan, itu RM4.104bilion. Walaupun bajet yang begitu tinggi, tetapi bajet tersebut adalah bajet surplus. Sebagai rekod, sejak tahun 2015, bajet Sabah sentiasa surplus.

Bajet Sabah yang besar bukan lagi bersandarkan kepada sumber kayu kayan, akan tetapi perolehan daripada sektor lain seperti pelancongan, peladangan, perikanan serta industri kecil dan sederhana.

Pemerintahan Musa tidak menjadikan kayu kayan sebagai sumber pendapatan, akan tetapi menjadi sumber kayu kayan sesuatu yang perlu diwarisi generasi akan datang. Atas sebab matlamat itu, maka Sabah dapat menjadikan seluas 1.87 juta hektar kawasan hutan (26% land mass Sabah) sebagai hutan kekal/dilindungi, dan seterusnya keluasan itu akan ditingkatkan kepada 30% keluasan tanah Sabah menjelang tahun 2025.

Sebenarnya terlalu banyak kenangan era pemerintan Musa, penulis akan mencoretnya di posting akan datang.
P.s. Jika pada 26 oktober mahkamah, Kota Kinabalu membuat keputusan bahawa Musa adalah Ketua Menteri yang sah, maka beterusanlah pembangunan & Kemajuan Sabah.

25 September 2018

UMNO SABAH BAKAL DIBERIKAN AUTONOMI

Dato Seri Zahid Hamidi Bersama Ketua-Ketua Bahagian Umno Sabah- Di Bangunan Umno Sabah Pada 25 Sept, 2018
UMNO Sabah akan menentukan hala tuju sendiri tidak lama lagi, apabila Umno mengubah perlembagaan parti itu pada PAU 2018 bagi memberikan status autonomi kepada Umno Sabah.

Menerusi autonomi itu, selain menentukan hala tuju sendiri, ianya juga menentukan barisan kepimpinan sendiri.

Sebagai impak kepada autonomi itu, Umno Sabah akan berjalan seperti parti-parti tempatan lain di Sabah.

Apabila UMNO Sabah berjalan sebagai parti tempatan, maka hanya PKR, DAP, Amanah, MCA, MIC dan Gerakan sahaja parti yang masih parti berpusat di Semenanjung.

Berasaskan kepada status autonomi, sudah tentunya mengikut susunan sesebuah parti yang mempunyai Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, MKT, selain Setiausaha Agung, Bendahari dan Ketua Penerangan.

Juga akan ditentukan nanti apa kah singkatan UMNO= United Malay National Organisation akan berubah, dan disesuaikan dengan kemajmukan penduduk Sabah.

"UMNO Sabah" bakal sebahagian daripada Gabungan Bersatu Sabah (GBS) bersama PBS dan STAR. GBS masih dalam proses pendaftaran.

MENGAPA MUSA MEMPERKENALKAN GERAN KOMUNAL?

Ramai pemimpin parti Warisan Sabah mendakwa bahawa kerajaan Bn yang diterajui Musa merampas tanah adat. Hakikatnya dakwaan itu hanya tipu helah mereka untuk mengaburi mata rakyat.

Faktanya, Musa adalah penyelamat tanah adat, apabila beliau memperkenalkan Geran Komunal. Geran komunal adalah geran yang diberikan bagi kawasan-kawasan yang ditakrifkan sebagai tanah adat. Geran Komunal adalah satu geran yang diberikan kepada rakyat yang mempunyai syarat, geran itu tidak boleh dijual kepada pihak lain diluar susur galur keluarga atau diluar komuniti yang berkaitan. Atas sebab itu, geran komunal adalah geran turun temurun atau geran yang diwariskan. Selain itu, menerusi geran komunal, penduduk mendapat manafaat besar daripadanya, kerana kemudahan awam seperti jalanraya, kemudahan bekalan eletrik dan bekalan air bersih turut disediakan oleh kerajaan.

Latar belakang pengenalan Geran Komunal adalah, apabila kerajaan negeri mendapati 1.4juta ekar geran individu yang diberikan kepada rakyat telah bertukar tangan atau dijual kepada pihak lain. Apa yang malang lagi, tanah-tanah itu jatuh ke tangan yang tidak sepatutnya. Sebagai mana diketahui tanah berstatus NT (native title) yang boleh dijual kepada bumiputera, namun tanah-tanah berstatus NT itu dibeli oleh mereka yang bukan bumiputera dengan menggunakan proksi.

Geran komunal yang diperkenalkan pada tahun 2010, telah melibatkan 72 geran dengan keluasan 119,083.03 ekar merangkumi 213 kampung yang melibatkan 10,462 pemilik tanah. Daripada jumlah keluasan itu, 84,020.27 ekar telah dibangunkan menerusi ladang kelapa sawit dan getah, dan dijangka mengeluarkan hasil pada tahun 2020.

Perlu diketahui, menerusi geran komunal, pemilik mempunyai dua pilihan, samada menguasahkan tanah secara persendirian atau memilih usahasama.

Apa yang jelas menerusi geran komunal, tanah didayaguna untuk meningkatkan pendapatan, bukannya dibiarkan ditumbuhi lalang atau belukar, atau hanya bertujuan untuk dijual seperti mana-mana sebelum ini.

Tujuan Geran komunal adalah serampang dua mata, pertama mengurangkan kadar kemiskinan di luar bandar, dan kedua menjadikan tanah itu sumber pendapatan pemilik dan cukai untuk kerajaan.

Kini, Geran komunal dimansuhkan, bermakna, pemberian geran kembali ke era lama. Makna kata, tanah-tanah itu boleh dijual, pada masa yang sama tujuan pemberian geran untuk menjana pendapatan kepada rakyat yang diberikan geran tidak tercapai. Maka berulang semula lah, apa yang berlaku kepada 1.4juta ekar tanah kerajaan yang telah bertukar tangan.

Menelusuri pengenalan Geran Komunal, yang menjadi dakwaan kepada Musa dan kerajaan Bn merampas tanah rakyat, sebenarnya satu muslihat pihak-pihak tertentu untuk mendapatkan keuntungan kewangan secara pantas.

24 September 2018

30 SEPTEMBER, UMNO BERMULA SEMULA!!!

Walaupun Umno berumur 72 tahun, akan tetapi akan bermula semula pada 30 September, sempena Perhimpuan Agung tahunan parti itu.

Tahun ini perhimpunan diawalkan yang biasanya diadakan pada awal Disember.

Umno yang menjadi tunjang kerajaan persekutuan sejak merdeka, dikejutkan pada PRU-14 apabila tumbang kepada Pakatan Harapan (DAP-PKR-Amanah-PPBM) dan Warisan.

Di seluruh negara, kecuali Sarawak Umno menang 54 kerusi Parlimen, dan jumlah itu sebahagian daripada 79 kerusi yang dimenangi Bn ( Bn pada PRU-14 dianggotani 13 parti komponen, namun selepas PRU-14, di atas kertas hanya berbaki 3, Umno-MCA-MIC).

Sebagai impak kepada keterkejutan, kini Umno MP Umno hanya berbaki- 49, apabila 5 MP parti itu mengistiharkan status mereka sebagai MP Bebas.

Pada pemilihan parti-parti baru-baru ini, parti tertua dalam negara itu, telah memilih Dato Seri Zahid Hamidi sebagai Presiden.

Perhimpuan Agung parti pada 30 November, julung kali bagi Zahid sebagai Presiden, dalam suasana yang jauh berbeza berbanding PAU-PAU yang lalu.

Pada PRU-14, Umno menerima tamparan luarbiasa, bukan sahaja kehilangan kuasa, akan tetapi negeri di mana parti itu ditubuhkan-Johor juga mengalami kekalahan teruk dan seterusnya jatuh ke tangan Pakatan Harapan.

Kini, hanya Negeri Pahang dan Perlis sahaja masih diperintah parti.

Di atas kertas, nampaknya Umno merupakan parti terbesar, namun, tidak mempunyai jumlah yang mencukupi membentuk kerajaan. 

Pada PRU-14, Umno kalah di kawasan-kawasan tradisi termasuk kawasan Felda, selain kekalahan teruk parti-parti komponen. MCA hanya menang 1 kerusi Parlimen, MIC-2, manakala parti-parti lain kosong. Di Sarawak pula, parti komponen hanya menang 19 daripada 31, sementara di Sabah hanya menang 3 kawasan Parlimen (PBS 1, UPKO 1 dan PBRS 1). (di Sabah daripada 25 kawasan parlimen, hanya 10 dimenangi Bn).

Berasaskan kepada senario itu, maka PAU parti kali ini, kena menggariskan HALATUJU baru, sebagai pemudah cara menarik semula sokongan rakyat, selain menarik kembali sokongan akar umbi yang telah berpaling tadah.

Penulis yakin, saf kepiminan baru parti sedang memerah otak, untuk menggariskan halatuju parti yang bakal dibentangkan pada PAU minggu depan, di PWTC.

Bagi UMNO Sabah pula, tugas berat itu, akan dilihat menrusi ucapan balas (ucapan usul menyokong ucapan dasar Presiden yang akan disampaikan oleh Ketua Penerangan Umno Sabah, merangkap ahli MKT tertinggi parti- Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia).

Dalam PAU itu nanti, apa kah di Semenanjung, parti akan memupuk kerjasama dengan PAS, kemudiannya di Sabah menerusi Gabungan Bersatu Sabah (GBS).

Menerusi senario politik semasa, Umno kena mengotimakan ruang dan peluang, untuk kembali membentuk kerajaan pada PRU-15.

26 OKTOBER: MUSA ATAU SHAFIE?

Kira-kira sebulan daripada sekarang menjelanglah 26 Oktober. Pada tarikh tersebut (jika tiada perubahan/penanguhan di saat-saat akhir) maka Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, membuat keputusan siapa Ketua Menteri yang sah Sabah berdasarkan Perlembagaan Negeri.

Sehingga menjelangnya tarikh itu, maka berbagai ramalan, ulasan, baik di media arus perdana, media sosial, malahan kedai-kedai kopi.

Kemelut dua Ketua Menteri, julang kalinya berlaku di Sabah.

Sebagai impak kepada kemelut itu, Sabah telah mencatit sejarah tersendiri, di mana terdapatnya Ketua Menteri TIADA KUASA dan BERKUASA.

Kemelut dua Ketua Menteri Sabah- terjadi apabila berlaku dua Ketua Menteri mengangkat sumpah jawatan kurang 48 jam antara satu sama lain.

Tan Sri Musa Aman bersama 30 ADUN daripada 60 ADUN Sabah telah membentuk kerajaan selepas PRU-14, kerana mempunyai majoriti mudah (31 ADUN) dan seterusnya Ketua Menteri dan kabinet mengangkat sumpah pada 10 Mei.

Pada 12 Mei, Datuk Shafie Apdal membaca watikah perlantikan Ketua Menteri, kerana akibat perbuatan khianat 4 ADUN Umno dan 2 ADUN UPKO.

Sejam sebelum Shafie membaca watikah perlantikan, Musa telah mengeluarkan kenyataan akhbar, bahawa beliau dan kabinet beliau masih kerajaan yang sah, kerana tiada seorang anggota kabinet telah meletakkan jawatan.

Berdasarkan Perlembagaan Sabah, jawatan Ketua Menteri hanya terlucut melalui kematian, letak jawatan atau kehilangan sokongan ADUN (undi tidak percaya) semasa DUN sedang bersidang.

Sebagai kita ketahui 3 faktor menyebabkan jawatan Ketua Menteri terlucut, belum berlaku.

Bagi rakyat Sabah menunggu 26 Oktober adalah untuk membuktikan apa kah Mahkamah membuat keputusan berasaskan Perlembagaan Negeri, kerana jika keputusan berdasarkan di luar konteks Perlembagaan, maka impaknya terlalu besar terhadap perlembagaan itu sendiri.

Jika berlaku keputusan mahkamah di luar konteks Perlembagaan Negeri, maka perlembagaan Sabah bertukar kepada Rule Of Jungle.

23 September 2018

HALA TUJU SABAH TERSEKAT SEMENTARA

CUKUP jelas sebaik sahaja Datuk Seri Musa Aman (kini Tan Sri) dilantik ke jawatan Ketua Menteri Sabah pada tahun 2003, beliau merperkenalkan Halatuju Pembangunan & Kemajuan Sabah (Halatuju) sehingga tahun 2025. 

Matlamat utama halatuju itu, adalah Sabah akan menjadi negeri maju (Sabah lepas landas). 

Apabila bercakap berkaitan pembangunan & kemajuan negeri, maka ianya meliputi seluruh kawasan atau daerah, tanpa kecuali.

Tidak ada istilah meminggirkan pembangunan & kemajuan mana-mana kawasan atau daerah, seperti mana dituangkan dalam halatuju yang dilancarkan Musa, kerana pada tahun 2025, semua kawasan atau daerah perlu seimbang atau samarata daripada segi pembangunan & kemajuan.

Bagi Musa, menerusi pengenalan halatuju, tiada istilah mempolitikkan pembangunan & kemajuan sesuatu kawasan atau daerah, kerana hala tuju itu mencakupi semua kawasan, baik luar bandar, spra bandar dan bandar.

Kelajuan pembangunan & kemajuan sesuatu kawasan, memang tergantung kepada sumber kewangan negeri dan juga persekutuan. Bagi kawasan/daerah di mana wakil rakyatnya mempunyai kedudukan sebagai menteri, pembantu menteri, menteri persekutuan atau timbalan menteri, maka pembangunan & kemajuan bagi kawasan/daerah itu lebih cepat sedikit berbanding kawasan yang diwakili oleh wakil rakyat biasa.

Dalam sistem agihan peruntukan bagi kawasan-kawasan samada DUN dan Parlimen, adalah sama, namun apabila kawasan itu diwakili seorang menteri atau pembantu menteri atau menteri persekutuan atau timbalan menteri, kawasan/daerah itu mendapat peruntukan menerusi kementerian seseorang wakil rakyat itu berpaksi pada kuasa pada beliau.

Adalah satu kebiasan, apabila sesebuah kawasan/daerah diwakili wakil rakyat yang ada kedudukan kerajaan, kawasan sedemikian lebih cepat menerima pembangunan & kemajuan.

Musa menerima hakikat, bahawa membangun & memajukan Sabah perlu peruntukan besar daripada Persekutuan, sebab itu, bukan sahaja beliau akan tetapi negeri mengharapkan peruntukan itu daripada para pemimpin Sabah yang mempunyai kedudukan menteri di peringkat Persekutun. Makna kata, setiap sen peruntukan untuk membangun & memajukan Sabah ibarat kata pepatah kecil tapak tangan nyiru ditadahkan. Kesedian menerima peruntukan daripada Persekutuan, membawa erti, tiada dalam kamus Musa menghalang setiap projek daripada Persekutuan, yang membawa pembanguan & kemajuan, kerana ianya selaras dengan HALATUJU Negeri.

Apabila seorang pemimpin Sabah pada tahun 2009 dilantik ke jawatan Menteri Kemajuan Luar bandar & wilayah (KKLW) bukan sahaja Musa akan tetapi Sabah berterima kasih kepada Dato Seri Najib Razak, kerana kementerian itu memang disalurkan banyak peruntukan untuk memajukan kawasan luar bandar, khusus membina infrastruktur seperti bekalan air bersih luar bandar (BALB), bekalan elektrik luar bandar (BELB), jalan raya luar bandar (JRLB) serta jalan kampung, kerana menerusi kementerian itu, sekurang-kurangnya 25% peruntukan keseluruhan yang disalurkan adalah untuk Sabah. Sebab itulah, daripada tahun 2009-2015, sejumlah RM7.5bilion peruntukan kementerian itu adalah untuk luar bandar Sabah.

Peruntukan RM7.5bilion itu merupakan RM1.25bilion setahun. Angka itu memang cukup besar untuk Sabah, kerana bajet Negeri hanya sedikit di atas RM4bilion setahun. 

Jika dana KKLW sebesar RM7.5bilion benar-benar digunakan untuk pembangunan infrastruktur luar bandar, termasuk di kawasan Semporna, maka rungutan berkaitan BALB, BELB, JRLB dan jalan kampung tidak lagi menjadi rungutan rakyat.

Membangunan & Memajukan Sabah sesuai dengan HALATUJU, aspek keselamatan adalah antara faktor yang menunjang. Sebab itu, ekoran pencerobohan Lahad Datu pada tahun 2013, diwujudkan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah yang meliputi 1400km daripada Kudat ke Tawau, dan kawasan itu diberikan peruntukan ratusan juta oleh Kerajaan Persekutuan.

22 September 2018

LOJI ARANG BATU SABAH

Loji Arang Batu Sabah yang diletak di Lahad Datu, dicadangkan pada tahun 2008, namun dibatalkan pada tahun 2010 kerana tidak mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS). 

Antara individu yang memprotes loji itu adalah MP Bentong sekarang ini- Wong Tack. 

Tun Dr Mahathir semasa lawatan ke Sabah sempena Hari Malaysia, melontarkan cadangan, untuk mengatasi bekalan elektrik Sabah, perlu menggunakan arang batu.

Apabila loji arak batu terpaksa dibatalkan, maka kerajaan negeri bersama Lembaga Litrik Sabah (SESB) dan TNB mencadangkan pula loji menggunakan gas cecair, sebab itu dibina Transpipe daripada Kimanis ke Pantai Timur.

Kerajaan sementara Sabah, sangat teruja dengan cadangan membina loji arang batu di Sabah, memandangkan, stok arang batu di kawasan Lembah Danum, Kawasan yang diistiharkan sebagai paru-paru Borneo oleh Unesco dan WWF.

Loji arang batu mempunyai impak alam sekitar yang luar biasa. Mengapa Shafie Apdal sangat teruja? Apa kah beliau ingin mengorbankan alam sekitar Sabah? atau kah peluang melombong arang batu adalah peluang bagi syarikat-syarikar kroni? 

Pihak pencinta alam sekitar, khususnya MP Bentong, jangan berdiam diri, jangan double standard.

SATU MASA YANG LALU ANTARA MUSA DAN SHAFIE-PERBANDINGAN JUJUR

1. Selepas Datuk Shafie Apdal menjadi pembangkang baru disedari apabila membandingkan pencapaian mantan Naib Presiden Umno itu dengan Tan Sri Musa Aman jika dilihat daripada presfiktif kedudukan dalam parti.

2. Shafie yang berkedudukan Naib Presiden Umno, sebenarnya adalah pemimpin berkedudukan nombor tiga dalam negara, selepas Presiden, dan Timbalan Presiden, kerana Umno merupakan tunjang kerajaan parti Barisan Nasional.

3. Pada kedudukan nombor tiga dalam negara dan pernah dilantik menduduki berbagai kementerian dan terakhir kementerian kanan KKLW, setidak-tidaknya beliau mempunyai peluang melantik anak-anak Sabah, setidak-tidaknya di kementerian di mana beliau menjadi menteri. Apa yang malangnya, sehinggalah beliau dipecat, tiada seorangpun penjawat awam daripada Sabah pernah beliau syorkan atau dilantik ke jawatan awam diperingkat Persekutuan.

4. Seorang penjawat awam bersuku bajau asal Semporna Datuk Mohammad bin Mentek, oleh kerana Tan Sri Musa Aman dan mendapat persetujuan daripada Dato Rahman Dahalan, maka dilantik ke jawatan Ketua Setiausaha (KSU) pertama kementerian. Selepas perlantikan itu, maka diikuti oleh anak-anak Sabah lain yang mengetuai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)- Datuk Sabin Samitah, Lembaga Koko Malaysia (Datin Norhaini Udin), Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Datuk Dr Amin Senin), Timbalan KSU MOSTI (Dr Ramzah Dambul).

5. Di peringkat negeri pula, jabatan-jabatan Persekutuan di Sabah 80 peratus diduduki oleh penjawat awam asal Sabah, termasuklah Jabatan Kastam DiRaja Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran, selain Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah dan juga Naib Cencalor Universiti Malaysia Sabah (UMS).

6. Melihat pada perbandingan pencapaian antara Musa dan Shafie ibarat bumi dan langit. Pencapaian Musa untuk mengangkat martabat penjawam awam Sabah di peringkat Persekutuan meskipun tidak didendangkan akan tetapi rekod bercerita dengan sendirinya.

7. Musa tidak pernah pun bercakap atau menguar-uarkan, Sabah for Sabahan, apa tah lagi menjadikannya sebagai slogan, akan tetapi beliau “walk the talk”.

8.  Seharusnya, setiap rakyat negeri ini, perlu bertanya, mengapa ramai anak-anak watan Sabah diberi peluang di peringakat Persekutuan, kalau dikatakan kerana Shafie atas kapasiti beliau sebagai mantan pemimpin nombor tiga dalam Umno itu sepertimana dakwaan pemimpin parti Warisan Sabah, mengapa tiada seorangpun anak Sabah dilantik di kementerian di mana beliau menjadi menteri?

9. Hakikat yang perlu diterima adalah kerana aura kepimpinan Musa, maka bukan sahaja ramai penjawat awam Sabah diberi kepercayaan di peringkat Persekutuan, akan tetapi juga ramainya pemimpin politik Sabah diberi peranan termasuk dilantik ke jawatan menteri-menteri kanan Persekutuan, dilantik sebagai Duta dan perwakilan luar negara..

10. Setiap rakyat Sabah perlu menerima hakikat, kepimpinan Musa telah mengangkat martabat Sabah sebagai sebuah negeri yang mengasaskan Persekutuan Malaysia.

11. Jika diteliti rekod kewangan dan kadar kemiskinan Sabah serta rekod keluasan hutan Sabah semasa Musa dilantik ke jawatan Ketua Menteri pada tahun 2003, maka secara jujur perlu diakui, bahawa kepimpinan Musa tidak boleh dipertikai. Pada tahun 2003, simpanan kewangan Sabah hanya berjumlah RM184juta, namun pada tahun 2017 telah meningkat kepada RM3.74bilion, satu peningkatan 1,933 peratus atau peningkatan 138 peratus setahun. Demikian juga kadar kemiskinan Sabah, yang mana pada tahun 2009 masih 19.8 peratus, namun pada tahun 2017 menurun dengan tajam kepada 2.9 peratus. Manakala keluasan hutan kekal Sabah daripada 838ribu hektar pada tahun 2002 kepada 1.87juta hektar pada tahun 2017.

12. Dari segi pencapaian politik pula, Musa pertama kali mengetuai pilihanraya negeri pada tahun 2004 dan seterus pada PRU 2008 dan 2013, semuanya dimenangi dengan kuasa 2/3, manakala jumlah ahli parlimen daripada Sabah sumbangannya kepada Bn Pusat cukup signifikan. Di lihat daripada rekod politik itu, menunjukkan bahawa Musa, bukanlah pemimpin yang bersifat perkauman, akan tetapi adalah pemimpin semua.

13. Menoleh kepada anggota kabinet Kerajaan Negeri dan struktur perkhidmatan awam negeri, terlihat sungguh kombinasi berbagai kaum yang mewakili rakyat majmuk negeri Sabah. Tiada suku kaum yang terpinggir, termasuk daripada suku kaum yang kecil.

14. Menilai pemimpin, adalah daripada segi rekod, bukannya berasaskan kepada cakap-cakap seperti mana yang dilakukan Shafie dan pemimpin parti Warisan Sabah. Hakikat yang perlu diterima oleh pemimpin parti Warisan Sabah, bahawa Shafie pernah diberi tanggungjawab besar semasa masih dalam Umno, namun beliau telah gagal menjalankan tanggugjawab.

15. Amanah yang diberikan Perdana Menteri Dato Seri Najib Razak untuk membangun dan memajukan luar bandar Sabah dengan peruntukan yang besar yang disalurkan menerusi kementerian KKLW, walupun disiasat SPRM, tetapi beliau dibebaskan, kerana demikian trend Kerajaan Pakatan Harapan hari ini, untuk membebaskan seketu mereka.

16. Memang benar, tanggungjawab kerajaan Persekutuan membina kemudahan seperti lebuh raya, namun kemudahann itu hanya terealisasi semasa Musa menerajui kerajaan negeri.  Shafie kena menerima hakikat kepimpinan Allahyarham Tun Mustapaha, Tan Sri Harris Salleh, Tan Sri Pairin dan bapa saudara beliau Tun Sakaran Dandai?, tidak berjaya merealisasikan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo? termasuk mengiktiraf 16 September untuk disambut secara kebangsaan?

17. Fakta yang perlu diterima Shafie, kerana kepimpinan Musa, bukan sahaja para pemimpin Bn Sabah bekerja sepasukan dengan beliau, malah para pemimpin Persekutuan juga bekerja sepasukan dengan beliau, sebab itu, sebarang keperluan Sabah dan rakyatnya sentiasa diberikan.

18. Setiap peruntukan Persekutuan yang disalurkan kepada Kerajaan Negeri setiap sen dibelanjakan untuk pembangunan dan kemajuan negeri, sebab itulah setiap laporan Ketua Audit Negera, sentiasa memberikan lima bintang berdekad lamanya terhadap pengurusan kewangan negeri. Rekod pengurusan kewangan negeri hanya terpalit dengan perbuatan tidak amanah apabila melibatkan dana KKLW semasa Shafie menerajui kementerian itu, khususnya berkaitan dana yang disalurkan pada Jabatan Air Sabah, yang mana peruntukan itu tidak dihibahkan kepada pengetahuan kerajaan negeri.

19. Tindakan Shafie dan pemimpin parti Warisan Sabah membunuh karakter Musa, tidak akan diterima rakyat majoriti Sabah, kerana Musa adalah pemimpin yang membawa Sabah ke status yang sepatutnya.

20. Sabah dibawah teraju Musa akan menuju negeri maju pada tahun 2025, sesuai dengan Halatuju Pembangunan & Kemajuan Negeri Sabah (HALATUJU). Bagi Musa, semasa mempunyai kuasalah menunaikan semua janji, melaksanakan pembelaan kepada rakyat, namun rakyat menyaksikan sendiri, selama 4 bulan kerajaan sementara yang diterajui Shafie, tiada janjipun yang dilaksanakan, kecuali membenarkan penggunaan pam bot di Semporna, yang akhirnya aktiviti penculikan berlaku semula.

21. Semasa PRU-14  rakyat Sabah,terpengaruh dengan bunyi guruh di langit, lalu mencurahkan air di tempayan, kini, penoreh, nelayan, pesawah, ibu-ibu tunggal, kehilangan bantuan sara hidup bulanan.

21 September 2018

SEJAUH MANA KEKUATAN MENTAL WAKIL RAKYAT UMNO SABAH?

Melihat senario politik pasca PRU-14, sejauh mana kekuatan mental para wakil rakyat Umno Sabah baik MP dan ADUN? 

Pada 11 Mei, 2018, 4 ADUN Umno telah berpaling tadah, iaitu ADUN Balung, Tanjong Batu, Sebatik dan Kemabong, kemudiannya diikuti ADUN Sugut, Pitas dan Sukau.

Pada 18 September, seorang MP pula meninggalkan parti. 

Kini ADUN Sabah daripada Umno, hanya berbaki- ADUN: Tempasuk, Usukan, Sulaman, Kawang, Membakut, Klias, Lumadan, Karanaan, Sungai Sibuga, dan Apas. Manakala MP:- Kudat, Beaufort, Sipitang, Beluran, Libaran dan Kinabatangan.

Dari segi jumlah MP secara keseluruhan, daripada 54, kini berbaki 49, 6 di Sabah dan 43 di Semenanjung.

MP Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin yang juga Timbalan Pengerusi Umno Sabah telah menyatakan, hanya Umno parti beliau, demikian juga ADUN Karanaan- Datuk Masidi Manjun yang juga Setiausaha Umno Sabah menyatakan demikian. Semalam, ADUN Membakut yang kini memangku Ketua Bahagian Umno Kimanis bertekad untuk memperkasakan parti dan seterusnya bangkit semula.

Sebelum ini, iaitu pada 13 September, Datuk Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, bertekad dan berjuang bersama parti PBS dan STAR berdepan dengan PRU-15 dan merampas semula kepercayaan rakyat Sabah untuk memerintah negeri.

Sebelum itu, ADUN Sungai Sibuga- Tan Sri Musa Aman, selepas mengangkat sumpah ADUN pada 5 September, juga berjanji terus berjuang untuk kepentingan rakyat Sabah.

Daripada senarai wakil rakyat Sabah (MP atau ADUN), hanya MP Beaufort, Beluran dan Kinabatangan (MP) berpengalaman sebagai pembangkang, manakala ADUN pula, Tempasuk, Sulaman, Kawang, Karananan, Sungai Sibuga biasa dalam pembangkang.

Penulis melihat walaupun terdapatnya  para MP dan ADUN kurang pengalaman sebagai pembangkang, namun semangat dan jati diri mereka, mengiakan, bahawa mereka akan tetap bersama Umno.

Bertahan sebagai pemimpin pembangkang dan wakil rakyat pembangkang memang cukup besar dugaanya. Hanya mereka yang benar-benar tangguh dapat bertahan. 

Penulis cukup bangga dengan para Ketua Bahagian dan para pemimpin bahagian dan cawangan parti, setakat ini, tidak ternampak gelombang berpaling tadah. Tanda-tanda seumpama ini, menunjukkan bahawa Umno Sabah akan bangkit semula.

Empat lapisan kepimpinan parti, induk, wanita, pemuda dan puteri, nampaknya cukup kukuh, dan terus melangkah ke hadapan, bagi memastikan pencapaian parti akan dipulihkan pada PRU akan datang.

Kerajaan Sementara Sabah- Menjerumuskan Negeri Ke era Kegelapan

Akan Berulang Kah?
Rupanya, slogan Sabah Ubah itu membawa pengertian menunjukkan kerakusan pihak-pihak tertentu.

Dalam tempoh 4 bulan, kerajaan sementara Sabah yang diterajui parti yang melaung-laungkan Sabah Ubah, hanya berpaksi kepada etnik-etnik tertentu dan susur galur keluarga tertentu.

Sabah yang mempunyai 36 suku etnik, rupanya hanya dikuasai oleh 1-2 etnik, kerana digambarkan menerusi jawatan Ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri, Ketua Setiausaha politik dan jawatan-jawatan politik yang berpengaruh semuanya daripada etnik yang sama, malah daripada susur galur yang sama.

Jika sekiranya kerajaan Sabah diteruskan berpaksi kepada para individu ini, boleh kah Sabah maju? sebabnya rekod menunjukkan, bahawa kawasan di mana etnik ini berasal, sampah sarafpun di kawasan pekan tidak dapat ditangani.

Dalam tempoh masa 4 bulan jadi kerajaan sementara, apa yang rakyat nampak, adalah kebakaran rumah-rumah setinggan, kemudiannya dijawab, akan ada penempatan baru bagi mereka ini, kemudiannya mmberikan dokumen khas kepada pendatang asing tanpa izin (PATI), malah ada pihak-pihak tertentu di kalangan penyokong parti berkenaan mengambil peluang menjual borang-borang pendaftaran kad pengenalann untuk mengaut keuntungan kewangan. Malah ada antara pegawai mereka lebih berminat melihat cela paha wanita.

Dalam tempoh 4 bulan, belum ada polisi yang dicanangkan yang mengarah kepada pembelaan kepada rakyat, khususnya generasi muda dalam bidang-bidang menjana pendapatan atau aktiviti ekonomi yang boleh menyediakan peluang-peluang pekerjaan.

Malah harapan rakyat Sabah yang mengharapkan bayaran 20% royalti  daripada Petronas semakin samar, dan tidak akan bakal diperolehi. Selain itu, apa yang mendukacitakan lagi kadar 5% royalti yang dibayar sejak tahun 1976, akan dikurangkan, kerana Tun Dr Mahathir menganggap jumlah 5% itu terlalu besar.

Nampak gaya, Sabah dan rakyatnya akan kembali ke era kegelapan seperti mana tahun 90-an, sehinggakan masa itu rekod kemiskinan negeri lebih 30%, malah Sabah jatuh sebagai negeri termiskin dalam negara.

Tiada cara memajukan negeri, selain memperbagai aktiviti ekonomi. Menebang konsensi balak untuk mendapatkan kewangan negeri bukan caranya, kerana telah dibuktikan semasa negeri bergantung kepada balak, rakyat tetap sahaja miskin, yang kaya adalah para pembalak atau tauke-tauke balak dan para pemimpin politik.

Kerajaan Sabah yang lalu, telah membuktikan, bahawa menerusi aktiviti ekonomi, maka Sabah membangun dan maju, sebab itu dapat mengumumpul kewangan lebih RM3.7bilion, KDNK meningkat sehingga lebih RM73bilion, sehinggakan Sabah menduduki urutan ke-5 daripada segi KDNK, berbanding sebelumnya tercorot.

Ekonomi Sabah sehingga tahun 2017 terus berkembang maju, sehinggakan dapat membentang bajet bagi tahun 2018 sebesar RM4.104bilion dengan angaran pendapatan sebesar RM4.169bilion. Apa kah anggaran pendapatan itu dapat dicapai, memandangkan kerajaan Sabah kini diperintah oleh Kerajaan sementara?

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels