29 December 2012

Calon PRU BN dijamin bebas rasuah, jenayah

PUTRAJAYA - Semua calon Barisan Nasional (BN) yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bebas rasuah dan jenayah, kata Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini.

Beliau berkata, bakal calon BN bagi kesemua 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) telah melalui proses saringan teliti termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi untuk memastikan calon tersebut ‘bersih’ dan bebas masalah.

"Semua calon BN yang bakal bertanding telah melalui proses saringan yang teliti,"katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan persekolahan, uniform Rela, ramah mesra bersama pemimpin dan pesta jom makan durian di sini hari ini.

Selain itu, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno berkata, latar belakang bakal-bakal calon BN juga dikaji secara mendalam untuk memastikan mereka adalah pilihan rakyat.

"Kita mahu calon yang bakal bertanding itu adalah mereka yang dikehendaki rakyat, bukannya kehendak parti atau individu-individu dalam parti. Kita mahu calon yang rakyat fikirkan dia boleh mewakili rakyat," katanya.

Mengenai muka baru dan calon wanita yang bakal bertanding dalam PRU13, Tengku Adnan berkata “itu rahsia parti”.

Baru-baru ini, Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM Datuk Johan Jaaffar mencadangkan semua parti politik menghantar senarai calon yang akan bertanding dalam PRU Ke-13 untuk ditapis SPRM.

Cadangan itu adalah untuk memastikan calon-calon yang bakal bertanding 'bersih' daripada rasuah selain mengelak sebarang tohmahan tidak berasas ke atas mana-mana individu atau parti di belakang calon itu.

Pada majlis yang sama, Tengku Adnan yang juga Anggota Parlimen Putrajaya berkata beliau dan Perbadanan Putrajaya (PPj) akan terus menggemblengkan tenaga untuk menyediakan keperluan bagi memberikan keselesaan kepada penduduk.

"Saya juga memohon maaf kepada penduduk di sini kalau ada kesilapan-kesilapan yang terlepas pandang atau terlupa perkara-perkara yang patut saya lakukan bagi pihak mereka, tetapi tak dapat lakukan.

"Saya juga mengingatkan mereka agar menjadi masyarakat contoh untuk negara kerana Putrajaya merupakan sebuah bandar lestari," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment