1 January 2013

PRU-13: Semua sudah bersdia

TIADA lagi permainan teka-teki apabila pilihan raya umum pastinya akan diadakan pada tahun ini.

Kehadiran tahun 2013 merupakan permulaan kiraan detik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), di mana tarikhnya menjadi perbualan hangat pemimpin politik dalam tempoh dua tahun lalu.

Dengan hanya tinggal 17 minggu saja lagi sebelum penggal Dewan Rakyat tamat pada 28 April ini, semua parti politik bersedia menghadapi pilihan raya yang dianggap paling sengit.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata SPR sudah 100% bersedia menjelang penghujung Februari, ia merupakan tarikh akhir untuk menyiapkan segala persiapan untuk pilihan raya seperti menjamin penggunaan dakwat kekal buat pertama kalinya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan menyelesaikan lawatan kerja ke luar negara terakhir selewat-lewatnya bulan depan (Februari).

Selepas itu mereka akan berada di dalam negara untuk membuat persiapan terakhir menjelang pilihan raya, kata sumber.

Jadual perjalanan Najib ke luar negara termasuklah Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland manakala Muhyiddin akan melakukan lawatan kerja ke Amerika Syarikat (AS) bulan ini.

Ucapan Tahun Baru Najib yang menggariskan pencapaian kerajaan pada tahun lalu berkata, hala tuju negara bergantung kepada pilihan 13.1 juta rakyat Malaysia yang akan keluar mengundi dalam masa terdekat.

"Kerajaan dan saya sendiri tidak akan mampu mengkhidmati rakyat Malaysia dengan kadar yang terbaik tanpa sokongan dan dukungan padu daripada seluruh rakyat.

"Beri kami mandat jelas dan kami berjanji untuk memenuhi kepercayaan anda dengan cara terbaik bagi membina negara Malaysia untuk semua.

"Malah buat masa ini, ia terbukti bahawa kami sudah memenuhi segala janji dan komitmen," kata Najib.

Muhyiddin dalam ucapan Tahun Barunya menggesa rakyat untuk menyokong kerajaan dalam usaha meletakkan Malaysia di landasan yang tepat untuk mencapai status negara maju menjelang 2020.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, Tahun Baru ini menjanjikan sesuatu yang menarik kerana parti itu akan berdepan pertempuran hidup atau mati.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tengku Adnan Tengku Mansor berkata ibu pejabat bersedia mengeluarkan arahan kepada peringkat bahagian untuk bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa saja.

"Ia seperti bersedia untuk peperiksaan; kami sudah melakukan persediaan asas dan sedang menunggu semboyan daripada Perdana Menteri," kata Setiausaha Agung MIC, Datuk S.Murugesan.

Sementara itu, Pakatan Rakyat turut memasuki tahun 2013 dengan semangat yang membara.

Satu perhimpunan besar oleh Pakatan dijangka menghangatkan arena politik negara menjelang pilihan raya.

No comments:

Post a Comment