12 July 2025

SIMULASI DATA KEPUTUSAN PRN-16 SABAH- INDIKASI KEPUTUSAN PRN-17

MUNGKIN ada yang menganalisis menggunakan data keputusan PRN-16, untuk simulasi meramalkan keputusan PRN-17 Sabah.

Andaian : GRS LAWAN BH-PH LAWAN PARTI WARISAN, tiga parti “kelas berat” bertembung antara satu sama lain.

Hasil simulasi, menunjukkan GRS di hadapan, ertinya boleh menang majoriti mudah sekurang-kurangnya 37/73.

Oleh kerana data kaku, dan tidak semestinya menggambarkan pola pengundian pada PRN-17 Sabah, selain pengelibatan undi kali pertama dan Undi-18, hasil simulasi hanya indikasi.

Pengalaman menggunakan data simulasi, mempunyai ketepatan antara 75-80 peratus, ertinya, jika menerusi simulasi GRS boleh menang 51 kerusi, pada dunia nyata, ianya berjumlah 38-41.

Angka 38-41, menunjukkan, GRS masih dihadapan berbanding parti-parti lain.

Andaian penulis tiada maksud mempengaruhi pandangan mana-mana pihak, kerana ramalan hanya berpandukan pada data kaku, yang tentunya berubah mengikut masa, situasi dan isu-isu semasa.

Namun, jika sekiranya parti GRS sudah memaksimumkan pendekatan di peringkat akar umbi, dengan menyampaikan pencapaian kerajaan yang diterajui parti, terutama di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM), maka, kerusi yang bakal dimenangi parti tersebut, tidak jauh berbeza dengan data simulasi.

PEMBUNUHAN KARAKTER - ASAM GARAM DALAM POLITIK

PEMBUNUHAN karakter yang didepani pemimpin GRS, merupakan asam garam politik pada setiap pilihan raya. Atas sebab itu, dalam politik, jika takut di lambung ombak, jangan berumah di tepi Pantai.

Keteguhan pendirian salah seorang pemimpin yang menjadi sasaran pembunuhan karakter, Datuk Dr Yusof Yakub, adalah contoh seorang pemimpin yang kukuh dan tidak tergoyahkan, kerana terlihat semasa perbahasan pada Sidang DUN Sabah pada Isnin-Selasa lalu, cara berucap, seperti biasa, tidak terganggu dengan tindakan membawa beliau ke mahkamah.

Sasaran pembunuhan karakter pada pemimpin seperti Dr Yusof yang merupakan pemimpin berkretiria pemimpin-kaum-kawasan, tidak mempengaruhi keboleh menangan.

Dr Yusof teruji, pada PRU-14, apabila menggunapakai platform lain, selain platform tradisi beliau, Umno/BN, demikian juga pada PRN-16 Sabah, kerana memenuhi kretiria tiga elemen serangkai pemimpin-kaum-kawasan, maka tetap diberi mandat.

Tidak dinafikan, projek pembunuhan karakter yang disasarkan pada pemimpin GRS sedikit sebanyak mengundang percakapan atau usikan di kalangan akar umbi, akan tetapi jika terkait dengan pemimpin yang berkretiria tiga elemen serangkai dan pada masa yang sama telah memberi perkhidmatan terbaik di kawasan yang diwakili, maka, apa pun bentuk gelombang, mereka akan dapat mengharunginya dengan jayanya.

KEUTAMAAN GRS ADALAH MEMPERTAHANKAN KERUSI YANG DISANDANG

KEUTAMAAN GRS adalah mempertahankan 38/73 kerusi yang disandang. Setiap penyandang, sudah tentu maklum akan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Jika kekurangan lebih tinggi peratusan, maka beri laluan pada yang lebih tinggi peluang menang.

Utamakan parti dahulu, kerana setiap pemimpin mempunyai peranan masing-masing, tidak semestinya menerusi wakil rakyat.

Masa sekarang, adalah masa-masa kritikal bagi parti, kerana sedang berhadapan dengan parti-parti yang ingin mengambil kuasa.

BN-PH sedang bermain perang psikologi terkait kerjasama, supaya, GRS berkedudukkan dilemma.

Penulis yakin, pucuk pimpinan GRS mempunyai keputusan muktamad terkait kaedah berdepan pilihan raya, dan tentunya keputusan tersebut boleh mengekalkan parti sebagai parti tunggak.

“magic numbers” 3773 adalah sasaran.

Konvensyen PBS-STAR tentunya akan membuat ketetapan kaedah berhadapan pilihan raya, demikian juga Persidangan Agung Tahunan (PAT) Gagasan Rakyat yang diadakan pada 25-27 julai juga akan menumpukan pada keadah berhadapan pilihan raya.

Tiga parti dalam GRS yang menyandang 37/38 kerusi, tentunya akan menggunakan kaedah terbaik mempertahankan kerusi-kerusi yang disandang.

Hasrat mana-mana parti dalam pilihan raya selain keutamaan mempertahankan kerusi yang disandang, juga berhasrat menang di kerusi-kerusi baharu, dan jika itu menjadi kenyataan, maka ianya berupa bonus.

Memetik kenyataan Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Masiung Banah, “wind of change” cukup kuat di kerusi-kerusi yang disandang parti lain, dan tiupan angin itu menuju ke GRS.

setakat ini, hanya Parti Warisan dan KDM telah membuat keputusan bergerak solo, itu pun masih tertakluk perubahan selepas DUN dibubar. Parti Warisan mempunyai latar belakang keputusan berubah-ubah, kerana itu, boleh dikatakan setakat ini, tiada mana-mana parti memuktamdkan kaedah yang digunakan.

Apa yang mustahak bagi GRS, apapun bentuk pendekatan, kena bersedia, dan pastikan kerusi yang disandang dipertahankan.

Menurut pandangan penulis, GRS tiada masalah mempertahankan kerusi-kerusi yang disandang, kerana para penyandang memenuhi kretiria calon-kaum-kawasan, makna kata, mereka adalah pemimpin terpilih di kerusi masing-masing.

11 July 2025

GRS KENA PERTAHANKAN KERUSI YANG DISANDANG: APAPUN BENTUK PENDEKATAN

APAKAH ada kerjasama antara parti-parti atau sebaliknya, GRS kena mempertahankan kerusi yang disandang, dan jika menang kerusi lain, ianya bonus.

Isu sekarang, bukan isu berapa banyak kerusi ditandingi, akan tetapi berapa kerusi boleh dimenangi.

Umno biasa bertanding banyak kerusi seperti pada PRN-16, tapi hanya menang 14, pada PRN2023 enam negeri bertanding 108 kerusi hanya menang 19.

Dalam fikiran pemimpin BN-PH, mereka boleh menang banyak kerusi apabila meletakkan ramai calon, dengan pertimbangan tiada pertembungan antara mereka. Perkiraan mereka, berlaku campuran undi antara penyokong masing-masing, walaupun tidak berlaku pada PRN2023, malah mengundang penolakan.

Betul pada PRN-16, apabila DAP menggunakan LOGO Warisan, maka memberi keuntungan pada parti tersebut, tetapi tidak semestinya jika bersama Umno/BN.

Jika sentimen seperti PRU-15 berterusan, maka kecenderungan lebih kepada parti GRS, makna kata, peluang mempertahankan 38/73 kerusi cukup cerah, malah boleh menang di kawasan-kawasan lain.

Mood pengundi semasa, adalah Hubungan Kerajaan dengan Kerajaan, bukan hubungan antara parti. Hubungan antara parti bertujuan kestabilan, agar tidak berlaku kacau ganggu, sepertimana Langkah Kinabalu.

Matlamat BN-PH, selain hubungan kerajaan dengan kerajaan juga hubungan anatara parti, membawa maksud, kerajaan negeri kembali ke era masa lalu, tiada kuasa penentu.

Mood rakyat Sabah, kuasa penentu di tangan kerajaan negeri, sebab itu memilih hubungan antara kerajaan dengan kerajaan (G toG), seperti Sarawak.

UMNO HILANG KEYAKINAN PADA AHLI PARTI SENDIRI

MENJELANG PRN-17 Sabah, UMNO hilang keyakinan pada jumlah ahli parti yang ramai, dan terpaksa mengubah strategi dan fokus pada pengundi muda dan atas pagar.

Pemimpin parti itu menyedari, keahlian parti itu di Sabah yang berjumlah lebih 600,000 hanya atas kertas.

Apabila parti hilang keyakinan pada jumlah keahlian, bermakna, parti itu hilang sentuhan pada ahli sendiri.

Dengan ahli sendiri pun hilang sentuhan, takkan pula, bukan ahli terhegeh-hegeh menyokong.

Fokus pada pengundi muda, atas faktor apa, pengundi muda tertarik dengan parti tersebut, sedangkan pengundi golongan tersebut sudah tidak menyokong sejak PRU-14.

Pengundi atas pagar pula, faktor apa yang mendorong pengundi golongan tersebut menyokong? Takkan menyokong pemimpin seperti Datuk Bung Moktar Radin? Tawaran apa yang boleh ditawarkan?, selain RADU TATAP RADU atau “MINUM DARAH”.

Punca pengangguran yang membabitkan golongan muda, kesan pemerintahan Umno yang tidak mengwujudkan peluang-peluang pekerjaan berdekad-dekad, kerana tidak memberi fokus pada kemajuan dan pembangunan negeri.

Apabila jumlah pengangguran terus bertambah, maka ianya diwariskan pada kerajaan GRS. Kerajaan GRS telah berusaha sebaik mungkin, akan tetapi, kerana jumlah yang sangat ramai, maka, dalam kedudukan demikian, tiada mana-mana kerajaan dalam menyelesaikan dalam tempoh 5 tahun.

Pun demikian, kerajaan GRS, dapat menurunkannya kepada 6.7% setakat Mei 2025, berbanding 8.2% pada tahun 2020. Penurunan yang signifikan tersebut, bermaksud, kesan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ1.0) di landasan betul.

Tak kan mereka yang tiada pekerjaan sebelum ini, dan kini sedang bekerja, maka terhegeh-hegeh menyokong Umno?

Penganggur yang mendapat pekerjaan adalah manusia, mempunyai perasaan, mempunyai rasa bersyukur, dan mempunyai pengalaman sendiri. Ertinya, mereka menyokong, parti yang menerajui kerajaan yang menjadi punca mereka berpendapatan.

Angan-angan Umno untuk menjadi parti dominan di Sabah, untuk era ini, sangat sukar berlaku, kerana ingatan rakyat yang menolak parti itu masih segar, apa tah lagi sebahagian besar masih sebahagian 1.7 juta pengundi Sabah.

10 July 2025

HALA TUJU SABAH MAJU JAYA -UNTUK RAKYAT SABAH

ADALAH fakta, apabila Datuk Shafie Apdal menjadi Ketua Menteri pintu belakang, bagaikan kera mendapat bunga, sebab itu tiada hala tuju.

Mengurus negeri seperti tikus membaiki labu.

Masuk bakul mengangat sendiri, hanya tin kosong.

Diberi peluang pelbagai jawatan Persekutuan, terbukti, langsung tidak berguna, apabila menjadi Ketua Menteri.

Pada PRN-17 Sabah Shafie bersama Parti Warisan masih mencuba mempengaruhi rakyat, dengan naratif masuk bakul angkat sendiri.

Rakyat tidak boleh dibantu dengan kepetahan bercakap, akan tetapi menerusi kerja keras, diam ubi berisi.

Pilihan raya, bukan mencari pemimpin yang pandai bercakap, tetapi, pemimin yang boleh bekerja.

Rakyat Semporna sejak tahun 1995, memilih Shafie, tetapi, apa yang di bawa ke Semporna? Kalau bukan anugerah Tuhan, kerana Pulau-pulau yang cantik seperti Sipadan, dan dasar kerajaan memajukan industri pelancongan, penduduk Semporna, akan berdepan kehidupan yang amat sukar.

Antara Hajiji dan Shafie, jika dilihat sebagai ketua, ibarat langit dan bumi. Hajiji, hanya berpengalaman di peringkat negeri, pemimpin peringkat negeri, akan tetapi, apabila diberi peluang, telah menunjukkan kebolehan dan kemampuan.

Kebolehan Hajiji, apabila inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ1.0) 94% telah direalisasikan, satu pencapaian cemerlang. Mengapa pencapaian mendapat markah A++, kerana Hajiji menunjukkan keupayaan memimpin.

Betul pencapaian SMJ1.0, bukan kerana Hajiji seorang, ianya usaha secara kolektif bersama pemimpin lain, kakitangan awam dan rakyat. Berbeza dengan kepimpinan era Shafie, yang berslogan SABAH KITA PUNYA, hanya berlegasi, LOGO WARISAN dibina di depan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS kini Menara Kinabalu).

HAJIJI BUKTIKAN KEBOLEHAN SEBAGAI KETUA

PRESIDEN Parti Warisan, Datuk Shafie Apdal dengan pelbagai jawatan Persekutuan, dengan akses ribuan kaki tangan awam, duduk dalam barisan kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, apabila diberi peluang sebagai Ketua Menteri, Sabah mungkin semakin baik, yang baik dirosakkan.

System pentadbiran, ekonomi, agensi, malah penggunaan wang kerajaan, kucar kacir.

Berlaggak pandai, lebih baik daripada orang lain, akan tetapi tindakan seperti tikus membaiki labu, mentadbir bagaikan kera mendapat bunga.

Dalam tempoh pemerintahan Shafie, legasi yang tercatat tindakan SABAH KITA PUNYA, termasuk membina LOGO Parti Warisan di depan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah.

Pada PRN-17 ini, sekali lagi Parti Warisan bertanding, untuk mempengaruhi rakyat, menyokong parti tersebut.

Jika ada rakyat terpengaruh, berbanding GRS pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, sama dengan membunuh angsa bertelur emas.

SETAKAT INI 366 (94%) INISIATIF SMJ1.0 DARIPADA 467 TELAH DIREALISASIKAN

BENARLAH apa yang dikatakan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, bahawa kerajaan yang beliau pimpin telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang sebaik-baiknya, apabila 94% atau 366 inisiatif daripada 467 yang dibutirkan menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ1.0) telah direalisasikan.

Pencapaian 94% adalah bersamaan Gred A++.

Inisiatif dalam SMJ1.0, meliputi semua aspek kepentingan rakyat dan negeri, pun demikian, kerana kehendak rakyat tiada sempadan, maka apapun bentuk pencapaian kerajaan, dirasakan masih kurang pada mereka yang tidak bersyukur.

Akan tetapi perbandingan antara kerajaan yang pernah menerajui kerajaan Sabah, pencapaian kerajaan pimpinan Ketua Menteri Sabah hari ini, adalah pencapaian yang sepatutnya bagi sesebuah kerajaan.

Kerajaan tidak masuk bakul angkat sendiri, akan tetapi berpandukan pada fakta, kerana pencapaian yang direkodkan benar-benar dirasai rakyat.

Pembangkang suka sangat mengapungkan berkaitan kehidupan harian rakyat, sedangkan, kehidupan tersebut bersifat subjektif, kerana tidak pernah terdengar, ada rakyat negeri dilaporkan kelaparan, atau tidak dapat ke sekolah, kalau pun ada, ada lah mereka yang enggan berbuat demikian.

Berkaitan kos sara hidup, kerajaan negeri mengenalpasti 100,000 penerima dengan bayaran tunai RM300 sebulan sepanjang tahun 2025. Walaupun bantuan ini, belum menjadi dasar, akan tetapi, akan diperhalusi, berpandukan status rakyat.

Kerajaan daripada masa ke semasa menilai kedudukan rakyat, kemudiannya berpandukan kepada kedudukan kewangan. Jika kedudukan kewangan negeri mengizinkan, maka akan memperkenalkan inisiatif dan insentif untuk faedah rakyat, walaupun ianya bukan dasar, akan tetapi keperluan semasa.

Pelbagai bantuan kerajaan, bukan gula-gula pilihan raya, akan tetapi ianya keperluan rakyat yang perlu campur tangan kerajaan.

TERPULANG RAKYAT- KERAJAAN SUDAH LAKSANAKAN YANG TERBAIK

TERPULANG pada 1.7 juta pengundi negeri Sabah, apakah meneruskan mandat pada Kerajaan Sabah hari ini atau sebaliknya, kerana kerajaan telah melaksanakan yang terbaik.

Pencapaian sesebuah kerajaan, apabila dapat memulihkan perekonomian, kerana jika ekonomi teruk memberi kesan besar pada rakyat.

Ekonomi teruk akan menyebabkan kerajaan tidak dapat menguntip hasil. Apabila hasil tidak dapat dikutip, maka kerajaan akan kekurangan dana untuk tujuan inisiatif dan insentif pada rakyat.

Pertumbuhan ekonomi negeri walaupun pada kadar 4.0-4.5%, akan tetapi sudah cukup memberi peluang kepada kerajaan menguntip hasil sehingga mencecah RM7 bilion pada tahun 2024.

Kutipan hasil RM7 bilion, bermula di atas RM5 bilion pada tahun 2021, berperingkat meningkat, kesan pertumbuhan positif ekonomi negeri.

Tidak dinafikan, kemudahan asas, masih menjadi rungutan rakyat, akan tetapi, tindakan penyelesaian kerajaan berada di landasan betul, sampai masanya, akan selesai sepenuhnya.

Isu bekalan air, akan selesai pada tahun 2030, apabila Empangan HidroElektrik Ulu Padas siap, kerana dapat membekalkan 6,000 juta liter air sehari, dan cukup untuk 100 tahun.

Kerajaan yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, tidak menangisi masalah-masalah yang diwariskan, akan tetapi bertindak ke hadapan ke arah penyelesaian.

Sebagai kerajaan, sudah melaksanakan yang sepatutnya, dan tentunya dipandu Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ1.0).

Kerajaan tidak nafikan ada kekurangan sini sana, kerana tiada kerajaan di dunia boleh bertindak sempurna, tetapi, apa yang jelas, kerajaan telah sedaya upaya menunaikan hasrat-aspirasi dan harapan rakyat.

9 July 2025

GRS: PERTAHAN KERUSI YANG DISANDANG- MENANG KERUSI BAHARU- BONUS

GRS berhadapan PRN-17 Sabah menyandang 38/73 kerusi. Kerusi-kerusi yang disandang dipertahankan, selain mengintai 14 kerusi baharu.

Kerusi yang diintai adalah kerusi-kerusi yang disandang Umno dan Parti Warisan, termasuk DUN Tanjung Batu dan Tanjong Keramat.

Kelebihan GRS pada kerusi-kerusi yang disandang kerana memenuhi kretiria tiga elemen serangkai calon-kaum-kawasan atau dengan maksud lain, penyandang adalah pemimpin kawasan, mewakili kaum majoriti, juga anak jati kawasan tersebut.

Demikian juga kerusi-kerusi yang diintai, GRS mencalonkan calon memenuhi kretiria tiga elemen serangkai.

Pada PRN-17 faktor yang membimbangkan setiap parti adalah pola pengundian rakyat. Di Yakini, peratusan keluar mengundi melepasi 70%, ertinya, kali pertama dan undi-18 turut sama keluar mengundi.

Bagi pengundi tegar parti biasanya mengundi calon parti masing-masing. Pengundi tegar yang dimaksudkan adalah parti terkini yang mereka sertai.

Yang menjadi teka teki, adalah pengundi yang tidak berparti, kerana kecenderungan mereka bergantung pada isu-isu semasa.

Isu-isu semasa termasuk fitnah dan pembohongan, boleh menjadi faktor yang mempengaruhi pola pengundian. Atas sebab itu, pemimpin parti yang ketandusan modal menggerakkan Projek Pembunuhan Karakter. Mereka mengambil iktibar, kesan pembunuhan karakter pada pemimpin Umno semasa PRU-14.

Namun untuk GRS, walaupun berdepan pembunuhan karakter, secara umum, kurang berkesan di kerusi-kerusi yang disandang, kerana faktor tiga elemen serangkai.

8 July 2025

STATUS QUO GRS-PH PLUS TERPULANG PADA PH UNTUK TERUSKAN

TESTIMONI era seseorang pemimpin, apabila lawan menjadi kawan, kemudian berganding bahu untuk sama-sama memajukan dan membangun negeri.

Kerajaan GRS-PH Plus, pada asasnya parti yang berlawanan antara satu sama lain, tetapi berganding bahu melaksanakan tanggungjawab pada rakyat.

Semasa proses melaksanakan tanggungjawab dibina keserasian untuk membuka jalan kolaborasi atau kerjasama kekal.
Jika ada yang bertanya, pada era pasca PRU-14, model politik yang sesuai untuk Sabah? Penulis pasti menjawab Model GRS-PH Plus.

Dalam tempoh 2 tahun, kerajaan GRS-PH Plus, banyak pencapaian yang dilakar, ertinya bukti, berjalan lancarnya pemerintahan.

Malangnya model yang patut diteruskan, cuba diganti pula dengan model lain yang belum teruji.

Di Semenanjung, model PH-BN, memang sesuai, kerana pendekatan menang-menang, di Sabah model yang membabitkan GRS dan BN, bukan model yang sesuai, kerana telah terbukti tiada keserasian.

Atas sebab itu, apabila BN-PH mengumumkan kerjasama, maka GRS bersedia bergerak solo.

Terpulang pada PH untuk membuat keputusan, kerana parti itu tidak boleh bertindak bermain dua kolam.

Era sekarang yang diperlukan adalah kestabilan politik dan kerajaan, bukannya siapa jadi Ketua Menteri, kerana siapa pun Ketua Menteri, jika tiada kestabilan (politik & kerajaan), maka “back to square one’ kemajuan & pembangunan terganggu, tentunya memberi kesan pada rakyat.

Secara rasional, jika seseorang yang menduduki jawatan Ketua Menteri, membuktikan kepimpinan, pemerintahan dan pentadbiran yang menghasilkan banyak pencapaian, dan pada masa sama hasrat-aspirasi-harapan rakyat banyak ditunaikan, maka sewajarnya pemimpin tersebut dikekalkan dan disokong, bukan sebaliknya.

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam tempoh 5 tahun telah membuktikan, kemampuan sebagai ketua kerajaan. Jika mendengar jawapan pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Haji Nizam DSP Abu Bakar Titingan pada sidang DUN Sabah pada pagi selasa, menunjukkan rangkuman pencapaian kerajaan yang dipimpin Hajiji.

Sewajarnya, PH patut menjadikan panduan sokongan pada kerajaan GRS-PH Plus, adalah model terbaik untuk Sabah era ini.

7 July 2025

RATA-RATA ADUN MENGUCAP ‘SAYONARA” PETANDA SIDANG TERAKHIR

RATA-RATA ADUN menzahirkan “sayonara” petanda sidang akhir DUN Sabah pada penggal ini dan bersiap sedia berhadapan dengan rakyat menerusi PRN-17 Sabah.

Daripada 79 ADUN termasuk ADUN dilantik, hanya ADUN Bingkor tidak hadir kerana memohon cuti.

Komposisi kerusi ADUN sebelum dibubar adalah GRS 38/73, Parti Warisan 16/73, Umno 10/73, PH 7/73 dan KDM 2/73.

Daripada 73 ADUN, siapa kah yang kembali sebagai ADUN pada penggal ke-17, hanya boleh ditentukan oleh 1.7 juta pengundi Sabah.

Apa yang menarik, sebelum ADUN Kemabong menutup perbahasan berkaitan RUU perbelanjaan tambahan, menyelitkan, agar rakyat Sabah mengekalkan Kerajaan GRS-PH Plus, yang membawa maksud, bahawa berhadapan PRN-17, akan berlaku kerjasama.

Kerjasama boleh berlaku sebelum pilihan raya atau selepas pilihan raya.

Penulis mengikuti perbahasan setiap penggal, dan mendapati, adun-adun daripada Parti Warisan tidak pernah “move-on” mereka berpusing-pusing dengan isu-isu yang berasaskan “hearsay” bukan berpandukan pada fakta lapangan, yang membawa maksud, mereka tidak turun ke bawah, akan tetapi hanya berpandukan persepsi.

ADUN Warisan dilihat berlaggak pandai, akan tetapi, hakikatnya “tin kosong” hanya nyaring suara, apa tah lagi ADUN Tanjung Aru, Merotai, Tungku, Sekong dan Gum-Gum dan Moyog. “action” lebih, tetapi tidak berfungsi sebagai ADUN Semak dan imbang.

BAJET ADALAH ANGGARAN, DAN BERGANTUNG PADA KEADAAN SEMASA

TIADA mana-mana penganggar bajet boleh mengunjurkan dengan tepat, terutama berkaitan pembangunan diluar jangka, seperti kesan bencana alam yang terkait dengan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan bekalan tenaga.

Adalah perkara biasa, kerajaan membentangkan perbelanjaan tambahan, kesan keperluan di luar jangka.

Komen ADUN Sulabayan berkaitan perbelanjaan tambahan, dan menyifatkan belanjawaan 2025 yang dibentangkan pada tahun lepas adalah benjawan yang tidak inklusif atau menyeluruh, tanpa mengambilkira kesan bencana alam.

Pada belanjawan tahun 2025 dianggarkan perbelanjaan berjumlah RM6.421 bilion, dan belanjawan tambahan RM1.186 bilion, kerana atas keperluan yang berbangkit.

Sabah mengamalkan benjawan surplus berdekad-dekad, dan apabila perbelanjaan sejumlah RM7.607 bilion, membawa pengertian, bahawa kutipan hasil negeri akan lebih besar berbanding perbelanjaan.

Keutamaan kerajaan negeri hari ini adalah mengukuhkan kewangan negeri, kerana menerusi kewangan yang kukuh, maka kerajaan mempunyai simpanan wang untuk digunakan bagi maksud pembangunan demi faedah rakyat.

KALI PERTAMA PERBELANJAAN NEGERI MELEPASI ANGKA RM7 BILION

KELAZIMAN belanjawaan Sabah, adalah belanjawan surplus.

Memandangkan perbelanjaan untuk tahun 2025, meningkat kepada RM7.607 bilion termasuk RM1.186 bilion perbelanjaan tambahan yang dibentangkan pada Sidang DUN Sabah pada Isnin, maka untuk tahun 2025 hasil kutipan hasil negeri pasti melepasi jumlah perbelanjaan.

Untuk rekod pada tahun 2024 kutipan hasil negeri berjumlah RM7 bilion. Jika melihat pada jumlah perbelanjaan, maka untuk tahun 2025, kutipan hasil akan menghampiri RM8 bilion. Menerusi kutipan hasil negeri terus meningkat, membawa makna, kesan Hala Tuju Sabah Maju Jaya cukup signifikan.

Di perkirakan, jika kerajaan Sabah hari ini dikekalkan untuk mentadbir negeri, kutipan hasil RM10 bilion, akan dicapai tahun hadapan, apabila SMJ2.0 bermula.

Sabah mempunyai sasaran untuk menjadi negeri maju pada tahun 2030, bermakna pada masa itu, kutipan hasil melepasi RM15 bilion, dengan nilai dagangan hampir RM200 bilion.

Kepada rakyat Sabah, menyokong kerajaan Sabah hari ini, adalah untuk menjamin, agar kemajuan dan pembangunan mapan dan berterusan.

SOGIP: SALLEH LEBIH MINAT PADA BINGKAI BERBANDING KANDUNGAN

MENGANGKAT SOGIP (Sipitang Oil & Gas Industrial Park) salah satu kesan perancangan kerajaan era Umno di Sabah, tiada siapa yang nafikan, memang fungsi kerajaan off the day adalah untuk melaksanakan pembangunan. Mana-mana pembinaan, perlu disediakan asas terlebih dahulu, dan asas itu telah dibina.

Selain itu, matlamat taman seperti SOGIP bertujuan membawa industri ke kawasan luar bandar, untuk mengurangkan penghijraan ke bandar. Membina taman seperti SOGIP adalah hala tuju kerajaan, walaupun mungkin cadangan mengenainya datang daripada pemimpin parti atau individu.

SOGIP adalah bingkai, seperti juga bingkai lain antaranya KKIP. Bingkai tidak membawa erti apa-apa, jika tiada kandungan, ibarat cangkir kosong.

Kerajaan GRS memanfaatkan bingkai yang disediakan sebaik mungkin, apabila menjemput pelabur sesuai dengan matlamat penyediaan bingkai. Pelabur yang sudi datang antaranya syarikat Esteel yang membawa pelaburan lebih RM31bilion.

Sepatutnya, Salleh mengulas akan kandungan bingkai tersebut, bukannya memberi penekanan pada bingkai yang tidak membawa erti apa-apa jika tiada pengisian.

Jika bingkai tidak dimanfaatkan, maka ianya akan menjadi gajah putih, dan jika itu berlaku, maka merupakan kerugian pada kerajaan.

KESAN KERAJAAN GRS: NILAI DAGANGAN SABAH KEKAL DI ATAS RM100 BILION SEJAK TAHUN 2022

NILAI dagangan adalah penjumlahan eksport dan import. Perbezaan antara eksport dan import adalah imbangan dagangan, yang boleh positif atau negatif, bergantung mana yang tinggi.

Nilai dagangan negeri, kali pertama mencecah paras RM100 bilion pada tahun 2022 dengan jumlah RM118.1bilion, dan sejak itu, tiga tahun berturut melepasi angka RM100bilion. Tahun lalu, nilai dagangan negeri berjumlah RM107.8 bilion dengan pecahan, eksport RM61.3 bilion dan import RM46.4 bilion dengan lebihan dagangan RM14.9 bilion.

Mengapa perlu nilai dagangan tinggi? Kerana ianya menunjukkan kerancakan ekonomi, atau kek ekonomi. Semakin tinggi nilai dagangan maka kek ekonomi semakin berkembang.

Mengapa blog ini mengapungkan nilai dagangan? Sebabnya, kerana kesan kerajaan negeri yang diurus parti tempatan, maka kali pertama nilai dagangan negeri melepasi angka RM100 bilion, seperti juga kutipan hasil negeri, kali pertama melepasi angka RM5 bilion pada tahun 2021. Selain Sabah, Sarawak yang juga diurus parti tempatan, pada tahun 2024, nilai dagangan negeri tersebut berjumlah RM198 bilion.

Apa manfaat lebihan dagangan? Sektor ekonomi boleh berkembang maju, kerana tersedianya modal pusingan yang kukuh, dan pada gilirannya boleh membuka peluang pekerjaan baharu, selain negeri juga mendapat manfaat menerusi kutipan cukai syarikat.

Nilai dagangan, kutipan hasil negeri semakin kukuh kerana kesan Rumah Kita, Kita Jaga, Sabah kita Jaga, sepertimana juga ditunjukkan negeri jiran Sarawak.

Kerana manfaat atau kelebihan apabila kerajaan negeri diterajui parti tempatan, adalah asas, mengapa GRS perlu disokong.

6 July 2025

SOKONG KERAJAAN GRS UNTUK MAJUKAN SABAH

HALA Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ1.0) berada di landasan betul, dan jika kerajaan GRS diberi mandat pada PRN-17 Sabah, maka dilanjutkan dengan SMJ2.0, untuk tempoh 2026-2030.

Kerajaan GRS telah membuktikan, hasrat-aspirasi-harapan rakyat, telah banyak ditunaikan.

Jika melihatkan ke belakang, kerajaan negeri hari ini banyak diwariskan dengan pelbagai kedaifan kemudahan asas, dan juga hak-hak rakyat dalam MA63.

Betul kerajaan lalu, kecuali kerajaan Warisan telah membawa kemajuan dan pembangunan untuk Sabah, akan tetapi jauh ketinggalan, jika dibandingkan dengan kemajuan dan pembangunan di negeri-negeri lain.

Sabah dengan sumber asli seperti minyak dan gas, sejak tahun 1974-2020, hanya menerima 5%, dan apabila kerajaan hari ini mengambil alih, maka diperkenalkan Cukai Jualan Negeri (CJN) untuk minyak dan gas sebanyak 5%, bermula tahun 2021. Kerana sumbangan CJN daripada minyak dan gas, maka hasil negeri melonjak lebih RM5bilion, untuk kali pertama.

Menerusi pelbagai keluaran negeri yang dikenakan CJN, maka hasil negeri terus meningkat, dan untuk tahun 2024 berjumlah RM7bilion. Untuk rekod, semasa kerajaan mengambil alih kerajaan negeri, kutipan hasil berlegar-legar pada angka di bawah RM5bilion.

Rizab kewangan negeri bukan sahaja mencatat rekod, akan tetapi, mengalami lonjakan lebih sekali ganda, dan kini mencecah RM9bilion.

Tidak pernah diperkenalkan rumah percuma dibina di setiap DUN oleh mana-mana kerajaan negeri sebelum ini, walaupun sebelum ini kerajaan Persekutuan memperkenalkan rumah PPRT, tetapi hanya 5 unit setahun untuk satu parlimen, bukannya di setiap DUN, sedangkan rumah percuma yang dibina kerajaan negeri sebanyak 40 unit setiap DUN setiap tahun.

Untuk tahun 2025 dibina 3,000 unit rumah (yang dikenali sebagai Rumah Mesra SMJ) di 73 DUN. Pengenalan rumah percuma ini, dapat dilaksanakan, kerana hanya satu sebab, puncak kuasa negeri berada di tangan pemimpin negeri.

GRS MAHUKAN KESTABILAN POLITIK & KERAJAAN

ISU kerjasama antara parti, jika ianya mendokong kestabilan politik dan kerajaan.

Kerjasama yang tidak mendatangkan kestabilan dan keharmonian, seperti kerjasama antara BN-GRS, dalam kerajaan GRS-BN, hanya menganggu kelancaran pemerintahan dan pentadbiran.

Apabila pemerintahan dan pentadbiraan terganggu, maka mempengaruhi kelancaran memajukan dan membangun negeri. Selain itu, akan berkesan pada kemasukan pelabur, kerana pelabur mana yang mahu melabur pada kerajaan yang kucar kacir.

Pada asasnya, kerjasama yang harmoni dan serasi terwujud dalam kerajaan GRS-PH Plus, kerana itu kestabilan politik dan kerajaan kukuh daripada Januari 2023 sehingga menjelang berakhirnya penggal DUN ke-16 Sabah. Akan tetapi, wakil rakyat yang menjalin kerjasama, tidak seirama dengan pemimpin mereka di luar kerajaan, sehingga sanggup menolak keserasian dan kerharmonian yang telah dibina, apabila memilih kawan baharu yang belum teruji.

Sebelum beberapa ADUN penyokong kerajaan diserang melalui gerakan projek pembunuhan karakter, GRS, parti tulang belakang kerajaan negeri, telah lebih dahulu menyatakan hasrat meneruskan status quo kerjasama GRS-PH Plus, tidak seperti mana dakwaan Isnaraissah Munirah Majilis, MP Kota Belud, bahawa hasrat GRS bekerjasama dengan PH, kerana kesan projek pembunuhan karakter terkait lesen carigali mineral di Sabah.

Lagipun kerjasama di mata GRS berpandukan pada asas terhutang budi, apabila 7 ADUN PH menjadi penyelamat pada kerajaan negeri, apabila hampir tumbang kesan Langkah Kinabalu digerakan Ketua Umno Sabah, Datuk Bung Moktar Radin.

Bung semasa mengerakan langkah tersebut menyandang jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1, dalam kerajaan GRS-BN.

Terhutang budi dan keserasian yang dibina, adalah asas, GRS mempertahankan status quo. Tidak timbul isu lain, sepertimana dakwaan Munirah.

Namun pendirian GRS sedikit berubah, apabila PH memuktamadkan kerjasama dengan BN, selain kenyataan Ketua PKR Sabah, yang percaya bulat-bulat akan projek pembunuhan karakter yang digerakan Albert Tie dan dijayakan Malaysiakini.

Setakat ini, GRS belum membuat sebarang keputusan, akan bagaimana kah parti tersebut berhadapan dengan PRN-17.

Apa yang penting, kerajaan yang dibentuk selepas PRN-17 cerminan kestabilan politik dan kerajaan, kerana jika tidak, akan sia-sia pencapaian Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ1.0), selain terganggunya SMJ2.0, bagi tahun 2026-2030.

GRS BOLEH REALISASIKAN HASRAT-ASPIRASI-HARAPAN RAKYAT SABAH

KERAJAAN GRS sudah buktikan hasrat-aspirasi-harapan rakyat berdekad-dekad tidak kunjung tiba, sehinggakan rakyat seperti pungguk rindukan bulan akan tetapi dalam tempoh 5 tahun sekurang-kurangnya sebahagian telah direalisasikan.

21 hak-hak Sabah dalam MA63, hampir setengah abad tiada satupun ditunaikan, malah pada suatu ketika, pemimpin Sabah yang bercakap mengenainya, direhatkan, “incommunicado”, dan apa yang mendukacitakan mereka itu diperlekeh oleh pemimpin Sabah yang merupakan proksi atau kuda tunggangan pemimpin luar.

Apabila kerajaan GRS mengambil alih pada September 2020, kerajaan memperkenalkan Hala Tuju Kemajuan dan Pembangunan Negeri, iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya dan membutirkan apa yang diperlukan rakyat dan negeri.

Antara butiran tersebut adalah berkaitan hasrat-aspirasi-harapan rakyat dalam MA63, dan terbukti dalam 5 tahun 13 hak-hak tersebut dapat direalisasikan.

Apa yang melegakan sedikit, pada era kerajaan Sabah hari ini, adalah peningkatan bayaran interim geran khas Sabah daripada RM26.7juta sejak tahun 1969 sehingga tahun 2020, tetapi kini berjumlah RM600juta.

Geran Khas tersebut, digunakan sepenuhnya untuk membela rakyat, terutama mereka yang kurang bernasib baik kesan kemajuan yang lembab berdekad-dekad.

Geran khas sebahagian digunakan untuk membina Rumah Percuma, Rumah Mesra SMJ, dan untuk tahun ini sebanyak 3,000 unit dibina di 73 DUN, dengan jumlah yang sama banyak, selain untuk bayaran tunai kepada 100,000 penerima yang terkesan peningkatan kos sara hidup dengan kadar RM300 selama 12 bulan untuk tahun 2025.

Kesan pemerintahan kerajaan GRS juga mendapat keyakinan pelabur, apabila untuk suku pertama tahun 2025, RM10.9 bilion nilai pelaburan diluluskan masuk ke Sabah, dengan pecahan RM6.6 bilion (61%) pelaburan langsung asing dan RM4.29 bilion (39%) pelaburan tempatan. Jumlah tersebut menjadikan Sabah menempati kedudukan ketiga pelaburan diluluskan selepas Selangor dan WP Kuala Lumpur.

Kemasukan pelabur akan memberi banyak peluang kepada rakyat Sabah, terutama sektor pekerjaan.

Keyakinan pelabur adalah petanda penerimaan positif pada Kerajaan GRS pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, walaupun pelbagai gerakan pembunuhan karakter terhadap beberapa pemimpin.

Pelabur tidak terkesan dengan dakyah pembangkang mengangkat pembunuhan karakter sebagai modal politik, kerana mereka melihat pada dasar, ketelusan dan integriti yang menerajui kerajaan.

Pembunuhan karakter terpaksa digunakan pemimpin pembangkang, kerana mereka ketandusan modal politik, kerana apabila mereka membangkitkan berkaitan kelembaban kemajuan dan pembangunan negeri, empat jari mengarah ke muka mereka

GRS BOLEH WUJUDKAN KESTABILAN POLITIK SEPERTI SARAWAK

PARTI BN dan PH tidak akan benarkan GRS ikut jejak GPS Sarawak, atas sebab itu, akan bertindak apa sahaja untuk menghalangnya terutama pada PRN-17 Sabah.

Keinginan BN dan PH bertanding keseluruhan 73 kerusi adalah cerminan, bahawa dua parti itu berhasrat menjadi tunggak atau parti dominan di Sabah.

Menjadi parti dominan, bukan baharu bagi BN, kerana sebelum hilang kuasa pada tahun 2018, sudah menjadi parti dominan di Sabah sejak tahun 1994.

PH pula kerana bersandarkan pada Kerajaan Madani Persekutuan yang ditulang belakangi parti tersebut, maka beranggapan, rakyat Sabah akan berbondong-bondong menyokong sepertimana berlaku pada masa lalu, apabila rakyat Sabah menyokong Umno kerana parti tunjang kerajaan Persekutuan dan parti Perdana Menteri.

Tiada siapa yang menjangkakan pendirian rakyat Sabah pada hari ini, apakah seperti tahun 90-an atau telah berubah?.

Jika pada era BN, rakyat boleh menyokong kerana pemberian tangki air berwarna biru berlogokan BN, tetapi mungkin pada PRN-17 ianya tidak relevan, sepertimana berlaku pada PRU-14 tahun 2018, dan pada PRN-16 tahun 2020.

Pola pengundian pada PRU-15, November 2022 juga menunjukkan, kecenderungan pengundi Sabah tidak lagi terkesan dengan tangki biru, walaupun, diperlukan untuk menyimpan air.

Pola pengundian rakyat Sabah lebih kepada HASRAT-ASPIRASI-HARAPAN mereka untuk masa depan negeri, bukan bersandar lagi pada pihak luar. 

Rumah Kita, Kita Jaga, Sabah Kita Jaga, menjadi pilihan mereka. Sentimen ini lah yang terlepas pandang oleh BN dan PH.

Sentimen Rumah Kita, Kita Jaga, Sabah Kita Jaga, yang menjadi perjuangan GRS, cuba dikotorkan atau dilemahkan menerusi pelbagai cara, antara lain yang masih hangat adalah pembunuhan karakter para pemimpin parti itu.

Gerakan pembunuhan karakter dijadikan modal politik, kerana pemerintahan Ketua Menteri tidak tergoyahkan, kerana ketelusan dan  berintegritinya kepimpinan negeri secara keseluruhan.

Dalam tempoh 5 tahun, tiada sebarang salah laku yang dilakukan oleh pemimpin negeri yang menyebabkan kerugian pada negeri dan rakyat.

Selama 5 tahun, pemerintahan negeri menunjukkan kemampuan, kebolehan yang belum terfikirkan sebelum ini oleh mana-mana pihak.

Pengukuhan kewangan menerusi kutipan hasil negeri yang terus meningkat, perbelanjaaan berhemah yang membolehkan meningkatkan rizab kewangan negeri hampir RM9bilion, satu rekod yang belum pernah difikirkan akan tercapai dalam tempoh yang singkat.

Walaupun rekod pencapaian Kerajaan Negeri yang diterajui parti tempatan sedemikian baiknya, akan tetapi, demi menguasai Sabah, pemimpin BN dan PH menerusi proksi mereka di Sabah, ingin menguasai kerajaan negeri.

Kepada rakyat Sabah yang sayangkan negeri, jangan sesekali terperancing, kerana mendengar guruh di langit lalu menumpahkan air di tempayan. 

Rakyat Sabah perlu menyokong GRS kerana mempunyai perjuangan yang jelas, Rumah Kita, Kita Jaga, menerusi prinsip SabahFirst, SabahForward, SabahProsper dan SabahUnited Demi Sayangi Sabah.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels