ESOK Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kewangan Negeri-Datuk Seri Musa Aman akan membentang bajet negeri untuk tahun 2013.
Bajet itu merupakan bajet penting, kerana Sabah akan berhadapan dengan PRU-13, setidak-tidaknya selepas April,2013.
Tahun lalu, Musa membentangkan RM4.08 bilion, bajet yang merupakan rekod bagi negeri di bawah bayu itu.
Bajet Kerajaan Negeri, tidak meliputi bajet Persekutuan. Jika jumlah bajet negeri dan Persekutuan untuk Sabah disatukan, saban tahun, negeri itu menerima limpahan kewangan tidak kurang RM20bilion.
Jumlah kewangan yang disalurkan Persekutuan kepada Sabah, berkali ganda jumlahnya berbanding royalti minyak 20% yang dicadangkan pembangkang. Kalau mengambil kira 20% royalti minyak, maka jumlahnya hanya RM3.2 bilion setahun; sedangkan huluran kewangan daripada Persekutuan, jumlahnya jauh lebih besar daripada angka itu.
Kenapa pembangkang memperbodohkan diri mereka sendiri, dengan angka 20%? Sebenarnya, mereka terlepas pandang, bahawa rakyat Sabah sudah ramai yang celik angka dan celik maklumat. Pembangkang memperkirakan, bahawa rakyat Sabah masih di zaman katak di bawah tempurung, atas sebab itu, mereka memilih isu, yang kononnya boleh menarik sokongan rakyat.
Isu royalti minyak 20% hanya berputar-putar diminda pembangkang sendiri, bukannya pada minda majoriti rakyat.
Cara pembangkang menabur janji, seolah-olah mereka punya lampu aladin. Mereka bukan berfikir secara ekonomik; tetapi berfikir secara khyalan dan retorik.
Mungkin mereka terlupa, bahawa lampu aladin mereka, sama dengan Mugabe amalkan di Zimbabwe, di mana agar negara atau rakyat punya wang, maka dilakukan pencetakan wang; sehinggakan mata wang 1 juta zimbabwe, hanya bernilai USD0.20.
Bagi rakyat, wang bererti, apabila kuasa beli wang itu ada. Atas sebab itu, dalam tindakan fiskal negara, aliran wang disesuai dengan produktiviti dan keluaran negara, bukan kepada berapa jumlah wang yang boleh digunapakai (disposible income). Pembangkang mengambil pendekatan kepada pertambahan wang yang boleh digunapakai. Cara ini boleh memudaratkan ekonomi negara, kerana inflasi akan melambung. Negara yang pernah mengambil pendekatan ini adalah Argentina pada tahun 80-an, akhirnya negera itu hampir muflis.
Sabah khasnya mengambil pendekatan yang mapan dalam pengurusan kewangannya. Aliran wang untuk pembangunan disesuaikan dengan pendapatan negeri. Kewangan negeri yang berpunca daripada hasil perladangan, royalti minyak memerlukan masa untuk masuk dalam akaun negeri.
Pengurusan yang kewangan yang bijak yang dilakukan oleh kerajaan negeri, membolehkan negeri itu mengumpul simpanan sehingga RM3bilion; dan pada gilirannya Sabah dapat membentangkan bajet yang besar demi pembangunan negeri dan rakyat.
Esok, Bajet yang dibentangkan di DUN Sabah, dianggarkan mendekati RM5bilion, jika angka ini menjadi kenyataan, maka ianya rekod lagi.