Semua negara di dunia hari ini perlu kepemimpinan yang mantap banding dengan 30 atau 40 tahun lalu. Pntadbiran negara dan pengurusan ekonomi tambah kompleks dan masalah yang timbul makin rumit, saling kait-mengait dan berbentuk global.
Kita dah tengok apa yang jadi kepada negara-negara yang gagal dalam aspek politik akibat kepemimpinan yang lemah. Mula-mula mereka gagal dalam politik. Lepas itu ekonomi, keamanan dan keselamatan mereka pula jahanam. Akhirnya jadilah mereka negara gagal (failed state).
Serentak itu, kitar ekonomi (economic cycle), iaitu masa antara ekonomi berkembang dan menguncup semakin singkat. Kalau 30 atau 40 tahun lalu kitar ekonomi kira-kira 10 tahun sekarang kalau lima tahun pun dah dikira cukup lama. Silap-silap tiga tahun dah bertukar.
Kitar ekonomi yang ada hari ini baru berusia lima tahun. Kalau kita ingat lagi, ekonomi dunia merosot pada tahun 2008/09 akibat krisis perbankan di Amerika Syarikat yang kemudiannya merebak ke Eropah.
Sekarang satu dunia di ambang kemerosotan ekonomi akibat kejatuhan harga minyak mentah. Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) baru saja rendahkan ramalan pertumbuhan ekonomi dunia tahun ini daripada 3.8 peratus kepada 3.5 peratus.
Dalam suasana ekonomi sekarang susah bagi mana-mana kerajaan pun merangka dasar dan rancangan secara tepat dan sahih. Kerajaan bukan saja kena cekap urus pentadbiran tapi ia juga kena cekap dalam hal ehwal fiskal (percukaian) dan mata wang.
Bagi kita di Malaysia, anggaran asal cukai dan pendapatan kerajaan macam dalam Bajet 2015 dah terkeluar sasar akibat kejatuhan harga minyak mentah.
Apa pun dasar dan langkah kerajaan di penghujungnya yang akan rasa kesan dan tanggung beban adalah rakyat jelata dan pengguna. Pengguna pula makin terdedah kepada naik turun harga dan inflasi disebabkan ekonomi kita kian hari kian terikat dengan mata wang. Dalam bahasa ekonomi dipanggil monetary economy (ekonomi mata wang) di mana semua jenis barang dan perkhidmatan dinilai ikut mata wang.
Yang buat keadaan jadi lebih rumit dan kacau-bilau ialah mata wang itu sendiri dah jadi bahan perdagangan yang dijual beli dan dijadikan bahan spekulasi. Maka harga barang bukan lagi ditentukan oleh imbangan antara bekalan dan permintaan tapi juga oleh naik turun nilai mata wang. Lagi teruklah bila dalam urusan jual-beli itu ada penipuan dan manipulasi.