Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ahli Rustam meneruskan serangan ke atas Pakatan Rakyat dengan mengatakan gabungan tiga parti itu “hipokrit” kerana mengamalkan “sistem dinasti” dalam kepimpinan.
Sambil mempertahankan pelantikan ahli jawatankuasa Umno Jasin sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Mohd Ali berkata, kepimpinan Pakatan Rakyat mengamalkan “sistem dinasti” yang lebih teruk daripada BN.
“Mereka (Pakatan Rakyat) kata Roslan (Ahmad) dipilih (sebagai calon) kerana dia anak (Allahyarham) Datuk Ahmad Ithnin, dulu bapa jadi calon sekarang anak pula jadi calon.
“Saya nak cakap sudah 32 tahun baru anak jadi calon tapi (Datuk) Nik Abdul Aziz (Nik Mat) sudah 22 tahun (perintah Kelantan) tapi dia punya anak sudah jadi guru besar.
“(Datuk Seri) Anwar Ibrahim, bini (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) juga Ahli Parlimen tapi itu dulu, sekarang anak dia (Nurul Izzah) juga Ahli Parlimen, Karpal Singh (Pengerusi DAP kebangsaan) juga Ahli Parlimen... anak dia Gobind Singh juga Ahli Parlimen, Lim Kit Siang (Penasihat DAP) juga Ahli Parlimen dan anak dia (Lim Guan Eng) juga Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).
“Ini tak ada kena-mengena dengan ibu bapa, dia (Roslan) boleh buat kerja sebab itu kita pilih. Kalau DAP, PKR dan PAS cakap kita dia lagi banyak pegang,” katanya pada majlis makan malam bersama masyarakat Tionghoa di Kampung Chinchin di sini malam tadi.
Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berkata pemilihan Roslan sebagai calon BN adalah berdasarkan merit dan bukan kerana faktor beliau anak bekas wakil rakyat di situ.
Ahmad merupakan bekas Ahli Parlimen Jasin (dahulu dikenali Melaka Utara) dan bekas Adun Sungai Rambai.
Roslan juga adalah anak saudara bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abu Zahar Isnin (adik Allahyarham Ahmad Ithnin). DUN Merlimau adalah pecahan daripada DUN Sungai Rambai ekoran persempadanan semula pada 1994.
Selain itu, Mohd Ali juga mendakwa Pakatan Rakyat sebagai “hipokrit” kerana berhasrat untuk menggantikan BN yang telah memerintah negara selama 53 tahun.
“Mereka (Pakatan Rakyat) kata Umno sudah lama, MCA sudah lama dan MIC juga sudah lama jadi patut kena tukar.
“Tapi mereka punya lagi lama, parti lama, dia punya orang lagi lama. Tengok Nik Aziz (Menteri Besar Kelantan), sudah lama tapi tak mahu turun... nak naik sahaja tapi kalau kita dia marah,” katanya.
Pilihan raya kecil DUN Merlimau menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara Roslan dan calon PAS Yuhaizat Abdullah, Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka dan Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin.
Mohd Ali yang juga Pengerusi Umno Melaka berkata kerajaan pimpinannya memberi jaminan akan sentiasa memberikan bantuan termasuk kewangan kepada rakyat di negeri itu.
“BN tak pernah cakap bohong, apa kita cakap kita akan buat. PAS mahu perintah Melaka tapi dia punya jamban juga tak boleh pakai.
“Mereka (Pakatan Rakyat) kata kita tak tolong sekolah Cina tapi Anwar Ibrahim berapa banyak dia tolong? Habis dia kata MCA dan BN tak ada tolong Cina, Anwar Ibrahim ada tolong? Kita duduk sini nak gembira tapi dia datang kacau kita,” katanya.
Pilihan raya kecil DUN Merlimau diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan.
Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS Jasme Tompang dengan majoriti undi 2,154.