KALAU di negara kita ada rakyat yang hanya memikirkan fitnah, sementara di Palestin, hanya keamanan difikiran mereka.
Kalau di Palestin, apabila anak-anak ke sekolah, akan dicium, dipeluk, ditangisi oleh ibu bapa mereka, kerana mereka tidak pasti anak-anak itu akan selamat pulang semula ke rumah.
Atas sebab itu Rakyat Malaysia perlu bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran yang kita kecapi kerana di negara tertentu, rakyatnya hanya mampu mengecapi keamanan dan kemakmuran dalam mimpi, kata isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.
"Di sana anak-anak membesar dengan makan tak cukup, hospital tidak selesa, jalan raya berlubang, bangunan sekolah tidak selesa.
"Mereka tidak pernah boleh memilih, tidak boleh memilih apa yang hendak dimakan, tidak boleh memilih sekolah. Di negara kita, anak-anak sampai kena paksa makan," katanya.
Beliau berkata apa saja kerumitan dan kesulitan yang dihadapi rakyat di negara ini tidaklah seberat yang dihadapi rakyat Palestin.
"Di sini, kalau bas atau teksi lambat pun kita dah marah, di sana (Palestin), bas dan teksi tak ada pun," katanya.
Beliau berkata rakyat perlu rasional dan tidak beremosi dalam memilih kerajaan pada pilihan raya umum ke-13 nanti dan tidak mudah terpedaya dengan agenda pihak tertentu yang tidak pernah bersyukur dengan nikmat hidup di negara Malaysia yang aman ini.