Setelah menonton video hasilan seorang vlogger Malaysia yang sedang menuntut di Australia, saya tertarik dengan ayat terakhir dalam video tersebut, "Kami sengaja kosongkan jiwa kami sebab otak kami dah penuh dengan bullshit politik yang hangpa dok main". Saya rasa inilah antara sebabnya remaja sekarang banyak yang buta dan tuli politik. Kalau adapun yang aktif menyokong, sokongan buta dan tuli juga yang mereka berikan.
Belum ada sebarang penyelesaian yang hendak saya cadangkan di sini, dan isu politic game juga tak berselera saya sentuh. Cuma, ada soalan yang bermain dalam kotak fikiran saya. Berapa kali sudah saya fikirkan, namun soalan ini belum lagi penat bermain sebab jawapan yang ditunggu belum sampai.
Apabila saya lihat situasi politik di tanah air kita sekarang, pihak yang terlibat semakin rajin mengeluarkan bermacam ragam kenyataan, propaganda, mahupun tuduhan kepada pihak lawan. Fakta atau auta, Allah saja yang tahu. Selaku seorang penonton yang bakal mengundi 2-3 tahun lagi, keadaan ini macam boxing match, saling bertumbukan, bergigitan, berludahan. Penyokong peninju masing-masing sangat kreatif untuk menggamatkan suasana. Ada yang bawa banner, ada yang main bom, ada yang main lawyer, ada yang pakai surat khabar, main blog, macam-macam ada. Disebabkan keadaan perlawanan ini amatlah bising dan huru hara, orang yang bukan peminat tinju politik pun mengambil keputusan politik ini kotor dan keji. Jangan salahkan mereka, sebab itulah sebenarnya imej politik di negara ini. Padahal kalau kita lihat sebenarnya, politik itu suci, bersih dan murni. Kalaulah politik itu jijik, Islam takkan mengajar umatnya untuk mentadbir negara.
Tapi begitulah sebenarnya. Politik Malaysia sememangnya penuh dengan bullshit, yang busuk lagi membusukkan. Tohmahan, cacian serta fitnah sesama sendiri sudah jadi satu bentuk sapaan. Seolah-olah kalau tiada benda-benda ini, tidak sah satu hari. Surat khabar pun tak laku kalau politik tak bising satu hari.
Politik bagi saya merupakan satu seni mentadbir negara, memajukan kehidupan rakyat untuk kepentingan bersama. Sebab itulah ada pilhan raya, supaya orang yang paling layak dapat dipilih untuk menjadi pemimpin untuk mengepalai kerajaan. Nama pun pemimpin, maksudnya kenalah berjalan bersama-sama rakyat sebab tugasnya sebagai pemimpin. Contohnya, kalau kita memimpin tangan nenek kita melintas jalan raya, bukankah kita pegang erat tangan mereka kemudian berjalan bersama-sama untuk ke sebelah sana? Kalau nenek jalan selangkah, takkan kita jalan 3 langkah pula? Tapi apa yang saya lihat, pemimpin sekarang ada yang sudah berlari laju, sampai tertinggal rakyat di belakang.
Berbalik kepada situasi politik negara yang penuh dengan maki hamun segala, dapatlah saya simpulkan bahawa keadaan ini terjadi sebab masing-masing mahu jadi juara. Mahu kuasa, mahu nama. Bukannya mahu hidupkan rakyat agar sejahtera. Saya kata begini sebab saya lihat kerajaan dan pembangkang tak pernah setuju dalam satu perkara. Walaupun idea satu pihak itu cukup hebat, yang satu lagi cakap banyak cacat. Kalau program yang satu banyak khasiat, satu lagi kata penuh muslihat. Semuanya ralat. Begitulah hari-hari, tak penat-penat. Jika betul perjuangkan rakyat, kenapa yang bermanfaat pun disekat? Jika benar khidmat untuk negara, mengapa berebut-rebut kuasa? Tidak bolehkah duduk semeja, bincang seeloknya supaya senang sama-sama, susah sama-sama? Ini asyik rebut kerusi sana sini, macam budak-budak dalam kenduri.
Sejarah sudah merekodkan, pemerintahan yang agung pada zaman dahulu kala, ditadbir sama ada secara demokrasi, ataupun diktator. Empayar agung Rom dan China dijalankan secara tirani, memang besar tapi sebab itulah selalu tukar dinasti. Demokrasi pula, contohnya empayar Islam, pun hanya ada satu khalifah, tapi usul-usul tetap dibincang dalam Majlis Syura. Bukannya saya kata Malaysia tidak berbuat begitu, tapi yang dibincang selalunya bab undang-undang. Kalau projek bangunkan negara, semuanya ikut suka. Asyik mahu menangkan kroni sendiri sahaja.
Akibat pihak kerajaan yang selalu bergaduh dengan pembangkang, saya pun hairan. Benarkah pemimpin sekarang mahu majukan negara? Memang banyak bukti yang menunjukkan kesungguhan politikus negara, tapi kenapa masih mahu tuduh-menuduh? Kenapa pihak yang satu mesti jatuh? Bukankah kita sama-sama rakyat Malaysia, punya IC yang bukan warna merah, mahukan yang terbaik untuk negara? Kalau usul yang satu itu baik, terima sajalah. Kenapa mesti dibantah kalau projek yang terlaksana dikibar lain bendera? Ikhlaskah mereka? Jika negara diutamakan, saya pasti fitnah dan maki hamun takkan bertebaran seperti ini.
Jika kita ambil pengajaran daripada keruntuhan Kerajaan Khulafa ar-Rasyidin, kita dapat lihat institusi itu jatuh disebabkan Muawiyah menginginkan jawatan khalifah. Sebab dia ingin namanya disebut. Begitulah yang terjadi di Malaysia. Tidak boleh kalau orang lain yang dapat nama. Idea yang disuarakan dan dibincang bersama, mesti dilaksanakan dengan poster serta cetakan nama. Tujuannya meraih penyokong dan pendukung. Kalau benar pemimpin ikhlas, orang lain takkan dicantas. Pendapat bernas dikumpul, kemudian dijalankan betul-betul.
Saya tidaklah ingin menyatakan bahawa pihak pembangkang dan kerajaan perlu bersatu sepenuhnya, sebab kalau satu pihak sahaja yang berkuasa, tiadalah pihak yang dapat menegur kalau ada kezaliman. Tapi saya cuma berharap, parti-parti politik di Malaysia boleh berhenti mencaci sesama sendiri dan duduk bersama, fikir langkah berkesan agar kepentingan rakyat terjaga.
Tulisan ini adalah hasil karya Anak Saya berumur 17 tahun, masih menunut dan sedang menunggu keputusan SPM. Ikuti blognya disini