PERJALANAN politik Lajim penuh dengan habuan. Tanpa habuan, beliau tidak akan bertindak.
Tahun 1994, Lajim keluar PBS kerana habuan jawatan-Timbalan Ketua Menteri Sabah, selain habuan-habuan tersembunyi yang lain.
Jangan lupa, cara Lajim meninggalkan PBS-usaha itu dilakukan oleh Anwar sendiri selaku Timbalan Perdana Menteri dan Pengarah Pilhanraya Sabah pada masa itu.
Kini untuk kedua kalinya Lajim ikut Anwar juga kerana habuan. Malangnya, tindakan Lajim kali ini, tidak mempunyai sebarang impak kepada kerajaan. Jika pada tahun 1994, PBS gagal mempertahan kerajaan atas sebab kehilangan majoriti di DUN Sabah, kerana tiga ADUN PBS melompat ke dalam Umno antaranya Lajim sendiri.
Menurut bacaan Lajim, pada PRU-13 BN akan kecundang, bercanggah dengan temuan ahli-ahli akademik atau pengamat politik tanah air, bahawa BN akan terus memerintah negara.
Perkiraan Lajim ini sama dengan perkiraan Yong Teck Lee dan Bernard Giluk Dompok serta beberapa pemimpin PBS tahun 1990, bahawa pada masa itu menurut perkiraan mereka BN akan kalah kepada Angkatan Perpaduan Ummah yang diketuai oleh Tengku Razalegh Hamzah sebagai Persiden S-46; serpihan Umno.
Sejarah membuktikan bahawa perkiraan para pemimpin PBS itu silap dan hingga kini BN masih memerintah negara walaupun berlaku tsunami politik pada tahun 2008.
Berasaskan kepada perkiraan Lajim itu, maka beliau tidak ingin ketinggalan untuk menyertai kerajaan baru yang akan dibentuk; dan mungkin beliau menjadi "Ketua Menteri" sebagai "janji" Anwar terhadapnya. Percayalah, pasti "ada" perjanjian antara Anwar dan Lajim; jika tidak-Lajim tidak akan bertindak, kerana sejarah perjalanan politiknya mesti disertai dengan habuan untuk diri sendiri.
Apapun, Suara Rakyat mengucapkan selamat kepadanya, untuk mencapai impiannya; namun di pihak BN, para pemimpin serta penyokong BN akan buktikan, kali ini Lajim tersilap langkah dan perhitungan.