ADALAH melucukan, apabila ada pemimpin UMNO menganggap parti sebuah syarikat sendirian berhad, yang mana pemegang saham dan lembaga pengarah mempunyai hak mutlak.
Parti politik adalah badan siasah yang bersifat sukarela, bermatlamat mendapatkan semakin ramai ahli kerana bertujuan menang dalam pilihanraya dalam sistem demokrasi.
Penulis terbaca, bangkangan AJK Bahagian Umno Kota Belud, terhadap permohonan mantan Ketua Bahagian-Datuk Salleh Tun Said untuk menyertai semula parti itu, hampir satu tahun setengah meninggalkannya, kerana ikut serta keluar berjemaah pada 12 Disember, 2018.
Salleh mengakui bahawa adalah satu kesilapan ikut serta keluar berjamaah pada masa itu.
Selepas berehat daripada kancah politik, dan memerhatikan senario politik semasa, beliau terpanggil semula untuk aktif dalam arena politik untuk menyumbang sepenuh usaha dan tenaga bersama UMNO dalam meneruskan agenda perjuangan membina negara Malaysia yang tercinta.
Kecuali AJK Bahagian Kota Belud yang dipimpin Haji Fadli Haji Juanas, akar umbi Umno menganggap kemasukan Salleh semula ke dalam parti lebih banyak kebaikkannya, malah mantan menteri Komunikasi dan multimedia itu merupakan aset kepada parti.
Secara umumnya, para pemimpin Umno menyambut baik langkah mantan Ketua Bahagian tersebut menyertai parti, kerana Salleh masih dianggap sebagai seorang tokoh politik tanah air.
Sebelum permohonan Salleh, Pengerusi Perhubungan Umno Sabah-Datuk Bung Moktar Radin telah membuat kenyataan mengalu-alukan penyertaan semula mantan-mantan pemimpin ke dalam parti itu.
Penerimaan semula mantan-mantan pemimpin Umno ke dalam parti bukan lah perkara luar biasa, kerana Tun Dr Mahathirpun, pernah keluar masuk, demikian juga mantan-mantan pemimpin UMNO yang menubuhkan parti S-46, yang mana bukan sahaja menjadi parti pembangkang kepada UMNO, malah kepada BN untuk beberapa PRU.
Salleh tidak pernah melawan UMNO, malah beliau hanya keluar berjemaah dengan para pemimpin UMNO Sabah, kemudiannya, berehat sementara, walaupun pernah memohon menyertai PKR, tetapi permohonan belum diproses, kerana beliau menangguhkannya, kemudian membatalkan permohonan tersebut.
Penulis melihat, tindakan membangkang oleh AJK Bahagian Umno Kota Belud, sama sekali tidak sealiran dengan akar umbi parti.
Adalah pelik dan kurang sopan, seorang Ketua Bahagian boleh menyatakan bahawa kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri adalah pendapat.