Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Kiat hanya disiasat dua jam oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran dakwaan menerima RM10 juta dari Ketua Eksekutif Kuala Dimensi, Datuk Seri Tiong King Sing.
Padahal Setiausaha Politik seorang Exco Selangor, Teoh Beng Hock disoalsiasat lebih 10 jam oleh SPRM dan kemudiannya didapati mati hanya kerana isu RM2,400. Inilah dilema yang dihadapi oleh rakyat negara ini.
Tokoh politik kerajaan yang memerintah mendapat layanan baik manakala pihak yang berbeza dengan kerajaan akan mendapat layanan sebaliknya.
Semalam pegawai SPRM mengambil masa lebih dua jam sahaja untuk menyoalsiasat Ong Tee Kiat ekoran dakwaan rasuah sebanyak RM10 juta dan hari ini hanya 1 jam. jumlah 3 jam dan masih sihat walafiat.
Siasatan ini ekoran dakwaan Tiong King Sing yang juga Pengerusi Kelab Penyokong BN serta anggota Parlimen Bintulu, Sarawak kononnya dia memberikan wang sebanyak RM10 juta kepada Ong Tee Kiat untuk keperluan kempen dalam mesyuarat agung bahagian MCA.
Teoh Beng Hock pula disiasat selama lebih 10 jam dan pada waktu malam hingga pagi ekoran dakwaan yang melibatkan wang tidak sampai 0.01% pun.
Beliau kemudiannya ditemui mati di T-5 Plaza Masalam yang menempatkan pejabat SPRM Selangor. Kes itu kini sedang dibicarakan melalui prosedur Inkues.
Ketika mengulas isu ini, Ahli Jawatankuasa Khas SPRM, Salahudin Ayub akan mendesak segera pengerusi JK itu, Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad untuk bermesyuarat segera. "Saya akan minta SPRM menjelaskan isu ini kepada kami segera," kata Salahudin yang juga Naib Presiden PAS.
Beliau juga meminta SPRM mendedahkan segera hasil siasatan dua jam mereka terhadap Ong Tee Kiat yang merupakan isu yang sangat kontroversi ini. "Apakah masa dua jam itu cukup? Kenapa pendek sangat sedangkan Teoh Beng Hock disiasat 10 jam dengan pelbagai jenis tekanan. "Adakah modus operandi SPRM berbeza antara tokoh dari kerajaan BN dengan orang dari kerajaan Pakatan Rakyat," tanya Salahudin yang dilantik sebagai ahli JK Khas SPRM itu apabila SPRM bertukar dari Badan Pencegah Rasuah (BPR) tahun lalu.
Anggota Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali pula mempersoalkan, "Apakah SPRM ini benar-benar colour blind iaitu tidak membezakan status dan kedudukan mereka yang didakwa terlibat dalam kegiatan rasuah." Bagi beliau, apa yang berlaku terlalu jelas di mata rakyat, mereka mempunyai kedudukan berbeza pada mata SPRM.