SEBELUM PRU-1999, bukan sahaja cakap-cakap kedai kopi, malah merebak pada media, jika MB Tan Sri Mohktar tetap menerajui BN Terengganu, negeri itu akan ditawan Pas. Benar juga, selepas PRU itu, Dato Seri Hadi Awang dilantik sebagai MB.
Kini cerita itu berulang, namun bukan di Terengganu, akan tetapi di negeri asal Perdana Menteri. Terlalu banyak cerita; jika MB sekarang meneruskan tugasnya, Pahang, kalaupun tidak akan dikuasai pembangkang sepenuhnya; akan tetapi BN akan kehilangan kerusi yang banyak yang boleh menjadi punca gabungan 13 parti tetap berkuasa di Putrajaya.
Isu 1MDB, salah satu lagi faktor yang boleh menyebabkan Bn kehilangan kuasa; kalau tidak ditangani dengan baik dan telus.
BN dalam rangka menyusun strategi untuk menawan Selangor; namun atas sebab dua faktor di atas; ditambah dengan faktor dalaman di Selangor sendiri; terlalu sukar menawan negeri termaju di Malaysia itu. Sebabnya, rakyat Selangor; tidak melihat, mengapa mereka perlu menyokong dan mengembalikan kerajaan Bn, tiada indikator ke arah itu yang menggamit sokongan mereka. Malah, pada PRU-14; ramai yang meramalkan, keupayaan Bn di negeri itu akan terus merundum.
Berikut Artikel utusan malaysia yang diterbitkan pada 3 November tulisan Hassan mohd Noor.
DALAM beberapa siri `perjumpaan’ bulan lalu, parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) diberi peringatan dan teguran berhubung prestasi masing-masing pada pilihan raya umum (PRU) lalu. Peringatan itu dibuat oleh Pengerusi BN, Najib Tun Razak pada perhimpunan agung MCA dan Gerakan. Tidak ketinggalan juga UMNO melalui Konvensyen UMNO Selangor yang berlangsung kelmarin. Selepas 18 bulan PRU, parti-parti politik sudah tentu mempunyai pelbagai strategi untuk menghadapi PRU berikutnya.
Dalam tempoh itu, banyak analisis dibuat berhubung kemenangan dan kekalahan. Sekarang adalah masa untuk memperkemaskan jentera parti supaya apabila tiba masanya, pengundi-pengundi sedar kenapa parti-parti berkenaan harus menjadi pilihan. Beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) juga menunjukkan prestasi parti yang bertanding selepas PRU tetapi ia tidak boleh menjadi ukuran kekuatan sebenar. Apa yang penting sekarang ialah menyusun langkah dan strategi untuk memenangi semula hati pengundi-pengundi yang telah beralih sokongan.
Fokus Perdana Menteri dalam beberapa siri perjumpaan itu nampak tertumpu kepada Pulau Pinang dan Selangor, dua negeri yang sudah memasuki penggal kedua di bawah naungan pakatan DAP, PKR, Pas. Kedah dan Perak yang jatuh ke tangan pakatan pada 2008 sudah pun kembali ke pangkuan BN manakala di Kelantan, kedudukan Pas sukar digugat. Apakah strategi UMNO, Gerakan dan MCA untuk menawan semula Pulau Pinang dan Selangor? Tanpa menidakkan peranan komponen lain seperti MIC, PPP serta rakan BN lain, tiga parti komponen ini memainkan peranan penting untuk mengembalikan penguasaan di Pulau Pinang dan Selangor. Jika tidak, bukanlah mustahil Pulau Pinang dan Selangor akan terus kukuh di bawah penguasaan pakatan pembangkang seperti dialami di Kelantan. Parti komponen BN ini tidak boleh lagi terlalu bangga dengan jumlah keanggotaan parti. Tidak ada gunanya mempunyai anggota yang ramai tetapi tidak mampu memberi sokongan kepada parti. Tidak ada makna jika ada anggota merajuk menjelang hari pengundian, berpecah kepada pelbagai kem akibat keghairahan mengejar habuan politik atau terbawa-bawa dengan kepentingan peribadi, puak atau kem. Ada juga yang sanggup melihat kawan kecundang sedangkan hakikatnya partilah yang tewas hanya disebabkan anggota parti tidak puas hati dengan pemilihan dan sebagainya. Lebih mendukacitakan jika ada yang mengaku anggota parti tetapi hakikatnya bukanlah seorang pengundi yang sah kerana tidak mendaftar .
Jika mahu dibandingkan dengan DAP, Pas dan PKR, sudah tentu parti komponen BN mempunyai jumlah anggota yang lebih besar. Bagaimanapun, setiap kali PRU, jumlah pengundi yang menyokong pakatan ini lebih besar. Apakah rahsia di sebalik sokongan itu? Selain mengukuhkan sokongan anggota parti itu sendiri, pengundi di luar parti serta `di atas pagar’ juga perlu diberi perhatian.
Jika dilihat keputusan PRU lalu di Pulau Pinang dan Selangor, BN mencatatkan kemerosotan kerusi yang dimenangi. Lebih parah, Gerakan, MCA dan MIC gagal membantu sementara UMNO pula kehilangan banyak kerusi. Situasi inilah yang perlu diperbaiki pada PRU akan datang sama ada mahu melihat kemerosotan berterusan atau melonjakkan semula kejayaan.
Gerakan khabarnya akan tampil dengan pelan komprehensif untuk memenangi kerusi pada PRU akan datang di Pulau Pinang. Presiden Gerakan, Mah Siew Keong memberitahu, dalam tempoh dua tiga bulan lagi, parti itu akan menyiapkan pelan berkenaan dan menyerahkan kepada Najib. Gerakan berharap pada pertengahan tahun hadapan, parti itu mempunyai strategi yang konkrit. Diharapkan ia bukan sekadar strategi mahu memenangi beberapa kerusi sebaliknya perlu mempunyai keazaman untuk bertapak semula sebagai sebuah kerajaan di Pulau Pinang. Gerakan perlu mempunyai iltizam yang kuat untuk bangkit semula menawan Pulau Pinang selepas negeri itu ‘jatuh’ pada 2008 dan kemudiannya pada 2013. Selepas dikejutkan dengan keputusan 2008, Gerakan sepatutnya bangkit memperbaiki kedudukan tetapi keputusan pada PRU lalu jelas menunjukkan keadaan lebih teruk. Gerakan tidak seharusnya membiarkan usaha yang dilakukannya bersama BN untuk membangunkan negeri itu sehingga mencapai tahap sekarang berakhir begitu sahaja.
Begitu juga dengan peranan MCA sebagai rakan yang diharap dapat menyumbang kepada penguasaan semula negeri itu. Gelora MCA yang menyaksikan pelbagai kecelaruan dalam membuat keputusan selepas PRU lalu diharap sudah berakhir dan parti itu dapat memberi fokus untuk membantu BN memenangi semula hati pengundi-pengundi. Jangan terlalu selesa dengan kedudukan sama ada di dalam kerajaan negeri atau pusat dan pihak berkuasa tempatan. Usah selesa dengan pelbagai permintaan yang dipenuhi dan dipatuhi oleh rakan-rakan komponen BN atas semangat setia kawan. Najib sebelum ini sudah mengingatkan bahawa MCA mesti menjadi parti yang kuat dan bersatu sekali gus membantu mengembalikan semula sokongan masyarakat Cina terhadap BN pada PRU akan datang. Masa depan MCA juga bergantung kepada perpaduan dan kewujudan puak-puak dalam parti hanya menyulitkan pemilihan calon pada PRU.
Bagi wanita MCA pula, Ketuanya, Heng Seai Kie, menjelaskan perang untuk memenangi semula kerusi yang tewas pada PRU 12 dan 13 sudah bermula. Dengan kekuatan 423,000 anggota, sayap MCA itu yakin dapat memainkan peranan dan mengharapkan lebih ramai wanita diturunkan sebagai calon. Siapa pun calon, apa yang penting keupayaan serta strategi untuk memenangi kerusi yang dipertandingkan. Begitu juga dengan UMNO. Jika bercakap dalam konteks Pulau Pinang, UMNO negeri itu perlu mendapatkan semula sekurang-kurangnya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya, Penanti, Batu Maung dan Sungai Bakap. UMNO Pulau Pinang sebelum ini mempunyai rekod yang baik sama ada menang semua kerusi yang ditandingi atau tewas satu atau dua kerusi. Mampukah UMNO Pulau Pinang bertahan dengan kerusi yang dimenangi sebelum ini?
Di Selangor, jika pada PRU12, BN menang 20 kerusi DUN tetapi pada PRU13, hanya menang 12 kerusi. Adakah angka ini akan terus mencorot atau sebaliknya dapat menebus semula maruah BN? Teguran yang perlu mendapat perhatian semua kepemimpinan UMNO bukan setakat Selangor ialah UMNO perlu mengatur strategi baharu. Bagi Selangor, UMNO negeri itu juga perlu membuat perubahan minda jika mahu menawan semula negeri itu. Terima hakikat bahawa UMNO Selangor kini sebagai pembangkang dan bertindak seperti pembangkang, bukan seperti kerajaan negeri.
Parti komponen BN juga perlu mengambil peluang daripada kekalutan kepemimpinan pakatan pembangkang serta pelbagai tindakan yang tidak disenangi rakyat sama ada di Pulau Pinang atau Selangor. Mereka perlu bangkit untuk menyedarkan rakyat siapakah yang lebih baik. Tidak keterlaluan jika apa yang dilakukan oleh kerajaan pakatan itu dilakukan oleh kerajaan BN, sudah pasti, parti pembangkang bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bangun mengkritik. Hal seperti ini seolah-olah tidak berlaku hari ini. Pihak di sebelah sana bebas melakukan apa sahaja sementara pihak sebelah sini kadang-kadang bangun dan ada ketikanya ‘tidur lena’ dibuai mimpi indah.
Parti komponen BN tidak seharusnya mengulangi kesilapan yang lalu. Ingat pesanan Najib supaya berubah. Sikap berpuak-puak atau kem perlu dihapuskan kerana inilah penyakit yang akan membunuh dan memusnahkan parti. Pilih kepentingan diri atau parti.
- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/bangkit-tawan-semula-atau-biarkan-mereka-terus-berkuasa-1.19989#sthash.1AVNIpbn.dpuf