Showing posts with label Ciri-ciri pemimpin. Show all posts
Showing posts with label Ciri-ciri pemimpin. Show all posts

27 April 2014

Selera Rakyat Terhadap Pemimpin Telah Berubah

Mengambil iktibar daripada PEMILU Indonesia, menurut Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah- Datuk Dr Salleh Said; kebanyakan calon-calon yang terpilih, adalah mereka yang pernah atau berkhidmat dengan masyarakat di wilayah-wilayah tertentu. Kecenderungan rakyat, tidak lagi bersandarkan kepada nama besar seseorang pemimpin, akan tetapi dilihat sumbangannya kepada rakyat; di mana calon-calon itu pernah berkhidmat atau bertugas.

Di negara kita, pada masa akan datang, kecenderungan itu akan juga berlaku; namun tidak terasa sangat, kerana sistem kita berasaskan kepada sistem berparlimen, atau sistem kerusi berasaskan kawasan. Di negara kita, setiap calon yang dikemukakan untuk bertanding pada sesuatu kawasan, memang berasal daripada kawasan itu, malah memegang jawatan parti bagi kawasan tersebut.

Memandangkan perkembangan semasa, jika dahulu, kemenangan bagi sesuatu kawasan biasanya disumbangkan sebahagian besar oleh faktor parti, namun di masa akan datang, akan berlaku bahawa kemenangan calon pada sesuatu kawasan akan di sumbangkan oleh calon atau individu yang dicalonkan.

Berasaskan kepada perubahan selera rakyat ini, maka pemimpin atau wakil rakyat masa depan, akan ditentukan berasaskan kepada sumbangan atau perkhidmatan seseorang itu pada kawasan tertentu. Masa itu, istilah calon payung terjun, agak sukar menang, meskipun mewakili parti yang popular; atas sebab perubahan selera rakyat.

Di negara kita, sejak tahun 1957, biasanya calon-calon yang menang adalah calon-calon yang dikemukakan oleh sesebuah parti, meskipun ada juga calon-calon tidak berparti pernah menang dalam pilihanraya. Ini yang berlaku pada masa depan, bahawa rakyat akan mengundi seseorang calon, yang dikira memberi sumbangan kepada rakyat di mana calon itu bertanding. Keadah inilah yang diamalkan oleh Parti BN terutama Umno. Pada setiap pilihanraya, biasanya calon-calon pilihan Umno adalah mereka yang pernah atau sedang berkhidmat di sesuatu kawasan; seperti pada PRK Balingian di Sarawak baru-baru ini, mantan pegawai daerah bagi kawasan itu, dipilih untuk bertanding; dan terbukti menang besar.

Parti, tidak boleh lagi bersandarkan kepada nama-nama pemimpin besar untuk menang, parti akan menang kalau mengemukakan koleksi calon-calon yang mempunyai sumbangan kepada rakyat.

Rakyat kini sudah bijak, mereka mampu menilai pencapaian seseorang pemimpin atau wakil rakyat; jika wakil rakyat itu kurang pencapaiannya, meskipun berpenggal menjadi wakil rakyat pada kawasan yang sama, maka pada piihanraya umum akan dihukum oleh rakyat. Ini yang berlaku pada kawasan-kawasan yang kalah pada PRU-13 lalu.

Agar rakyat, tidak menghukum seseorang calon, yang berakibat kepada kekalahan calon parti, maka syogianya, wakil-wakil rakyat yang telah dipilih, perlu mengembeling semua tenaga dan fikiran untuk memajukan kawasan-kawasan yang diwakilinya. Tanpa pembangunan yang diharapkan rakyat, bagaimana baiknya seseorang itu, bakal ditolak; kerana selera masa depan rakyat adalah pemimpin yang baik, dekat dengan rakyat serta membangun rakyat.

Pemimpin masa depan yang diinginkan rakyat, bukan lagi pemimpin yang penuh protokol, pemimpin yang bersifat bossy, akan tetapi pemimpin yang diperlukan adalah pemimpin yang bersifat leader. Pemimpin yang mampu menyerap perbezaan pendapat, dan pemimpin yang tangguh menerima kritikan.

Pada masa akan datang, pemimpin yang bersifat bossy, pemimpin yang penuh protokol, akan diketepikan, jika sesebuah parti mahu menang dalam pilihanraya.

Di Kota Belud, nampaknya para pemimpin mengantisipasi keadaan itu. Atas sebab itu, berbagai kaedah dilakukan, selain aktivti turun padang, seperti merasmikan sesesuatu pembangunan yang dibiayai kerajaan, akan tetapi pemimpin mengambil pendekatan mengayumi rakyat dengan melibatkan mereka dengan berbagai aktiviti.

Di Kota Belud, bagi melibatkan rakyat bagi aktiviti yang bersifat riadah, kini terdapatnya aktivti berbasikal mengelilingi kawasan-kawasan. Aktiviti seperti ini, bukan sahaja bersifat riadah akan tetapi aktiviti bersukan yang menyihatkan.

Sekali air bah, maka sekali pantai berubah. Atas sebab itu, bagi pemimpin yang mahu terus diterima rakyat, maka perlu menemukan berbagai kaedah agar mereka tetap relevan, mengikuti perkembangan masa, dan kehadiran pemimpin itu senantiasa segar di mata rakyat.

Rakyat kini, tidak lagi cenderung sangat dengan pemimpin yang hanya tahu bercakap, apabila berucap berapi-api dengan penuh semangat; akan tetapi rakyat memerlukan pemimpin yang menyatu dengan rakyat; mengerti keperluan rakyat; tahu menjaga hati rakyat; serta menganggap dirinya juga sebahagian daripada rakyat.

22 February 2014

Cara Pemimpin Bertahan Di Dunia Politik

Dunia politik semakin hari semakin berubah. Cara pendekatan politik juga berubah. Jika dahulu, pagi-pagi ke vendor surat khabar untuk mendapatkan surat khabar untuk mendapatkan perkembangan pemimpin, kini kaedah itu sudah bertukar. Setiap detik, kita boleh mengetahui perkembangan pemimpin, hanya dihujung jari.

Dahulu, apabila ingin bertemu pemimpin, terpaksa buat temu janji, perlu ke pejabat pemimpin atau di rumah kediaman rasminya. Kini kaedah itu, sudah merupakan perkara silam. Pemimpin kini lebih pro aktif, selain memanfaatkan majlis-majlis rasmi, juga tidak rasmi seperti majlis santai.

Hari ini, OKB ada tiga aktiviti pemimpin untuk dikongsikan dengan pembaca. Pertama aktiviti Ketua Menteri yang balik ke kawasan  untuk bersama rakyat di Rancangan Sg Manila. Kemudian meninjau persiapan perasmian 1000 unit PPR oleh YAB.TPM pada 1Mac depan; Kedua  majlis santai yang dihadiri Speaker Dewan undangan negeri- Datuk Dr Salleh Tun Said di Usukan, dan ke dua majlis santai di Pantai Kampung Rampayan laut oleh Adun Tempasuk- Datuk Musbah Jamli.

Hubungan antara pemimpin dan rakyat merupakan vital dalam dunia politik. Kenapa? bertahannya seseorang dalam dunia politik, atas sebab senantiasa ada penyokong dan sokongan. Mengapa terjadi demikian? kerapnya seseorang bertembung, berjumpa, berama mesra dengan penyokongnya menjadikan keadaan itu satu ikatan yang sukar dipisahkan. Keadaan itulah yang menyebabkan seseorang itu senantiasa mendapat sokongan. Contoh paling baik, adalah bagaimana eratnya hubungan antara pemimpin dengan rakyat, adalah seperti yang ditunjukkan oleh Dato Shahrir Samad, MP Johor Baharu. Sharir pernah bertanding di kawasannya itu dengan menggunakan tikit bebas, melawan calon Umno, namun atas sebab ikatan yang cukup dengan pengundi Johor baharu, Shahrir menang dengan bergaya, walaupun dikeroyok oleh pasukan Umno masa itu yang diketuai oleh Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad.

Di Sabah pula, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun, sepanjang hayatnya belum pernah kalah pada setiap pilihanraya, meskipun kawasan yang ditandinginya berbeza-beza tempat.

Hubungan akrab antara pemimpin dan yang dipimpin sebenarnya faktor yang memudahkan sesuatu parti memenangi pilihanraya. Atas sebab itu, seseorang yang dipilih sebagai calon oleh sesebuah parti, juga melihat latar belakang calon itu di mata rakyat. 

Melihat aktiviti para pemimpin Umno yang mendapat liputan OKB pada kali ini, maka melalui kaedah yang mereka lakukan, agar menjadi panduan oleh para wakil rakyat atau pemimpin lain, agar cara-cara itu diberi keutamaan, agar supaya, rakyat dekat dengan pemimpin, dan pada gilirannya, memudahkan parti apa bila tiba pilihanraya. Para pemimpin perlu mengambil iktibar kepada para wakil rakyat yang kalah dalam pilihanraya, walaupun berpenggal-penggal, namun apabila rakyat sukar menerimanya kerana wakil rakyat itu hanya mencari peluang untuk diri sendiri, maka apabila rakyat menolaknya, parti juga menerima tempias buruk.

Dunia politik masa kini, penuh dengan persepsi. Hanya melalui hubungan akrab dengan rakyat, persepsi boleh dinyahkan.

Amalan turun padang yang ditunjukkan oleh tiga pemimpin Umno ini wajar dicontohi oleh para pemimpin lain terutama parti komponen Bn. Jangan hanya berlaku, pada musim pilihanraya saja sibuk turun padang, kerana rakyat kini benar-benar tahu mana satu pemimpin yang perlu dikekalkan dan mana satu yang perlu direhatkan.

16 November 2013

Pemimpin dan Kepimpinan

Apakah faktor-faktor yang menyebabkan segelintir sahaja individu ataupun ketua yang berjaya menjadi pemimpin berkesan?Persoalan ini sudah lama cuba dijawab oleh pakar-pakar yang mengkaji bidang kepemimpinan. Untuk menjawab teka-teki itu mereka mengemukakan dua penjelasan, iaitu kepemimpinan yang berkesan datang daripada dua sumber, iaitu ciri-ciri peribadi seseorang pemimpin dan pola tingkah laku pemimpin.

Dua ciri utama ciri-ciri individu yang akan menjadi pemimpin ialah pertama, sejak kecil lagi mereka sudah mempunyai cita-cita yang tinggi, dan kedua mereka tahu apa yang mereka mahu. Mereka tahu bahawa mereka hendak menjadi seorang pemimpin. Dalam lain perkataan, teori ini mengatakan para pemimpin sejak kecil-kecil lagi sudah ‘berjiwa besar’.

Lazimnya orang mengatakan para pemimpin ialah mereka yang bergiat dalam aktiviti politik. Memang ramai ahli politik yang mempunyai ciri-ciri pemimpin, tetapi ramai juga individu-individu yang tidak bergiat di dalam bidang politik juga mempunyai bakat pemimpin. Sebagai contoh, ramai tokoh usahawan dan tokoh korporat mempunyai bakat kepemimpinan yang amat tinggi. Malah bakat kepemimpinan juga terserlah di kalangan ahli-ahli sukan dan pertubuhan-pertubuhan kebajikan dan sukarela.

Pemimpin akan menentukan hala tuju dan jatuh bangun masyarakat itu. Dia bukan sahaja bertanggungjawab untuk memastikan setiap anggota masyarakat mendapat gambaran yang jelas terhadap setiap polisi, arahan dan tugas tetapi juga memastikan setiap arahan dan tugas berkenaan dipatuhi dan dituruti oleh anak buahnya.

Pemimpin juga memegang satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab dan ditegah supaya dapat mewujudkan satu masyarakat yang bersatu padu, adil dan mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap kebajikan kelompok di bawah kepemimpinan mereka. Ilmu dan kefahaman perlu ada pada seorang pemimpin. Ilmu dan kefahaman ini akan memeliharanya dari pada membuat keputusan yang bercanggah dengan syariah.

CIRI-CIRI PEMIMPIN

(a) Semangat
Seorang pemimpin perlu mempunyai cita-cita, ketabahan, ketekunan tekad, daya usaha, tenaga dan hasrat untuk berjaya.
(b) Kebijaksanaan dan kepintaran
Seorang pemimpin yang bijaksana adalah pemimpin yang memilih kecerdasan yang baik. Dengan kecerdasan yang baik atau akal yang panjang, dia dapat menggunakan pertimbangan akalnya, atau budi bicaranya dengan adil dan saksama bagi kepentingan orang ramai dan bukan untuk kepentingan dirinya sendiri. Tambahan pula, mereka juga berupaya menggabungkan dan mentafsirkan maklumat-maklumat yang banyak.
(c) Keyakinan diri
Seseorang pemimpin percaya pada keupayaan diri sendiri. Justeru, pemimpin harus mempunyai disiplin peribadi , boleh diteladani dan sentiasa menjadi contoh.
(d) Dorongan Kepemimpinan
Pemimpin harus mempunyai hasrat yang tinggi mahu mempengaruhi individu-individu lain supaya menyokong usaha bagi mencapai tujuan dan matlamat yang sudah ditetapkan.
(e) Berpengetahuan dan berpengalaman
Pemimpin bukan sahaja memiliki keahlian atau ketrampilan dalam bidangnya, tetapi juga mempunyai minat yang mendalam dalam bidang itu supaya dia berupaya memberi tunjuk ajar dan pimpinan yang lebih berkesan.
(f) Kreativiti
Pemimpin berupaya mencipta idea-idea yang baru dan berguna supaya dapat menghasilkan kerja yang lebih berkualiti dan berkesan.
(g) Fleksibiliti
Pemimpin harus pandai menyesuaikan diri dengan keperluan individu-individu yang mereka pimpin dengan keperluan situasi dan masa. Ciri ini membolehkan para pemimpin mengenal pasti tindakan-tindakan yang sewajarnya mereka ambil dalam keadaan-keadaaan tertentu dan melaksanakan tindakan itu.
(h) Sihat dari segi jasmani dan rohani
Pemimpin memiliki kestabilan emosi, tabah dan sabar, tidak mudah naik darah tetapi tenang dalam menghadapi sebarang masalah dan cabaran, tahu memilih dengan tepat dan tahu perkara yang harus didahulukan.
(i) Kejujuran, amanah dan integriti
Tanpa sifat amanah, pemimpin itu tidak akan mendapat kepercayaan daripada ahli-ahli. Keutuhan dan kestabilan sesebuah pertubuhan itu banyak bergantung kepada sifat jujur serta amanah para pemimpinnya.
(j) Sifat terbuka
Pemimpin yang baik suka berterus-terang, tidak menyembunyikan sesuatu sehingga menjadikan para anggota persatuan menaruh perasaan syak wasangka. Selain itu, dia juga mudah dihubungi dan ditemui pada bila-bila masa.

PERANAN PEMIMPIN
(a) Perancangan dan penganjuran
Menentukan objektif dan strategi jangka panjang, memperuntukkan sumber berdasarkan keutamaan, menentukan cara menggunakan kakitangan dan sumber untuk menyempurnakan tugas dengan cekap dan memastikan cara untuk mempertingkatkan koordinasi, produktiviti dan kecekapan untuk organisasi tersebut.
(b) Penyelesaian masalah
Menentukan masalah berkaitan tugasan, analisis masalah tepat pada masanya tetapi secara sistematik untuk memastikan sebab dan cari penyelesaian dan bertindak secara tegas supaya dapat menyelesaikan masalah penting atau krisis.
(c) Menjelaskan peranan dan objektif
Memberikan tugasan, memberikan arahan cara melakukan kerja dan menerangkan dengan yang jelas berkaitan tanggungjawab, objektif tugas, tarikh akhir dan jangkaan pencapaian.
(d) Menjalin perhubungan
Apabila seseorang itu dipilih ataupun dilantik menjadi pemimpin dia semestinya menjalin perhubungan yang baik dengan pelbagai pihak yang mempunyai kaitan dengan organisasi yang dipimpinnya. Pemimpin juga semestinya menjalin perhubungan baik dengan individu-individu yang berada di bawah pimpinannya, dengan ketua-ketuanya sendiri, dengan pemimpin-pemimpin lain yang menjadi rakan sejawatnya, dengan individu-individu lain di luar organisasi yang dipimpinnya dan dengan mereka yang akan terjejas oleh keputusan-keputusan yang diambilnya selaku pemimpin. Dia semestinya menjalin perhubungan baik dengan semua pihak kerana kejayaan seseorang pemimpin bergantung kepada sokongan dan kerjasama pihak-pihak lain. Sebagai pemimpin, tugas utamanya ialah mendorong individu-individu yang dipimpinnya supaya berjaya melakukan apa yang mereka lakukan pada tahap cemerlang. Ini hanya dapat dilakukan apabila pemimpin itu mempunyai perhubungan yang baik dengan mereka yang berada di bawah kepemimpinannya.
(e) Menerima dan memberi maklumat
Sebagai pemimpin seseorang itu perlu menjalin perhubungan yang baik dengan semua pihak kerana dia memerlukan maklumat, baik maklumat berkenaan perkara-perkara di dalam mahupun di luar organisasi yang dipimpinnya. Sebagai contoh, dia perlu mengetahui siapa yang menjadi punca masalah-masalah yang berlaku di dalam organisasinya, siapa yang paling kuat bekerja, apa masalah yang ada, apa yang sedang dilakukan oleh para pesaingnya, apa peluang-peluang baru yang ada, dan banyak lagi. Individu-individu yang dipimpinnya dan rakan-rakan sejawatnya pula memerlukan banyak maklumat daripadanya untuk membantu mereka menjalankan tugas-tugas mereka dengan lebih berkesan. Setiap maklumat yang diterima perlu dinilai dan ditafsir dengan teliti kerana maklumat-maklumat itu berguna untuk membuat pelbagai keputusan.
(f) Membuat keputusan
Sebagai pemimpin, seseorang itu membuat bermacam-macam keputusan seperti keputusan yang melibatkan wang, individu-individu lain, masa dan banyak lagi. Untuk membuat keputusan yang tepat seseorang memerlukan banyak maklumat yang relevan dan betul. Selain daripada membuat keputusan berkenaan projek-projek baru, idea-idea baru, strategi-strategi baru dan lain-lain seperti itu, seseorang pemimpin semestinya membawa perubahan dan pembaharuan kepada organisasinya dan individu-individu yang dipimpinnya. Untuk itu, pemimpin terpaksa membuat pelbagai keputusan yang penting dan berisiko. Satu lagi tugas pemimpin yang melibatkan fungsi membuat keputusan ialah tugas perundingan. Seringkali sebagai pemimpin seseorang itu semestinya berunding dengan pelbagai pihak untuk mendapatkan persetujuan, sokongan, dan kerjasama mereka. Dia perlu membuat keputusan-keputusan pada akhir proses perundingan itu. Keputusan-keputusan yang dibuatnya itu pula tidak terhad pada keputusan-keputusan yang penting pada hari itu sahaja, tetapi keputusan-keputusan yang penting pada masa depan.
(g) Pengawasan
Pengumpulan maklumat berkaitan aktiviti kerja dan keadaan luaran yang mempengaruhi kerja, memeriksa perkembangan dan kualiti kerja, menilai persembahan individu dan unit organisasi, analisis arah aliran dan meramal peristiwa luaran.
(h) Motivasi dan mengilhamkan
Menggunakan teknik pengaruhan yang wujud pada emosi atau logik untuk menjana semangat bekerja, iltizam kepada objektif tugas, dan pematuhan terhadap permintaan untuk kooperasi, bantuan sokongan atau sumber, dan membentuk suatu contoh sikap yang sesuai.
(i) Sebagai eksekutif
Menyelaraskan aktiviti-aktiviti kelompok supaya tidak terdapat percanggahan. Kalau semua orang bercakap pada masa yang sama, merancang pada masa yang serentak tanpa penyelarasan, kelompok akan jadi kacau.
(j) Sebagai orang tengah
Kelompok yang dinamik tidak dapat mengelak diri daripada menghadapi konflik dalaman antara anggota-anggotanya. Dalam keadaan begini pemimpin perlu menjadi orang tengah; menjadi hakim atau pendamai kepada pihak yang berkonflik itu.
(k) Sebagai Telauladan
Pemimpin boleh menjadi teladan atau model kepada anggota-anggotanya. Dia menunjukkan kepada mereka tingkah laku, sifat atau kemahiran yang perlu kepada anggota-anggotanya. Dengan menjadi teladan, dia menyediakan petunjuk yang konkrit tentang apakah yang mereka harus lakukan atau buat.

GAYA KEPEMIMPINAN
Setiap orang pemimpin mempunyai gaya kepemimpinannya masing-masing. Perbezaan gaya kepemimpinan mempunyai kesan yang penting kepada produktiviti individu-individu yang mereka pimpin. Terdapat tiga gayakepemimpinan bagi seseorang pemimpin.

1 Gaya Autokratik
Seorang pemimpin harus berupaya menggerakkan orang-orang bawahannya melakukan tindakan-tindakan agar tujuan organisasi tercapai. Dalam usaha menggerakkan orang-orang bawahan melakukan apa jua aktiviti atau pekerjaan untuk mencapai tujuan persatuan, pemimpin yang autokratik meletakkan kekuasaannya di tangannya sendiri. Kata-katanya atau segala kehendaknya tidak boleh dibantah. Orang lain harus tunduk dan menurut sahaja pada kemahuannya. Pemimpin yang autokratik tidak bersikap membimbing, segala perintahnya harus dilaksanakan dengan baik. Keputusannya adalah sesuatu yang terbaik dan harus dilaksanakan tanpa boleh ditegur.

Pemimpin yang autokratik memberi banyak arahan dan semua keputusan hanya dia seorang sahaja yang boleh membuatnya. Dia menganggap yang dia seorang sahaja boleh berfikir untuk menentukan bentuk kegiatan yang boleh dilakukan oleh persatuan. Ahli-ahli tidak diberi kesempatan atau peluang untuk mengeluarkan pendapat atau pandangan, apa lagi untuk bersama-sama membuat keputusan. Mereka hanya menerima tanggungjawab melaksanakan keputusan ketua. Dalam tindak tanduk mengendalikan persatuan, dia lebih suka menggunakan paksaan dan ancaman supaya ahli-ahli berasa takut. Hubungan di antara pemimpin jenis ini dengan ahli-ahli persatuan tidak selalu baik atau dengan lain perkataan ialah terlalu formal dan penuh ketegangan.

2 Gaya Laissez-faire
Pemimpin yang bebas membiarkan sahaja kumpulannya menentukan sendiri semua aktiviti mereka. Pemimpin ini tidak mengambil sikap tertentu terhadap kumpulannya. Dia tidak membimbing atau mendorong ahli-ahlinya, dia tidak mengawal aktiviti persatuannya, malah dia tidak suka mengambil keputusan. Dia cuma memerhatikan sahaja apa yang dibuat oleh kumpulannya. Dengan kata lain, dia sebagai ketua memberi kebebasan sepenuhnya kepada orang-orang yang dipimpin untuk membuat apa sahaja yang difikirkan patut.

Pemimpin jenis ini dinamakan pemimpin laissez-faire, iaitu pemimpin yang tidak menentukan arah kepada orang-orang di bawahnya. Kebebasan diberikan menurut kemahuan orang-orang yang dipimpin. Kedudukannya sebagai ketua hanya sebagai simbol atau “penasihat” yang hanya mempersetujui apa juga cadangan yang dikemukakan oleh orang bawahan kerana dia sendiri tidak suka membuat keputusan.

Oleh sebab kuasa yang ada pada ketua itu tidak jelas, pengurusan dan pentadbiran persatuan biasanya menjadi kacau. Setiap anggota kelompok bergerak sendiri-sendiri bagi mencapai matlamat peribadi dan bukannya matlamat persatuan atau organisasi.

3 Gaya Demokratik
Dalam gaya demokratik, hubungan antara pemimpin dengan orang-orang yang dipimpin diwujudkan dalam bentuk hubungan kemanusiaan. Hubungan antara ketua dengan orang-orang bawahan didasari prinsip saling hormat-menghormati, saling bekerjasama dan bertanggungjawab. Setiap orang dihargai dan dihormati sebagai manusia, bukan sebagai robot yang diwujudkan hanya untuk melaksanakan perintah.

Pemimpin yang demokratik selalu memberikan kesempatan kepada para ahlinya untuk memberikan pandangan, pendapat dan sasaran untuk kebaikan persatuan. Dengan demikian, ahli-ahli akan berasa diberikan perhatian sehingga timbul rasa kasih dan kesetiaan yang mendalam terhadap persatuan dan akan sentiasa berusaha mencari jalan untuk memajukan persatuan.

Kepemimpinan demokratik adalah kepemimpinan yang aktif serta pemimpinnya bersedia menerima kritik atau teguran yang membina daripada para anggota pasukan. Oleh itu, segala usaha dijalankan untuk kepentingan bersama, iaitu untuk kepentingan persatuan, bukan untuk kepentingan individu atau segelintir individu.

Segala keputusan yang diambil untuk sesuatu aktiviti adalah hasil yang diperoleh daripada perundingan dan persetujuan bersama, bukannya keputusan ketua secara individu, tetapi majoriti. Setiap orang akan bekerja dengan bersungguh-sungguh dan penuh tanggungjawab tanpa berasa adanya tekanan atau paksaan sebab pembahagian tugas dalam kepimpinan demokratik adalah jelas.

Pemimpin yang demokratik tidak memerintah, tetapi mengajak orang-orang bawahnya membuat sesuatu demi kepentingan bersama. Dia selalu berusaha mengutamakan kerjasama dalam usaha mencapai tujuan persatuan.

29 August 2011

Setelah Jadi Pemimpin, Jadi Apa?

"Seorang pemimpin yang baik adalah ia yang mahu selalu berada di tengah-tengah orang-orang yang dipimpinnya, sehingga ia boleh memahami keadaan orang-orang yang berada dalam pimpinannya."

Sepertinya ini pertanyaan bodoh dan kelakar. Setelah jadi pemimpin tentu saja tugasnya adalah memimpin orang-orang yang dipimpin. Berada di barisan paling depan untuk mengatur dan mengarahkan.Bukankah demikian seharusnya?

Ya, demikianlah yang terjadi pada seorang pemimpin. Setelah menjadi pemimpin ia menjadi orang yang mahunya hanya memimpin. Hanya mahunya berada di bahagian depan, merasa orang penting dan tugasnya adalah mengatur.

Pemimpin yang mahunya memimpin, sehingga posisinya selalu mahu berada di depan saja. Mahunya menjadi orang yang dilayani dan dihormati bukannya mengayomi.
Makna pemimpin hanya sekadar dimaknai sebagai orang yang harus berada paling depan.

Apakah memimpin itu harus selalu berada di depan?

Kalau seorang pemimpin hanya mahu selalu berada di barisan depan saja, maka dipastikan ia bukanlah seorang pemimpin yang baik. Kerna telah tercipta jarak antara atasan dan bawahan.

Kerana seorang pemimpin yang hanya mahu berada di depan saja dipastikan ia tidak akan bisa mengerti dan memahami keadaan orang yang dipimpinnya.

Ia tidak akan mengetahui dengan jelas keperluan rakyatnya.
Ia hanya akan bicara dengan kapasitas sebagai pemimpin yang penuh dengan kepentingan, tetapi bukan untuk kepentingan orang yang dipimpinnya.

Seseorang yang telah menjadi pemimpin seharusnya ia bisa kembali menjadi rakyat biasa layaknya dengan orang yang dipimpinnya, sehingga ia bisa memimpin di tengah orang-orang yang dipimpinnya.

Dengan demikian, sebagai seorang pemimpin, maka ia bisa lebih memahami dan mengerti keadaan orang-orang yang dipimpinnya. Kerana ia sendiri merasa adalah bahagian dari orang-orang yang dipimpin.

Apapun yang akan diperbuat dan dikatakan pasti akan sesuai dengan kehendak orang-orang yang dipimpin bukannya melukai sehingga menimbulkan pertentangan.

Di dunia ini memang jarang kita bisa menemukan orang-orang yang setelah menjadi pemimpin mahu kembali menjadi orang biasa. Kerana diperbudak oleh makna dari kata “pemimpin” yang bererti harus berada paling depan.

Kedudukan sebagai pemimpin seringkali membuat seseorang lupa untuk selalu berada di tengah-tengah orang-orang yang dipimpinnya. Lupa diri, bahwa ia juga orang biasa layaknya orang-orang yang dipimpinnya.

Setiap orang adalah pemimpin. Minima menjadi pemimpin bagi dirinya sendiri. Untuk belajar jadi pemimpin yang baik, maka pelatihan yang terbaik adalah dengan belajar memimpin diri sendiri.

20 February 2011

Prestasi, ilmu antara syarat penting kepemimpinan:Najib

Berita Harian (21/9/2005)
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menggariskan beberapa ciri kepemimpinan penting pada abad ke-21, termasuk perlunya membuktikan prestasi, memiliki wawasan, agenda dan ilmu pengetahuan luas.

Bagi saya, aspek kepemimpinan yang paling penting pada abad ke-21 ialah membuktikan prestasi.

Prestasi sudah sinonim dengan kepemimpinan dan pada hari ini, disebabkan persaingan serta permintaan yang kian meningkat, prestasi menjadi perkara yang harus ada dalam setiap pemimpin.

Bersama prestasi cemerlang, seorang pemimpin juga perlu ada visi, mempunyai agenda sebagai panduan kepada kepimpinannya serta mengikuti perkembangan persekitaran, katanya pada Persidangan Kepimpinan Belia-Cabaran Globalisasi anjuran Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia (MSRC) di sini, semalam.

Najib berkata, seseorang pemimpin itu tidak semestinya pakar dalam sesuatu bidang, tetapi perlu ada ilmu pengetahuan mengenainya, mengenai sejarah dan isu kontemporari.

Katanya, pemimpin juga perlu berpengetahuan luas seperti diperkatakan Perdana Menteri Britain ketika era Perang Dunia Kedua, Sir Winston Churchill: Semakin lama anda menoleh ke belakang, semakin jauh anda boleh melihat ke hadapan.

Sehubungan itu Najib berkata, dalam kedua-dua sektor awam dan swasta, usaha untuk melahirkan seramai mungkin pemimpin berpotensi perlu diutamakan.

Justeru beliau mencadangkan semua pertubuhan di negara ini supaya memberi perhatian serius kepada soal kepemimpinan dan membuat pelaburan ke arah pembentukan pemimpin.

ULASAN

Dalam ajaran Islam, syarat-syarat dan ciri-ciri kepimpinan adalah amat ketat. Bukan sebarang orang yang boleh dengan mudah mengaku mampu menjadi pemimpin. Lebih-lebih lagi Islam amat menolak orang yang bersungguh-sungguh mahu menjadi pemimpin. Dalam soal kepimpinan, bukan soal siapa mahu, tetapi ialah siapa yang mampu. Sedangkan yang mampu itu sudah menjadi sunnatullah amat sedikit jumlahnya.

Kerana pada asasnya pemimpin sejati yang ada jaminan selamat dan menyelamatkan ialah mereka yang dipimpin oleh Tuhan. Mereka adalah para nabi dan rasul serta pemimpin pilihan Tuhan yang berwatak nabi dan berwatak rasul. Antara kedua-dua pemimpin ini, yang berwatak rasul saja yang layak memimpin seluruh kehidupan manusia, walaupun tidak salah untuk manusia mengikut pemimpin yang berwatak nabi. Ini kerana para nabi dan pemimpin berwatak nabi hanya memimpin di bidang ibadah dan akhlak sahaja.

Tugas dan peranan para pemimpin ialah banyak memberi tunjuk ajar kepada manusia. Maka yang lebih utama didahulukan telah memberi tunjuk ajar kepada diri sendiri. Mesti mampu mendidik diri, mampu menundukkan nafsu sendiri, mampu berakhlak sempurna dan mampu menjadi model dalam segala hal khususnya ilmu dan minda, ibadah, akhlak, kepimpinan dan rumahtangga. Manusia terjamin selamat di bawah naungan Pemimpin super model ini.

Pemimpin pilihan yang bertaqwa ini sentiasa dinaungi oleh Tuhan. Rezekinya Tuhan yang tanggung. Masalahnya Tuhan yang selesaikan. Ilmu dan mindanya Tuhan yang ajarkan dalam bentuk ilham atau firasat. Strateginya tepat kerana ilham dari Tuhan. Dia adalah sumber kekuatan, kekayaan, kebijaksanaan, keupayaan, kepintaran dan kemampuan. Musuh-nya Tuhan yang tewaskan. Kerananya maka orang lain dibantu. Dengan kehadiran pemimpin pilihan Tuhan ini, bumi menjadi dingin kerana turunnya rahmat Tuhan. Kepalsuan menjadi reda. Kejahatan merosot. Ketegangan menjadi kendur. Hati menjadi lembut dan lunak serta mudah menerima kebenaran dan kebaikan. Hati yang degil menjadi luntur. Maksiat dan kemungkaran menurun kerana hati-hati manusia turut terproses dengan sendiri. Manusia merasa gentar dan gerun untuk bertindak di luar batasan. Musuh mengakui kebenarannya tetapi hasad dengki mengongkong mereka lantas menolak kebenaran yang dibawa dan diperjuangkan oleh pemimpin bertaqwa seperti ini.

Sepanjang sejarah, Tuhan telah buktikan bahawa pemimpin inilah akhirnya yang beroleh kemenangan, kerana Tuhan kehendaki mereka menang. Tiada kuasa yang berupaya menembusi kuasa Tuhan. Musuhnya Tuhanlah yang menumpaskan kerana Tuhan kehendaki yang batil dan pemimpin zalim itu tumpas.

SEKIAN

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels