Showing posts with label Najib rombak kepimpinan umno. Show all posts
Showing posts with label Najib rombak kepimpinan umno. Show all posts

23 October 2010

Najib rombak kepimpinan parti untuk menghadapi PRU-13

Demi menghadapai pilihan raya umum akan datang, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berjanji akan membuat perubahan kepimpinan parti itu di peringkat tertentu.

"Dalam masa terdekat ini saya nak buat perubahan pada kepimpinan Umno di peringkat tertentu. Moga akan lengkaplah (barisan kita)," katanya yang juga perdana menteri.

Dalam ucapan penggulungan dalam mesuarat agung Umno 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini, Najib bagaimanapun berkata akan merundingkannya terlebih dahulu dengan timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan naib presiden parti itu.

"Bincang dengan Jawa, Turki dan lanun semua apa formula terbaik," katanya berseloroh merujuk kepada ketiga-tiga naib presiden - Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Shafie Apdal - yang masing-masing mempunyai darah bangsa dan kaum yang disebutkan itu.

Perkara itu ternyata mencuit hari ketiga-tiga pemimpin kanan Umno itu serta perwakilan yang hadir.

Najib bagaimanapun tidak menyebut secara jelas pada peringkat mana perubahan itu akan dilakukan.

Bagaimanapun, kemungkinan besar ia melibatkan jawatan pengerusi perhubungan negeri ekoran beberapa teguran daripada perwakilan sepanjang tiga hari persidangan Umno pada tahun ini.

'Tutup buku' bincang hak Melayu

Najib juga menggesa anggota parti itu "tidak malas untuk menang di Galas dan tidak jadi batu api untuk menang di Batu Sapi."

Sementara itu, menyentuh soal hak istimewa Melayu yang disifatkankannya sebagai "terkunci kemas" dalam perlembagaan sebelum ini, Najib menyatakan kekesalannya terhadap pembangkang yang didakwa memutarbelitkan perkara itu.

Katanya, pembangkang berhujah, oleh kerana perkara itu telah terkunci, maka orang Melayu tidak lagi memerlukan Umno.

"Ini adalah satu pandangan yang tidak benar sama sekali. Walaupun peruntukan itu terkunci kemas tetapi kuasa politik, ia perlu di tangan Umno untuk mengetengahkan prinsip dan semangat perlembagaan itu," katanya sambil disambut tepukan gemuruh para perwakilan.

"Sebab itu, saya tutup ucapan dasar saya dengan berkata, dalam apa jua keadaaan pun, Putrajaya perlu kita pertahankan."

Sambil menyifatkan pembangkang sebagai bengap dan bangang, Najib sempat memperli PKR - parti utama dalam Pakatan Rakyat - dengan berkata:

"Dia dulu sibuk dengan reformasi, sekarang sibuk baling kerusi (dalam pemilihan cabang)".

Najib juga berharap soal hak Melayu tidak lagi dibangkitkan dan dianggap sudah "tutup buku".

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels