ADA yang kata, samada calon BN atau Pakatan, kedudukan masing-masing adalah "sailang", ertinya ke dua belah pihak akan bermati-matian merampas kerusi itu.
Walaupun rekod BN sungguh hebat pada PRU-12 lalu, apabila calon BN menang dengan majoriti 14,870 undi berbanding lawan, namun pada kali ini individu yang dicalonkan itu, bertanding bukan atas tikit BN lagi, melainkan tikit pembangkang.
Parlimen Beaufort sebenarnya wilayah BN, kerana sejak tahun 1994, kawasan tersebut terus dimenangi BN. Tiga pemimpin BN yang pernah memenagi Beaufort, Datuk Anifah Aman, Datuk Azizah Dun Banir dan Datuk Lajim Ukin. Lajim merupakan calon BN pada PRU-2008.
Di atas kertas BN mempunyai peluang yang baik, namun rekod Lajim yang belum terkalahkan di kawasan itu sejak tahun 1985, merupakan rekod yang mengerunkan.
Datuk Azizah yang akan berdepan dengan Lajim mungkin dapat bersaing, namun rekod antara dua mereka, nampaknya Lajim lebih menyerlah. Azizah pernah melawan Lajim merebut Ketua Bahagian Beaufort, namun Lajim keluar sebagai pemenang.
Sementara itu rekod Pemangku Ketua Bahagian Umno Beaufort Isnin Aliansah juga mempunyai rekod tersendiri melawan Lajim. Pertembungan mereka adalah melalui Persatuan Bisaya, namun untuk rekod Lajim mengalahkan Isnin dengan teruk sekali.
Beaufort adalah wilayah kaum Bisaya, di mana Lajim adalah Janang Gayuhnya (pemimpin agung bisaya); atas sebab itu, pada PRU-13 ini, ada yang mengatakan bahawa kaum bisaya tidak sanggup mengorbankan pemimpin agung mereka. Faktor ini yang kelihatan, mengapa kawasan Parlimen Beaufort merupakan kawasan terpanas di Sabah.
Walau bagaimanapun Azizah dan Isnin akan dibantu oleh komitmen barisan nasional terhadap penduduk Beaufort. Kerajaan BN pada Februari lalu melalui pengumunan Perdana Menteri akan membina Loji Bekalan Air Luar Bandar yang berharga RM226 juta, selain Projek Kolej Islam Beufort dan sekolah kaum cina bagi memenuhi keperluan rakyat kawasan itu.
Komitmen pemimpin utama Sabah Datuk Seri Musa Aman yang merupakan anak kelahiran Beaufort juga membantu calon-calon BN. Dengan keadaan ini, pengundi Beaufort, perlu menilai apakah kemajuan untuk segenap rakyat atau memilih seseorang kerana hanya asas gelaran?
Nampaknya, pilihanraya kawasan Beaufort akan menjadi kawasan terpanas sepanjang PRU-13 ini.