Showing posts with label Legasi Najib. Show all posts
Showing posts with label Legasi Najib. Show all posts

25 December 2011

Tahun 2011 Najib cipta legasi

Pengumuman kerajaan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dan beberapa akta lain yang dianggap lapuk bukan sahaja mencatat sejarah baru tetapi turut merubah landskap politik negara sepanjang 2011.

Keputusan itu mengejutkan banyak pihak, khususnya barisan pembangkang yang terkesima dan mati akal dengan langkah berani Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang hanya mengambil masa dua tahun untuk menunaikan janjinya bagi melaksanakan Program Transformasi Politik (PTP) negara.

Tanggal 15 Sept menjadi titik permulaan transformasi politik negara yang dilakukan Najib apabila beliau mengumumkan pemansuhan ISA, Akta Buang Negeri 1959, dan kajian semula yang membabitkan Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 27 Akta Polis 1967, semasa menyampaikan perutusan khas sempena sambutan Hari Malaysia.

ISA akan digantikan dengan dua undang-undang baru yang sesuai dan dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi Mac tahun depan.

Kata Najib, dua akta baru yang akan menggantikan ISA bakal mewujudkan perseimbangan antara hak asasi individu, kebebasan sivil dan menjaga keamanan awam.

Langkah itu juga, kata Perdana Menteri membolehkan Malaysia mengamalkan sistem demokrasi yang progresif dengan lebih baik dan dihormati negara lain.

Pada Oktober, pemansuhan Akta Buang Negeri 1959 diluluskan Dewan Rakyat tanpa sebarang pindaan selepas akta itu yang telah 34 tahun tidak diguna pakai, diyakini sudah lapuk dan tidak boleh digunakan lagi.

Ini diikuti dengan pemansuhan Akta Kediaman Terhad 1933, yang mana serentak itu Najib turut mengumumkan pembebasan kesemua 125 individu yang ditahan mengikut akta itu dengan serta-merta manakala lebih 200 waran yang belum diserahkan dibatalkan.

Menurut Najib, pemansuhan akta itu dan beberapa akta lain merupakan sebahagian daripada permulaan PTP negara dan pelengkap kepada Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilaksanakan kerajaan.

Kesungguhan kerajaan melaksanakan proses transformasi politik itu menurut Perdana Menteri tidak dipengaruhi atau didesak mana-mana pihak, sama ada dari dalam mahupun luar.

"Tiada siapapun yang mempengaruhi kita, tiada siapapun yang mendesak kita. Kerajaan ini membuat keputusan atas kehendak dan fikrah sendiri dengan memulakan proses islah dan penambahbaikan," katanya.

Beliau berkata teras utama PTP mengambil kira aspirasi nasional ke arah sebuah Malaysia moden, demokratik, progresif lagi maju dan memiliki demokrasi yang berfungsi.

Ia juga bertujuan menyeimbangkan keperluan keselamatan nasional dan kebebasan individu dengan mengambil kira kemajmukan negara, yang kompleks sifatnya, dan ancaman keganasan global pasca tragedi 11 Sept 2001, katanya.

Transformasi politik Najib juga jelas kelihatan melalui pendekatan matang pentadbiran beliau berdepan gesaan badan bukan kerajaan dan desakan daripada pembangkang, berhubung kebebasan mengadakan perhimpunan termasuk perhimpunan haram 9 Julai -- Bersih 2.0.

Seiring dengan semangat 'merasai denyut nadi rakyat', Najib dilihat berjaya meneruskan momentum transformasi politiknya apabila berupaya menggantikan pertentangan dengan dialog, sekatan dengan keterbukaan, dan mengatasi authoritarian dengan demokrasi.

Buktinya langkah kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 bagi menggantikan Seksyen 27 Akta Polis yang bertujuan membenarkan warganegara menganjurkan dan menyertai perhimpunan secara aman dan tanpa senjata.

Rang undang-undang yang diluluskan Dewan Rakyat pada hujung bulan lepas adalah satu daripada usaha kerajaan melakukan transformasi terhadap kerangka undang-undang sedia ada berhubung hak perlembagaan warganegara untuk berhimpun.

Turut diluluskan bulan lepas ialah usul untuk memansuhkan tiga Proklamasi Darurat yang diisytiharkan pada tahun 1966, 1969 dan 1977.

Usul yang dibentangkan Najib itu bertujuan membatalkan tiga proklamasi yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan selepas keadaan darurat dan kini dimansuhkan kerana ancaman keselamatan seumpamanya tidak lagi wujud.

Selaras dengan kesungguhan Perdana Menteri untuk melaksanakan PTP fasa kedua dengan pemansuhan tiga Proklamasi Darurat itu, seramai 36 orang tahanan di bawah Ordinan Darurat dibebaskan.

Tidak terhenti di situ, ruang demokrasi turut dibuka Najib kepada golongan mahasiswa apabila kerajaan memutuskan untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974 bagi membolehkan pelajar yang mencapai umur 21 tahun menyertai parti politik.

Mengumumkan perkara itu semasa membentangkan usul memansuhkan Proklamasi Darurat, Najib berkata keputusan itu dibuat kerana kerajaan percaya kepada kematangan dan kebijaksanan para mahasiswa.

"Dengan itu bagi menghormati hak Perlembagaan mahasiswa dan mahasiswi negara yang telah mencapai umur baligh undang-undang atau 'age of majority', kerajaan akan pinda Seksyen 15 AUKU 1974 bagi membenarkan mereka menjadi ahli parti politik," katanya.

Penuntut universiti bagaimanapun ditegah sama sekali membawa politik kepartian ke dalam kampus.

Langkah itu, dilihat banyak pihak mampu mengembalikan keyakinan sebahagian pengundi muda yang sebelum ini lebih cenderung kepada agenda pembangkang.

Biarpun langkah-langkah transformasi Najib mungkin diterjemah sesetengah pihak sebagai strategi kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi, namun tidak dapat dinafikan pembaharuan yang dibawakan anak sulung Tun Abdul Razak Hussein ini akan kekal menjadi legasinya sebagai Perdana Menteri Malaysia keenam.-- BERNAMA

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels