George Chan (kiri-bercermin mata)
Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP ), Tan Sri Dr George Chan Hong Nam yang mahu berundur dari arena politik akan kekal sebagai peneraju parti itu sehingga perhimpunan agung akhir tahun ini.Bendahari SUPP, Datuk David Teng memberitahu demikian kepada pemberita di sini Isnin.
Sebelum itu, Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu menolak surat peletakan jawatan Dr. Chan dan Setiausaha Agungnya, Datuk Sim Kheng Hui.
CWC dalam perjumpaan mereka memutuskan kedua-dua pemimpin SUPP berkenaan akan terus memegang jawatan mereka sehingga pemilihan pimpinan pada kongres parti itu akhir tahun ini.
Terdahulu Dr. Chan berkata, beliau membuat keputusan tersebut ekoran tewas kepada calon DAP, Ling Sie Kiong di Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau di sini dengan majoriti 1,590 undi dalam pilihan raya negeri, Sabtu lalu.
Ling memperoleh 5,998 undi manakala Dr Chan yang juga penyandang meraih 4,408 undi. Keputusan ini adalah kejutan terbesar dalam pilihan raya negeri ke-10.