Showing posts with label RCI Teoh Beng Hock. Show all posts
Showing posts with label RCI Teoh Beng Hock. Show all posts

16 March 2011

Cara SPRM Tahan Teoh Beng Hock tak munasabah: Hakim James Foong

KUALA LUMPUR : Suruhanjaya yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock menyifatkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak membenarkan pembantu politik tersebut pulang selepas rakaman percakapannya dirakamkan sebagai perbuatan yang ‘tidak munasabah’.

Apatah lagi menurut Pengerusi suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen kehadiran Teoh di pejabat badan berkecuali tersebut bukanlah sebagai seorang suspek, sebaliknya sebagai saksi yang bersetuju untuk memberikan kerjasama dalam penyiasatan yang dijalankan.

Bagaimanapun, pendirian itu tidak dipersetujui oleh Pemangku Penolong Pesuruhjaya SPRM Selangor, Hairul Ilham Hamzah kerana berpandangan SPRM tidak pernah berniat untuk menahan atau melengah-lengahkan pembebasan Teoh.

Menurut Hairul Ilham, rakaman percakapan Teoh yang dimulakan pada selepas pukul 12 tengah malam, 16 Julai 2009 merupakan satu prosedur biasa yang diguna pakai oleh SPRM dan tidak menyalahi peruntukan undang-undang.

“Saya rasa dalam siasatan SPRM adalah sesuatu yang normal untuk kita memanggil saksi pada tengah malam,” tambah beliau yang dipanggil sebagai saksi ke-22 pada prosiding Selasa.

Selain itu, Hairul Ilham yang mengeluarkan arahan supaya Teoh tidak dibenarkan balik selepas selesai urusan semakan dokumen juga memberitahu, keterangan seorang saksi perlu dirakamkan dengan secepat mungkin.

“Saya tidak mahu Teoh untuk memberikan keterangan yang difikirkan semula (after thought) iaitu keterangan yang direka-reka,” kata beliau.

Pada keterangan lain, saksi yang disoal oleh pegendali suruhanjaya, Awang Armadajaya Awang Mahmud juga menafikan bahawa beliau tidak mengambil berat akan kebajikan Teoh semasa mendiang berada di pejabat SPRM.

“Saya selalu fikirkan tentang kebajikan. Tetapi dalam kes Teoh saya tidak mendapat sebarang makluman. Sekiranya ada masalah, pegawai-pegawai akan memberitahu saya,” katanya.

Mendengarkan jawapan saksi, James berkata: “Tetapi kamu sebagai seorang ketua seharusnya boleh menyemak, bertanyakan...” di mana Hairul Ilham berkata, beliau jarang berurusan secara terus dengan seorang saksi.

James seterusnya berkata amalan yang digunakan oleh SPRM amat berbeza daripada amalan agensi-agensi kerajaan yang lain yang pada kebiasaannya akan cuba untuk memudahkan urusan kerja.

James: SPRM tak buat begini... Susahkan dia. Tambahan pula dia bukan seorang suspek, dia adalah saksi.

Hairul Ilham: Itu adalah cara kita bekerja.

James: Saya ingin bertanya, adakah cara kerja ini perlu ditukar atau tidak? Adakah ini imej SPRM? Kamu sebagai seorang kakitangan mahukah imej begini?

Hairul Ilham: (saksi tidak memberikan jawapan dan hanya memandang ke hadapan).

James: Saya bangga dengan badan kehakiman. Kamu juga mesti mahukan perkara yang sama. Kamu sebagai seorang yang bekerja di sana mesti memberi cadangan kepada kami.

Sementara itu, seorang lagi anggota suruhanjaya, Datuk Abdul Kadir Sulaiman mempertikaikan bagaimana saksi boleh berpendapat majikan Teoh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah ada melakukan penyelewenggan sekiranya dokumen dokumen boleh diperoleh dari Pejabat Daerah.

Tambahan pula,Abdul Kadir menyifatkan bahawa jumlah yang disyaki oleh SPRM hanyalah satu jumlah ‘ikan bilis’ berbanding dengan kes kes lain yang melibatkan ‘jerung’.

“Saya ingin membuat penjelasan. Pada tahun 2008, SPRM ada membuat siasatan terhadap dua ADUN Barisan Nasional. Modus operandi yang digunakan adalah sama. Melihat dokumen tiada yang sangsi, tapi bila kita pergi lihat maklumat terperinci tidak dibuat pun,” jawab Hairul Ilham.

Pakar Perunding Psikiatri, Profesor Mohamed Hatta Shaharom yang turut menganggotai suruhanjaya seterusnya mempertikaikan jawapan saksi yang banyak memberi jawapan berbentuk andaian yang disifatkan sebagai ‘berbahaya’ dengan kedudukan saksi yang menjawat jawatan sebagai seorang pegawai.

Mohamed Hatta: Sepanjang lapan tahun kamu di situ, ada berapa kematian?

Hairul Ilham: Ini kali pertama.

Mohamed Hatta juga mempersoalkan sistem keselamatan bangunan pejabat tersebut apabila mendapat tahu bahawa laluan kecemasannya dikunci.

“Jika begini, tikus pun tak nak duduk di situ,”tambah Mohamed Hatta.

Suruhanjaya tersebut ditubuhkan untuk menyiasat kematian Teoh, 30,yang ditemui mati di luar koridor tingkat lima Plaza Masalam, Seksyen 9, Shah Alam, dekat sini pada 16 Julai 2009, iaitu beberapa jam selepas hadir di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 plaza sama.

Prosiding inkues yang dijalankan sebelum ini memberikan keputusan terbuka kerana tidak boleh memutuskan sama ada Teoh mati akibat membunuh diri atau pun dibunuh.

Prosiding suruhanjaya akan bersambung pada Rabu (Hari ini).

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels