Showing posts with label Datuk Hajiji Haji Noor. Show all posts
Showing posts with label Datuk Hajiji Haji Noor. Show all posts

23 September 2021

PANDEMIK COVID-19: TINDAKAN KERAJAAN SABAH


Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlangsung 21-23 September, 2021, Ketua Menteri- DSP Hajiji Haji Noor telah menjawab soalan daripada ADUN Elopura, YB Calvin Chong Ket Kiun mengenai langkah dan tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri dalam usaha memulihkan ekonomi dan sosial di negeri Sabah berikutan penularan COVID-19.

Kerajaan Negeri sedar tentang perlunya keseimbangan antara kesihatan rakyat dan keperluan ekonomi. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai strategi jangka pendek dan panjang untuk memulihkan ekonomi dan sosial negeri akibat pandemik COVID-19 menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya Pelan Pembangunan SMJ 1.0.

Pemulihan ekonomi akan difokuskan kepada pertumbuhan sektor utama iaitu Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan meliputi 145 inisiatif dengan meningkatkan kemudahan infrastruktur dan sumber daya sedia ada, menggalakkan pelaburan, menyediakan peluang perniagaan dan peluang pekerjaan kepada penduduk Sabah.

Sektor pertanian negeri telah menampakkan perkembangan positif dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman antara Kerajaan Negeri dengan sebuah syarikat untuk membangunkan Projek Penanaman Kelapa Berhasil Tinggi dengan nilai pelaburan RM420 juta dan Kilang Pemprosesan Kelapa di Pitas dengan nilai pelaburan RM200 juta. Inisiatif ini dijangka akan mewujudkan 3,250 peluang pekerjaan.

Dalam Sektor Perindustrian, galakan terus diberikan kepada industri berorientasikan eksport dan penggantian import sebagai langkah untuk memulihkan dan melonjakkan sektor ini termasuk menyediakan insentif pelaburan khas dan memastikan kos pelaburan lebih kompetitif bagi menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi.

Kerajaan Negeri telah menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat pelabur pada 26 Julai 2021 dengan nilai pelaburan sebanyak RM4.2 billion bagi membangunkan industri pembuatan kerajang tembaga yang akan dibangunkan di atas tanah berkeluasan 400 ekar di Taman Perindustrian Kota Kinabalu dan dijangka akan mewujudkan sejumlah 400 peluang pekerjaan.

Kerajaan Negeri juga mengutamakan pembangunan sektor pelancongan sebagai salah satu langkah memulihkan sektor ekonomi negeri. Sektor pelancongan mempunyai impak langsung terhadap semua sektor dalam rantaian ekonomi termasuk kerajaan melalui kutipan cukai. Pembangunan Projek Lok Kawi Resort City dengan nilai pelaburan berjumlah RM7 billion akan mewujudkan lebih kurang 5,000 peluang pekerjaan apabila pembangunan projek ini siap sepenuhnya.

Selain itu, Kerajaan Negeri akan melaksanakan promosi pelancongan yang lebih agresif, menyelenggara produk dan destinasi pelancongan sedia ada, memperkasa infrastruktur dan kemudahan asas pelancongan serta meneroka tarikan dan peluang baharu khususnya kepada pelancong domestik memandangkan ketika ini penerbangan antarabangsa agak terhad.

Berikutan pemindahan ibu negara Republik Indonesia ke Kalimantan, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif Pembangunan Bandar Sempadan Serudong-Simanggaris dengan mengambil kira potensi ekonomi yang ada. Ini juga akan membantu dalam usaha pemulihan ekonomi dan sosial di negeri ini.

Bagi penjanaan ekonomi rakyat dalam jangka masa pendek, setakat ini Kerajaan Negeri telah membelanjakan pakej bantuan berjumlah RM1.25 bilion sejak pandemik COVID-19 melanda termasuk RM324 juta pada tahun 2021. Pakej bantuan khas ini dapat membantu meningkatkan kuasa beli rakyat dan juga meringankan kesukaran yang dihadapi.

Dalam aspek pemulihan kesihatan, RM256.9 juta telah disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah untuk pengurusan COVID-19. Manakala Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyalurkan sebanyak RM102 juta kepada Kerajaan Negeri.

Keberkesanan langkah dan usaha ini bukan sahaja hasil daripada Kerajaan Negeri semata-mata sebaliknya melibatkan usaha sama Kerajaan Persekutuan yang telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang turut melibatkan negeri Sabah.

Antaranya melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Strategi Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Pada tahun ini sahaja, seramai 283,745 pekerja telah mendapat manfaat daripada Program Subsidi Upah yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM975 juta. Bantuan tunai langsung seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) turut memberi manfaat kepada 782,000 penerima rakyat Sabah yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM628 juta manakala Bantuan Khas COVID-19 (BKC) sedang dalam proses pengagihan ketika ini.

Pencapaian Imuniti Kelompok akan menyaksikan lebih banyak sektor ekonomi, pembukaan premis-premis perniagaan dan aktiviti sosial di Sabah. Bagi mencapai Imuniti Kelompok (Herd Immunity) sebelum akhir Oktober 2021, Kerajaan Negeri telah membuka lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV), mempergiatkan pelaksanaan program bergerak CITF Daerah ke kawasan luar bandar, pemberian vaksin secara walk-in serta kerjasama sektor awam-swasta.

9 September 2021

SKY BRIDGE KOTA KINABALU-BENDA DAH SIAP-KENAPA DIPOLITIKKAN?


SKY BRIDGE KOTA KINABALU- jejantas yang menghubungkan lima pusat perniagaan- Oceanus Mall, Api-Api Centre, Warisan Square, Asia City dan Centre Point Shopping Mall (CPS), yang dirasmikan oleh ketua Menteri Sabah pada Jumaat lalu dan secara rasmi dibuka hari ini, 9-9-2021, dijadikan isu politik oleh pihak-pihak pembangkang, hanya kerana tidak terdapat pintu atau laluan masuk ke CPS. 

Sebenarnya, laluan ke CPS, memang terdapat pada pelan asal, hanya disebabkan CPS meminta ditangguhkan pembinaannya selama 6 bulan selepas jejantas itu siap sepenuhnya.

Berkaitan dakwaan pembangkang, bahawa jejantas yang berkos RM31.5juta tersebut melibatkan kewangan negeri, adalah tidak tepat, kerana kerajaan negeri hanya menyumbang RM4.7juta kos penyiapan, akibat kontraktor asal projek tersebut jatuh muflis pada tahun 2018.

Walaupun jejantas tersebut telah 90%, akan tetapi dianggap sebagai projek terbengkalai.  

Semasa era kerajaan Warisan, Mei, 2018 hingga Julai, 2020, projek tersebut tidak diambil peduli, dan dijadikan contoh projek gagal era Barisan Nasional.

Tujuan Kerajaan yang dipimpin Shafie ternyata silap, kerana projek itu adalah projek kerjasama swasta dengan kerajaan Malaysia, di bawah inisiatif UKAS, bukan dibiayai kerajaan negeri.

Apabila Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih kerajaan, maka jejantas tersebut, tidak dibiarkan sebagai projek terbengkalai atau gajah putih. Kerana pertimbangan tersebut, maka kerajaan negeri dipimpin Datuk Seri Hajiji Haji Noor meluluskan bajet penyiapan, kerana jejantas tersebut berkepentingan awam.

Apa yang pelik, projek yang terbengkalai, disiapkan, dan dapat digunakan oleh pengguna atau orang awam, dijadikan isu politik pula.

Sebenarnya, apa mereka mahu? membiarkan jejantas tersebut terbiar begitu sahaja? Jika itu niat mereka, ertinya mereka itu, tiada niat menyediakan kemudahan awam, tidak niat mencegah atau mengelak kemalangan yang kerap berlaku di kawasan tersebut.

8 September 2021

TAMAN TANJUNG DIKEKALKAN: DATUK HAJIJI

Datuk Hajiji Menyerahkan Watikah Perlantikan CEO TAED pada Datuk Ismail Abdulllah

Destinasi rekreasi dan perkelahan ikonik di Sabah, Pantai Tanjung Aru dan Taman Prince Philip, Kota Kinabalu, tidak dikorbankan untuk memberi laluan kepada projek Tanjung Aru Eco Development (TAED).

Jaminan itu disuarakan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor ketika mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah TAED yang diadakan di Menara Kinabalu, di sini, pada Selesa.

Sebaliknya, Hajiji berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk mengekalkan kedua-dua lokasi kunjungan popular itu, malah akan dinaik taraf dan dicantikkan lagi untuk kegunaan awam.

"Langkah itu sejajar dengan keputusan untuk mengkaji semula dan mengecilkan skala projek TAED dengan menggabungkan ciri berpusatkan rakyat bagi menyediakan lebih banyak akses dan ruang untuk orang ramai.

"Pembangunan baharu akan memastikan TAED dilaksanakan secara lestari dan mengambil kira inisiatif hijau," katanya.

TAED adalah projek pembangunan bercampur yang merangkumi pembinaan hotel resort, kawasan kediaman dan marina membabitkan keluasan kira-kira 300 hektar dengan anggaran kos pembangunan lebih RM7 bilion di Tanjung Aru.


Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata pelaksanaan TAED tidak membabitkan sebarang kos kepada kerajaan memandangkan semua projek dibiayai sepenuhnya oleh pelabur yang dipersetujui kerajaan.

Walaupun begitu, katanya projek itu bukan saja mengutamakan keuntungan kewangan, malah turut mengambil kira kepentingan ekonomi dan sosial.

"Kita mesti ingat bahawa di samping keuntungan kewangan, pulangan sosial dan ekonomi juga tidak kurang penting. Ini termasuk peluang pekerjaan dan ekonomi yang akan diwujudkan menerusi TAED dan sumbangannya kepada pembangunan sektor pelancongan," katanya.

Hajiji berkata, beberapa syarikat sudah menyatakan minat dalam projek itu, antaranya syarikat berkaitan kerajaan China, iaitu China Railway Construction Company International Investment Group Ltd melalui syarikat usahasama tempatan, Mesra Melia Sdn Bhd.

Katanya, selepas mengambil alih kerajaan negeri pada September tahun lalu, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memutuskan projek TAED diteruskan selepas dikaji semula untuk mengecilkan skala pembangunannya.

Sementara itu, Lembaga Pengarah TAED turut memutuskan, untuk tidak memasukkan dua sekolah, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Aru I dan SK Tanjung Aru II sebagai sebahagian daripada kawasan projek pembangunan berkenaan.

Berdasarkan Pelan Induk Pembangunan sebelum ini, kedua-dua sekolah itu dicadang dipindahkan ke Kampung Tanjung Aru yang akan membabitkan pengambilan tanah.

Sebelum ini, beberapa pihak menyuarakan kebimbangan dan bantahan terhadap projek TAED berikutan pelaksanaannya dikatakan bakal memusnahkan destinasi rekreasi popular warga bandar raya Kota Kinabalu dan daerah sekitarnya.

6 September 2021

VAKSIN COVID-19 SABAH: KKM JAMIN 2.89JUTA DOS UNTUK SEPTEMBER


Mesyuarat Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) peringkat negeri Sabah hari ini telah dipengerusikan bersama oleh saya dan Menteri Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin di Menara Kinabalu, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).

Fokus utama perbincangan adalah menjurus kepada usaha Kerajaan Negeri Sabah dengan kerjasama erat Kerajaan Persekutuan untuk memerangi COVID-19 di negeri ini khususnya menerusi program imunisasi dan juga keperluan-keperluan pengurusan pandemik COVID-19 yang lain.

Antara intipati utama perbincangan adalah komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menghantar 2.89 juta dos vaksin pada bulan September ke negeri Sabah. Dengan penghantaran bekalan vaksin ini kita dapat meningkatkan kadar vaksinasi harian kepada 60,000 hingga 70,000 dos sehari sekaligus membantu kerajaan negeri mencapai sasaran 60% daripada jumlah populasi dewasa di negeri ini mendapat vaksinasi lengkap menjelang akhir bulan September, dan 80% menjelang akhir bulan Oktober.

Kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) juga akan meneruskan serta mempertingkatkan program ‘Mobile Outreach’ pada bulan September dan Oktober yang akan melibatkan lebih 130 program bagi memperluaskan jangkauan program imunisasi ke kawasan pedalaman.

InsyaAllah, selepas Sabah mencapai kadar imuniti kelompok bulan Oktober nanti, kita akan meneruskan program vaksinasi kepada golongan remaja terutamanya mereka yang berisiko tinggi.

Selain itu 480 unit silinder oksigen, 24 kotak regulator oksigen dan 5 buah kotak ubat-ubatan COVID-19 akan sampai ke negeri Sabah pada hari esok melalui penghantaran khas oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Sebagai tambahan, Unit Rawatan Rapi (ICU) modular dengan kapasiti 10 katil untuk kegunaan Hospital Tawau dan 29 buah ambulans tambahan untuk keperluan hospital-hospital di negeri Sabah juga akan dihantar pada kadar segera.

Kementerian Kesihatan juga akan membuat mobilisasi tenaga kerja iaitu seramai 97 pegawai lantikan telah di arah melapor diri ke Sabah pada Ogos dan September, 50 orang pegawai perubatan akan ditawarkan perlantikan tetap bermula 13 September dan baki keperluan pegawai perubatan akan ditampung dengan pengisian pegawai perubatan siswazah. Selain itu, 78 penolong pegawai perubatan dari Kolej Eastern yang telah dimobilisasi ke Selangor tempoh hari akan dihantar semula bertugas ke negeri Sabah selewat-lewatnya akhir minggu ini.

Mesyuarat turut dihadiri oleh YB Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II, YB Tuan Haji IR. Shahelmey Bin Yahya, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat merangkap Exco Kesihatan Negeri Sabah, YBhg. Dato’ Mohd Shafiq Bin Abdullah, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Bin Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, YB Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar Untong, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, YBhg. Datuk Rosmadi Datu Sulai, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (KPPAN), Dr Rose Nani Mudin, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah dan para pegawai tertinggi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)- fb Datuk Hajiji Haji Noor

4 September 2021

SAWIT KINABALU BAYAR RM10 JUTA DIVIDEN INTERIM DAN SUMBANG RM10 JUTA PADA TABUNG COVID-19 SABAH


YAB Datuk Seri Hajiji Haji Noor  pada Jumaat, bagi pihak Kerajaan Negeri, telah menerima RM10 juta bayaran Dividen Interim dan RM10 juta sumbangan pada dana Covid-19 Sabah daripada Sawit Kinabalu.

Swait Kinabalu, adalah syarikat berkaitan kerajaan yang secara konsisten membayar dividen kepada kerajaan negeri. Secara kumulatif syarikat tersebut telah membayar RM1.2bilion sejak ditubuhkan 25 tahun lalu.

Pada April lalu, Ketua Menteri menghimbau syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan juga swasta, agar ikut serta membantu rakyat yang terkena kesan pandemik Covid-19.

Impak Covid-19, bukan sahaja pada kesihatan, akan tetapi memberi kesan yang cukup teruk terhadap pendapatan rakyat.

Sumbangan Sawit Kinabalu pada tabung Covid-19, sekurang-kurangnya mengurangkan beban kerajaan dalam soal-soal bantuan bakul makanan, atau pun keperluan barisan hadapan seperti PPE, pelitup muka dan sarung tangan.

Diharapkan sumbangan Sawit Kinabalu, akan menjadi ikutan syarikat-syarikat lain dalam masa terdekat.

2 September 2021

KETUA MENTERI TERIMA SUMBANGAN BAGI PIHAK BARISAN HADAPAN

 


Ketua Menteri Sabah- Datuk Hajiji Haji Noor pada Khamis, di Pejabat Ketua Menteri, Bangunan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), Teluk Likas, Kota Kinabalu telah menerima sumbangan daripada Persekutuan Industri Sabah sebanyak 1000 kotak pelitup muka jenis KN95, dan juga menerima sumbangan PPE, pelitup muka dan sarung tangan daripada Malaysia-China Chamber of Commerce (MCCC).

SFI diwakili Datuk Harun Ismail, manakala MCCC oleh Michael Lim.

Hajiji dalam ucapan ringkasnya, mengalu-alukan sumbangan, sokongan dan dokongan daripada semua pihak termasuk syarikat-syarikat dalam usaha memerangi pandemik covid-19.

Sumbangan seperti PPE, pelitup muka dan sarung tangan, ada lah keperluan utama barisan hadapan yang sangat penting.

23 August 2021

APA JADI DENGAN KAKITANGAN AWAM SABAH?


NAMPAKNYA, kakitangan awam Sabah, tidak cepat menyesuaikan cara kerja dalam suasana norma baharu, sehinggakan Ketua Menteri terpaksa mengetuk pintu pejabat mereka.

Kelembaban mengurus projek-projek pembangunan, bukan kerana ketiadaan peruntukan, akan tetapi, kerja-kerja tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual, kerana mungkin pihak pelaksana tidak bersedia melaksanakannya.

Memang Covid-19 menjadi kambing hitam terbantutnya pelaksanaan projek-projek kepentingan rakyat.

Jika kakitangan awam kerajaan, cepat menyesuaikan diri dengan norma baharu, tidak akan timbul kelambatan, kerana, era sekarang, ada lah era teknologi, yang memungkinkan setiap manusia, setiap masa dan di mana sahaja, boleh berkomunikasi atau berhubung, walaupun bukan secara fizikal.

Sepatutnya, kakitangan awam lah yang perlu mendahului masa, bersedia setiap masa, jika mereka daripada awal sedar, dan seterusnya proaktif dengan perkembangan semasa, termasuk perkembangan teknologi.

Bukan cerita baharu, jika kakitangan awam (bukan semua), kurang minat berkaitan dengan perubahan, mereka, mahu kekal dengan cara lama, yang berpandukan minit atas minit, fail atas fail, secara fizikal, sedangkan cara demikian, sudah lapok dan ketinggalan.

Mereka masih gemar bersembunyi di belakang pintu, masih mengamalkan, pintu sentiasa tertutup dan ada yang sentiasa berkunci.

Teguran Ketua Menteri, ada lah tepat masanya, apatah lagi diiringi, dengan amaran, bahawa tindakan tegas bakal diambil, jika mereka melambatkan pelaksanaan projek-projek yang berkaitan rakyat, apa tah lagi, jika projek-projek seumpama itu, dijadikan isu politik, yang boleh menjejaskan kredibilti dan imej kerajaan.

Diharapkan, teguran Ketua Menteri tersebut, adalah teguran pertama dan terakhir. Selepas ini, diharapakan semua kakitangan awam Sabah perlu berusaha bukan sahaja proaktif, tetapi bertindak lah mendahului masa.

17 August 2021

HAJIJI ALU-ALUKAN BANTUAN AMERIKA SYARIKAT



Hajiji berhubung secara maya dengan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Brian D Mcfeeters.

KOTA KINABALU - Kerajaan negeri Sabah menzahirkan penghargaan kepada Amerika Syarikat atas pelbagai bantuan yang diberikan kepada negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan perkara itu ketika berhubung secara maya dengan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Brian D Mcfeeters pada Isnin. 

"Kami berterima kasih dengan semua bantuan yang diberikan oleh Amerika Syarikat kepada Malaysia dan Sabah dalam bidang pendidikan, pemuliharaan alam semula jadi dan yang terbaharu bantuan untuk memerangi pandemik Covid-19.

"Bantuan ini akan mempercepatkan lagi usaha kami dalam memerangi cabaran susulan penularan pandemik Covid-19," katanya. 

Hajiji dalam pada itu turut menyambut baik janji duta iaitu sebanyak AS$1 juta untuk usaha pemuliharaan hidupan liar di Sabah bagi melengkapkan program pelindungan hidupan liar yang sedang dilaksanakan di negeri ini. 

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels