Showing posts with label Bajet Sabah 2014. Show all posts
Showing posts with label Bajet Sabah 2014. Show all posts

16 November 2013

Sabah Bentang Bajet Terbesar Lagi

Sabah semalam membentangkan bajet terbesar dalam sejarah negeri itu apabila menyediakan peruntukan berjumlah RM4.622 bilion dalam Bajet 2014 berbanding RM4.088 bilion (Bajet 2013).

Pembentangan kali ke-50 ini turut menyaksikan unjuran hasil tertinggi sebanyak RM4.583 bilion yang merupakan anggaran tertinggi dalam sejarah penyediaan bajet negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman yang menyifatkan bajet kali ini sebagai hadiah terbaik buat rakyat Sabah berkata, peruntukan ini sesuai dengan harapan dan aspirasi rakyat bagi meneruskan segala agenda pembangunan, seterusnya menepati segala janji.

"Ini menunjukkan bahawa dalam tempoh 50 tahun, anggaran hasil telah meningkat dengan hebatnya sebanyak 74.52 kali ganda dan anggaran perbelanjaan pula kepada 75.77 kali ganda.

"Kata dikota, janji ditepati. Inilah sebabnya mengapa kerajaan Barisan Nasional harus terus memegang tampuk pemerintahan negeri," katanya dalam pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 di Dewan Undangan Negeri Sabah.

Tambah Musa, dengan perbelanjaan yang terbesar itu, mampu menyuntik ekonomi Sabah untuk membolehkannya berkembang dengan skala tinggi bagi mencapai ekonomi berpendapatan tinggi dalam tempoh lebih awal.

Katanya, daripada peruntukan RM4.622 bilion, sebanyak RM2.18 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan khas, RM1.736 bilion (perbelanjaan berulang) dan RM702.5 juta (emolumen).

"Emolumen mengalami peningkatan sebanyak enam peratus berbanding dengan anggaran tahun 2013 sebanyak RM663.17 juta. Ini disebabkan pelarasan gaji penjawat awam. Anggaran perbelanjaan berulang meningkat 59.62 peratus berbanding RM1.08 bilion pada 2013 bagi memastikan jentera kerajaan berjalan lancar.

"Perbelanjaan khas pula menunjukkan pengurangan sebanyak 6.6 peratus berbanding perbelanjaan khas 2013 sebanyak RM2,337 juta," katanya.

Dalam pada itu katanya, sebanyak RM1.2 bilion yang meliputi sumbangan RM838 juta daripada kerajaan negeri dan RM361.8 juta daripada kerajaan Persekutuan akan digunakan bagi perbelanjaan pembangunan.

Jelasnya, pengagihan perbelanjaan pembangunan menyaksikan sektor ekonomi mendapat peruntukan tertinggi sebanyak RM893.15 juta diikuti sektor sosial (RM226.4 juta), sektor pentadbiran (RM30.75 juta) dan simpanan luar jangka (RM10 juta).

Mengulas tentang peningkatan 20 peratus anggaran hasil berbanding RM3.82 bilion pada 2013, beliau berkata, tiga sumber utama iaitu cukai jualan minyak sawit mentah, royalti petroleum dan penerbitan bon menyumbang lebih 70 peratus ke atas keseluruhan hasil negeri.

"Sumber-sumber tradisi yang dijangka akan menyumbang terhadap peningkatan hasil adalah daripada sumber air, tanah dan sumbangan kerajaan Persekutuan, hasil pejabat daerah, pertanian, perikanan, perkhidmatan haiwan dan perusahaan ternak, pelabuhan serta dermaga," ujarnya.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels