Showing posts with label Transformasi BN. Show all posts
Showing posts with label Transformasi BN. Show all posts

21 November 2010

Transformasi BN untuk kekal relevan

Ketika pembangkang sedang bergelut dengan krisis kepemimpinan, Barisan Nasional (BN) pula mengumumkan satu transformasi dalam gabungan 14 parti komponen itu yang mampu mengubah senario politik negara dalam usaha memastikan BN terus relevan sebagai sebuah parti membela nasib rakyat.

Pengumuman keahlian bersekutu atau keahlian secara bergabung oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi BN, membuka lembaran baru dalam sejarah politik negara selain membuktikan kepada umum bahawa BN adalah sebuah parti untuk semua lapisan masyarakat.

Bagi pemerhati politik, keberanian BN itu harus diterjemahkan sebaik mungkin dan dilaksanakan secara berhemah bagi memastikan kepentingan semua pihak terus terpelihara selain beberapa mekanisme perlu diteliti serta diperkemaskan oleh pucuk pimpinan BN.

BN telah membuka dirinya melalui pembaharuan itu, dengan itu jika dilakukan dengan baik akan mampu menarik lebih ramai sokongan rakyat kepada BN terutama golongan pengundi atas pagar atau tidak berparti.

Selaras dengan perubahan senario politik negara, BN juga harus berubah mengikut peredaran masa dan perlu mempunyai pendekatan terbaik bagi meraih sokongan pengundi, pendekatan dengan tidak meminggirkan golongan atas pagar yang juga sebahagian daripada kekuatan parti itu.

“Ada pihak yang tidak suka parti komponen BN misalnya, namun mereka suka dengan kerajaan. Jadi ini adalah saluran terbaik bagi memastikan golongan ini bersama BN. Perubahan ini juga mampu menjadi landasan kepada BN untuk menarik sokongan rakyat terutama bukan Melayu.

“Bagi saya, tidak nampak orang Melayu akan menyertai BN melalui keahlian cara itu (ahli bersekutu). Bagi orang ‘Melayu asli’ mereka hanya ada dua parti iaitu Umno dan PAS,” katanya.

Selain memastikan sokongan rakyat kepada BN terus meningkat bagi memastikan gabungan 14 parti komponen itu terus relevan, perubahan ini juga dilihat sebagai pendekatan baru BN dengan memperluaskan ruang dan skopnya secara praktikal mula dilaksanakan serta kerjasama yang dijalin selama ini kini diterjemahkan.

Bagi pemerhati politik, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian, langkah itu mampu memastikan sokongan sebahagian ahli parti komponen BN yang “kecewa” terus bersama dengan parti itu dan tidak pula beralih sokongan kepada parti pembangkang.

“Misalnya Makkal Sakthi adalah parti yang mesra BN, namun disekat oleh MIC daripada menjadi ahli tetap BN. Jadi ini adalah cara terbaik untuk memastikan kesemua mereka bersama BN. Oleh itu, BN mampu mengawal penyokong mereka yang kecewa dengan pimpinan parti komponen untuk terus kekal bersama BN.

“Ada pengundi atas pagar tidak suka komponen parti BN, namun suka dengan pendekatan Najib yang mesra rakyat. Populariti Najib meningkat bukan bermakna populariti parti komponen juga meningkat. Jadi pendekatan ini dilihat berkesan bagi mengikat pengundi berkenaan,” katanya.

Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong, berkata kewujudan keahlian bersekutu adalah selaras dengan gagasan 1 Malaysia dan menepis persepsi terhadap politik perkauman.

Katanya, BN kini menjadi satu wadah politik yang sempurna tanpa terikat kepada politik etnik dan perkauman, sebaliknya berubah kepada sebuah parti yang mewakili bangsa Malaysia dalam perjuangannya.

“Selain itu ia boleh dijadikan sebagai mekanisme untuk menyelesaikan masalah perebutan kerusi, misalnya jika ada parti komponen berebut sesuatu kawasan pilihan raya, pucuk pimpinan parti boleh menggantikannya dengan calon tulen BN yang tidak mewakili mana-mana parti komponen,” katanya.

Bagaimanapun beberapa masalah mungkin akan dihadapi BN pada peringkat awal pelaksanaan sistem itu terutama dalam pengagihan kerusi. Pengagihan kerusi secara tradisi masih perlu digunakan BN dalam menentukan calon bertanding dan perlu diubah secara berperingkat selaras dengan perubahan gabungan itu.

Pucuk pimpinan BN juga perlu memberi penjelasan kepada ahli akar umbi parti komponen masing-masing berhubung pelaksanaan sistem itu, kerana ada di kalangan ahlinya yang kurang senang terhadap pelaksanaan sistem berkenaan apatah lagi kuasa veto pimpinan parti komponen juga turut berkurangan.

Selain itu objektif perubahan berkenaan juga perlu dinyatakan dengan jelas supaya ahli parti komponen BN tidak terkeliru dan mekanisme khusus perlu diwujudkan kepada ahli bersekutu mahupun bergabung, supaya mereka jelas terhadap landasan perjuangan untuk bergerak aktif di dalam parti itu.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels