Showing posts with label Kegagalan. Show all posts
Showing posts with label Kegagalan. Show all posts

3 February 2014

Mengapa Boleh Berlaku Di Wilayah Umno?

PETANG Sabtu lalu, OKB berkesempatan hadir pada satu Majlis Kesyukuran dan Makan Malam anjuran Umno Bahagian Kota Belud di Kampong Taun Gusi.

Tetamu, sudah tentunya ahli-ahli Umno, dan ada juga daripada komponen Bn Sabah.

Kehadiran kira-kira 500 orang, walaupun tidak berapa ramai, namun agak kurang jelas untuk membedakan mana satu ahli Umno dan mana satu ahli parti komponen Bn, sebabnya jika dilihat daripada latar belakang etnik, perwatakan, semuanya hampir sama. Yang hadir adalah daripada suku kaum bajau, iranun, dusun dan sedikit daripada kaum cina.

Pada Majlis tersebut, puncaknya adalah pemberian bantuan kepada 12 orang rakyat yang tidak bernasib baik, 4 daripada DUN Tempasuk, 4 daripada Dun Usukan dan 4 daripada Dun Kedamaian.

OKB tidak tahu sehingga pukul berapa majlis itu berakhir, kerana kira-kira 9.30 malam, OKB meninggalkan Majlis itu kerana sesuatu urusan di Kota Kinabalu.

Jalan Labuan-Wakaf, memang agak gelap, salah satu lauan untuk ke susur jalan besar ke Kota Kinabalu. Jika masa berada pada tahun 60-an, ianya tidak menjadi masalah, kerana tamadun, pendidikan, kewarasan, keterbukaan, keagamaan belum berapa menonjol. Namun, jika berlaku pada masa kini, ianya merupakan satu malapetaka.

Sebaik sahaja kenderaan yang dipandu melewati jalan yang dibina tahun 60-an itu, tetapi sudah beraspal, alangkah terkejutnya OKB, apabila kenderaan dilempar dengan batu, dan kenampakan anak-anak muda belasan tahun, cukup gembira kerana berjaya menjalankan tugas mereka dengan baik. Bernasib baik juga, kerana yang terkena hanya cermin pintu belakang, tidaklah sampai pecah, kerana jenis cermin yang dipasang, bukan jenis cermin seperti pada kenderaan mewah, cermin hanya merekah, dan sudah tentunya perlu diganti.
 
Moral kepada pengelaman ini adalah, di manakah silapnya pendidikan negara kita? dimana kah silapnya pendidikan agama kita? Di mana sudah fungsi ibu bapa? dan di mana sudah peradaban kita?

Bukankah sistem pendidikan kita sudah cukup baik? Tidakkah semangat yang kita berikan dari semasa dan semasa melalui lagu patriotik, cerita teladan, motivasi, memadai? 
 
Sedar tak sedar dalam keselesaan yang kita capai pada hari ini, jika kita mahu menoleh ke belakang, menilai realiti statistik mengenai pencapaian bangsa kita, masih banyak lagi yang sebenarnya perlu kita lakukan untuk bangsa ini.

Pemimpin politik harus berhenti bercakap mengenai angka memenangi pilihanraya sahaja. Ia buat kita lupa tentang asas juang yang sebenar. Politik bukan saja wajib menang undi tetapi kita istimewa berbanding yang lain kerana perjuangan tersebut.

Hari ini kita kekurangan pemimpin bangsa terutama di peringkat bawahan yang seharusnya menjadi unit penting dalam perjuangan memperelokkan bangsa. Mereka yang memimpin di peringkat cawangan kebanyakan merupakan kaki ampu, kaki bodek, hanya minat untuk politik diri, atau untuk dapat elaun khas dan projek-projek tertentu.

Dulu Umno satukan orang Melayu untuk tolak Malayan Union, tolak beri tanah air ini pada British, tolak buka warganegara pada semua. Kita berjaya.

Dulu Umno juangkan kemerdekaan untuk Tanah Melayu, perjuangkan bangsa kita yang miskin daif supaya dapat tempat dalam politik dan kepimpinan tanah air. Alhamdulillah Tanah Melayu merdeka, kemudian negara Malaysia, tanah air bagi pelbagai bangsa terbentuk, orang Melayu terus tadbir semua orang dengan saksama.

Dulu Umno berjuang untuk kurangkan jurang ekonomi bangsa Melayu dengan bangsa lain kerana khuatir kita terus tertinggal. Orang Melayu daif, miskin dan tidak sekolah. Sejak 1970, pemimpin Umno memperkenalkan Dasar Ekonomi khas, bantuan pendidikan khas dan lain-lain. Alhamdulillah bangsa kita daripada yang boleh membaca hanya 5%, hari ini tinggal 5% yang tak boleh membaca. Rakyat yang senang-senang berharta pun ramai di mana-mana.

Tapi sejak Umno stabil, kuat, selesa, nampaknya perjuangan Melayu ini tergendala. Ramai yang terlalu ingin berada dalam Umno demi kuasa, jawatan dan nikmat, tetapi lupa tentang kerja perjuangan yang masih perlu dilakukan.

Sejak dari itu perjuangan kita terbantut. Majoriti yang kaya kekal kaya, yang miskin kekal miskin. Orang-orang yang miskin, daif di luar bandar pula semakin hari semakin selesa dengan apa yang mereka ada, sehingga terlupa asas pembinaan bangsa itu sendiri.Atas sebab lupa, maka kenakalan remaja yang seperti dialami OKB itu, adalah sebahagian kegagalan kita.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels