Datuk Musa Aman semasa mengumumkan Pembubaran DUN Sabah Petang Tadi Di Sri Gaya Kota Kinabalu |
Selepas hampir 5 tahun memerintah berikutan kemenangan hebat pada PRU-12, maka sekali lagi Bn Sabah bersedia menghadapi rakyat untuk PRU-13.
Bagi Sabah, PRU-13 bukan lah merupakan ibu kepada semua pilihanraya, kerana Sabah menerima jolokan sebagai negeri simpanan tetap Bn.
Pada PRU tahun 2008, Bn Sabah menang 24 kerusi Parlimen daripada 25 yang dipertandingkan, manakala Dun, menang 59 kerusi daripada 60 yang tersedia.
Sebelum pembubaran Parlimen dan Dun hari ini, Bn Sabah mempunyai 20 kerusi Parlimen, kerana kehilangan 4 kerusi dua daripada SAPP, satu Umno dan satu Upko. Sementara bagi Dun, 57 kerusi, akibat keluarnya SAPP daripada Bn pada 17 September 2008.
Bn Sabah dijangka berdepan beberapa kerusi panas samada di peringkat parlimen mahupun dewan undangan negeri.
Kerusi-kerusi panas di peringkat Parlimen adalah Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, dan Penampang serta Beaufort.
Di peringkat Dun pula, Dun luyang, Dun Klias, Dun moyog, Dun Kepayan, Dun Inanam, Dun Tanjong Kapur, Dun Sri Tanjong, Dun Tanjong Aru, Dun Likas dan Dun Api-Api.
Di antara kawasan Parlimen yang sukar dimenangi oleh Bn adalah Kota Kinabalu, manakala Tawau, Sandakan, Penampang dan Beaufort dalam keadaan 50:50.
Bagi peringkat Dun pula, kawasan Luyang dan Api-Api adalah kawasan hitam bagi Bn, manakala yang lain adalah kawasan kelabu yang boleh bertukar kepada cerah.
Namun, perlu diingat semasa dalam pilihanraya semuanya boleh berlaku. Startegi kempen yang jitu mampu mengubah pendirian 10 peratus pengundi yang sebelumnya telah memutuskan parti mana yang bakal dipangkah. Selain itu, peranan calon yang bakal dikemukakan juga merupakan salah satu faktor yang boleh menentukan kemenangan.
Dalam suasana kempen, jentera pilihanraya yang baik dan tersusun bakal menggamit 10 peratus sikap pengundi; dan kejayaan inilah yang menentukan kemenangan di kawasan-kawasan yang dianggap kelabu.
Biasanya sebelum pembubaran parlimen atau Dun, 90 peratus pengundi yang berdaftar telah lama membuat pendirian, parti mana yang bakal dipilih, sementara 10 peratus lagi adalah mereka yang masih di atas pagar.
Peranan utama semasa kempen adalah bagaimana mengubah sikap 90 peratus pengundi itu, jika jentera sesebuah parti mampu mengubah sikap 2 peratus sahaja daripada sikap 90 peratus itu, maka parti itulah adalah pemenang; keadaan ini hanya berlaku bagi kawasan yang berkeadaan 50:50 atau kelabu.
Untuk itu, semasa PRU-13 ini, jentera Bn yang terkuat, tersusun dengan baik diperlukan bagi kawasan-kawasan yang disebutkan di atas, bagi menjamin peratusan yang "swing" kepada calon-calon Bn.