Showing posts with label Pemilihan Umno. Show all posts
Showing posts with label Pemilihan Umno. Show all posts

29 October 2013

Pemilihan Umno: Calon Yang Tidak Patut-Patut Boleh Menang

Rupanya, bukan sahaja OKB seorang yang berfikir, berhubung pemilihan Umno yang melabuhkan tirainya pada 19 oktober lalu adalah pemilihan yang bagi mereka yang menggunakan wang yang banyak untuk menang.

Mantan Perdana Menteri- Tun Dr Mahathir juga berkata, bahawa peranan wang adalah pemudah cara bagi calon-calon yang tidak sepatutnya menang, akan tetapi menang dalam pemilihan itu. Menurut beliau, jutaan ringgit telah digunakan semasa pemilihan itu, atas sebab itu mereka yang tidak sepatutnya mendapat undi, mendapat undi.

Meskipun ada pemimpin Umno yang mengatakan bahawa dakwaan itu, hanya "hearsay" namun, hakekatnya ianya adalah satu kenyataan.

Semasa pemilihan itu, memang banyak wang yang terlibat, di semua peringkat pemilihan, serendah di peringkat cawangan.

Apa yang menjadi pengajaran yang boleh didapat daripada pemilihan Umno yang melibatkan hampir 150,000 perwakilan itu, hanya mereka yang benar-benar mempunyai wang mempunyai peluang untuk menang. Bagi mereka yang kurang wang, boleh juga menang asalkan termasuk dalam "cai" calon-calon yang mempunyai wang.

Pada masa akan datang, sesiapa sahaja pemimpin yang mempunyai hajat atau niat untuk merebut jawatan dalam parti, perlu melupakan hasrat itu, jika tidak sanggup menggunakan wang.

Apa yang boleh diambil sebagai pengajaran pada pemilihan parti itu, ketokohan atau kebolehan seseorang calon dipandang kurang merit oleh perwakilan, jika calon-calon mengamalkan politik bebas wang.

Pada pemilihan lalu,OKB mendapat tahu, bahawa antara RM 300-RM500 telah diberikan sebagai kos logistik bagi perwakilan biasa, manakala untuk ketua cawangan antara RM1,500-RM2,000. Malah, ada calon tertentu memberi dua gelombang, masing-masing RM300 setiap gelombang.

Apa yang menarik, semua calon memberikan wang logistik, tertakluk kepada kekuatan kewangan calon itu. Malah, ada juga calon memberikan sekadar wang kopi RM10 kerana calon itu tidak berkemampuan.

Seperti yang dilihat, para pemenang adalah berasaskan kepada besarnya wang logistik, semakin tinggi wang logistik, maka semakin besar peluang untuk menang.

Ada satu kejadian pada salah satu bahagian, seorang calon yang langsung tiada perjuangan dalam parti, namun kerana ada kelebihan daripada segi kewangan, hampir menang untuk jawatan yang ditandinginya, malah hampir menewaskan penyandang jawatan itu.

Memang diakui di masa ini tiada lagi "free lunch"; kerana zaman sudah berubah. Manusia lebih mudah memilih wang ringgit, kerana di zaman ini, tanpa wang, maka adalah sukar untuk berbuat sesuatu. 

Wang, adalah pemudah cara. Ke tandas awam, tanpa RM.20, kita tidak akan dibenarkan menggunakan tandas awam. Di Restoran, kalau bukan pelanggan, kunci tidak akan diberikan oleh pemilik restoran.

Demikian juga, untuk mendapatkan undi, tidak mudah untuk mendapatkan undi; kalau tiada kosnya. 

Politik wang hanya akan mencapai penghujungnya, kalau rakyat memendam rasa. Rasa benci, rasa muak, marah yang membuak-buak. Sebagai bukti, pada PRU-13 lalu, walaupun wang ditaburkan begitu banyak, ada juga kawasan-kawasan yang sepatutnya wilayah BN, namun kalah. Sentimen kebencian dan marah, merupakan lawan kepada politik wang.

Akan tiba masanya, bahawa politik wang, tidak akan mempunyai peranan lagi; masa itu apabila rakyat benar-benar sudah mual dengan pemimpin atau parti-parti tertentu. Fikir-fikirkan lah.

8 July 2013

Bolehkah Politik Wang Dalam Umno Dihentikan?

Sistem pengundian baru Umno untuk pemilihan parti tahun ini boleh membantu mengurangkan politik wang tetapi ia tidak akan dapat dibendung sepenuhnya.

Sistem pengundian akan menjadikan calon-calon sukar untuk menggunakan wang bagi meraih undi kerana wujud kumpulan perwakilan mengundi yang lebih besar.

Di bawah sistem baru ini, seramai 146,500 ahli parti daripada 191 bahagian akan terlibat dalam memilih presiden, timbalan presiden, naib presiden dan 25 ahli Majlis Tertinggi.

Walau bagaimanapun tidak semua 146,500 undi akan dikira secara langsung kerana parti akan menggunakan sistem "satu bahagian, satu undi" yang serupa dengan sistem daftar pemilih di negara ini.

Sebelum ini, kira-kira 2,500 perwakilan di perhimpunan agung parti itu mengundi untuk memilih pelapis tertinggi parti.

Untuk pemilihan parti tahun ini, sistem kuota yang memerlukan peratusan tertentu pencalonan dari Umno bahagian supaya pemimpin layak bertanding jawatan tertinggi juga telah dihapuskan.

Ini bermakna sesiapa sahaja boleh bertanding untuk jawatan tertinggi sekarang.

Dalam pilihan raya lalu, terdapat dakwaan bahawa undi perwakilan boleh dibeli oleh pemimpin-pemimpin dan proksi mereka yang memberikan wang tunai dan hadiah, mengatur percutian dan lain-lain insentif untuk menarik pengundi.

Apa yang menjadi kebimbangan sekarang adalah sistem baru ini boleh menyebabkan banyak rasa tidak puas hati jika proses mengundi itu tidak dilakukan dengan betul atau terdapat penipuan di peringkat pengundi akar umbi.

Akan tetapi pendapat Bekas Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman, yang telah menyuarakan hasrat beliau untuk bertanding jawatan ketua Wanita Umno, yakin pengundian yang dibuka sehingga ke peringkat akar umbi akan menghapuskan politik wang dalam parti itu.

"Parti cuba untuk membersihkan diri dan ia adalah permulaan yang baik," katanya.

Beliau juga berkata sistem itu bermanfaat untuk golongan 'underdog' seperti beliau kerana lebih ramai orang mempunyai 'suara' untuk memilih pemimpin yang mereka mahu berbanding 3,000 perwakilan dalam dewan.

Bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Shahrir Samad berkata sistem baru ini mengiktiraf watak akar umbi Umno dan beliau tidak fikir akan ada sesiapa yang tidak berpuas hati dengannya.

Salah satu cabaran dalam menjalankan pilihan raya parti adalah mendapatkan anggota yang dan "kakitangan awam" Umno yang benar-benar neutral untuk menyelia pilihan raya, katanya.

Penganalisis politik Khoo Kay Peng percaya sistem baru ini tidak akan mengekang politik wang kerana struktur politik 'atas ke bawah dalam Umno' sangat jelas dan kuasa berada di tangan beberapa mereka yang dipilih.

18 June 2013

Pemilihan Umno: Antara Kesinambungan dan Perubahan

ADA dua kepentingan: Dari kacamata kepimpinan, kesinambungan adalah faktor utama meneruskan suatu kemajuan; manakala daripada kaca mata ahli- pergantian kepimpinan adalah sesuatu yang wajar dilakukan untuk menyuntik idea idea dan pendekatan baharu demi pembaharuan ke arah perubahan.

Kesinambungan kepimpinan membolehkan sesuatu yang dirancang itu hanya menunggu pelaksanaan; sementara jika berlaku perubahan kepimpinan, sudah tentunya kepimpinan baharu itu perlu melaksanakan perancangan terlebih dahulu sebelum pelaksanaan.

Boleh juga berlaku, kempimpinan yang baru itu mempunyai perancangan awal, dan hanya menunggu menjadi pemimpin untuk melaksanakan perancangannya, atas sebab itu seseorang itu menawar diri bertanding merebut sesuatu jawatan.

Di lain pihak, penyandang sesuatu jawatan telahpun merancang sesuatu untuk tindakan pelaksanaan, hanya mungkin kekangan waktu dan kewangan membantut pelaksanaannya; atas sebeb itu dijadikan modal bagi pencabar untuk menggamit sokongan daripada para ahli, agar diberi peluang untuk menduduki sesuatu jawatan.

Sebenarnya, yang menjadikan sesuatu perjuangan itu relevan atau tidak terletak bukan pada perubahan tetapi kepada kekuatan kesahihannya. Dan dalam konteks UMNO faktor kesinambungan inilah yang memberi kekuatan kesahihan kepada perjuangan kebangsaan Melayu yang berbeza dari kaum dan parti lain.

Pada tahun-tahun 1990-an, untuk tempoh selama lebih sedekad UMNO seolah-olah terpukau dengan perkataan `arus perubahan'. Oleh kerana ia begitu sering diucap, sehingga hampir menjadi satu mantra, maka makna asalnya telah tenggelam dan perkataan perubahan tadi telah mendapat makna baru, iaitu perubahan, tak kira jenis apa pun, adalah sesuatu yang baik dan seterusnya diingini.

Kita begitu taksub dengan perubahan sehinggakan banyak idea serta adab berpolitik yang sihat turun-temurun telah digadaikan. 

Hakikat bahawa sesetengah dari idea-idea tersebut merupakan idea yang paling bernas pada masa ia diterbitkan, dan hakikat bahawa ia telah banyak berjasa dan masih boleh diguna pakai tidak lagi jadi perhitungan, pada ketika itu kita hanya setia pada label `perubahan'. 

Kenapa kita begitu terpesona dengan perubahan? Perubahan adalah sesuatu yang lumrah, boleh jadi baik atau boleh jadi buruk, terpulang kepada bagaimana kita mengendalikannya. Secara tersendiri ia tidak mempunyai makna. We were hypnotise by the allure of change, not relizing that change is the natural order of things while progress is not. 

Kita mahukan kemajuan dalam semua lapangan hidup, moral dan material, bukan sekadar perubahan. 

Hala tuju bangsa tidak boleh ditentukan secara mutlak oleh perubahan, kita harus mengawal perubahan, bukan kita yang ditentukan oleh perubahan. 

Lebih dari itu, bagi Umno jika kita tidak berhati-hati keghairahan kepada perubahan sebenarnya menyembunyikan lebih banyak kemudaratan kerana dari segi sejarah, untuk musuh-musuh UMNO mereka mahukan agar parti lemah, akibat persengkitaan pemimpin Umno itu sendiri tidak pernah sudah-sudah; hanya kerana mahu jadi PEMIMPIN UTAMA.

Walaupun kita telah dijajah lebih seratus tahun hakikat kita masyarakat induk bukan sahaja tidak pernah berubah tetapi berkesinambungan. Oleh itu, dari memberi fokus kepada perubahan, terdapat lebih banyak manfaat jika kita memberi masa untuk benar-benar menginsafi apa yang dimaksudkan dengan asas-asas kesinambungan yang memberi kekuatan kesahihan kepada perjuangan parti.

Bagi mereka yang mempunyai ura-ura mencabar kepimpinan baik di peringkat tertinggi mahupun di peringkat bahagian, perlu memberi pertimbangan kepada ASAS KESINAMBUNGAN, bukan terpengaruh dengan PERUBAHAN DAN DEMOKRASI; kerana KESINAMBUNGAN KEPIMPINAN DALAM PARTI LAH MERUPAKAN KEKUATAN PARTI UMNO.

16 June 2013

Pemilihan Umno: Antara Demokrasi dan Perpaduan

ADA ahli atau pemimpin percaya bahawa perpaduan dalam parti sungguh penting, apatah lagi berhadapan dengan situasi politik yang semakin mencabar masa ini. Ada juga ahli atau pemimpin percaya bahawa amalan demokrasi boleh menguatkan parti dan kepercayaan bukan sahaja daripada ahli akan tetapi juga penyokong dan rakyat jelata.

Pengertian demokrasi dalam hal ini, adalah apabila adanya pemilihan parti, maka berlaku pertandingan bagi jawatan-jawatan yang tersedia. Tujuan pertandingan itu adalah untuk menampilkan pemimpin yang mempunyai kaliber dan visi yang lebih baik bagi maksud memperkuat parti.

Kekuatan sesebuah organisasi politik bukan sahaja dilihat pada kekuatan pemimpin secara peribadi yang mempunyai jawatan tetapi kekuatannya menggamit sokongan daripada akar umbi atau rakyat secara umum perlu dilihat.

Sesuatu yang perlu diingat oleh pemimpin sesebuah parti, parti yang boleh menang pada sebarang pilihanraya adalah parti yang mampu mendapat sokongan daripada rakyat jelata. Sokongan ahli sesebuah parti sahaja tidak akan cukup memenangkan sesebuah parti; faktor inilah yang perlu ditanam oleh seseorang pemimpin yang mempunyai hasrat mendapat jawatan pada sesebuah parti. Kata orang, kalaupun hebat dalam parti, akan tetapi tidak hebat di mata rakyat jelata, maka itu dinamakan pemimpin yang syiok sendiri.

Sempena pemilihan Umno tahun ini, khususnya Bahagian Kota Belud; faktor yang disebutkan diatas bukan sahaja perlu dihayati pemimpin yang berhasrat mendapat jawatan dalam parti, tetapi para ahli juga perlu memikirkan faktor-faktor itu. Sebagai ahli yang bertanggungjawab memilih pimpinan di peringkat bahagian, juga perlu memikirkan sokongan rakyat jelata terhadap parti, jika mahu menonjolkan seseorang menarajui parti.

Di kawasan Kota Belud khususnya parti Umno, sebenarnya para pemimpin yang boleh ditonjolkan adalah pemimpin yang sudah lama dikenal oleh rakyat, bukan sahaja mereka itu aktif dalam politik akan tetapi juga mereka-mereka ini adalah wakil-wakil rakyat dan mantan wakil rakyat.

Bagi rakyat Kota Belud, nama-nama seperti Datuk Dr Salleh Tun Said, Datuk Musbah Jamli, Datuk Japlin Akim adalah para pemimpin yang silih berganti menjadi memimpin Umno Bahagian Kota Belud.

Salleh yang berkecimpung sejak sekian lama dalam arena politik Kota Belud termasuk negeri dan nasional pada masa ini merupakan Ketua Bahagian Umno Kota Belud. Manakala Musbah adalah salah seorang pemimpin Usno yang telah dibubarkan kerana memberi ruang kepada Umno mengembangkan sayapnya di Sabah pada tahun 1991. Sementara Japlin pula adalah produk Umno itu sendiri, selepas bertapak di Sabah.

Pemilihan Umno tahun ini, berlainan dengan pemilihan tahun-tahun sebelumnya, kerana pada pemilihan kali ini, tiada lagi sistem kuota, ertinya seseorang itu boleh bertanding asalkan hanya ada pencadang dan penyokong daripada ahli itu sendiri, tidak sama seperti dahulu, pencalonan perlu dilakukan di peringkat cawangan.

Memang menjadi dilema di antara para pemimpin, ahli dan penyokong samada memeriahkan demokarsi atau perpaduan. Kalau dihayati maksud pertandingan itu sendiri adalah untuk memeriahkan demokrasi dalam parti selain mencari pemimpin yang benar-benar hebat daripada kalangan yang hebat-hebat, namun apa yang berlaku adalah selepas sesuatu pertandingan adalah "permusuhan" walaupun tidak dizahirkan, tetapi tersirat.

Umno mempunyai pengalaman sendiri pada tahun 1987, apabila berlaku pertandingan yang sengit bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, maka berlaku perpecahan dalam Umno itu sendiri. Meskipun di peringkat bahagian, tidaklah mempunyai impak yang besar terhadap parti secara keseluruhan, namun berimpak juga terhadap ahli dan penyokong di peringkat akar umbi. Akan tetapi jika maksud pertandingan di peringkat Bahagian itu dapat mengwujudkan penyatuan semua ahli dan penyokong parti dan memperkuat parti, maka pertandingan seumpama itu adalah digalakan.

Sebenarnya, seseorang pemimpin itu akan bertanding merebut sesuatu jawatan dalam parti, kerana dorongan para ahli dan akar umbi. Tanpa dorongan itu, penulis yakin seseorang itu tidak akan maju untuk menawarkan diri bertanding; kerana maksud pertandingan bagi seseorang yang menawarkan dirinya adalah semata-mata merasakan bahawa dia mempunyai sokongan yang cukup kuat untuk menang.

Pemilihan Umno di ambang pintu. Pada julai dijadualkan mesyuarat cawangan-cawangan dan kemudian pada Oktober pemilihan di peringkat bahagian dan Majlis tertinggi. Bermula daripada sekarang, bukan sahaja pemimpin akan tetapi ahli juga memikirkan apakah dalam pemilihan kali ini untuk memeriahkan DEMOKRASI ATAU PERPADUAN.

8 June 2013

Pemilihan Umno: Peluang Generasi muda

APAKAH generasi muda mendapat peluang pada pemilihan Umno kali ini? Terserah kepada perwakilan di peringkat cawangan, apa kah memberi peluang kepada generasi itu.

Hala tuju parti, agar senantiasa inklusif perlu melakukan peremajaan sesuai dengan perkembangan politik tanah air.

Ketua-ketua cawangan yang telah berumur, apatah lagi kurang celik dengan pengunaan media baru, dan kurang peka terhadap perkembangan politik tanah air, perlu memberi ruang kepada generasi penerus yang sesuai dan mempunyai ketokohan.

Diharapkan, sekurang-kurangnya 60 peratus daripada seluruh cawangan Umno di negara ini, diketuai oleh generasi penerus dan demikian juga di peringkat bahagian.

PRU-14, bukan lagi pilihanraya konvensional, akan tetapi lebih kepada perang isu dan alam maya. Kegagalan menguasainya, akan berakibat fatal kepada kelangsungan parti, kerana sejarah membuktikan, bahawa parti yang tidak bergerak sesuai dengan perkembangan zaman akan kecundang.

Di dunia, untuk sementara hanya Umno yang berusia lebih setengah abad belum kehilangan kuasa. Parti Kongres di India, Golkar di Indonesia dan LDP di Jepun kehilangan kuasa. Parti kongres India dan LDP masih bernasib baik kerana dapat memerintah semula, akan tetapi Golkar sehingga kini belum lagi menguasai politik Indonesia sepertimana era Soeharto.

Kalau Umno tidak mahu tercatat dalam sejarah, maka perlu mengambil iktibar kepada kejatuhan parti-parti yang disebutkan itu.

Umno perlu menjalankan transformasi total, bukan sahaja daripada segi pendekatan perlembagaannya, juga pendekatan para pemimpinnya.

Persepsi kalau mahu cepat kaya, maka jadilah pemimpin Umno, perlu dikikis, dan jadikan slogan kalau mahu memertabatkan bangsa, agama dan negara maka jadilah pemimpin Umno.

Kalau berkehendakan pembelaan, maka sertailah Umno, kalau mahu didengar pendapat maka sertailah Umno, kalau mahu hubungan antara pemimpin dan ahli bagaikan aur dan tebing, maka sertailah Umno. Semangat ini kena ada pada setiap pemimpin dalam umno, kerana Umno hanya sebuah wadah, yang mencorakkannya adalah pemimpin dan ahlinya.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels